GARIS PANDUAN SOLAT SUNAT HARI RAYA ‘IDULADHA 1442H DALAM TEMPOH PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN) FASA 1

1. TUJUAN
Garis Panduan Pelaksanaan Solat Sunat Hari Raya ‘Iduladha 1442H Dalam Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 ini disediakan sebagai panduan kepada Pegawai Masjid bertugas dan AJK Masjid atau Surau Jum’at untuk menunaikan ibadah solat sunat ‘Iduladha di Negeri Sembilan.
2. OBJEKTIF
2.1. Mewujudkan penyelarasan dengan memastikan pelaksanaan tugas mengikut ketetapan yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa.
2.2. Dijadikan sebagai rujukan kepada Pegawai dan AJK Masjid atau Surau Jum’at serta mana-mana agensi dan individu yang hendak melaksanakan ibadah solat sunat ‘Iduladha di Negeri Sembilan.
3. PANDUAN SOLAT SUNAT ‘IDULADHA 1442H DALAM TEMPOH PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN) FASA 1.
3.1. Hanya imam, bilal dan siak yang bertugas serta Ahli Jawatankuasa Qaryah sahaja DIBENARKAN untuk solat di Masjid atau Surau Jum’at sahaja. Bilangan jemaah terhad kepada 12 orang sahaja dalam satu-satu masa yang terdiri daripada Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid / Surau Jum’at.
3.2. Jemaah hendaklah berstatus warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang merupakan ahli qaryah Masjid berkenaan atau penduduk taman Surau Jum’at berkenaan.
3.3. Panduan ini perlu dibaca bersama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti bagi Masjid / Surau Jum’at di Negeri Sembilan Dalam TempohPerintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1.
3.4. Masjid / Surau Jum’at yang terletak di dalam zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah TERTAKLUK mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri.
3.5. Bagi jemaah lain, mereka boleh melaksanakan solat sunat Hari Raya di rumah masing-masing bersama-sama ahli keluarga.
3.6. Bagi mereka yang DIBENARKAN untuk melaksanakan solat sunat Hari Raya di Masjid atau Surau Jum’at, hendaklah mematuhi Garis Panduan seperti yang dinyatakan.
4. PERSEDIAAN BAGI MASJID / SURAU JUM’AT
4.1. Menetapkan HANYA 1 pintu sahaja bagi tujuan masuk dan keluar dari ruang solat;
4.2. Menyediakan kaunter di luar pintu masuk bagi memeriksa suhu badan jemaah. Semua yang hadir HENDAKLAH diperiksa suhu badan mereka. Bagi jemaah yang suhu badannya pada atau melebihi 37.5 darjah celcius TIDAK DIBENARKAN masuk dan dinasihatkan supaya merujuk ke Klinik Kesihatan yang berhampiran;
4.3. Menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di pintu yang ditetapkan serta di tempat yang difikirkan perlu;
4.4. Menyediakan kod QR MySejahtera dan buku rekod kehadiran jemaah untuk mencatat butiran nama, no. kad pengenalan, alamat, no. telefon dan suhu badan;
4.5. Memastikan jemaah yang hadir bukan dalam kalangan warga emas yang berumur 70 tahun dan ke atas;
4.6. Membuka pintu masuk ke ruang solat seawal jam 7:30 pagi dan menutupnya selepas selesai takbir dan sebelum Solat Sunat ‘Iduladha 1442H dikerjakan;
4.7. Melaksanakan penjarakan fizikal di pintu masuk dan keluar, dalam ruang solat dan di luar kawasan ruang solat Masjid atau Surau Jum’at;
4.8. Membuat tanda saf di dalam ruang solat Masjid atau Surau Jum’at;
4.9. Memastikan susunan saf bagi imam dan makmum adalah seperti berikut, iaitu imam berada di hadapan dengan jarak 1.5 meter daripada makmum. Manakala jarak antara makmum dengan makmum yang lain juga adalah 1.5 meter dari hadapan, belakang, kiri dan kanan;
4.10. Memastikan pengaliran udara baik dan lancar di dalam ruang solat dengan membuka tingkap dan kipas angin;
4.11.Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah yang ada pada satu-satu masa; dan
4.12. Orang lain yang TIDAK BERKAITAN atau TIDAK BERTUGAS akan di ambil tindakan oleh Pihak Berkuasa jika didapati berada di Masjid atau Surau Jum’at tersebut.
5. PERSEDIAAN DAN PENJAGAAN DIRI
5.1. Pegawai Masjid bertugas dan AJK Masjid atau Surau Jum’at yang disahkan positif Covid-19, atau baru sembuh daripada Covid-19, DILARANG menghadiri solat sunat Hari Raya di Masjid atau Surau Jum’at;
5.2. Pegawai Masjid yang bertugas dan AJK Masjid atau Surau Jum’at yang kurang sihat, batuk serta mempunyai gejala Covid-19, DILARANG hadir di Masjid atau Surau Jum’at;
5.3. Jemaah yang berumur 70 tahun dan ke atas DILARANG hadir;
