Sedikit darah beku di jari

Soalan:

Selepas selesai mandi wajib dan solat, baru terperasan darah beku yang sedikit pada jari, tidak pasti darah beku itu jadi sebelum, semasa atau selepas mandi wajib, sahkah mandi wajib tersebut?

 

Jawapan:

Syarat fardu bagi mandi wajib:

Pertama, niat – wajib menyertakan niat pada mula membasuh badan

Kedua, meratakan air diseluruh anggota zahir  – wajib meratakan air diseluruh anggota badan, kuku tangan dan kaki, kulit, kulit kepala, rambut. Wajib menghilangkan suatu yang boleh menegah sampai air pada anggota, seperti daki, lilin, getah, sisik ikan dan barang sebagainya.

Oleh kerana darah  pada jari itu sedikit dan tidak menghalang air daripada terkena kulit, maka sah mandi wajib dan sah solatnya.

Duit nombor ekor

Soalan:

Apakah hukum seseorang ni dia main nombor ekor, dan menang duit tu dia buat untuk baiki kereta. Lepas tu dengan menggunakan kereta tersebut dia membeli makanan, dan makanan tu dia guna duit halal. Apakah hukum memakan makanan tersebut. Adakah halal atau sebaliknya.

 

Jawapan:

Persoalan ini adalah berkaitan 2 sumber kewangan, sumber wang halal dan sumber wang haram.

Bermain nombor ekor adalah salah satu bentuk perjudian. Ianya haram disisi agama.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maa’idah : ayat 90)

Wang daripada sumber haram jika digunakan untuk apa sahaja tujuan, tetap haram. Duit haram itu adalah haram digunakan dan untuk dimanfaatkannya, membaiki kereta  dengan duit haram itu bermakna, telah memanfaatkan dan menggunakan duit haram.

Manakala makanan yang dibeli dengan sumber duit yang halal adalah halal untuk dimakan.

Kedua-dua sumber wang yang dinyatakan telah jelas; wang judi itu haram maka haram untuk digunakan, wang halal itu halal untuk digunakan dan dimanfaatkan.

Berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilakukan kerana perkara yang haram akan tetap menjadi haram, walaupun matlamatnya adalah untuk kebaikkan. Matlamat tidak menghalalkan cara.

 

Memberi hadiah kepada lelaki lain tanpa pengetahuan suami

Soalan :

Apakah hukum wanita memberi hadiah kepada lelaki ajnabi tanpa pengetahuan dan tanpa izin suaminya.

 

Jawapan:

Tiada halangan bagi seorang wanita itu membelanjakan hartanya sendiri kepada sesiapa sahaja, jika menggunakan wangnya sendiri walaupun tanpa izin suami.

Jika wang pembelian hadiah itu daripada nafkah suaminya hendaklah dia mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Seseorang isteri tidak berhak membelanjakan harta suami tanpa izin suami, walaupun bersedekah. Sekiranya diizinkan tidak mengapa.

Dalam hubungan suami isteri dianjurkan bagi isteri untuk berbincang, meminta pandangan dan meminta izin suami dalam apa jua perbuatan supaya hubungan suami isteri itu tidak ada prasangkan dan curiga mencurigai.

Seandainya isteri melakukan perkara yang membangkitkan kemarahan suami dan dilarang oleh suaminya, maka dia tidak boleh melakukannya apabila tidak diizinkan. Perkara yang boleh mendatangkan kemarahan suami hendaklah dijauhi. Seseorang isteri dikira nusyuz apabila dia ingkar atau menderhakai suaminya.

Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum ustaz saya ada soalan berkaitan harta peninggalan arwah pakcik saya. Arwah bujang tidak berkahwin, tidak ada anak, ibu bapa arwah juga sudah meninggal dunia yg hidup hanya ada adik beradik. Arwah tinggal serumah bersama saya dan ibu bapa saya. Semasa hayatnya arwah pernah berniat untuk menghibahkan harta beliau kepada saya dan mengamanahkan saya untuk menguruskannya tetapi kerana sudah sampai ajal beliau tidak sempat membuat hibah tersebut.

