Pakaian sukan tight untuk melancarkan perjalanan darah

Soalan:

Saya mempunyai satu persoaalan agama dan memohon pandangan Ustaz dari sudut agama islam. Saya dan rakan perniagaan saya dalam proses awalan untuk mengeluarkan satu produk pakaian sukan iaitu compression pant atau seluar tight panjang. Produk ini adalah untuk membantu meningkatkan performance atlet dan pemakai ketika bersukan dan juga untuk digunakan bagi membantu proses recovery atau pemulihan selepas bersukan. Target market produk ini adalah untuk lelaki dan perempuan dewasa. Tetapi menjadi kemusykilan kami, kami terbaca tentang etika pemakaian bagi muslimin dan muslimat yang patuh syariah. Oleh kerana produk yang kami ingin keluarkan ini apabila dipakai ianya perlu ketat bagi membantu peredaran darah ketika bersukan dan pemulihan dari sudut sains sukan, kami fikir ianya menyentuh etika pemakaian bagi muslimin dan muslimat dan ianya menjadi syubhah. kerana kami fikir jika kami meneruskan proses pengeluaran produk ini kami akan dapat saham-saham buruk di akhirat dan rezeki yang kami cari ini juga terkesan. Justeru itu, kami amat memerlukan pandangan dari Ustaz yang arif dalam hal-hal berkaitan ini sebelum kami fikir untuk berhenti atau kami boleh meneruskan rancangan kami ini.

 

Jawapan:

Menurut pandangan Islam fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat, melindungi pemakai dari panas atau sejuk dan untuk meningkatkan imej penampilan.

Sehubungan itu ada beberpa prasyarat yang perlu dipatuhi dalam berpakaian seperti tidak jarang atau tipis, tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh , tidak menyerupai jantina yang berbeza dan sebagainya.

Oleh itu sekiranya fungsi compression pant atau seluar tight panjang itu boleh melancarkan darah maka bolehlah dipakai di sebelah dalam sama ada pihak lelaki atau wanita.

Belajar ilmu kewangan konvensional

Soalan:

Saya seorang pelajar ijazah sarjana muda bidang kewangan konvesional di UUM. Apakah saya dikira berdosa sepanjang pembelajaran saya di universiti kerana mempelajari ilmu kewangan konvesional?

 

Jawapan:

Orang Islam dituntut mempelbagai pelbagai ilmu dalam menempuh kehudupan di dunia. Firman Allah di dalam surah al-Mujadalah Ayat 11:

Yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”

Bahkan, kaedah yang ditetapkan oleh para fuqaha’

الاصل فى الاشياء الاباحة

Asal sesuatu perkara adalah harus.

Justeru tidak berdosa mempelajari ilmu kewangan konvensional

Hukum qaza’

Soalan:

Saya nak dapatkan keterangan tentang qaza’. Adakah mencukur anak rambut dan membuat perapian seperti mencukur lebihan rambut pada sekeliling telinga di tepi dan bahagian tengkuk dikira sebagai qaza’ dan dilarang.

 

Jawapan:

Menurut jumhur ulama hukum mencukur sebahagian kepala dan membiarkan bahagian yang lain adalah ‘makruh tanzih’ kecuali bagi rujukan perubatan (berbekam dan lain-lain).

Larangan ini termasuk ke atas lelaki dan wanita kerana memburukkan ciptaan Allah, melambangkan kebodohan dan menyerupai fesyen agama Yahudi sebagaimana hadis Ibn Umar r.a yang bermaksud,

“Rasulullah melarang melakukan al qaza”

 

 

 

Memancing di kolam berbayar

Soalan:

Apa hukum memancing kolam berbayar, ada yang mengatakan haram?.

 

Jawapan:

Menurut pendapat ulama’, hukumnya adalah harus memancing di kolam yang berbayar kerana menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Namun begitu ia boleh menjadi haram sekiranya diadakan pertandingan yang menawarkan hadiah hasil dari kutipan daripada pemancing kerana ianya dianggap unsur perjudian ( القمار ).

Menggugurkan kandungan

Soalan:

Saya ingin bertanya mengenai hukum mengugurkan janin 5 minggu hasil daripada terlanjur. adakah ia jatuh kepada hukum haram ? apakah kedudukan dosa kepada si pelaku walaupun dia telah bertaubat? sebagai contoh dia mengugurkan janin berkenaan kerana risau dan takut mengenai akan memudaratkan diri sehingga menyebabkan tertekan yang mendorong kepada bunuh diri , menjaga aib keluarga atau sebagainya?

