Mandi wajib dan wuduk dengan rambut ber’dye’

Soalan:

Apakah sah mandi wajib atau wuduk jika rambut di ‘dye’ kerana ada pendapat mengatakan mandi wajib dan wuduk sah kerana rambut tidak termasuk/ bukan anggota badan yg wajib semasa mandi atau wuduk.

Jawapan:

Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah menepati tiga syarat iaitu:-

(1)       boleh menyerap air, supaya wudhuk dan mandi wajib menjadi sah

(2)       tidak mengandungi bahan yang memudaratkan kulit; seperti kanser, kekeringan rambut, allergi  dan sebagainya

(3)       dibuat daripada bahan yang tidak bercampur dengan najis dan daripada bahan yang suci dan halal

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi wajib atau wuduk. Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi wajib dan wuduk berkenaan tidak sah.

Adat kerjan

Soalan:

Adat kerjan bagi lantikan undang luak Johol. Apakah hukum adat tersebut. Antara aktivitinya ada pergi ke makam gobah, mandi di perigi godang disertai dengan membakar kemenyan dan sebagainya. Adakah perbuatan-perbuatan tersebut menyalahi syarak atau tidak?

Jawapan:

Sepanjang istiadat pelantikan Undang Johol ini hanya memenuhi dan menghormati adat yang tidak melanggar hukum syarak.

Sebagai contoh ketika ziarah ke Makam Gobah (Gobah gelaran bagi Undang Luak Johol yang keenam) diadakan bacaan tahlil ringkas.

Mandi di perigi godang adalah sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Undang Luak Johol yang baharu.

Hukum membakar kemenyan adalah harus, digalakkan bagi tujuan berwangian. Daripada Nafi’ r.a berkata:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا اسْتَجْمَرَ اسْتَجْمَرَ بِالْأَلُوَّةِ، غَيْرَ مُطَرَّاةٍ وَبِكَافُورٍ، يَطْرَحُهُ مَعَ الْأَلُوَّةِ ثُمَّ قَالَ هَكَذَا كَانَ يَسْتَجْمِرُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

(Muslim 2254)

Yang bermaksud: Ibnu Umar apabila ingin berwangi maka dia akan berwangi dengan kemenyan, tanpa mencampurkan dengan bahan lain, atau berwangi dengan kafur, atau mencampurkan kafur dan kemenyan. Dia berkata: “Beginilah Rasulullah s.a.w berwangi.

Kesimpulannya, kemenyan boleh digunakan sebagai pewangi tanpa dikaitkan dengan apa-apa kepercayaan khurafat yang bertentangan dengan syarak, di dalam majlis doa selamat atau majlis tahlil.

 

 

Hukum semakan hafalan pelajar perempuan sedang haid

Soalan:

Hukum semakan hafalan pelajar perempuan sedang haid

Jawapan:

  1. Tidak harus bagi pelajar perempuan yang sedang berada dalam keadaan haid untuk menghafal hafalan baru dan melalui proses tasmik bagi hafalan baru
  2. Walau bagaimanapun, pelajar tersebut diharuskan untuk melalui proses tasmik bagi hafalan lama iaitu merangkumi murajaah jadid, murajaah qadim dan murajaah majmuk.
  3. Manakala bagi calon perempuan dalam keadaan haid yang menghadiri temuduga kelayakan masuk ke institut tahfiz tidak diharuskan untuk membaca al-Quran. Disyorkan agar institut yang menguruskan temuduga berkenaan perlu memberi kelonggaran dan menyediakan alternatif bagi sesi temuduga seterusnya.

Doa selepas tahyat akhir dan sebelum salam

Soalan:

Apakah doa terbaik yang diajar oleh Nabi s.a.w selepas tahyat akhir dan sebelum salam?

Jawapan:

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

(Muslim 588)

Yang bermaksud, Jika salah seorang antara kamu selesai tasyahud akhir (sebelum salam), mintalah perlindungan kepada Allah daripada empat perkara: (1) azab neraka jahannam, (2) azab kubur, (3) fitnah kehidupan dan kematian, (4) kejahatan dajjal. – Hadis Riwayat Muslim no. 558

 

Penggunaan patung combat dummy dalam seni bela diri

Soalan:

Hukum penggunaan patung combat dummy dalam seni bela diri

Saya baru menceburi bidang seni bela diri jiu jitsu yg menggunakan banyak teknik kunci anggota atau “grappling”. Saya ada membeli sebuah patung grappling yang cukup kaki dan tangan serta kepala yg saya gunakan untuk berlatih seni jiu jitsu. Kepala patung ini flat, dan tiada rupa manusia seperti hidung, telinga dan mata. Saya ingin tahu apa hukum saya menyimpan serta menggunakan patung ini di rumah.