Arwah juga berkata yg beliau tidak akan memberi harta beliau kepada saya atau sesiapa dalam keluarga melainkan harta itu digunakan untuk menambah amal ibadat beliau sendiri. Kata-kata ini keluar dari mulut arwah sendiri semasa hidup kepada saya bersaksikan ibu saya. Kerana tidak sempat membuat hibah harta arwah dibahagi kepada adik beradik mengikut sistem faraid. Soalan saya adakah harta arwah ini halal dimakan adik beradik untuk kegunaan seharian berdasarkan kata-kata yang dilafazkan oleh beliau semasa hidup. Sekian terima kasih.

 

Jawapan:

Selepas berlaku kematian dan sebelum harta pusaka dibahagikan, waris-waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta si mati.Hak-hak tersebut ialah perbelanjaan pengkebumian, pelunasan atau pembayaran hutang, pelaksanaan wasiat, tuntutan adat seperti harta sepencarian dan hak-hak waris. Kesemua hak ini perlulah diselesaikan mengikut turutannnya.

a) Perbelanjaan Pengkebumian atau Pengurusan Jenazah

Belanja pengkebumian atau pengurusan jenazah bermakna semua perbelanjaan yang dikeluarkan untuk segala urusan berkaitan pengkebumian jenazah yang diiktiraf oleh syarak iaitu meliputi urusan yang wajib sahaja, termasuklah pembelian peralatan kapan, keranda, upah memandikan mayat, upah menggali kubur, upah membawa mayat ke kubur sama ada dengan cara diusung atau dibawa dengan kereta jenazah dan sebagainya.

b) Pelunasan Hutang

Setelah urusan pengkebumian diselesaikan, maka hendaklah diselesaikan pula hutang si mati. Mengikut pendapat jumhur ulama, hutang-hutang Allah adalah berkaitan dengan apa yang ditinggalkan oleh si mati. Harta peninggalan tersebut tidak boleh dibahagikan kepada waris selagi mana hutang-hutang si mati tidak dijelaskan. Hutang tetap menjadi beban kepada orang yang berhutang sama ada semasa hidup atau sesudah dia meninggal dunia.

Hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati terbahagi kepada dua jenis iaitu :

  1. Hutang Allah s.w.t termasuklah zakat, kaffarah, nazar, haji fardu dan fidyah.
  2. Hutang sesama manusia.

c) Perlaksanaan wasiat

Wasiat merupakan pemberian wasiat adalah satu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada dalam bentuk benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas mati pewasiat.

Sehubungan dengan itu, segala wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hidupnya perlu dilaksanakan dengan kadar 1/3 dari baki harta pusaka setelah selesai perbelanjaan pengkebumian dan perlunasan hutang. Sekiranya wasiat itu kurang daripada 1/3, persetujuan waris tidak diperlukan tetapi jika ia melebihi 1/3 maka ia tidak boleh dilakukan kecuali mendapat persetujuan daripada waris-waris mengenai lebihan itu.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dapat disimpulkan bahawa pesanan arwah pakcik supaya hartanya digunakan untuk menambah amal ibadat termasuk di dalam wasiat dan wajib ditunaikan dan harta yang digunakan tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

Setelah selesai semua urusan di atas, barulah harta tersebut difaraidkan. Harta arwah ini halal dimakan adik beradik setelah dilakukan urusan-urusan yang tersebut di atas.

 

Rawatan perubatan yang meragukan

Soalan:

Saya ingin bertanya soalan berkenaan rawatan Islam yang sebenar.

Ibu dan bapa saya mengalami masalah rumah tangga akibat kecurangan ayah. Lalu ibu saya mendapatkan rawatan dari seorang individu yang mendakwa dirinya seorang ustaz dan boleh mengembalikan ayah saya pulih seperti sedia kala daripada menduakan ibu saya. Kaedah rawatan tersebut: amalkan zikir, memberikan upah harga seekor kambing hitam yang akan didermakan kepada pusat tahfiz, menanam telur di perkuburan dan minum air rendaman tulisan ayat-ayat al quran. Amalan ini agak meragukan pada pandangan saya dan khuatir ia jatuh syirik.

Justeru itu, saya inginkan hukum berkenaan rawatan seperti ini dan jawapan hukum tersebut saya inginkan dalam bentuk bertulis dari unit istinbat hukum jabatan mufti (melalui emel / surat bertulis) Ini kerana, ibu saya sangat yakin dengan ustaz tersebut dan tidak mempercayai kami selaku anak-anak yang menasihatinya. Oleh itu, saya ingin tunjukkan kepada ibu saya bukti/nas ia adalah silap (jika terbukti amalan itu silap). Bersama sama ini sy sertakan poster khidmat yang ditawarkan ustaz tersebut.

 

Jawapan:

Amalan perubatan/rawatan seperti puan nyatakan adalah meragukan dan bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam yang sebenar. Sebagai orang Islam hendaklah menghindari dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan amalan perbomohan yang sedemikian. Puan boleh merujuk Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh Jakim sebagai bahan rujukan dan maklumat. (http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_perbomohan_menurut_islam.pdf)

Berkahwin dengan pesakit AIDS

Soalan:

  1. Apakah hukum perkahwinan di antara pasangan HIV +ve dengan pasangan yang HIV –ve?
  2. Sekiranya pasangan yang HIV +ve tersebut telah pun mendapat status “virus undetected” dan pengesahan daripada doctor pakar, apakah hukumperkahwinan mereka?
  3. Adakah hukum pesakit HIV hanya berkahwin dengan pesakit HIV sahaja dalam Islam?

 

Jawapan:

Perkahwinan antara pesakit AIDS dan pasangannya yang sihat adalah sah mengikut syariat Islam jika cukup rukun dan syarat nikah.

Sekiranya pasangan yang HIV +ve tersebut telah pun mendapat status “virus undetected” dan pengesahan daripada doctor pakar, pasangan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Bagi pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan sekalipun mengetahui pasangannya menghidap AIDS, maka sesi kaunseling akan dijalankan agar pasangan mengetahui risiko yang bakal dihadapi serta mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan.

Islam tidak menghalang mana-mana pasangan untuk berkahwin sekiranya kedua-duanya menghidap AIDS kerana tiada unsur menzalimi dan memudaratkan antara satu sama lain. Namun, terdapat perbahasan jika salah seorang daripada pasangan bersetuju untuk berkahwin dengan pasangannya walaupun mengetahui pasangannya itu mengidap AIDS. Jika pasangan yang sihat itu adalah wanita, maka walinya berhak menegahnya daripada berkahwin dengan pesakit AIDS berdasarkan pandangan jumhur ulama.

Walaupun undang-undang sedia ada membenarkan mereka yang sihat berkahwin dengan pesakit AIDS (selepas diberi kaunseling). Wali, pemerintah atau hakim hendaklah melarang perkahwinan tersebut kerana ia akan membahayakan pasangan yang sihat. Ia bertepatan dengan kaedah ‘tidak ada mudarat dan tiada yang memudaratkan’. Di samping itu, perkahwinan antara pasangan yang sihat dan pesakit AIDS bertentangan dengan maqāsid syar‘iyyah iaitu maslahah menjaga nyawa dan keturunan. Perkahwinan mereka juga sudah pasti akan menjejaskan keharmonian rumahtangga antara kerana tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan seks dan mendapat zuriat.

 

 

 

 

 

Mandi wajib jika berkumpul dua hadas atau lebih

Soalan:

Kadang2 bila menonton cerita/membaca, ada masa terangsang hingga keluar air mazi. Tapi adakala dia hingga rasa kepuasan tanpa memasukkan apa2 (tidak beronani). Adakah bagi seorang perempuan, dengan demikian air mani itu akan keluar. Baru2 ni saya terbaca tentang air mani, jadi saya risau was2 samada yang keluar tu hanya air mazi atau air mani juga keluar ketika itu. Sebab saya x mandi junub sebelum2 ni.. Sebab saya tidak tahu, yg saya tahu air mani perempuan hanya keluar ketika bersetubuh sahaja.

Jika betul air mani keluar, saya ada kewajipan mandi junub. Apa yang saya faham, jika saya haid, selepas haid saya berhenti, saya mandi junub disebabkan suci dari darah haid.. maka solat saya sah dan saya terlepas dari hadas haid dan hadas keluar mani itu..

Adakah ketika mandi junub niat saya mandi pada ketika itu mengangkat hadas haid kerana suci dari haid menyebabkan saya sudah keluar dari hadas besar haid dan jugak keluar air mani sebelum ini?

Ataupun kerana niat saya begitu saya masih terhutang pada mandi junub keluar air mani?

