Bacaan al-fatihah dalam solat

Soalan:

Saya ingin bertanya, jika saya membaca surah al-fatihah dengan kaedah bacaan saktah, sedangkan fatihah adalah salah satu rukun qauli dan perlu dibaca dengan tajwid yang tepat, dan perlu di baca dengan waqaf. maksud kaedah bacaan saktah ialah saya membaca surah fatihah itu dengan berhenti seperti biasa akan tetapi semasa saya berhenti, saya tidak mengambil nafas baru. saya berhenti tetapi terus sambung ayat seterusnya tanpa mengambil nafas baru, sama seperti bacaan saktah ,sedangkan dalam qiraat kita, saktah hanya ada di 4 tempat sahaja di dalam al quran..jadi, secara tidak sedar, bacaan fatihah saya telah rosak dari segi tajwid, adakah solat saya batal?

 

Jawapan:

Solat yang dikerjakan adalah sah kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan “Lahn Khafi” yang tidak membatalkan solat. Namun, adalah dituntut untuk memperbaiki bacaan al-Fatihah di masa akan datang.

Bayar zakat fitrah anak angkat

Soalan:

Saya ada satu pertanyaan: Anak angkat yang dipelihara sejak lahir, siapa yang wajib membayar zakat fitrahnya, ayah kandung atau ayah angkat?

 

Jawapan:

Zakat fitrah itu wajib pada diri seseorang dan tanggungan di bawahnya. Orang yang menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya.

Cerai taklik

Soalan:

Saya pernah mengadu pada suami tentang saya sering teringatkatkan kisah silam bersama lelaki lain. Saya pernah berkata padanya ‘saya takut awak akan ceraikan saya.. Beliau membalas nak ke? Saya jawab tak nak. Kemudian beliau membalas jika tak nak, janganlah buat lagi. Adakah jatuh talak sekiranya saya mengingati kisah silam tersebut? Sebab saya kurang pasti apa yang dimaksudkan perkara ‘jangan buat lagi’. Saya risau dan perkara ini sering bermain di pikiran saya. Kerana saya pernah mengingati kisah silam bersama lelaki tersebut selepas kejadian itu. Adakah situasi ini dikira sebagai cerai taklik?

 

Jawapan:

Lafaz talak tersebut tidak dianggap sebagai cerai taklik yang lengkap yang bergantung kepada sayaarat yang ditetapkan oleh suami. Walau bagaimanapun keputusan muktamad hanya dapat diperolehi selepaskes ini dibicarakan di Mahkamah Sayaariah berdekatan bagi memastikan adakah benar pihak suami bermaksud sedemikian. Selain itu, apa yang bermain di fikiran adalah sesuatu yang subjektif dan sukar untuk dihindarkan sama sekali.

Cat masih terdapat pada kuku

Soalan:

Saya mengambil kursus “mengecat” di Giat Mara. Di sana saya kerap buat aktiviti-aktiviti yang menggunakan cat. Seperti mengecat kereta, kemudian menggossok cat tersebut, seterusnya cat semula dan proses ini dibuat berulang-ulang kali.

Persoalan saya ustaz, semasa melakukan aktiviti tersebut akan ada cat yang melekat pada kawasan celah-celah kuku dan ada yang memang melekat para kuku. Saya cuba membersihkan cat yang melekat dikawasan tangan saya itu menggunakan “thinner” tetapi kotoran itu masih lagi tidak hilang.

Adakah saya perlu qadha semula solat saya yang saya buat sebelum ni setelah kotoran cat  tu hilang 100 peratus?

 

Jawapan:

Jika sememangnya ketika berwudhuk sudah terdapat liquid/cat di mana sifatnya boleh menghalang air daripada sampai ke kulit, maka tidak sah wudhuk, dan perlu dihilangkan dahulu kemudian berwudhuk.

Akan tetapi dimaafkan (terdapat sedikit kesan cat dan sukar hendak dihilangkan) kepada orang bekerja sebagai pengecat. Maka solat tersebut, tidak perlu diganti (qada’) atas sebab yang telah dinyatakan di atas.

Najis anjing

Soalan:

Anjing sering melalui kawasan kaki lima rumah saya, adakah saya perlu sertu @ samak di kawasan tersebut? Ini kerana kadangkala anak-anak keluar rumah tanpa kasut.

Jawapan:

Majoriti ulama’ sepakat bahawa anjing ialah najis dan dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain. Namun begitu, jika tuan tidak yakin (syak) sama ada anak-anak tuan terpijak najis atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan anjing tersebut, maka hendaklah diabaikan syak wasangka tersebut tanpa perlu menyertu atau menyamak.

Daripada Hassan bin Ali RA, Rasulullah s.a.w bersabda,

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu, kepada yang tidak meragukan kamu. Maka sesungguhnya perkara yang benar itu mendatangkan ketenangan dan sesungguhnya perkara yang dusta itu mendatangkan keraguan. 

 

Kaedah yang bertepatan dengan syak menyebut:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: Hukum tidak akan terbina keatas perkara syak

Pembedahan bariatric

Soalan:

Assalammualaikum, adakah salah bagi seseorang yang gemuk sehingga mencecah 150kg untuk melakukan operation buang perut (bariatric surgery) setelah gagal utk mengawal makan dan risau diri bertambah gemuk dan sakit pada masa akan datang.