Jawapan:

 5 MINGGU X 7 HARI = 35 HARI

Ulama’ telah berselisih pendapat berkenaan menggugurkan kandungan 4 bulan atau sebelum 4 bulan kerana kandungan tesebut telah ditiupkan roh. Walaubagaimanapun, majoriti ulama’ mengatakan menggugurkan kandungan adalah haram manakala sebahagian yang lain adalah makruh.

 

Peringkat dan hukum pengguguran janin.

  1. Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang berusia lebih daripada 120 hari kerana penggugurannya dianggap sebagai jenayah kerana membunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu boleh menyelamatkan nyawa si ibu atau kecacatan yang teruk.
  2. Makruh menggugurkan janin yang berusia 1 hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada si ibu dan mendapat persetujuan suami dan isteri.
  3. Menurut Ijmak Fuqaha’, harus menggugurkan janin yang berusia kurang daripada 120 hari sekiranya janin itu catat dan berpenyakit yang boleh memberi kesan yang buruk kepada si ibu.

Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Hal Ehwal Agama Islam Kali ke – 26 mengambil keputusan bahawa haram menggugurkan janin dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Berkenaan isu kedudukan dosa walaupun sudah bertaubat itu adalah merupakan urusan Allah. Sebagai hamba kita mestilah betul-betul menyesal dengan perbuatan yang telah dilakukan dan berazam agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Imam al-Nawawi mengulas hadith bahawa terhapusnya dosa pelaku dosa besar dengan taubat dan diijmakkan oleh para ulama’.

(Rujuk al Minhaj fi Syarhi Sahih Muslim 6/117)

Selain itu, sabda Nabi s.a.w,

التائب من الذنب كمن لا ذنب له

Maksudnya: Orang yang benar-benar bertaubat daripadaz dosa seperti mereka yang tiada dosa.

(Riwayah Ibnu Majah 4250)

 

 

Firasat

Soalan:

Saya ingin mendapatkan pencerahan berkaitan firasat. Saya dan pasangan ingin mendirikan rumah tangga, namun telah mendapat tentangn keras dari ibu pasangan, ibunya adalah pengikut tarikat dan menurutnya, beliau telah berjanji taat dan akur dengan nasihat guru mursyid beliau dan antara nasihat guru ialah tidak membenarkan kami berkahwin.

Menurut guru, berdasarkan firasat beliau dan melalui gambar, nama saya, nama kedua ibu bapa & tarikh lahir, kami dipercayai tidak bersesuaian dan akan membawa kepada penceraian jika kami masih meneruskan hajat kami.

Saya seorang muslim, menutup aurat, berkerjaya, dari keluarga yang baik, dan sepanjang proses berkenalan, kami percaya yang kami melengkapi antara satu sama lain. Sedangkan agama sudah menggariskan panduan dlm memilih jodoh, akan tetapi mengapa masih wujud golongan yang masih meminta minta firasat dar orang yg dianggap “mursyid’ dan menyukarkan lagi urusan mendirikan masjid untuk kami.

Saya berharap Dr/Ustaz dapat membantu saya mendapatkan jawapan bag kekeliruan saya ini. Saya yakin firasat dr org org alim itu wujud, tapi perlukah ia sampai ke tahap menghalang sebuah pernikahan? Saya juga mohon nasihat dari Dr jika kami masih mahu mendirikan rumah tangga, Bagaimana kami perlu menghadapi ketaksuban si ibu kepada guru & bagaimana kami boleh menjelaskan kepada guru beliau agar guru membenarkan kami meneruskan hajat kami.

 

Jawapan:

Didalam Islam, setiap perkataan adalah boleh diterima dan boleh juga diterima melainkan Sabda Baginda SAW. Imam Malik bin Anas (mazhab Maliki/guru imam As-Syafie) pernah memgatakan

“Tiap-tiap orang boleh diambil perkataannya dan ditolak melainkan perkataan yang mempunyai kubur ini (sambil beliau menunjuk ke arah makam Nabi s.a.w).”

Didalam Islam, sunnah memilih wanita adalah berdasarkan Sabda Nabi SAW Rasulullah SAW bersabda “Wanita itu dinikahi kerana empat faktor iaitu agama keturunan, harta dan kecantikannya. Pilihlah wanita yang baik agamanya. Jika tidak, nescaya engkau akan menjadi orang yang rugi” (HR Bukhari dan Muslim).

Seseorang guru mursyid mestilah menurut Sunnah Rasulullah dalam mengeluarkan pendapat atau pandangan lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa depan seseorang iaitu perkahwinan.

Firasat orang beriman disebut al-Mutawasimin seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan Hadis. Firman Allah SWT :

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لاءَايَٰتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ

Sesungguhnyapada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda. Surah al-Hijr ayat 75

Abū al-Fidāʾ Ismāʿ īl ibn ʿ Umar ibn Kathīr (1303-1373) dalam kitabnya Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓ īm menyebutkan bahawa makna al-Mutawasimīn sebagaimana yang dinukilkan daripada Mujāhid ialah al-mutafarrisīn (orang-orang yang memiliki firasat). Sebahagian penduduk Madinah pula memahami makna al-Mutawasimīn dengan al-Muta’ammilīn (orang yang memperhatikan). Daripada Anas ibn Mālik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (Ibn Kathīr 2002, 4: 543):

“اتقوا فراسة المؤمن؛ فإنه ينظر بنور الله”، ثم قرأ: {إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ}

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah SWT itu memiliki hamba-hamba yang mengetahui manusia melalui firasat.Hamba-hamba yang dimaksudkan di sini ialah orang soleh yang mana di dalam hatinya tidak pernah kosong dari mengingati Allah SWT dan terhindar dari perkara-perkara yang boleh menjerumuskan ke arah kemaksiatan kepada Tuhannya.

Oleh itu sebarang saranan atau firasat dari org mu’min mestilah menepati syarat yang utama iaitu ia seorang yang bertaqwa dan memahami al-Quran dan  Sunnah Rasulullah SAW.

Mewarnakan rambut

Soalan:

Dikatakan harus mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami. Jika warnakan rambut dengan warna selain hitam hukumnya tetap sama atau tidak?

 

Jawapan:

Sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna lain, sama ada kuning atau merah.

(Fiqh Manhaji Jilid 3:347)

Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu dan menepati tiga syarat iaitu:-

(1)        boleh menyerap air, supaya wudhuk dan mandi wajib menjadi sah

(2)        tidak mengandungi bahan yang memudaratkan kulit; seperti kanser, kekeringan rambut, allergi  dan sebagainya

(3)        dibuat daripada bahan yang tidak bercampur dengan najis dan daripada bahan yang suci dan halal

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi wajib atau wuduk. Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi wajib dan wuduk berkenaan tidak sah.

 

 

Fatwa untuk rujukan:

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

 

JADUAL/SCHEDULE

  1. Sunat 

Mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain daripada warna hitam

  1. Harus

(a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad

(b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

  1. Makruh

(a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh

(b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

  1. Haram

(a)  Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b)

(b)  Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

 

warna telekung, menegur ibubapa

 

Saya Wahizan binti Saharom ingin bertanya

  1. Adakah salah memakai telekung selain warna putih dan adakah memakai telekung warna lain menyerupai agama lain?
  2. Adakah saya berdosa hanya kerana saya menjawab teguran ayah saya kerana saya hendak mempertahankan diri walaupun saya hanya bercakap setelah ayah saya habis berbicara dan saya berbicara dgn lembut?
  3. Bolehkah seorang anak menegur kesilapan ayahnya  walaupun ayahnya tidak suka anaknya menegur kerana ayahnya menyangka dirinya saja yang benar?

 

Jawapan:

  1. Syarat sah solat ialah menutup aurat dan suci. Selagi pakaian itu menutup aurat maka sahlah solat itu. Maka hendaklah dipenuhi kriteria yang dikatakan menutup aurat sebab ada yang menutup aurat tetapi tidak kena, sebab ketat atau jarang, tidak menarik perhatian orang memandang dan sebagainya.
  2. Menjawab teguran ibubapa untuk menjelaskan keadaan sebenar dan secara lemah lembut dan berhikmah tidaklah menjadi kesalahan.
  3. Jika saudari tidak mampu untuk menegur bapa gunakan orang tengah atau orang lain yang rapat dengannya, seperti saudaranya yang dipercayai, ayah (tok wan) dan ibu (nenek) mereka, sahabat mereka dan sesiapa sahaja yang rapat dengan mereka. Selalunya mereka akan mudah menerima teguran dari orang yang dipercayai atau dihormati oleh mereka. Malah mereka akan akur dengan segala teguran orang tersebut.