 

Jawapan:

Sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja. Ini bermakna jika berkumpul dua hadas atau lebih sebab yang mewajibkan mandi junub, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab hadas tersebut.

Sumpah

Soalan:

Saya telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui game online dan terlalu menyayanginya. Dia telah menyuruh saya bersumpah yang saya benar2 menyayanginya dan saya telah bersumpah dengan nama Allah.  Dia telah menyekat semua aktiviti dan pergaulan saya. Dia telah menipu saya dari segi latar belakangnya.

Persoalan saya ialah, apakah tindakan yang harus saya lakukan apabila saya telah menyatakan sumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak akan mencari lain sedangkan sekarang saya rasa tertipu sangat-sangat.

Dan, sejak saya mengetahui siapa dia, ada perkara yang dia sekat dulu saya langgar dan salah satunya dia tak mengizinkan saya terlibat dengan instagram tapi saya masih simpan instagram saya dan saya tipu dia cakap saya dan uninstall dan disuruh bersumpah. Sekali lagi saya telah bersumpah dengan nama Allah kerana nak mengelak daripada bergaduh. Dan dia dapat tahu saya masih ada instagram.

Saya rasa stress dan tak sanggup nak teruskan hubungan ini tetapi disebabkan sumpah saya atas nama Allah menghalang saya meninggalkannya. Apa yang harus saya lakukan?

 

Jawapan :

Sumpah boleh dibahagikan kepada dua kategori;

Pertama, sumpah sebenar

Kedua, sumpah yang ‘lagha’ (sia-sia). Sumpah yang ‘lagha’ ini merupakan satu kebiasaan sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti ‘Wallahi’, ‘Wabillahi’ atau ‘Watallahi’. Mereka menggunakan perkataan itu untuk menegaskan suatu perkara, bukannya bersumpah. Maka, ia tidak wajib (dilunaskan).

Namun, jika seseorang itu benar-benar bersumpah dalam erti kata yang sebenarnya, maka dia wajib menunaikan sumpahnya itu. Jika tidak dilaksanakan, maka hukumnya berdosa.

Seseorang yang telah bersumpah dengan nama Allah wajib menunaikan sumpahnya. Sekiranya dia melanggar sumpah tersebut maka wajib ke atasnya membayar kifarah sumpah iaitu:

  1. Memerdekakan seorang hamba; atau
  2. Memberi makan kepada 10 orang miskin; atau
  3. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau jika tidak mampu
  4. Berpuasa 3 hari

 

Saudari dinasihatkan jangan terlalu banyak dan mudah bersumpah dengan nama Allah disebabkan kemungkinan sumpah itu tidak dapat ditunaikan kelak.

Walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah swt dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.”

Dekatkan diri dengan Allah, banyakkan berzikir, membaca al-quran, menggandakan amal ibadat, berdoa dan bertawakkal. Amalkan tawakal setelah berusaha kerana setiap hamba yang bertawakal pasti akan bersyukur dengan apa-apa sahaja keputusan yang Allah berikan kepadanya, termasuklah ujian, dugaan dan cabaran pasti akan diharunginya sebaik mungkin.

 

 

Beri dan jawab salam

Soalan:

Bolehkah kita memberi/menjawab salam secara ringkas seperti assalam/wassalam

 

Jawapan:

Hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkan dan hukum menjawab salam adalah wajib.

Salam bermaksud sejahtera/selamat. Boleh memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السلام) atau (سلام) ketika mengucapkannya.

Walaupun begitu, yang paling baik adalah memberi salam atau menulisnya dengan lafaz yang sempurna,

Assalamualaikum (السلام عليكم) atau

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ( السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ )

Soalan:

Adakah sah jika tidak menyebutkan (qasar) apabila melakukan solat jamak takdim dua rakaat?

Jawapan:

Supaya sah solat, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya, Di dalam mengerjakan solat, niat diperlukan kerana ia adalah salah satu daripada rukun solat. Sementara niat untuk bersolat tidak disyaratkan melafazkannya.

Niat perlu jelas/dita’yinkan (jenis solat, bilangan rakaat, fardu atau sunat, tunai atau qadha’, untuk siapa solat tersebut dikerjakan). Jika tidak berniat qasar, solat jamak tersebut hendaklah dilakukan secara tamam.