 

Jawapan:

Sekiranya bariatric surgery’ ataupun ‘liposuction’ bertujuan untuk mengurangkan risiko penyakit dan demi mencapai maqasid menjaga nyawa (حفظ النفس   ) maka ulama memutuskan hukumnya adalah harus manakala boleh berubah menjadi haram sekiranya bertujuan untuk bermegah-megah dan mengubah ciptaan Allah yang telah sedia elok pada asalnya.

Liposuction (sedut lemak) bertujuan untuk mengurangkan risiko penyakit dalam badan dan bukan untuk mengubah ciptaan Allah.

Dari segi maqasidnya untuk menjaga nyawa  (حفظ النفس   ).

Telah sampai peringkat dhorurah untuk melakukan pembedahan setelah segala usaha yang lain telah dibuat.

Wakaf tanah adat

Soalan:

Apakah hukum mewakafkan tanah adat kepada MAINS (organisasi) atau individu?

Telah maklumkan kepada penasihat undang-undang negeri dan minta rujuk hukum di Pejabat Mufti.

 

Jawapan:

Tanah Adat merupakan wakaf zurri (keturunan) iaitu milik bersama sedangkan syarat harta yang diwakafkan mestilah milik sempurna si pewakaf. Oleh itu si pewakaf perlulah mendapat persetujuan semua ahli waris dan Datuk Lembaga adatnya sebelum diwakafkan tanah adat tersebut.

Namakan anak dengan nama malaikat

Soalan:

Bolehkah anak yang bakal lahir diberi nama malaikat seperti mikail?

 

Jawapan:

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

 

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu.”

Sunat diberikan nama yang baik kepada bayi pada hari kelahirannya atau pada hari ketujuh kelahirannya walaupun ditakdirkan ia meninggal dunia sebelum hari ketujuh kelahirannya. Oleh itu, makruh memberikan nama yang tidak elok kepada bayi tersebut.

Harus memberi nama anak dengan nama para malaikat.

 

Mengambil makanan yang tidak dituntut pelanggan

Soalan:

Assalamualaikum..anak saya bekerja sebagai penghantar makanan, kadangkala customer tidak mengambil makanan dan anak saya memberitahu pegawai yang bertugas dan pegawai tersebut memberitahu anak saya boleh membuat apa saja kepada makanan tersebut dan anak saya membawa makanan tersebut balik untuk dimakan sekeluarga..adakah makanan tersebut halal @ haram dimakan..? terima kasih..

Jawapan:

Tiada halangan untuk mengambil makanan tersebut dan halal dimakan jika pihak pengurusan telah memberi kebenaran, kerana dikhuatiri membazir dan makanan menjadi rosak. Pastikan juga makanan tersebut daripada sumber yang halal.

Wasiat/hibah/faraid

Soalan:

  1. Saya kurang faham berkenaan dengan wasiat, di mana wasiat adalah pemberian harta simati kepada bukan waris…mohon jelaskan tuan.
  2. Saya mempunyai seorang anak perempuan dan saya berwasiat untuk menghibahkan rumah milik saya kepada anak saya, apakah tindakan ini perlu mengikut hukum faraid.
  3. Saya juga turut berwasiat mengagihkan harta alih kepada isteri dan anak perempuan saya..adakah akan berlaku tuntutan mengikut hukum faraid. Ini kerana saya mempunyai saudara kandung lelaki.

 

Jawapan:

Sebelum menjawab persoalan eloklah difahami perbezaan ketiga-tiga istilah tersebut.

  1. Wasiat adalah iqrar, seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati. Wasiat digunakan untuk pembahagian harta kepada bukan waris dan terhad kepada 1/3 daripada harta pusaka.
  2. Faraid adalah pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui surah An-Nisa (4), ayat 11, 12 dan 176. Faraid pula, pembahagiannya khusus untuk waris sahaja.
  3. Hibah adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Soalan 1:

Saya kurang faham berkenaan dengan wasiat, di mana wasiat adalah pemberian harta simati kepada bukan waris…mohon jelaskan tuan.

Jawapan 1:

Wasiat adalah iqrar, seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.

Bukan waris bermaksud golongan yang tidak mempunyai hak mewarisi harta pusaka menurut Hukum Syarak (bukan dalam senarai penerima faraid); kadar yang dibenarkan untuk wasiat tidak melebihi 1/3 daripada hartanya. Wasiat yang dibuat oleh seseorang hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat

 

Soalan 2:

Saya mempunyai seorang anak perempuan dan saya berwasiat untuk menghibahkan rumah milik saya kepada anak saya, apakah tindakan ini perlu mengikut hukum faraid.

Jawapan 2:

Hibah dan wasiat adalah 2 perkara berbeza, hibah adalah satu pemberian milik secara sukarela semasa hidup pemilik harta kepada seseorang tanpa balasan. Wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat.

Harus bagi tuan menghibahkan rumah tersebut kepada anak perempuan dan hibah itu sah jika pemilikan dilakukan semasa tuan masih hidup dan dalam keadaan sihat.

 

Soalan 3:

Saya juga turut berwasiat mengagihkan harta alih kepada isteri dan anak perempuan saya..adakah akan berlaku tuntutan mengikut hukum faraid. Ini kerana saya mempunyai saudara kandung lelaki.

Jawapan 3:

Niat atau perbuatan mengelak daripada melaksanakan faraid dalam pembahagian harta pusaka dengan melakukan helah tertentu seperti menghibahkan keseluruhan harta semasa hidup kepada waris tertentu merupakan perbuatan yang dibenci oleh Islam. Tidak harus berwasiat kepada waris kecuali dengan persetujuan waris yang lain.