admin

Pakaian sukan tight untuk melancarkan perjalanan darah

Soalan:

Saya mempunyai satu persoaalan agama dan memohon pandangan Ustaz dari sudut agama islam. Saya dan rakan perniagaan saya dalam proses awalan untuk mengeluarkan satu produk pakaian sukan iaitu compression pant atau seluar tight panjang. Produk ini adalah untuk membantu meningkatkan performance atlet dan pemakai ketika bersukan dan juga untuk digunakan bagi membantu proses recovery atau pemulihan selepas bersukan. Target market produk ini adalah untuk lelaki dan perempuan dewasa. Tetapi menjadi kemusykilan kami, kami terbaca tentang etika pemakaian bagi muslimin dan muslimat yang patuh syariah. Oleh kerana produk yang kami ingin keluarkan ini apabila dipakai ianya perlu ketat bagi membantu peredaran darah ketika bersukan dan pemulihan dari sudut sains sukan, kami fikir ianya menyentuh etika pemakaian bagi muslimin dan muslimat dan ianya menjadi syubhah. kerana kami fikir jika kami meneruskan proses pengeluaran produk ini kami akan dapat saham-saham buruk di akhirat dan rezeki yang kami cari ini juga terkesan. Justeru itu, kami amat memerlukan pandangan dari Ustaz yang arif dalam hal-hal berkaitan ini sebelum kami fikir untuk berhenti atau kami boleh meneruskan rancangan kami ini.

 

Jawapan:

Menurut pandangan Islam fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat, melindungi pemakai dari panas atau sejuk dan untuk meningkatkan imej penampilan.

Sehubungan itu ada beberpa prasyarat yang perlu dipatuhi dalam berpakaian seperti tidak jarang atau tipis, tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh , tidak menyerupai jantina yang berbeza dan sebagainya.

Oleh itu sekiranya fungsi compression pant atau seluar tight panjang itu boleh melancarkan darah maka bolehlah dipakai di sebelah dalam sama ada pihak lelaki atau wanita.

Belajar ilmu kewangan konvensional

Soalan:

Saya seorang pelajar ijazah sarjana muda bidang kewangan konvesional di UUM. Apakah saya dikira berdosa sepanjang pembelajaran saya di universiti kerana mempelajari ilmu kewangan konvesional?

 

Jawapan:

Orang Islam dituntut mempelbagai pelbagai ilmu dalam menempuh kehudupan di dunia. Firman Allah di dalam surah al-Mujadalah Ayat 11:

Yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”

Bahkan, kaedah yang ditetapkan oleh para fuqaha’

الاصل فى الاشياء الاباحة

Asal sesuatu perkara adalah harus.

Justeru tidak berdosa mempelajari ilmu kewangan konvensional

Bacaan al-fatihah dalam solat

Soalan:

Saya ingin bertanya, jika saya membaca surah al-fatihah dengan kaedah bacaan saktah, sedangkan fatihah adalah salah satu rukun qauli dan perlu dibaca dengan tajwid yang tepat, dan perlu di baca dengan waqaf. maksud kaedah bacaan saktah ialah saya membaca surah fatihah itu dengan berhenti seperti biasa akan tetapi semasa saya berhenti, saya tidak mengambil nafas baru. saya berhenti tetapi terus sambung ayat seterusnya tanpa mengambil nafas baru, sama seperti bacaan saktah ,sedangkan dalam qiraat kita, saktah hanya ada di 4 tempat sahaja di dalam al quran..jadi, secara tidak sedar, bacaan fatihah saya telah rosak dari segi tajwid, adakah solat saya batal?

 

Jawapan:

Solat yang dikerjakan adalah sah kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan “Lahn Khafi” yang tidak membatalkan solat. Namun, adalah dituntut untuk memperbaiki bacaan al-Fatihah di masa akan datang.

Hukum qaza’

Soalan:

Saya nak dapatkan keterangan tentang qaza’. Adakah mencukur anak rambut dan membuat perapian seperti mencukur lebihan rambut pada sekeliling telinga di tepi dan bahagian tengkuk dikira sebagai qaza’ dan dilarang.

 

Jawapan:

Menurut jumhur ulama hukum mencukur sebahagian kepala dan membiarkan bahagian yang lain adalah ‘makruh tanzih’ kecuali bagi rujukan perubatan (berbekam dan lain-lain).

