Talak

Soalan:

Hukum menceraikan isteri ketika hamil adalah harus dan jatuh talak  

Jawapan:

  1. Hadith

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا

(Sahih Muslim 1471)

Yang bermaksud, Dari Ibnu Umar r.a bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab r.a menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Baginda pun berkata kepada Umar bin Khatthab r.a, Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar r.a) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.

Berdasarkan hadith di atas, terdapat dua hukum: (a) haram menjatuhkan talak sewaktu isteri sedang haid dan (b) harusnya talak sewaktu isteri sedang hamil.

 

  1. (i)  Firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 4

… وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ …

Yang bermaksud, …Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka …

    (ii)  Firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 6

… وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ  …

Yang bermaksud, … Dan jika mereka berkeadaan sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya …

Jika seorang perempuan itu diceraikan semasa hamil, maka masa iddah mereka adalah apabila mereka melahirkan anak. Maka kelahiran anak itu adalah penentu habisnya masa iddah, tidak kira sama ada masa itu sehari ataupun 8 bulan. Jadi bagi mereka, iddah boleh jadi panjang atau boleh jadi pendek. Isteri yang telah ditalak itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah sehinggalah dia bersalin.