Saya harap ustaz paham yang saya hanya menyifatkan patung ini sebagai alat untuk saya berlatih dan tidak ada terlintas untuk menjadikannya hiasan atau barang yg dipuja.

Saya bertanya kpd sheikh yasir qadhi dan beliau menyatakan tiada masalah utk menggunakannya kerana patung ini tidak cukup sifat serta terang terangan digunakan sekadar barang bagi tujuan latihan.

Harap tuan boleh memberi penjelasan yg bernas. Kerana pada pendapat saya, sebab kenapa Rasulullah SAW membenarkan saidatina Aishah R.A memiliki patung kerana patung itu hanya mainan, yg penting di sini adalah tujuan dan kegunaan patung itu sebagai sekadar mainan. Jadi tidak ada bezanya jika menjadikan patung yang bertujuan dijadikan sebagai alat latihan bela diri atau latihan dalam bidang medikal.

Jawapan:

Telah disepakati oleh sekalian ulama bahawa haram menyimpan patung (yang berupa makhluk bernyawa) jika tujuannya adalah untuk penyembahan dan pemujaan, kerana ia adalah rijs (kotoran) yang disebut Allah dalam firmanNya;

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Yang bermaksud, Jauhilah rijs (kotoran), iaitu berhala-berhala, dan jauhilah perkataan dusta (Surah al-Haj, ayat 30).

Jika tujuan menyimpannya bukan untuk sembahan atau pemujaan, ia turut diharamkan jika mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Patung itu sempurna anggota-anggotanya.
  2. Tidak ada keperluan untuk membuat atau menyimpannya.
  3. Dibuat dengan bahan yang boleh kekal dalam tempoh yang lama seperti kayu, logam atau batu.

Merujuk kepada ciri-ciri di atas, dikecualikan daripada hukum haram tersebut patung-patung berikut;

  1. Patung yang tidak sempurna, iaitu patung yang berbentuk separuh badan, atau yang kurang anggotanya sekira-kira jika diandaikan patung itu makhluk hidup, ia tidak akan dapat hidup tanpa anggota itu (seperti patung yang tidak berkepala dan sebagainya). Patung jenis ini tidak haram, namun makruh. Menurut mazhab Maliki; diharuskan patung yang berlubang yang menghalang hidup (jika diandaikan ia hidup) sekalipun lubang itu kecil. Mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan lubang itu besar.
  2. Dibolehkan patung yang dibuat untuk suatu maslahah seperti sebagai permainan kanak-kanak perempuan (untuk pendidikan mereka) atau sebagai alat bantuan dalam pembelajaran, kerana Nabi s.a.w tidak melarang ‘Aisyah rha ketika melihat dia bermain dengan patung kanak-kanak perempuan bersama rakan-rakan perempuannya (*ketika mula tinggal dengan Nabi s.a.w, ‘Aisyah rha baru berusia 9 tahun), sebagaimana yang diceritakan oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim. Para ulamak menjelaskan illah (sebabnya), iaitu; patung permainan itu dibolehkan sebagai latihan atau bimbingan bagi kanak-kanak perempuan untuk masa depannya.
  3. Sekiranya patung itu dibuat daripada bahan yang tidak kekal lama seperti dibuat daripada manisan atau tepung, sebahagian ulamak mazhab Maliki mengharuskannya. Antaranya Ibnu al-Faraj al-Maliki dan Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (Tafsir al-Qurtubi; surah Saba’, ayat 13)”

Kesimpulan; pada dasarnya, patung yang berupa makhluk bernyawa (yakni manusia atau haiwan) -jika memenuhi ciri-ciri di atas- adalah dilarang oleh syariat Islam sekalipun tidak dijadikan sembahan kerana hadis-hadis Nabi s.a.w yang melarangnya bersifat umum.

Menggugurkan kandungan kerana faktor usia

Soalan:

Isteri saya berumur 46 tahun dan telah mengandung 9 minggu. Oleh sebab usia yang lanjut (40 an) dan mengidap darah tinggi, doctor ada menerangkan risiko kalau mengandung di usia 40 an.

Oleh sebab risaukan risiko tinggi ini, apa hukum kalau kami menggugurkan kandungan tersebut?

Jawapan:

Kewujudan bahaya itu hendaklah mendapat pengesahan doktor pakar beragama Islam.

Peringkat dan hukum pengguguran janin

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk. Kewujudan bahaya itu hendaklah mendapat pengesahan doktor pakar beragama Islam.

 

 

 

 

Hukum pembahagian daging qurban kepada golongan non-muslim

Soalan:

Berkenaan dengan hukum pembahagian daging qurban kepada golongan non-muslim, wujud perbezaan pandangan dalam kalangan empat mazhab (ada yang mengatakan harus, ada makruh dan ada yang mengatakan haram), apa pandangan DatoˈMufti berkenaan dengan perkara ini?

Jawapan:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2013-1434H yang bersidang pada 03 Julai 2013 bersamaan 24 Sya’ban 1434H telah memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-66 bertarikh 25 November 2004:

Tidak harus mengagih dan memberi makan daging qurban kepada orang bukan Islam.

Berpegang kepada mazhab Shafi’e tanpa menolak mazhab yang lain apabila terdapat maslahah.

waterbath dan stunning dalam penyembelihan

Soalan :

Setelah saya baca dan mengkaji mengenai waterbath dan stunning dalam penyembelihan, saya ingin bertanya mengenai ahkam fiqhiyyah dan qawaid fiqhiyyah yang digunakan dalam menetap hukum harus dalam penyembelihan menggunakan kaedah tersebut. Ini kerana saya hanya dapat tahu ianya harus tanpa ada huraian tentang cara ijtihad dalam masalah tersebut.

Jawapan :

Hukum Mengenai Stunning Haiwan

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 29 Sept 2005 telah membincangkan Hukum Mengenai Stunning Haiwan. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Kaedah stunning jenis Petetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan.

 

  1. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
    • Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner)
    • Kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat; dan
    • Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah.
  2. Kaedah Waterbath Stunning untuk ayam dan itik (poultry) adalah diharuskan dengan syarat;
    • Kekuatan arus elektrik adalah dikawal supaya tidak mematikan haiwan; dan
    • Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah.
  3. Penggunaan dadah dan karbon dioksida dalam prosedur sembelihan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyeksa atau mematikan haiwan tersebut.

Dalil Dan Hujah Antara dalil yang digunakan dalam menangani isu ini ialah

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Maidah ayat 3 :

Maksudnya : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)” (Surah al-Maidah : 3)

Hadith:-

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya berbuat baik atas setiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah secara baik. Apabila kamu menyembelih haiwan, sembelihlah dengan cara yang baik, maka hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya (dengan mempercepatkan) sembelihan. – (Muslim)

 

Hadith:-

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ

Maksudnya: Sesuatu yang boleh menumpahkan darah dan disebut nama Allah padanya, maka makanlah, bukan menggunakan gigi/taring dan kuku. (HR. Muslim)

 

Pandangan Ulama’ dan Badan Islami mengenai Isu Penggunaan Stunning:-

  1. Ketetapan Majma’ al-fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academy) Haiwan yang disembelih secara syarak selepas dikenakan kejutan adalah harus dimakan sekiranya haiwan itu masih hidup sebelum disembelih. Penggunaan stunning hendaklah mengikut syarat-syarat berikut iaitu
  • Kedua-dua elektrok perlu dikenakan di kedua-dua belah kepala di antara mata dan telinga atau di tengah-tengah dahi.
  • Voltage hendaklah antara 100-400 volt.
  • Kekuatan arus elektrik ialah antara 0.75 dan 1.0 bagi kambing, antara 2.0 dan 2.5 bagi lembu.
  • Arus elektrik hendaklah dialirkan dalam tempoh 3 hingga 6 saat. Penggunaan Penetrative Capative Bolt dan Pneumatic Captive Bolt Gun adalah tidak harus. Electrical stunning (waterbath) adalah tidak harus kerana kadar kematian sebelum sembelihan dilakukan adalah tinggi. Menggunakan kejutan gas karbon dioksida atau Mushroom Head Gun tidak haram kerana tidak membawa kematian sebelum disembelih.

 

  1. Fatwa al-Azhar:-

Universiti al-Azhar telah melantik jawatankuasa khas untuk membuat keputusan tentang kaedah ini. Keputusannya ialah:

“Negara Islam yang melaksanakan kaedah moden dalam sembelihan tiada larangan dalam agama. Ianya halal selagi kaedah baru itu bersih dan menyebabkan pendarahan. Sekiranya cara ini lebih cepat dan tepat kaedah tersebut adalah bertepatan dengan ihsan yang di anjurkan oleh Rasulullah s.a.w”.

  • Ketetapan Arab Gulf Cooperation Council’s (GCC) GCC telah mengeluarkan standard halal yang digunakan untuk negara Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE. Standard tersebut ialah :

 

  • Tidak dibenarkan memukul kepala haiwan atau menggunakan kaedah lain yang seumpamanya.

