Anak angkat, mahram

Soalan:

Dalam surat beranak dan kad pengenalan dinyatakan AZURA BINTI AHMAD. Mengikut hukum Islam, haram ber”bin” atau ber”binti” kepada bapa angkat. Apakah prosedur atau kepada siapa perlu dirujuk untuk menukar semula kepada AZURA BINTI LOKMAN ?

Jawapan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang  Menggabungkan Nama Anak angkat Dengan Bapa Angkat Dalam Sijil Pengangkatan Dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.

Untuk menukarkan semula binti kepada bapa kandung sila rujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara.

Soalan:

Setiap kali pulang ke kampung dan mengunjungi Ahmad, Kamaruzaman akan bersalam dengan Halimah. Adakah haram Kamaruzaman bersalam dengan Halimah kerana Halimah bukan ibu mertua sebenar kepada Kamaruzaman ?

Jawapan:

Keadaan sebenarnya Halimah (ibu mertua angkat) adalah isteri kepada bapa saudara Azura (Ahmad). Ibu mertua angkat/isteri kepada bapa saudara isteri tidak termasuk dalam senarai mahram muabbad (yakni orang-orang yang haram dikahwini oleh seorang lelaki buat selamanya). Oleh itu, statusnya sama seperti wanita ajnabi yang lain iaitu tidak boleh bersentuhan dengannya (termasuk bersalaman), berdua-duaannya dengannya, melihat auratnya dan menemaninya untuk bermusafir.

Lotus birth

Soalan:

Hukum mengamalkan kaedah lotus birth semasa melahirkan?

Lotus Birth adalah satu amalan selepas melahirkan bayi di mana tali pusat bayi tidak dipotong, malah dibiarkan terus bersambung bersama-sama uri sehingga kering (lebih kurang 3-10 hari atau lebih) dan akhirnya terlucut sendiri daripada pusat bayi.

Jawapan:

Kaedah fiqhiyah

Hukum asal sesuatu perkara itu adalah harus (الأصل في الأشياء الإباحة)

Jika terbukti boleh membahayakan, seperti berlaku jangkitan maka agama Islam melarangnya.

Tidak mudarat dan tidak memudaratkan (لا ضرر ولا ضرار)

Jika lotus birth belum pasti kebaikannya dan kemungkinan ada kemudharatannya, kemudharatan perlu dihilangkan (الضرر يزال).

Tidak ada dalil sama ada tali pusat disuruh potong atau tidak. Sehingga hari ini belum ada hukum/fatwa ulama berkaitan amalan lotus birth ini.

Untuk mengenal pasti kebaikan atau keburukannya, rujuklah dengan doktor pakar Islam mengenai perkara tersebut dan jika ia tidak memberikan kemudharatan kepada bayi, adalah harus berbuat demikian.

 

 

Pengklonan manusia

Soalan:

Hukum Pembiakan manusia dan pengklonan

Jawapan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang Kali Ke-51 di Dewan Syura, Tingkat 11, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 11 Mar 2002 telah membincangkan isu Pembiakan Manusia Dan Pengklonan Tujuan Perubatan Dari Sudut Syarak dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T. dan
  2. Penggunaan ‘stem cell’ bagi tujuan perubatan dan kajian yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 

Do Not Resuscitate

Soalan:

Nama saya Zaid. Saya ingin mengajukan soalan tentang hukum DNR. Isteri saya baru melahirkan anak lelaki yang pramatang (25 weeker) dan kini bayi di wad NICU hospital seremban. Doktor telah  mengesahkan bahawa bayi kami mempunyai banyak masalah seperti kuman dalam darah, internal bleeding dalam otak dan infection dlm usus. Jadi dia memerlukan life support dan ubatan pada masa sekarang. Kata doktor walaupun dia dapat survive dia akan ada pelbagai komplikasi semasa dia membesar seperti jantung berlubang, paralyse, lung scar dan sebagainya. Keadaannya sekarang semakin parah hari demi hari jadi Doktor pakar telah bertanya tentang option DNR.  Secara praktikalnya saya ingin memberi consent untuk DNR iaitu tidak perlu CPR if jantungnya telah berhenti berfungsi. Sekurang kurangnya dia akan pergi dengan aman. Tetapi saya tak tahu apa hukumnya memberi consent DNR itu di sisi agama. Jadi saya ingin meminta pendapat ustaz/ustazah dalam hal ini. Terima kasih.

(DNR atau Do Not Resuscitate adalah suatu perintah yang memberitahu pegawai perubatan untuk tidak melakukan CPR. Hal ini bererti doktor dan pegawai perubatan tidak akan melakukan usaha CPR bila pernafasan mahupun jantung pesakit berhenti)

Jawapan:

Hukum memberi consent DNR adalah boleh jika disarankan oleh doktor pakar.

 

 

Perayaan kuih bulan dan pesta tanglung

Soalan :

Adakah perayaan kuih bulan dan pesta tanglung yang disambut oleh kaum cina perayaan keagamaan?

Jawapan:

Sambutan perayaan Kuih Bulan dan Pesta Tanglung mempunyai susur jalur yang berdasarkan kepercayaan agama dan amalan keagamaan Budha. Perayaan ini mempunyai implikasi keagamaan dan hanya berubah wajah menjadi pesta budaya dengan peredaran masa dan zaman seperti di Malaysia hari ini.

Soalan:

Apakah hukum orang islam meraikannya?

Jawapan:

Tidak harus bagi seseorang muslim meraikan atau menghadiri atau merayakannya

 

Melabur saham di aplikasi kontemporari

Soalan: 

Hukum melabur saham di aplikasi-aplikasi kontemporari seperti Bitcoin, Forex dan yang seangkatan dengannya?

Jawapan:

Di Malaysia, pelaburan di dalam pasaran modal dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commision). Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada 1996 untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dari pakar-pakar fiqh muamalat berkaitan isu-isu pelaburan menurut pandangan syarak.

Kriteria utama dalam penentuan saham patuh syariah ialah dengan meneliti aktiviti-aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh sesebuah syarikat. Berdasarkan analisa MPS terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w terdapat 4 jenis perniagaan yang diharamkan sepenuhnya iaitu:

  1. Perniagaan berasaskan riba.
  2. Perniagaan yang berasaskan kepada aktiviti perjudian.
  3. Perniagaan yang berasaskan kepada pengeluaran barang dan penyediaan yang dilarang oleh Islam. Pelaburan dalam perniagaan seperti ini menyalahi hukum syarak.
  4. Perniagaan yang mempunyai unsur-unsur gharar (ketidakpastian) seperti insurans konvensional.

Antara syarat perdagangan matawang ialah penukaran (serah dan terima) dalam waktu yang sama, manakala pembelian secara hutang adalah haram.

Kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi konvensional adalah FOREX yang menggunakan ‘ Value Forward ’ (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam Riba Nasiah.

CCTV

Soalan:

Adakah wajar di pasang CCTV diruangan solat jemaah wanita, kerana pada pandangan wanita sudah pasti kan membuka telekung dan tukar dgn tudung atau lain lain urusan kendiri pada diri mereka.

Bagaimana aurat mereka telah dirakam dalam CCTV tersebut. cuba fikirkan pada yang mereka lebih arif bab Agama soal Aurat wanita. CCTV itu akan di dilihat oleh AJK lelaki pengurusan masjid.

Pada pandangan saya perkara ini perlu di perhalusi. Cukuplah sekadar CCTV di tuju khas pada tabung duit masjid sahaja.

Jawapan:

  1. Wajarkah CCTV dipasang di ruangan solat wanita:

CCTV wajar dipasang di ruangan solat wanita. Hal ini kerana perlu memahami tujuan dan fungsi pemasangan CCTV tersebut iaitu,

  • Pencegahan : melaksanakan pencegahan jenayah merangkumi perkara seperti kecurian, pencerobohan, vandalism, gangguan seksual, dan salah laku etika
  • Pemantauan : membuat pemantauan keselamatan. Kebanyakan kes kecurian berlaku ketika para jemaah menunaikan solat dan masa yang diambil oleh penjenayah cukup singkat.
  • Peningkatan Kajian : membantu membuat kajian dan jangkaan awal terhadap sesuatu perbuatan yang ganjil dan mencurigakan.
  • Penyelidikan Siasatan : membantu pihak berkuasa untuk membuat pengesanan, pengecaman, dan pengenalpastian sesuatu kes atau kejadian jenayah.
  • Pembuktian : hasil rakaman CCTV boleh dijadikan sebagai bahan bukti.
  1. Bagaimana aurat wanita di Masjid:

Sebagaimana yang dimaklumi Masjid adalah tempat awam di mana umat Islam melakukan ibadah. Berbagai-bagai risiko dan kemungkinan boleh berlaku. Wanita mesti berhati-hati dan sentiasa menjaga aurat. Terdapat juga masjid yang mempunyai tabir/penghadang yang diperbuat daripada kayu/rotan dan terdapat ruang-ruang/lubang.

  1. Urusan kendiri wanita:

Kalau dilihat pada rakaman CCTV tersebut, hanya terfokus pada satu arah sahaja. Jadi untuk urusan kendiri wanita masih boleh lakukan di bahagian tidak difokuskan CCTV.

 

 

 

Melantik hakim syar’ie wanita

Soalan :

Apakah Hukum Melantik Wanita Sebagai Hakim Syar’ie

Jawapan :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-73 yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006 yang memutuskan bahawa:

Wanita harus dilantik menjadi Hakim Syarie dalam kes-kes selain daripada hudud dan qisas. Pemilihan dan pelantikan hendaklah dibuat dengan penuh teliti dan teratur.

 

 

Peristiwa Penyembelihan Dalam Sejarah Keluarga Nabi SAW

Soalan : Kenapa ibadah korban penting bagi umat Islam

Jawapan : Pensyariatan ibadah korban adalah menghayati semangat pengorbanan yang berlaku sebanyak 2 kali dalam sejarah silsilah keluarga Nabi Muhammad saw iaitu:

1.      Pengorbanan yang agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim as, iaitu ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya Ismail as. Kemudian Allah menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya.

2.      Peristiwa di mana Abdul Mutalib bernazar akan mengorban salah seorang anaknya jikalau dia dikurniakan semuanya anak lelaki. Disebut dalam sirah Nabi saw bahawa Abdul Muttalib, datuk baginda, telah bernazar sekiranya Allah mengurniakan beliau sepuluh orang anak lelaki, maka beliau akan menyembelih salah seorang daripada mereka sebagai tanda korban kepada Allah. Peristiwa ini berlaku ketika beliau dilarang menggali telaga Zamzam kerana pada ketika itu beliau hanya ada seorang anak sahaja iaitu al-Harith.

Ditakdirkan Allah, beliau dikurniakan sepuluh orang anak lelaki iaitu al-Harith, al-Zubair, Hajal, Dharar, al-Muqawwam, Abu Lahab, al-Abbas, Hamzah, Abu Talib dan Abdullah. Bagi menunaikan nazarnya, maka undian dibuat bagi memilih siapa yang akan disembelih. Nyata Abdullah, bapa Rasulullah saw yang merupakan anak kesayangan kepada Abdul Muttalib terpilih. Maka diakhir kisah yang berlaku, Abdullah ditebus dengan seratus ekor unta.

Sehubungan dengan itu, Rasulullah saw bersabda:

 

أَنَا ابْنُ الذَّبِيحَيْنِ

 

Yang bermaksud, “Aku anak kepada dua orang yang dipilih untuk disembelih”  iaitu Nabi Ismail di mana Allah memerintahkan bapanya, Nabi Ibrahim, menyembelihnya dan Abdullah sebagai mana kisah yang dinyatakan di atas.

