PENENTUAN ARAH KIBLAT MENGGUNAKAN KAEDAH ISTIWA’ A’DZAM (ISTIWA’ UTAMA)

PENENTUAN ARAH KIBLAT MENGGUNAKAN KAEDAH ISTIWA’ A’DZAM (ISTIWA’ UTAMA).

Makkah: Matahari akan berada tegak di atas Kaabah esok 27 Mei 2020 untuk kali pertama pada tahun ini dan kali kedua pada 15 Julai 2020.

Penentuan arah kiblat yang tepat boleh diperolehi apabila berlaku peristiwa Istiwa’ A‘dzam iaitu kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah’. Istiwa’ A‘dzam adalah satu keadaan di mana matahari akan berada tepat di titik zenit Kaabah ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari (mel syams) bersamaan dengan nilai latitud tempatan.

Fenomena ini berlaku bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°. Berdasarkan keadaan ini, matahari akan mengalami Istiwa’ A‘dzam dengan Kaabah dua kali dalam setahun. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.

Bagi tahun 2020 yang merupakan tahun lompat, peristiwa Istiwa’ A‘dzam akan berlaku pada 27 Mei 2020 ( jam 5:16 petang ) dan pada 15 Julai 2020 ( 5:28 petang). Ikutilah panduan berikut untuk menentukan arah kiblat dari tempat anda pada tarikh dan masa yang dinyatakan di atas:

– Pacakkan satu tiang di kawasan yang hendak di semak arah kiblatnya.

– Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Anda boleh menyemak ketegakannya dengan menggunakan sebarang pemberat yang diikat di hujung tiang berkenaan.

-Tempat yang anda pilih untuk tujuan ini hendaklah tidak terlindung dari sinaran matahari.

Tepat pada masanya pada 27 Mei 2020 jam 5.16 petang atau 15 Julai 2020 jam 5.28 petang, bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak berkenaan, adalah bersamaan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah arah yang bertentangan.

Selain dari tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat ketika itu.

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast