Soalan:

Adakah sah jika tidak menyebutkan (qasar) apabila melakukan solat jamak takdim dua rakaat?

Jawapan:

Supaya sah solat, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya, Di dalam mengerjakan solat, niat diperlukan kerana ia adalah salah satu daripada rukun solat. Sementara niat untuk bersolat tidak disyaratkan melafazkannya.

Niat perlu jelas/dita’yinkan (jenis solat, bilangan rakaat, fardu atau sunat, tunai atau qadha’, untuk siapa solat tersebut dikerjakan). Jika tidak berniat qasar, solat jamak tersebut hendaklah dilakukan secara tamam.

Iddah bagi wanita tiada haid

Soalan:

Saya ingin mengajukan persoalan berkenaan tempoh beriddah bagi wanita yang tidak datang haid. Untuk makluman, saya telah bercerai pada 25 September 2019.

Sepanjang tempoh ini saya tidak datang haid kerana gangguan hormon dari suntikan perancang keluarga (kali terakhir datang haid September 2018). Saya juga telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan telah disahkan tidak hamil.

 

Jawapan:

Bagi perempuan yang bercerai talak raj`ie/ba’in dan tidak datang haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain, tempoh iddahnya adalah tiga bulan

Fidyah puasa

Soalan:

Arwah bapa saya seorang yang tidak begitu menjaga ibadah puasa sepanjang hidupnya. Beliau bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh getah di mana beliau kerap memberikan alasan ada kelonggaran dalam agama di mana boleh berbuka jika melakukan kerja berat seperti bertukang.

Kebiasaan tidak berpuasa menggunakan alasan ini diteruskannya biarpun semasa beliau telah lama meninggalkan kerja bertukang. Ini kerana beliau seorang perokok tegar dan tidak boleh meninggalkan tabiat merokoknya.

Ada tahun-tahun tertentu beliau meninggalkan terus sebulan puasa kerana kerja berat bertukang (tidak pernah qadha puasa) dan ada juga tahun-tahun di mana beliau berpuasa lebih kurang 7 hari sahaja, selebihnya tidak berpuasa.

Beliau lahir pada 27 Mei 1956 berkahwin dengan ibu saya pada tahun 1980 dan meninggal dunia pada Mac 2019 (sebelum Ramadhan). Sama ada beliau berpuasa sebelum perkahwinannya tidaklah diketahui.

 

Soalan 1:

Apakah pandangan ulama dan hukum agama dalam isu ini. Adakah perlu dibayar fidyah ke atasnya bermula tahun perkahwinannya dengan ibu saya atau dikira dari jangkaan umur akil balighnya (katakanlah 15 tahun)

Jawapan 1:

  1. Sekiranya si mati tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya, maka dikira bilangan hari puasanya daripada umur baligh sehinggalah sebelum mati.
  2. Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan:
  3. i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati. Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati.
  4. ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati.

Puasa boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun sekiranya tidak diganti oleh waris si mati, maka Wajib diambil dari harta pusaka si mati, untuk membayar Fidyah tersebut.

Soalan 2:

Adakah jumlah tepat fidyah ini perlu diperolehi terlebih dahulu untuk tujuan Bicara Kuasa bagi agihan harta arwah

Jawapan 2:

Islam mengajarkan kita tiga perkara utama apabila ada kaum kerabat kita yang meninggal dunia:

  1. Menguruskan urusan pengebumian jenazah.
  2. Membayar hutang-hutang si mati, sama ada hutang dengan Allah seperti puasa, haji yang belum terlaksana, nazar yang belum dilaksana dan sebagainya. Selain itu, hutang dengan manusia seperti hutang duit atau mengembalikan amanah yang diletakkan di atas tanggungjawab si mati.
  3. Menyempurnakan wasiat dengan mengambil satu pertiga daripada hartanya.
  4. Membahagikan harta pusaka.

Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, bayarlah fidyah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.

Berkaitan dengan pengiraan fidyah puasa hendaklah dirujuk ke Pusat Zakat iaitu pihak yang bertanggungjawab berkaitan hal ini.

 

Zakat emas

Soalan:

Ibu saya sudah meninggal dunia 17 tahun lalu dan arwah ibu ada meninggalkan emas perhiasannya seberat 122.6 gram yang telah disimpan oleh ayah. Adakah perlu kami adik beradik mengeluarkan (membayar) zakat emas perhiasan tersebut. Bolehkah kami menjual emas ini dan kemudiannya duit hasil jualan itu ditolakkan dengan zakat emas. Selebihnya, baki kami faraidkan kepada adik beradik seramai 5 orang dan juga ayah (jadi jumlah adalah 6 orang waris si mati)?

 

Jawapan:

Emas perhiasan yang kurang daripada 200 gram tidak perlu dizakatkan. Terserah kepada waris untuk menguruskannya.

Terlupa bilangan puasa nazar

Soalan:

Saya telah bernazar jika keputusan peperiksaan SPM melayakkan saya memasukki university, saya akan berpuasa selama 30 hari tanpa berturut. Dan saya berjaya dengan keputusan tersebut. Sehingga kini, saya tidak pasti berapa hari saya sudah menunaikan puasa nazar tersebut. Adakah saya perlu mengulang semula kiraan bilangan puasa nazar tersebut atau ada cara lain menggantikan puasa nazar tersebut seperti bersedekah?

Jawapan:

Puasa nazar wajib ditunaikan apabila mendapat hajat yang dinazarkan. Anda perlulah mengingati dengan yakin jumlah bilangan minima hari puasa nazar yang telah dilaksanakan. Dan anda hendaklah terus berpuasa tanpa was-was hingga selesai.

Gambar atau patung mainan di hadapan orang solat

Soalan:

Bolehkah kita solat di mana di hadapan kita terdapat gambar atau patung mainan?

 

Jawapan:

Boleh solat, tetapi makruh jika tidak mengganggu khusyu’ dalam solatnya. Sekiranya mengganggu solatnya, ia hendaklah dialihkan.

Fidyah puasa

Soalan:

Assalamualaikum, saya mempunyai soalan berkenaan puasa saya yang terbatal kerana saya bersahur ketika azan subuh kerana sebelum ini saya tidak tahu bahawa makan ketika azan akan membatalkan puasa saya. Saya tidak pasti berapa hari saya telah berbuat demikian dan pada tahun bila. Jadi, saya hanya mampu memberi anggaran maksimum sebanyak 30 hari seingat saya.

Adakah saya hanya perlu mengganti puasa selama 30 hari tersebut atau perlu membayar fidyah sekali?

 

Jawapan:

Jika cuai atau melambatkan qadha puasa sehingga telah melangkah ke bulan Ramadhan tahun berikutnya, wajib mengqadha’ puasanya serta membayar fidyah.

Fidyah iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahunan yang dilangkauinya.

Nota: Kadar fidyah dan cara pengiraannya sila rujuk pusat zakat berhampiran

Kedudukan jenazah ketika disolatkan

Soalan:

Kedudukan jenazah ketika disembahyangkan

Jawapan:

Dalam perkara meletakkan jenazah ketika menyembahyangkannya adalah disyaratkan jenazah itu diletakkan di hadapan imam. Begitu juga jika sembahyang jenazah itu dilakukan di atas tanah perkuburan, maka hendaklah kedudukan kubur si mati berada di hadapan imam dengan imam itu menghadap ke arah qiblat.

Jika jenazah itu lelaki maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian belah kiri imam dan kedudukkan bahagian kakinya di bahagian belah kanan imam, jika jenazah itu perempuan maka afdhal meletakkan kedudukkan kepalanya di bahagian belah kanan  imam dan kedudukkan kakinya di bahagian belah kiri imam

Namun demikian, sekiranya ada imam yang menunaikan solat jenazah tidak mengikut kedudukan seperti ini, seperti  di tengah-tengah jenazah lelaki dan di kepala perempuan, hukum solat tersebut adalah sah. Kedudukan ini dari segi hukum syarak adalah sunnat sahaja

 

 

Solat jamak taqdim solat Jumaat dan asar

Soalan:

Bagaimana solat jamak takdim serta qasar untuk waktu zuhur dan asar pada hari jumaat… bolehkah saya niat solat jumaat kemudian selepas salam, saya bangun untuk solat asar serta qasar?

Jawapan:

Solat jamak qasar adalah satu keringanan bagi orang yang bermusafir dan jika memenuhi syarat untuk melakukan solat jamak qasar, saudara boleh solat jamak qasar zuhur dan asar seperti biasa pada hari jumaat. Orang bermusafir yang memulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh pada hari jumaat tidak diwajibkan solat Jumaat.

Jika saudara hendak melakukan solat Jumaat dan asar secara jamak ia sah. Dilakukan dengan jamak taqdim sahaja. Iaitu lakukan solat jumaat seperti biasa dan setelah selesai, bangun semula untuk mengerjakan solat qasar asar. Ia tidak harus dengan jamak ta’khir, iaitu menghimpun solat jumaat kepada solat asar, kerana solat jumaat hanya pada waktu zuhur sahaja.

 

 

Masuk tiub ke dalam telinga ketika berpuasa

Soalan:

Membersihkan telinga dengan memasukkan tiub ke dalam telinga sampai dekat gegendang untuk sedut nanah. Lepas tu masuk lagi satu tiub nak ketak kat bahagian yang ada nanah tu. Soalannya, adakah prosedur tersebut membatalkan puasa.

Jawapan:

Prosedur tersebut membatalkan puasa, kerana sampai kepada had batin. Had batin bagi telinga ialah sampai kepada gegendang telinga.