Fidyah puasa

Soalan:

Arwah bapa saya seorang yang tidak begitu menjaga ibadah puasa sepanjang hidupnya. Beliau bekerja sebagai tukang rumah dan penoreh getah di mana beliau kerap memberikan alasan ada kelonggaran dalam agama di mana boleh berbuka jika melakukan kerja berat seperti bertukang.

Kebiasaan tidak berpuasa menggunakan alasan ini diteruskannya biarpun semasa beliau telah lama meninggalkan kerja bertukang. Ini kerana beliau seorang perokok tegar dan tidak boleh meninggalkan tabiat merokoknya.

Ada tahun-tahun tertentu beliau meninggalkan terus sebulan puasa kerana kerja berat bertukang (tidak pernah qadha puasa) dan ada juga tahun-tahun di mana beliau berpuasa lebih kurang 7 hari sahaja, selebihnya tidak berpuasa.

Beliau lahir pada 27 Mei 1956 berkahwin dengan ibu saya pada tahun 1980 dan meninggal dunia pada Mac 2019 (sebelum Ramadhan). Sama ada beliau berpuasa sebelum perkahwinannya tidaklah diketahui.

 

Soalan 1:

Apakah pandangan ulama dan hukum agama dalam isu ini. Adakah perlu dibayar fidyah ke atasnya bermula tahun perkahwinannya dengan ibu saya atau dikira dari jangkaan umur akil balighnya (katakanlah 15 tahun)

Jawapan 1:

  1. Sekiranya si mati tidak pernah berpuasa sepanjang hidupnya, maka dikira bilangan hari puasanya daripada umur baligh sehinggalah sebelum mati.
  2. Sekiranya si mati meninggalkan puasa dan tidak menggantikan ketika kesempatan yang ada dalam hidupnya, maka dalam hal ini para fuqaha’ mazhab Syafie meletakkan dua keadaan:
  3. i) Boleh untuk warisnya berpuasa untuk si mati. Namun bukanlah suatu kewajipan ke atas waris-waris si mati untuk menggantikan puasa si mati.
  4. ii) Sekiranya waris-waris tidak melakukan puasa ganti maka perlu diambil dari harta pusaka si mati dan dibayar untuk satu hari, satu cupak beras mengikut hari yang ditinggalkan oleh si mati.

Puasa boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun sekiranya tidak diganti oleh waris si mati, maka Wajib diambil dari harta pusaka si mati, untuk membayar Fidyah tersebut.

Soalan 2:

Adakah jumlah tepat fidyah ini perlu diperolehi terlebih dahulu untuk tujuan Bicara Kuasa bagi agihan harta arwah

Jawapan 2:

Islam mengajarkan kita tiga perkara utama apabila ada kaum kerabat kita yang meninggal dunia:

  1. Menguruskan urusan pengebumian jenazah.
  2. Membayar hutang-hutang si mati, sama ada hutang dengan Allah seperti puasa, haji yang belum terlaksana, nazar yang belum dilaksana dan sebagainya. Selain itu, hutang dengan manusia seperti hutang duit atau mengembalikan amanah yang diletakkan di atas tanggungjawab si mati.
  3. Menyempurnakan wasiat dengan mengambil satu pertiga daripada hartanya.
  4. Membahagikan harta pusaka.

Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, bayarlah fidyah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.

Berkaitan dengan pengiraan fidyah puasa hendaklah dirujuk ke Pusat Zakat iaitu pihak yang bertanggungjawab berkaitan hal ini.

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast