Patung permainan kanak-kanak

Soalan:

Seorang jurujual beragama Islam menjual patung-patung permainan kanak-kanak/ patung berupa anjing kepada pembeli-pembeli bukan Islam.

Jawapan:

Dibolehkan menjual patung-patung permainan kanak-kanak

Rukhsah Dalam Permainan Anak-Anak

 

Kalau macam daripada patung itu tidak dimaksudkan untuk diagung-agungkan dan tidak berlebih-lebihan serta tidak ada suatu unsur larangan di atas, maka dalam hal ini Islam tidak akan bersempit dada dan tidak menganggap hal tersebut suatu dosa. Misalnya permainan anak-anak berupa pengantin-pengantinan, kucing-kucingan, dan haiwan-haiwan lainnya. Patung-patung ini semua hanya sekadar pelukisan untuk permainan dan menghibur anak-anak.

 

Oleh kerana itu kata Aisyah:

 

“Aku biasa bermain-main dengan anak-anakan wanita (boneka wanita) di sisi Rasulullah s.a.w. dan kawan-kawanku datang kepadaku, kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah s.a.w, tetapi Rasulullah s.a.w. tidak menegah malah senang dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Dan dalam salah satu riwayat diterangkan:

 

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pada suatu hari bertanya kepada Aisyah: Apa ini? Jawab Aisyah: Ini anak-anak wanitaku (boneka wanitaku); kemudian Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di tengahnya itu? Jawab Aisyah: Kuda. Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di atasnya itu? Jawab Aisyah: Itu dua sayapnya. Kata Rasulullah: Apa ada kuda yang bersayap? Jawab Aisyah: Belumkah engkau mendengar, bahawa Sulaiman bin Daud a.s. mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap? Kemudian Rasulullah tertawa sehingga nampak gigi gerahamnya.” (Riwayat Abu Daud)

Bekerja di muzium yang ada patung

Soalan:

Apa hukumnya seorang beragama Islam bekerja di muzium yang dihiasi patung-patung yang menceritakan sejarah sesuatu Negara/patung-patung mempamerkan adat resam sesuatu kaum.

Jawapan :

Tiada halangan bagi sesesorang beragama Islam untuk bekerja di muzium yang dihiasi patung-patung.

Beberapa hukum mengenai gambar dan yang menggambar sebagai berikut :

  1. Jenis gambar yang sangat di haramkan adalah gambar yang disembah selain Allah, seperti Isa al-Masih dalam agama Kristen. Gambar seperti ini dapat membuat pelukisnya kufur kalau dia lakukan itu dengan penuh pengetahuan dan kesengajaan. Begitu juga dengan pembuat patung, dosanya akan sangat besar apabila dimaksudkan untuk diagung-agungkan dengan cara apapun. Termasuk juga terlibat dalam dosa, orang-orang yang bersekutu dalam hal tersebut.
  2. Termasuk juga berdosa orang yang melukis sesuatu yang tidak disembah, tatapi bertujuan untuk menandingi ciptaan Allah. Yakni dia beranggapan dapat membuat model baru dan membuat seperti pembuatan Allah. Hal ini dapat membuat kufur, hal ini, tergantung pada niat pelukisnya sendiri.
  3. Di bawah lagi termasuk patung-patung yang tidak disembah, tapi untuk diagung-agungkan, seperti patung raja-raja, kepala Negara, atau para pemimpin yang dianggap keabadian mereka itu dengan didirikan monument-monumen yang dibangun dilapangan-lapangan dan sebagainya. Dosanya sama saja, baik patung itu setengah badan atau sebadan penuh.
  4. Di bawahnya lagi patung binatang-binatang dengan tidak ada maksud untuk disucikan atau diagung-agungkan, dikecualikan patung mainan anak-anak dan yang terbuat dari bahan makanan seperti manisan dan sebagainya.
  5. Selanjutnya, ialah di papan yang oleh pelukisnya atau pemiliknya sengaja diagung-angungkan seperti gambar para penguasa, dan pemimpin, lebih-lebih kalau gambar itu dipancangkan atau digantung. Lebih kuat lagi haramnya apabila yang digambar itu orang zalim, ahli fasik dan golongan anti Tuhan. Mengagungkan mereka ini berarti meruntuhkan Islam.
  6. Di bawah itu ialah gambar binatang yang tidak bermaksud untuk diagung-agungkan , tetapi dianggap sebagai suatu pemborosan, misalnya, gambar di dinding dan sebagainya. Ini hanya termasuk yang dimakruhkan.
  7. Adapun gambar pemandangan, misalnya, pepohonan, kurma, lautan, perahu, gunung, dan sebagainya, tidak ada dosa sama sekali baik si pelukis atau yang menyimpannya, selama gambar tersebut tidak menjauhkan pemiliknya daripada ibadah dan pemborosan. Kalau sampai demikian, maka hukumnya makruh.
  8. Adapun fotografi pada prinsipnya mubah, selama tidak mengandung objek yang diharamkan, seperti disucikan oleh permiliknya secara keagamaan atau disanjung-sanjung secara keduniaan. Lebih-lebuh kalau yang disanjung itu orang-orang fasik, misalnya golongan penyembah berhala, komunis, dan seniman-seniman yang telah menyimpang.
  9. Terakhir, apabila patung dan gambar yang diharamkan itu bentuknya telah diubah dan direndahkan (dalam bentuk gambar), maka dapat pindah dari lingkungan haram menjadi halal. Seperti gambar-gambar di lantai yang bias diinjak-injak oleh kaki dan sandal.

 

Arahan kakitangan Islam untuk persiapan sambutan krismas

Soalan :

Apa hukumnya jika seorang kerani pasaraya yang beragama Islam memberi arahan melalui kata-kata yang diucapkan di mulut kepada pekerja bawahannya untuk memastikan sambutan hari krismas berjalan lancar. Pada hari krismas kerani tersebut tidak menghadirkan diri (tidak menyambutnya)

 Jawapan :

Krismas dirayakan oleh penganut agama Kristian pada setiap 25hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ.

Sebagai seorang muslim tidak boleh menolong orang-orang kafir untuk persiapan sambutan mengadakan dan merayakan Hari Raya mereka dengan apa cara sekali pun. tindakan (tersebut) seolah-olah memberi penghormatan dan sokongan terhadap kemusyrikan mereka serta membantu kekufuran mereka.

Firman Allah: “Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara yang baik dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah seseungguhnya Allah amat keras seksaannya.“(al-Maidah : 2)”

Dalam hal ini, tidak harus kerani tersebut memberikan arahan bagi memastikan sambutan krismas berjalan dengan lancar.

 

Orang Islam turut serta buat sambutan krismas

Soalan :

Adakah jatuh syirik kepada Allah jika sebuah keluarga Islam menyambut hari krismas di rumah dengan meletakkan pokok krismas dan hadiah krismas (tanpa ada patung jesus di atas pokok krismas) di kediaman rumah keluarga Islam tersebut.

Jawapan :

Janganlah umat Islam menyambut krismas dan menghias pokok krismas di rumah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum itu, maka mereka termasuk dalam kalangannya”.

Syari’at Islam melarang umatnya untuk meniru-niru atau menyerupai umat lain dalam segala hal yang berkaitan dengan ibadah, kebiasaan dan perbuatan dalam hidup mereka sehari-hari,

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

  • menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
  • menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
  • iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
  • memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
  • tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

  • Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
  • Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
  • iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
  • Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

  • Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
  • Berpakaian yang menjolok mata;
  • iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
  • Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

 

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

  • Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
  • Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
  • iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
  • Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
  1. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Kerja berkaitan arak

Soalan:

  1. Seorang pegawai pentadbiran hotel beragama Islam mengambil:
  2. Pekerja-pekerja bukan Islam untuk bekerja sebagai pelayan hotel di unit penyediaan makanan dan minuman (F&B) yang menyediakan arak.
  3. Mengambil pekerja-pekerja Islam bekerja sebagai pelayan hotel yang menyediakan arak.

Pegawai pentadbiran hotel tersebut tidak terlibat di unit penyediaan makanan & minuman yang menyediakan arak.

Jawapan:

Pengharaman arak kepada umat Islam tidak terhad kepada meminum arak itu sahaja, malah meliputi apa jua usaha atau aktiviti yang berkaitan dengannya, termasuk orang yang memerahnya, orang yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang minta dihantarinya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang minta dibelikannya.

Hadith Nabi SAW yang bermaksud, Diriwayatkan dari Anas bin Malik berkata, “Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya.”  (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah )

 

 

Perempuan memakai piercing (bertindik)

Soalan :

Apakah hukum perempuan memakai piercing? Mohon pencerahan

Jawapan :

Hukum bertindik telinga bagi perempuan adalah harus kerana ia merupakan satu perhiasan wanita dan perlu dibatasi.

  1. Tidak boleh menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram.
  2. Tidak bertindik seperti di perut, pusat, lidah kerana menyerupai orang kafir, fasik atau ahli maksiat dan juga merbahaya dari segi kesihatan.Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Lelaki dan wanita Islam adalah ditegah menampilkan diri dengan penampilan yang bertentangan dengan sifat-sifat semulajadi mereka;
  2. Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu;
  3. Perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

 

 

Makan daging haiwan klon

Soalan:

Apakah hukum makan daging haiwan yang diklon menggunakan teknik terkini?

Jawapan:

Klon haiwan bertujuan untuk meningkatkan dan menjaga kualiti ternakan adalah harus dengan syarat tidak memudaratkan binatang tersebut. Oleh itu harus makan daging haiwan yang diklon.

Kutipan derma ketika khutbah Jumaat

Soalan:

Kutipan derma masjid melalui tabung bergerak semasa khutbah Jumaat disampaikan

Jawapan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri, Negeri Sembilan Bil. 6/2017-1438H pada 24 Ogos2017/2 Zu al-Hijjah 1438H bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, bersetuju dan berpandangan bahawa memungut derma ketika imam sedang membaca khutbah adalah makruh, qias kepada hukum berkata-kata pada masa imam membaca khutbah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tangguh solat jemaah kerana kelas

Soalan :

  1. Apa hukum sekiranya sedang berlangsung solat berjemaah di surau tetapi pembelajaran di kelas-kelas masih berjalan seperti biasa, maksudnya ada jemaah yang solat berjemaah dulu dan masa yang sama ada juga kelas berjalan ketika laksanakan solat itu? Tetapi pelajar-pelajar tersebut akan mendirikan solat jemaah selepas selesai sesi pembelajaran mereka.
  2. Apa hukum melewatkan dan menangguhkan solat berjemaah dahulu kerana ingin meneruskan pembelajaran di kelas?

Jawapan:

Hukum solat berjemaah selain solat Jumaat adalah fardhu kifayah. Menangguhkan solat sama ada berjemaah atau bersendirian kerana pembelajaran dibolehkan dengan syarat tidak luput dari waktu solat fardhu yang telah ditetapkan.

 

Ayam ternakan makan di rumah jiran

Soalan:

Anak saya ada membeli dan memelihara ayam sebanyak 8 ekor. Tetapi reban ayamnya telah rosak. Dia telah melepas kesemua ayamnya. Ayamnya telah berkeliaran ke rumah jiran dan mencari makanan di rumah jiran. Jiran itu telah menangkap ayamnya serta memelihara ayam itu dengan memberi makan.

Apabila anak saya pergi menuntut ayamnya kembali jiran itu tidak memberinya dengan alasan mereka telah memelihara dan memberi makan ayam itu. Walaupun ingin diberi bayaran ke atas mereka tetap juga mereka tak mahu serah. Jadi apakah hukum pada anak saya dan jiran itu.

Jawapan:

Pada asalnya hukum memakan harta orang lain tanpa izin adalah dilarang.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

Jangan lah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah.

Bagi haiwan, tidak mampu berfikir seperti manusia dan tidak menghiraukan dari mana sumber makanannya. Oleh itu tuan punya haiwan yang bertanggungjawab memastikan sumber makanan haiwan tersebut dan tidak dibiarkan bebas makan di kawasan larangan, kalau sudah makan, berbincanglah dengan jiran supaya diselesaikan dengan mudah. Tindakan melepaskan ayam bebas merayau adalah tidak harus kerana ayam telah makan di rumah jiran tanpa izin. Maka daging ayam atau hasil jualannya adalah tidak harus dimakan.

Jiran tetap tidak boleh bela dan makan daging ayam tersebut tanpa izin tuannya. Kerana perbuatan itu juga termasuk dalam memakan harta orang lain secara tidak benar. Jiran sepatutnya menghalau ayam itu ke rumah tuannya dan tidak berhak makan daging ayam dan mengambil manfaat seperti menyembelih atau menjualnya.

Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud, Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Namun diantara keduanya ada perkara syubhat (samar) yang tidak diketahui oleh banyak orang. Maka barangsiapa yang menjauhi diri dari yang syubhat berarti telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang sampai jatuh (mengerjakan) pada perkara-perkara syubhat, sungguh dia seperti seorang penggembala yang menggembalakan ternaknya di pinggir jurang yang dikhawatirkan akan jatuh ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki batasan, dan ketahuilah bahwa batasan larangan Allah di bumi-Nya adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Dan ketahuilah pada setiap tubuh ada segumpal darah yang apabila baik maka baiklah tubuh tersebut dan apabila rusak maka rusaklah tubuh tersebut. Ketahuilah, ia adalah hati”.