Bahkan disebut dalam kitab Hujjatullah ‘Ala al-‘Alamin fi Mu‘jizati Sayyidil Mursalin saw, disebut Nabi saw diuji dengan kesabaran lebih tinggi daripada peristiwa penyembelihan Ismail. Di mana penyembelihan Ismail tidak berlaku tetapi ditebus dengan seekor kibasy, sedangkan Nabi Muhammad diuji dengan pembedahan dada sebanyak empat kali sebagaimana yang dipetik daripada al-Sirah al-Nabawiyyah al-Muhammadiyyah oleh al-Sayyid Soleh Muhammad al-Ja‘far al-Sadiqiy al-Husainiy

Setengah daripada keistimewaan Baginda s.a.w. yang tidak dapat diatasi oleh seorang pun Nabi-nabi yang lain ialah pembedahan dadanya yang mulia sebanyak 4 kali, yang demikian menunjukkan Allah s.w.t. telah menjaga urusannya pada permulaan dan akhir.

 1.      Pertama dada Baginda s.a.w. dibedah di perkampungan Bani Saad ketika berada di rumah Halimatun Saadiah kerana Nabi Muhammad akan menghadapi masa kanak-kanak yang mana hatinya yang mulia itu dibersihkan oleh Allah Ta’ala supaya jadilah Baginda terpelihara dari gangguan syaitan dan tentera-tenteranya yang jahat.

2.      Yang kedua Baginda s.a.w. dibedah ialah ketika sampai umurnya ke peringkat baligh, kerana baginda akan menempuh menjadi seorang lelaki dewasa kerana hati baginda di waktu itu dipenuhi dengan sifat kesempurnaan, tetap, teguh, kebesaran dan cahaya yang menerangi sekitar hidupnya.  Dan baginda s.a.w. ketika berada di zaman Jahiliah mendapat cahaya yang diilhamkan oleh Allah Ta’ala dengan berjalan di atas jalan yang bertepatan dengan syariat Muhammadiah iaitu suka kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan dan Baginda s.a.w. semasa bersunyi-sunyi dengan bermunajat kepada Tuhannya.  Sesungguhnya dalam bersunyi-sunyi di dalam Gua Hira’ itu Baginda s.a.w. sentiasa penuh dalam keadaan menyaksikan di atas kebesaran Allah, sentiasa berdoa dan sentiasa bermunajat kepada Allah.

3.      Kali yang ketiga Allah Ta’ala membedah dada Baginda s.a.w. setelah sempurna umurnya empat puluh tahun, kerana yang demikian untuk bersedia menerima tuntutan wahyu Allah Ta’ala memilihnya di antara makhluknya.  Supaya tetaplah Baginda s.a.w. menerima Al-Quran yang kalau diturunkan al-Quran di atas gunung nescaya hancurlah kerana kehebatannya.  Dan adalah Rasulullah s.a.w. tetap dan teguh daripada gunung yang kuat dan lebih kuat daripada malaikat, lantaran Allah sendiri yang menguatkan dan meneguhkannya.

 4.      Kali keempat dada Baginda s.a.w. dibedah oleh Allah Ta’ala pada malam Israk dan Mikraj ke langit yang tinggi dan Allah memenuhkan hati Baginda s.a.w. dengan ilmu, hikmat, iman dan yakin supaya Baginda  s.a.w. bersedia untuk melihat dan berjumpa dengan Allah s.w.t.

Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat dengan firmannya dalam surah al-Syarh ayat 1 yang bermaksud :

                                     “(Tidakkah kami telah melapangkan dadamu)”.

Yang demikian itu adalah sebagai kurniaan nikmat yang besar ke atas Baginda s.a.w. mengangkat sebutan ke atasnya, yang mana tidak disebut nama Allah s.w.t. melainkan nama Muhammad s.a.w. disebut bersama.

Memakai baju sutera campuran

Soalan:

Bolehkah memakai baju sutera campuran

Jawapan:

1. Haram sekiranya kandungan sutera lebih banyak drpd yang lain.
2.Harus sekiranya kandungan sutera lebih sedikit drpd yg lain.
3.Harus juga sekiranya kandungan sutera sama bnyk dgn yg lain.