5.4. Jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup hidung dan mulut (face mask) ketika berada di Masjid dan Surau Jum’at termasuk ketika mendirikan solat. Pemakaian pelitup muka berganda ( 2 lapis ) adalah digalakkan;
5.5. Jemaah hendaklah menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) yang disediakan di pintu masuk dan keluar ruang solat;
5.6. Jemaah hendaklah mengambil wuduk terlebih dahulu dari rumah masing-masing sebelum hadir ke Masjid atau Surau Jum’at;
5.7. Jemaah TIDAK DIBENARKAN berjabat tangan (bersalaman) antara satu sama lain. Ia boleh digantikan dengan “salam isyarat”, iaitu dengan meletakkan tangan di dada sambil mengucapkan salam;
5.8. Jemaah diminta membawa sejadah sendiri ( bersaiz besar : 2 x 4 kaki ) dari rumah masing-masing;
5.9. Jemaah diminta mengisi rekod kehadiran yang disediakan atau mengimbas kod QR MySejahtera yang disediakan;
5.10. Jemaah hendaklah mengamalkan penjarakan fizikal semasa berada di Masjid atau Surau Jum’at;
5.11. TIDAK DIBENARKAN berpusu-pusu ketika masuk dan keluar dari ruang solat; dan
5.12. Jemaah HENDAKLAH terus pulang ke rumah masing-masing setelah selesai solat.
6. SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS SOLAT SUNAT ‘IDULADHA 1442H
6.1. Imam HENDAKLAH membuat pengumuman kepada makmum tentang penjarakan fizikal dan peraturan SOP yang lain;
6.2. Imam HENDAKLAH MENGGUNAKAN pembesar suara dalaman sahaja semasa mengerjakan solat dan semasa berkhutbah;
6.3. Imam digalakkan membaca surah dan ayat yang pendek ketika solat;
6.4. Dicadangkan solat mengambil masa anggaran maksimum 7 minit;
6.5. Zikir dan do’a selepas solat dalam anggaran masa maksimum 3 minit.
6.6. Khatib HENDAKLAH membaca teks khutbah yang disediakan oleh JHEAINS. Teks khutbah ini boleh dimuat turun melalui www.ekhutbah.ns.gov.my ;
6.7. Teks khutbah hendaklah ringkas dan pendek dengan rukun khutbah yang lengkap;
6.8. Jemaah HENDAKLAH bersurai dalam keadaan tenang melalui pintu keluar yang ditetapkan sambil mematuhi penjarakan fizikal;
6.9. Perkumpulan selepas solat TIDAK DIBENARKAN; dan
6.10.Pintu pagar utama dan pintu bangunan Masjid atau Surau Jum’at
HENDAKLAH dikunci rapi oleh pegawai yang bertugas selepas selesai aktiviti solat.
7. PANDUAN SAMBUTAN HARI RAYA
7.1. Takbir Hari Raya sama ada takbir mursal (1) atau takbir muqaiyad (2) di Masjid atau Surau Jum’at BOLEH dialunkan oleh imam, bilal serta siak yang bertugas sahaja.
7.2. Takbir dari rumah ke rumah pada malam Hari Raya TIDAK DIBENARKAN. Orang ramai boleh bertakbir di rumah masing-masing bersama-sama ahli keluarga.
7.3. Amalan ziarah menziarahi pada Hari Raya TIDAK DIBENARKAN merujuk kepada arahan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa.
7.4. Amalan menziarahi tanah perkuburan TIDAK DIBENARKAN. Umat Islam boleh menggantikan amalan ini dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Do’a kepada arwah di rumah masing-masing.
8. PENGUATKUASAAN PERINTAH DAN ARAHAN
8.1. Mana-mana orang yang melanggar arahan ini akan DIKENAKAN
TINDAKAN di bawah Seksyen 59 (Mengingkari arahan Pihak Berkuasa
Agama) dan 109 (Mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
9. PEMANSUHAN
9.1. Garis Panduan Pelaksanaan Solat Sunat Hari Raya ‘Iduladha 1442H Dalam Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 ini berkuatkuasa dari tarikh ia dikeluarkan. Dengan ini, arahan yang dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal.
9.2. Sebarang pindaan garis panduan ini akan dikaji dari semasa ke semasa atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Disediakan oleh :
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri,
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tarikh : 14 Julai 2021 / 4 Zu al-Hijjah 1442H
(1) Juga disebut Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Takbir Mursal bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib 9 Zu al-Hijjah
sehinggalah solat Hari Raya ‘Iduladha dimulakan.
(2) Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu). Oleh itu, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. Takbir Muqaiyad bagi Hari Raya ‘Iduladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.

SOP SOLAT SUNAT HARI RAYA IDULADHA 1442H

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast