Suami sebagai pengurus rumahtangga

Soalan:

Apa pendapat tentang sura rumah (lelaki atau suami yang tidak bekerja, isteri bekerja) dibenarkan di Malaysia, adakah dibenarkan ataupun tidak?

Jawapan:

Jika hal ini telah dipersetujui bersama antara suami isteri dan masing-masing rela dengan keadaan tersebut Islam tiada halangan. Bagaimanapun juga, kedudukan suami tetap lebih tinggi sebagai ketua keluarga dan isteri berkewajipan mentaatinya.

Hukum nafkah adalah wajib ke atas suami untuk isterinya mengikut kemampuan seseorang suami.

Surah al-Fatihah diletakkan di awal al-quran

Soalan:

Kita sudah maklum dan mengetahui bahawa ayat pertama diturunkan adalah surah al-Alaq.  Persoalannya disini, mengapa surah tersebut tidak diletak di permulaan al-quran memandangkan surah tersebut yang pertama diturunkan, mengapa surah al-Fatihah dan al-Baqarah diletakkan di awal al-quran?

Jawapan:

Penurunan al-Quran adalah berperingkat-peringkat selama 23 tahun mengikut zuruf, peristiwa, menerangkan hukum dan menjawab persoalan tertentu.

Penyusunan ayat al-Quran mengikut surah adalah perkara Taufiqiy, petunjuk Allah melalui Jibril as bila mana Nabi saw bertadarrus al-Quran dengan Jibril as sekali setiap tahun, kecuali pada akhir hayat Baginda dilakukan 2 kali. Oleh itu, susunan yang diajar oleh Jibril as ini telah disampaikan kepada Sahabat Nabi saw yang menulis al-Quran dan penghafal-penghafal al-Quran.

Giliran dalam poligami

Soalan:

Apa hukum jika suami tak balik rumah isteri kedua tapi atas keinginan dan kerelaan hati isteri kedua tersebut sendiri kerana nikah tanpa pengetahuan isteri pertama. Tapi suami tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab dan memberi nafkah zahir dan batin.

Jawapan:

Keadilan yang diwajibkan kepada lelaki yang berpoligami ialah keadilan dan persamaan nafaqah, tempat tinggal, giliran bermalam, pergaulan yang baik dan menunaikan kewajipan yang lain terhadap isteri.

Tidak menjadi kesalahan kepada suami jika isteri kedua redha menggugurkan haknya dan dengan rela hati suami tidak balik ke rumahnya.

 

 

 

 

Fidyah puasa

Soalan:

Arwah bapa saya seorang yang tidak begitu menjaga ibadah puasa sepanjang hidupnya. Beliau bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh getah di mana beliau kerap memberikan alasan ada kelonggaran dalam agama di mana boleh berbuka jika melakukan kerja berat seperti bertukang.

Kebiasaan tidak berpuasa menggunakan alasan ini diteruskannya biarpun semasa beliau telah lama meninggalkan kerja bertukang. Ini kerana beliau seorang perokok tegar dan tidak boleh meninggalkan tabiat merokoknya.

Ada tahun-tahun tertentu beliau meninggalkan terus sebulan puasa kerana kerja berat bertukang (tidak pernah qadha puasa) dan ada juga tahun-tahun di mana beliau berpuasa lebih kurang 7 hari sahaja, selebihnya tidak berpuasa.

Beliau lahir pada 27 Mei 1956 berkahwin dengan ibu saya pada tahun 1980 dan meninggal dunia pada Mac 2019 (sebelum Ramadhan). Sama ada beliau berpuasa sebelum perkahwinannya tidaklah diketahui.

 

Soalan 1:

Apakah pandangan ulama dan hukum agama dalam isu ini. Adakah perlu dibayar fidyah ke atasnya bermula tahun perkahwinannya dengan ibu saya atau dikira dari jangkaan umur akil balighnya (katakanlah 15 tahun)

Jawapan 1:

  1. Sekiranya si mati tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya, maka dikira bilangan hari puasanya daripada umur baligh sehinggalah sebelum mati.
  2. Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan:
  3. i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati. Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati.
  4. ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati.

Puasa boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun sekiranya tidak diganti oleh waris si mati, maka Wajib diambil dari harta pusaka si mati, untuk membayar Fidyah tersebut.

Soalan 2:

Adakah jumlah tepat fidyah ini perlu diperolehi terlebih dahulu untuk tujuan Bicara Kuasa bagi agihan harta arwah

Jawapan 2:

Islam mengajarkan kita tiga perkara utama apabila ada kaum kerabat kita yang meninggal dunia:

  1. Menguruskan urusan pengebumian jenazah.
  2. Membayar hutang-hutang si mati, sama ada hutang dengan Allah seperti puasa, haji yang belum terlaksana, nazar yang belum dilaksana dan sebagainya. Selain itu, hutang dengan manusia seperti hutang duit atau mengembalikan amanah yang diletakkan di atas tanggungjawab si mati.
  3. Menyempurnakan wasiat dengan mengambil satu pertiga daripada hartanya.
  4. Membahagikan harta pusaka.

Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, bayarlah fidyah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.

Berkaitan dengan pengiraan fidyah puasa hendaklah dirujuk ke Pusat Zakat iaitu pihak yang bertanggungjawab berkaitan hal ini.

 

Membeli kain kafan dan papan gendeng kubur dan diberikan secara percuma kepada jenazah

Sebaik-baiknya pembiayaan pengurusan jenazah si mati adalah diambil daripada harta si mati itu sendiri. Pembiayaan pembelian kain kafan digunakan dari harta si mati, jika si mati tidak meninggalkan harta, maka pembelian ditanggung orang yang menanggug nafkahnya semasa hidup, jika yang menanggung nafkahnya tidak ada maka menjadi tanggungan muslim lainnya.

Jika dalam keadaan si mati dan warisnya tidak mempunyai wang atau sebarang harta untuk membeli kain kafan, pihak masjid boleh memberikannya secara percuma.

 

Wang lebihan dari mesin layan diri

Soalan :

Saya menguruskan mesen layan diri (vending mesen) menjual minuman, masalah saya mesin tu kadang-kadang mengalami kerosakan teknikal (tapi bukan selalu) dan menyebabkan mesin akan menelan duit dan pembeli tak dapat barang, dan ada kalanya mesin memulangkan duit baki kurang. Jadi soalan saya bagaimanakah cara untuk saya pulangkan duit tu sedangkan saya tak tau siapa dan berapa jumlahnya.

 

Jawapan :

Wang hasil jualan yang *lebih* daripada jumlah modal beserta keuntungannya adalah *harta syubhah* dan ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Namun jika diketahui kadar dan pemiliknya, ia hendaklah dipulangkan. Bagaimanapun, mesin minuman yang rosak tersebut hendaklah segera dibaiki atau diganti yang baharu supaya masalah yang sama tidak berulang.

 

Status kutipan derma masjid yang tidak dituntut

Soalan:

Perbadanan wakaf NS telah menerima tabung kutipan derma untuk pembinaan Masjid A daripada Restoran Z (tempoh kebenaran kutipan 11.3.2005-31.8.2005).

i.  Apakah status hasil kutipan tabung derma yang tidak dituntut itu?

ii. Ke manakah wajar ia disalurkan?

 

Jawapan:

Kutipan wang derma tersebut adalah bertujuan pembinaan Masjid A. Derma itu telah ditentukan untuk masjid yang tertentu, maka duit derma tersebut hendaklah diserahkan kepada masjid berkenaan. Duit tersebut akan dibelanjakan atau digunakan untuk segala urusan pembinaan dan pembangunan fizikal masjid seperti membina, membaik pulih, mengubahsuai untuk kepentingan dan manfaatnya.

Derma tersebut tidak dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat para penderma.

Zakat emas

Soalan:

Ibu saya sudah meninggal dunia 17 tahun lalu dan arwah ibu ada meninggalkan emas perhiasannya seberat 122.6 gram yang telah disimpan oleh ayah. Adakah perlu kami adik beradik mengeluarkan (membayar) zakat emas perhiasan tersebut. Bolehkah kami menjual emas ini dan kemudiannya duit hasil jualan itu ditolakkan dengan zakat emas. Selebihnya, baki kami faraidkan kepada adik beradik seramai 5 orang dan juga ayah (jadi jumlah adalah 6 orang waris si mati)?

 

Jawapan:

Emas perhiasan yang kurang daripada 200 gram tidak perlu dizakatkan. Terserah kepada waris untuk menguruskannya.

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati

Soalan :

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati?

 

Jawapan :

Firman Allah s.w.t:               وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (Nabi Muhammad s.a.w) tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”                          (Surah al-Isra’: 85)

Hakikat roh itu tidak dapat difikirkan oleh akal manusia bagaimana rupa bentuknya. Hanya Allah yang mengetahuinya.  Roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh. Manusia tidak boleh berhubung dengan roh orang yang telah meninggal dunia. Sekiranya ada yang mengatakan bahawa dia telah berhubung dengan roh yang telah mati, maka ia adalah satu kesesatan yang nyata, yang disangka roh itu sebenarnya jin dan syaitan yang akhirnya mampu memesongkan akidah (syirik) manusia.

Membina kepok di pusara tanah wakaf

Soalan:

Hukum membuat kepok di atas pusaradalam kawasan tanah yang diwakafkan?

Jawapan:

Hukum asal membuat kepungan atau binaan/kepok di atas pusara dalam kawasan tanah yang diwakafkan adalah haram manakala mengapur atau menulis sesuatu di atasnya adalah makruh. Bagaimanapun, hukum tersebut boleh berubah menjadi harus jika ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara pusara daripada hakisan air/struktur tanah yang lembut dan pencerobohan binatang liar, seperti dikorek binatang,atau takut dipijak orang,  namun jangan keterlaluan dengan binaan mewah yang terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah. Hanya dibina diperkarangan tanah kubur si mati. Tidak boleh ambil ruang yang sangat banyak kerana dikhuatiri menggangu tanah kubur lain.