Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum ustaz saya ada soalan berkaitan harta peninggalan arwah pakcik saya. Arwah bujang tidak berkahwin, tidak ada anak, ibu bapa arwah juga sudah meninggal dunia yg hidup hanya ada adik beradik. Arwah tinggal serumah bersama saya dan ibu bapa saya. Semasa hayatnya arwah pernah berniat untuk menghibahkan harta beliau kepada saya dan mengamanahkan saya untuk menguruskannya tetapi kerana sudah sampai ajal beliau tidak sempat membuat hibah tersebut.

Arwah juga berkata yg beliau tidak akan memberi harta beliau kepada saya atau sesiapa dalam keluarga melainkan harta itu digunakan untuk menambah amal ibadat beliau sendiri. Kata-kata ini keluar dari mulut arwah sendiri semasa hidup kepada saya bersaksikan ibu saya. Kerana tidak sempat membuat hibah harta arwah dibahagi kepada adik beradik mengikut sistem faraid. Soalan saya adakah harta arwah ini halal dimakan adik beradik untuk kegunaan seharian berdasarkan kata-kata yang dilafazkan oleh beliau semasa hidup. Sekian terima kasih.

 

Jawapan:

Selepas berlaku kematian dan sebelum harta pusaka dibahagikan, waris-waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta si mati.Hak-hak tersebut ialah perbelanjaan pengkebumian, pelunasan atau pembayaran hutang, pelaksanaan wasiat, tuntutan adat seperti harta sepencarian dan hak-hak waris. Kesemua hak ini perlulah diselesaikan mengikut turutannnya.

a) Perbelanjaan Pengkebumian atau Pengurusan Jenazah

Belanja pengkebumian atau pengurusan jenazah bermakna semua perbelanjaan yang dikeluarkan untuk segala urusan berkaitan pengkebumian jenazah yang diiktiraf oleh syarak iaitu meliputi urusan yang wajib sahaja, termasuklah pembelian peralatan kapan, keranda, upah memandikan mayat, upah menggali kubur, upah membawa mayat ke kubur sama ada dengan cara diusung atau dibawa dengan kereta jenazah dan sebagainya.

b) Pelunasan Hutang

Setelah urusan pengkebumian diselesaikan, maka hendaklah diselesaikan pula hutang si mati. Mengikut pendapat jumhur ulama, hutang-hutang Allah adalah berkaitan dengan apa yang ditinggalkan oleh si mati. Harta peninggalan tersebut tidak boleh dibahagikan kepada waris selagi mana hutang-hutang si mati tidak dijelaskan. Hutang tetap menjadi beban kepada orang yang berhutang sama ada semasa hidup atau sesudah dia meninggal dunia.

Hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati terbahagi kepada dua jenis iaitu :

  1. Hutang Allah s.w.t termasuklah zakat, kaffarah, nazar, haji fardu dan fidyah.
  2. Hutang sesama manusia.

c) Perlaksanaan wasiat

Wasiat merupakan pemberian wasiat adalah satu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada dalam bentuk benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas mati pewasiat.

Sehubungan dengan itu, segala wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hidupnya perlu dilaksanakan dengan kadar 1/3 dari baki harta pusaka setelah selesai perbelanjaan pengkebumian dan perlunasan hutang. Sekiranya wasiat itu kurang daripada 1/3, persetujuan waris tidak diperlukan tetapi jika ia melebihi 1/3 maka ia tidak boleh dilakukan kecuali mendapat persetujuan daripada waris-waris mengenai lebihan itu.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dapat disimpulkan bahawa pesanan arwah pakcik supaya hartanya digunakan untuk menambah amal ibadat termasuk di dalam wasiat dan wajib ditunaikan dan harta yang digunakan tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

Setelah selesai semua urusan di atas, barulah harta tersebut difaraidkan. Harta arwah ini halal dimakan adik beradik setelah dilakukan urusan-urusan yang tersebut di atas.

 

Wang peninggalan si mati

Soalan:

Ibu saya memberikan 6k kepada abang. 1K katanya untuk diberikan kepada cucu-cucunya. 5K untuk digunakan untuk kematiannya.  Sekarang ibu meninggal. Urusan kematian menggunakan duit khairat. Apa yg perlu dibuat dgn duit-duit tersebut? Faraid untuk waris atau bagaimana?

 

Jawapan:

Berikut adalah perbezaan antara wasiat, faraid, hibah

Wasiat adalah iqrar, pesanan atau arahan oleh pemilik harta secara lisan atau bertulis bagi menguruskan harta miliknya selepas dia mati. Wasiat digunakan untuk pembahagian harta kepada bukan waris dan terhad kepada 1/3 daripada harta pusaka

Faraid adalah pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui surah An-Nisa (4), ayat 11, 12 dan 176. Faraid pula, pembahagiannya khusus untuk waris sahaja,” katanya.

Hibah adalah pemberian kasih sayang oleh pemberi kepada sesiapa tanpa mengharapkan apa-apa balasan pada masa hidupnya.

Berhubung persoalan di atas, 1K hendaklah diberi kepada cucu-cucunya sebagaimana pesanan arwah ibu. Bagi 5K yang tidak digunakan, tuan perlu berbincang dengan waris lain untuk menguruskannya. Jika tidak mendapat kata sepakat antara waris, pembahagian dan pelaksanaan mesti mengikut sistem faraid.

 

 

 

Komisyen

Soalan:

Saya seorang broker yang mengambil keuntungan melalui komisyen penjualan rumah. Ada 2 cara mengambil untung

Pertama adalah dengan cara setiap satu rumah yang saya jual saya akan markup sebanyak 3% komisyen dengan persetujuan tuan rumah.

Kedua adalah dengan cara markup harga rumah jika RM 100,000 saya akan markup dalam RM 5000 dan saya akan jual dengan harga RM 105,000

Adakah kedua dua cara saya ini ada mengandungi riba. Dan bagaimana cara yang betul untuk saya praktikkan. Banyak saya sudah rujuk tapi jawapan kurang memuaskan.

Jawapan:

Pada dasarnya komisyen tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama antara tuan/pemilik harta yang hendak dijual dan wakil penjualnya (broker).

Contohnya tuan rumah berkata; ‘juallah rumah saya ini berapa saja harga yang kamu ingin jual, bayar kepada saya RM100,000 sahaja’, maka broker boleh menjual dengan harga melebihi dari yang diminta oleh tuan rumah dan yang lebih itu adalah miliknya. Mu’amalah cara ini dibolehkan oleh sebahagian ulamak, antaranya Ibnu ‘Abbas RA sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohehnya; berkata Ibnu ‘Abbas RA;

لاَ بَأْسَ أَنْ يَقُولَ: بِعْ هَذَا الثَّوْبَ، فَمَا زَادَ عَلَى كَذَا وَكَذَا، فَهُوَ لَكَ

“Tidak mengapa (yakni dibolehkan) untuk seorang berkata (kepada wakil/brokernya); ‘Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian sekian, maka ia adalah milik kamu'” (Bukhari).

Namun harus jika tidak melanggar Syariat, kerana itu dalam aktiviti orang tengah, bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut, tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;

a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.

b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.

c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama.

d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.

Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran.

Membuat pinjaman bagi menunaikan haji atau umrah

Soalan:

Terdapat beberapa buah koperasi menawarkan pinjaman bagi menunaikan ibadah Umrah. Apakah hukumnya membuat pinjaman ini?

 

Jawapan:

Harus membuat pinjaman koperasi bagi menunaikan ibadah Umrah.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2015-1436H yang bersidang pada 20 April 2015 bersamaan 01 Rajab 1436H telah bersetuju memutuskan berkenaan Hukum  Skim  Pinjaman  Wang Daripada  Koperasi dan Seumpamanya Untuk Tunaikan Fardhu Haji Atau Umrah  dengan sighah seperti berikut :

  1. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau  umrah  daripada  skim  pinjaman  wang  sekiranya  mampu membayar  balik  hutang  tersebut  dan  ia  tidak  menjejaskan kehidupan normalnya; dan
  2. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, ta’awun, adil dan telus dalam operasinya disamping bebas daripada unsur-unsur riba.

 

Masjid mengamalkan fix deposit bertujuan pelaburan

Soalan :

Apakah hukum Masjid yang mengamalkan fix depoit bertujuan untuk pelaburan.

Jawapan :

Harus hukumnya melabur dalam ‘Fixed Deposit’ yang ditawarkan dalam perbankan Islam sekiranya simpanan tetap yang di simpan di bank yang mengamalkan konsep perniagaan yang berlandaskan syariah Islam.

Perlu dilihat juga tujuan simpanan tersebut kerana duit masjid adalah sumbangan/sedekah orang ramai. Jika tiada aktiviti dan tidak melakukan sebarang aktiviti maka tidak tercapai tujuan sedekah tersebut.