Zakat emas

Soalan:

Ibu saya sudah meninggal dunia 17 tahun lalu dan arwah ibu ada meninggalkan emas perhiasannya seberat 122.6 gram yang telah disimpan oleh ayah. Adakah perlu kami adik beradik mengeluarkan (membayar) zakat emas perhiasan tersebut. Bolehkah kami menjual emas ini dan kemudiannya duit hasil jualan itu ditolakkan dengan zakat emas. Selebihnya, baki kami faraidkan kepada adik beradik seramai 5 orang dan juga ayah (jadi jumlah adalah 6 orang waris si mati)?

 

Jawapan:

Emas perhiasan yang kurang daripada 200 gram tidak perlu dizakatkan. Terserah kepada waris untuk menguruskannya.

Terlupa bilangan puasa nazar

Soalan:

Saya telah bernazar jika keputusan peperiksaan SPM melayakkan saya memasukki university, saya akan berpuasa selama 30 hari tanpa berturut. Dan saya berjaya dengan keputusan tersebut. Sehingga kini, saya tidak pasti berapa hari saya sudah menunaikan puasa nazar tersebut. Adakah saya perlu mengulang semula kiraan bilangan puasa nazar tersebut atau ada cara lain menggantikan puasa nazar tersebut seperti bersedekah?

Jawapan:

Puasa nazar wajib ditunaikan apabila mendapat hajat yang dinazarkan. Anda perlulah mengingati dengan yakin jumlah bilangan minima hari puasa nazar yang telah dilaksanakan. Dan anda hendaklah terus berpuasa tanpa was-was hingga selesai.

Gambar atau patung mainan di hadapan orang solat

Soalan:

Bolehkah kita solat di mana di hadapan kita terdapat gambar atau patung mainan?

 

Jawapan:

Boleh solat, tetapi makruh jika tidak mengganggu khusyu’ dalam solatnya. Sekiranya mengganggu solatnya, ia hendaklah dialihkan.

Fidyah puasa

Soalan:

Assalamualaikum, saya mempunyai soalan berkenaan puasa saya yang terbatal kerana saya bersahur ketika azan subuh kerana sebelum ini saya tidak tahu bahawa makan ketika azan akan membatalkan puasa saya. Saya tidak pasti berapa hari saya telah berbuat demikian dan pada tahun bila. Jadi, saya hanya mampu memberi anggaran maksimum sebanyak 30 hari seingat saya.

Adakah saya hanya perlu mengganti puasa selama 30 hari tersebut atau perlu membayar fidyah sekali?

 

Jawapan:

Jika cuai atau melambatkan qadha puasa sehingga telah melangkah ke bulan Ramadhan tahun berikutnya, wajib mengqadha’ puasanya serta membayar fidyah.

Fidyah iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahunan yang dilangkauinya.

Nota: Kadar fidyah dan cara pengiraannya sila rujuk pusat zakat berhampiran

Kedudukan jenazah ketika disolatkan

Soalan:

Kedudukan jenazah ketika disembahyangkan

Jawapan:

Dalam perkara meletakkan jenazah ketika menyembahyangkannya adalah disyaratkan jenazah itu diletakkan di hadapan imam. Begitu juga jika sembahyang jenazah itu dilakukan di atas tanah perkuburan, maka hendaklah kedudukan kubur si mati berada di hadapan imam dengan imam itu menghadap ke arah qiblat.

Jika jenazah itu lelaki maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian belah kiri imam dan kedudukkan bahagian kakinya di bahagian belah kanan imam, jika jenazah itu perempuan maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian belah kanan  imam dan kedudukkan kakinya di bahagian belah kiri imam

Namun demikian, sekiranya ada imam yang menunaikan solat jenazah tidak mengikut kedudukan seperti ini, seperti  di tengah-tengah jenazah lelaki dan di kepala perempuan, hukum solat tersebut adalah sah. Kedudukan ini dari segi hukum syarak adalah sunnat sahaja

 

 

Solat jamak taqdim solat Jumaat dan asar

Soalan:

Bagaimana solat jamak takdim serta qasar untuk waktu zuhur dan asar pada hari jumaat… bolehkah saya niat solat jumaat kemudian selepas salam, saya bangun untuk solat asar serta qasar?

Jawapan:

Solat jamak qasar adalah satu keringanan bagi orang yang bermusafir dan jika memenuhi syarat untuk melakukan solat jamak qasar, saudara boleh solat jamak qasar zuhur dan asar seperti biasa pada hari jumaat. Orang bermusafir yang memulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh pada hari jumaat tidak diwajibkan solat Jumaat.

Jika saudara hendak melakukan solat Jumaat dan asar secara jamak ia sah. Dilakukan dengan jamak taqdim sahaja. Iaitu lakukan solat jumaat seperti biasa dan setelah selesai, bangun semula untuk mengerjakan solat qasar asar. Ia tidak harus dengan jamak ta’khir, iaitu menghimpun solat jumaat kepada solat asar, kerana solat jumaat hanya pada waktu zuhur sahaja.

 

 

Masuk tiub ke dalam telinga ketika berpuasa

Soalan:

Membersihkan telinga dengan memasukkan tiub ke dalam telinga sampai dekat gegendang untuk sedut nanah. Lepas tu masuk lagi satu tiub nak ketak kat bahagian yang ada nanah tu. Soalannya, adakah prosedur tersebut membatalkan puasa.

Jawapan:

Prosedur tersebut membatalkan puasa, kerana sampai kepada had batin. Had batin bagi telinga ialah sampai kepada gegendang telinga.

Kadar fidyah

Soalan:

Berapakah bayaran fidyah meninggalkan puasa bulan ramadhan untuk satu hari tinggal puasa. Di mana atau cara bayaran boleh dibuat.

 

Jawapan:

Kadar Bayaran Fidyah

Kadar bayaran fidyah adalah berdasarkan harga secupak makanan asasi penduduk setempat. Kadar tersebut berubah bergantung kepada kadar harga fitrah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan setiap tahun.

Kadar Bayaran Zakat Fitrah Negeri Sembilan adalah sebanyak 1 gantang bersamaan 2.751kg. Oleh yang demikian, kadar fidyah adalah bersamaan ¼ gantang iaitu sebanyak 688 gram.

Kadar fidyah yang diguna pakai oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan ialah sebanyak ¼ daripada harga fitrah yang telah diwartakan.

Contoh kiraan :

 

 Kaedah Timbangan Sukatan Timbangan
1 Gantang  2.751kg
1/4 Gantang (1 Cupak) 688g

 

Kiraan Fidyah :

Kadar zakat fitrah pada 1439H adalah RM6.50, maka ¼ harga fitrah adalah  RM1.625

Kesimpulan bayaran fidyah meninggalkan puasa bulan ramadhan untuk satu hari tinggal puasa bersamaan RM1.625

Di mana atau cara bayaran, sila rujuk pusat zakat

Hukum tazkirah sebelum masuk waktu solat Jumaat

Soalan:

Hukum tazkirah sebelum masuk waktu solat Jumaat

Jawapan:

Hukumnya adalah harus menyampaikan tazkirah sebelum menunaikan solat Jumaat dalam keadaan duduk secara bersaf-saf.

Zihar

Soalan:

Saya ingin memohon pejelasan lanjut berkaitan Hukum Zihar. Untuk makluman lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika saya dan isteri saya menziarahi nenek saya yang sakit di hospital, saya dengan tanpa niat apa-apa telah bergurau dengan isteri saya dengan mengatakan “tangan isteri saya berkedut sama macam tangan nenek saya”. Bahagian tangan yang saya maksudkan adalah tapak tangan isteri saya. Pada ketika itu pemahaman saya berkaiatan zihar juga tidak berapa jelas. Saya pun tidak pasti sama ada ia jatuh hukum zihar atau tidak.

Adakah dengan ungkapan tersebut di atas di kira zihar? Apa yang harus saya lakukan kerana saya berasa was-was berkaitan dengan isu ini. Untuk makluman saya juga mempunyai 1 anak perempuan dan 3 anak lelaki hasil perkahwinan dengan isteri. Apakah isu zihar mempunyai implikasi dan kaitan juga dengan anak-anak saya?

Jawapan:

Zihar bermaksud seorang suami menyamakan isterinya dari sudut pengharaman dengan seorang daripada mahramnya seperti ibu, adik beradik perempuannya, nenek dan seumpamanya.

Zihar merupakan adat masyarakat jahiliyyah yang diamalkan untuk berpisah dengan isterinya dan menggantung isteri agar tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain. Apabila berlakunya zihar maka haram lelaki itu bersetubuh dengan isterinya sehingga kaffarah ditunai.

Lafaz yang membawa makna zihar terbahagi kepada dua,

  1. lafaz nyata (sorih) iaitu lafaz zihar nyata iaitu lafaz yang tidak membawa makna lain selain zihar.

Contoh, suami berkata kepada isterinya, bagiku seperti belakang ibuku,

Apabila seorang suami berkata demikian dia telah menziharkan isterinya, sama ada dengan niat ataupun tidak selagi dia mempunyai syarat sah talaq, iaitu cerdik berakal serta sedar makna yang diucapnya.

2. lafaz kiasan (kinayah) iaitu lafaz yang boleh diandaikan membawa makna zihar dan bukan zihar

Contoh, suami berkata kepada isterinya, bagiku engkau seperti ibu dan adik-beradik perempuanku atau, padaku engkau seumpama emak dan adik perempuanku.

Apabila seorang suami berkata demikian maka makna ungkapan tersebut adalah menurut yang dimaksudkannya. Justeru ia adalah zihar jika suami yang mengungkapkannya bermaksud demikian.

Sebaliknya, jika seorang suami bertujuan menyamakan isterinya dengan ibu dan adik beradik perempuannya dari sudut kemuliaan dan penghormatan maka ia tidak dianggap zihar.

Kesimpulannya, lafaz yang tuan lafazkan adalah lafaz kinayah, tidak akan dikira sebagai zihar melainkan si suami benar-benar berniat untuk menziharkan isterinya. Apa pun lafaz-lafaz kinayah seperti di atas kebiasaannya dalam adat Melayu bermaksud memuliakan si isteri seperti mana si suami memuliakan ibu dan neneknya, niat seperti ini tidak dikira sebagai zihar.