Larangan ini termasuk ke atas lelaki dan wanita kerana memburukkan ciptaan Allah, melambangkan kebodohan dan menyerupai fesyen agama Yahudi sebagaimana hadis Ibn Umar r.a yang bermaksud,

“Rasulullah melarang melakukan al qaza”

 

 

 

Bayar zakat fitrah anak angkat

Soalan:

Saya ada satu pertanyaan: Anak angkat yang dipelihara sejak lahir, siapa yang wajib membayar zakat fitrahnya, ayah kandung atau ayah angkat?

 

Jawapan:

Zakat fitrah itu wajib pada diri seseorang dan tanggungan di bawahnya. Orang yang menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya.

Malas qada’ solat

Soalan:

Saya pernah terlintas rasa malas nak qadha solat namun saya teruskan juga qadha solat dan saya menafikan rasa malas itu. Adakah saya dapat elakkan diri daripada sifat munafik?

 

Jawapan:

Tahniah kerana berjaya melawan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Untuk menghindarkan diri dari sifat munafik ini perlu kita membersihkan hati dahulu dari sifat-sifat mazmumah dan seterusnya memahami tentang keutamaan dan kelebihan solat. Seterusnya memahami tentang implikasi dan seksaan-seksaan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja

Cerai taklik

Soalan:

Saya pernah mengadu pada suami tentang saya sering teringatkatkan kisah silam bersama lelaki lain. Saya pernah berkata padanya ‘saya takut awak akan ceraikan saya.. Beliau membalas nak ke? Saya jawab tak nak. Kemudian beliau membalas jika tak nak, janganlah buat lagi. Adakah jatuh talak sekiranya saya mengingati kisah silam tersebut? Sebab saya kurang pasti apa yang dimaksudkan perkara ‘jangan buat lagi’. Saya risau dan perkara ini sering bermain di pikiran saya. Kerana saya pernah mengingati kisah silam bersama lelaki tersebut selepas kejadian itu. Adakah situasi ini dikira sebagai cerai taklik?

 

Jawapan:

Lafaz talak tersebut tidak dianggap sebagai cerai taklik yang lengkap yang bergantung kepada sayaarat yang ditetapkan oleh suami. Walau bagaimanapun keputusan muktamad hanya dapat diperolehi selepaskes ini dibicarakan di Mahkamah Sayaariah berdekatan bagi memastikan adakah benar pihak suami bermaksud sedemikian. Selain itu, apa yang bermain di fikiran adalah sesuatu yang subjektif dan sukar untuk dihindarkan sama sekali.

Cat masih terdapat pada kuku

Soalan:

Saya mengambil kursus “mengecat” di Giat Mara. Di sana saya kerap buat aktiviti-aktiviti yang menggunakan cat. Seperti mengecat kereta, kemudian menggossok cat tersebut, seterusnya cat semula dan proses ini dibuat berulang-ulang kali.

Persoalan saya ustaz, semasa melakukan aktiviti tersebut akan ada cat yang melekat pada kawasan celah-celah kuku dan ada yang memang melekat para kuku. Saya cuba membersihkan cat yang melekat dikawasan tangan saya itu menggunakan “thinner” tetapi kotoran itu masih lagi tidak hilang.

Adakah saya perlu qadha semula solat saya yang saya buat sebelum ni setelah kotoran cat  tu hilang 100 peratus?

 

Jawapan:

Jika sememangnya ketika berwudhuk sudah terdapat liquid/cat di mana sifatnya boleh menghalang air daripada sampai ke kulit, maka tidak sah wudhuk, dan perlu dihilangkan dahulu kemudian berwudhuk.

Akan tetapi dimaafkan (terdapat sedikit kesan cat dan sukar hendak dihilangkan) kepada orang bekerja sebagai pengecat. Maka solat tersebut, tidak perlu diganti (qada’) atas sebab yang telah dinyatakan di atas.

Badal haji untuk arwah suami

Soalan:

Bolehkah isteri mengerjakan badal haji bagi suami? Daripada manakah sumber kewangan digunakan.

 

Jawapan:

Merujuk kepada soalan puan hukum mengerjakan badal haji adalah diharuskan oleh syarak menurut jumhur fuqaha’. Antara syarat sah untuk melakukan badal haji ialah:

  • Boleh bagi wanita mengambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya
  • Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
  • Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.

Kesimpulannya, hukum mengupah haji kepada mereka yang telah meninggal dunia yang tidak sempat untuk menunaikan haji ketika hidup adalah diharuskan syarak namum lebih afdhal waris sendiri yang melaksanakan upah haji bagi seseorang yang meninggal dengan syarat yang telah disebutkan tadi. Sekiranya tiada waris terdekat barulah boleh mengupah orang lain melaksanakannya berdasarkan syarat-syarat yang disebutkan.