Anak tidak boleh mengecilkan hati kedua ibu bapanya. Ada juga ibu bapa yang langsung tidak boleh terima teguran anak, sahabat, saudaranya, teman-temannya dan sesiapa sahaja. Ini sangat susah dan perlu mempunyai strategi yang baik menurut kemampuan anak tersebut. Selalunya teguran dari anak akan kesalahan ibu bapa tersebut, mereka akan mengatakan bahawa anak tersebut derhaka dan masuk ke neraka. Anak tersebut tidak berdosa dan tidak derhaka dan cuma menjalankan kewajipan sebagai seorang anak yang soleh dan solehah.

Anak boleh menegur dengan cara yang baik dan berhikmah supaya anak tersebut dapat memelihara ibu bapanya dari seksaan api neraka Allah. Jangan takut kepada segala kesulitan yang akan dihadapi, takutlah kepada Allah yang sentiasa memerhatikan perbuatan dan percakapan kita. Jadi seorang anak yang soleh dan solehah dan sentiasa mendoakan kebaikkan kepada kedua ibu bapanya.

 

Khidmat doula

Soalan :

Apakah hukum bersalin dengan hanya dihadiri doula kerana ingin bersalin secara natural tanpa dihadiri doktor dari segi maqasid shariah?

 

Jawapan:

Doula pada kebiasaannya adalah ‘wanita yang tiada latihan perbidanan yang formal, diambil bekerja untuk memberi panduan dan sokongan kepada wanita semasa proses kelahiran’. Fungsi mereka hanya untuk memberi sokongan emosi, pendidikan serta fizikal sebelum, semasa dan selepas bersalin. Mereka juga tidak bertauliah merawat atau mengendalikan sebarang kecemasan berkaitan proses kelahiran.

Perkhidmatan doula yang tidak terlatih tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan terlatih. Kelahiran bayi itu disambut oleh individu yang bukan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.

Antara contoh kes apabila kelahiran di rumah, bertemankan doula (peneman bersalin) dan menolak nasihat doktor untuk bersalin di hospital, kematian kerana bayi songsang, kematian ibu akibat tumpah darah setelah uri dibiarkan di dalam rahim selama beberapa jam, tali pusat melilit leher bayi hingga sukar bernafas dan memerlukan alat bantu pernafasan, ada kes kelahiran memakan masa terlalu lama sehingga bayi terpaksa dikeluarkan secara pembedahan yang semua kes terbabit hanya boleh dikendalikan di hospital.

Melahirkan anak adalah satu proses berisiko tinggi jika dilakukan di rumah kerana perkara paling utama ketika kelahiran adalah memastikan ibu dan bayi selamat. Menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah.

Hadith Rasulullah SAW bersabda: ‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.

Hukum menggunakan perkhidmatan doula tidak terlatih adalah haram disisi Islam, kerana boleh membahayakan nyawa. Untuk melindungi nyawa, adalah menjadi wajib untuk kita memilih kaedah lebih baik. Perubatan moden bertujuan mengurangkan risiko sebegini, bukannya berniat menyusahkan ibu-ibu.

Duit nombor ekor

Soalan:

Apakah hukum seseorang ni dia main nombor ekor, dan menang duit tu dia buat untuk baiki kereta. Lepas tu dengan menggunakan kereta tersebut dia membeli makanan, dan makanan tu dia guna duit halal. Apakah hukum memakan makanan tersebut. Adakah halal atau sebaliknya.

 

Jawapan:

Persoalan ini adalah berkaitan 2 sumber kewangan, sumber wang halal dan sumber wang haram.

Bermain nombor ekor adalah salah satu bentuk perjudian. Ianya haram disisi agama.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maa’idah : ayat 90)

Wang daripada sumber haram jika digunakan untuk apa sahaja tujuan, tetap haram. Duit haram itu adalah haram digunakan dan untuk dimanfaatkannya, membaiki kereta  dengan duit haram itu bermakna, telah memanfaatkan dan menggunakan duit haram.

Manakala makanan yang dibeli dengan sumber duit yang halal adalah halal untuk dimakan.

Kedua-dua sumber wang yang dinyatakan telah jelas; wang judi itu haram maka haram untuk digunakan, wang halal itu halal untuk digunakan dan dimanfaatkan.

Berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilakukan kerana perkara yang haram akan tetap menjadi haram, walaupun matlamatnya adalah untuk kebaikkan. Matlamat tidak menghalalkan cara.