 

  • Binatang hendaklah masih dalam keadaan hidup ketika dikenakan Electrical Stunning bagi memenuhi syarat sah sembelihan. Sekiranya ia mati sebelum disembelih ia dikira dalam golongan al-mauquzah dan tidak halal dimakan.
  1. Pendapat Dr. Wahbah al-Zuhayli

Tidak ada larangan menggunakan apa-apa cara untuk melemahkan haiwan ketika hendak disembelih tetapi dengan syarat tidak menyeksanya. Islam membenarkan pengunaan dadah sebelum disembelih sekiranya ia tidak mematikan haiwan tersebut. Penggunaan karbon dioksida juga dibolehkan asalkan tidak menyakiti haiwan tersebut. Penggunaan CBP, benda berat, aliran elektrik dan sebagainya tidak dibenarkan kerana menyeksa haiwan tersebut. Tetapi haiwan tersebut boleh dimakan selepas disembelih jika ia masih mempunyai hayat mustaqirrah.

Kaedah stunning Penetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut : · Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja. · Kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3 hingga 6 saat. · Perlu dikawal selia oleh petugas muslim yang bertauliah.

Kaedah Waterbath Stunning untuk ayam dan itik adalah diharuskan dengan syarat : · Kekuatan arus elektrik adalah dikawal supaya tidak mematikan haiwan. · Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah. · Penggunaan dadah dan karbon dioksida dalam prosedur sembelihan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyeksa atau mematikan haiwan tersebut.

Rumusan Daripada analisis yang telah dilakukan dapatlah dirumuskan bahawa penggunaan stunning diharuskan tetapi mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penggunaan teknologi moden pada hari ini juga perlulah selari dengan tuntutan syarak. Sebagai seorang muslim kita perlulah mencari makanan dan segala keperluan hidup berasaskan sumber-sumber yang halal lebih-lebih lagi dalam permasalahan daging halal. Ini kerana negara kita juga tidak terkecuali dalam mengimport daging dari negara-negara barat.

 

(Sumber kertas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke 70, tahun 2005)

Lotus birth

Soalan:

Hukum mengamalkan kaedah lotus birth semasa melahirkan?

Lotus Birth adalah satu amalan selepas melahirkan bayi di mana tali pusat bayi tidak dipotong, malah dibiarkan terus bersambung bersama-sama uri sehingga kering (lebih kurang 3-10 hari atau lebih) dan akhirnya terlucut sendiri daripada pusat bayi.

Jawapan:

Kaedah fiqhiyah

Hukum asal sesuatu perkara itu adalah harus (الأصل في الأشياء الإباحة)

Jika terbukti boleh membahayakan, seperti berlaku jangkitan maka agama Islam melarangnya.

Tidak mudarat dan tidak memudaratkan (لا ضرر ولا ضرار)

Jika lotus birth belum pasti kebaikannya dan kemungkinan ada kemudharatannya, kemudharatan perlu dihilangkan (الضرر يزال).

Tidak ada dalil sama ada tali pusat disuruh potong atau tidak. Sehingga hari ini belum ada hukum/fatwa ulama berkaitan amalan lotus birth ini.

Untuk mengenal pasti kebaikan atau keburukannya, rujuklah dengan doktor pakar Islam mengenai perkara tersebut dan jika ia tidak memberikan kemudharatan kepada bayi, adalah harus berbuat demikian.

 

 

Lelaki sebagai pengurus rumah tangga

Soalan:

Saya merupakan seorang graduan Universiti dan baru sahaja berkahwin dengan seorang wanita yang lebih berusia. Dalam masa yang sama beliau seorang yang bekerjaya dan mempunyai gaji dan kewangan yang sangat baik. Kami telah berbincang dan membuat keputusan agar isteri saya meneruskan pekerjaannya dan menjadi penjana kewangan kepada keluarga kami manakala saya bertindak sebagai pengurus rumah tangga (stay at home dad). Adakah amalan ini bertentangan dengan konsep kekeluargaan Islam bila mana antara posisi utama seorang suami bertindak sebagai pencari nafkah keluarga. Adakah terdapat apa-apa pra-syarat yang perlu kami penuhi?

Jawapan:

Jika hal ini telah dipersetujui bersama dan masing-masing rela dengan keadaan tersebut Islam tiada halangan. Bagaimanapun juga, kedudukan suami tetap lebih tinggi sebagai ketua keluarga dan isteri berkewajipan mentaatinya.

Hukum nafkah adalah wajib ke atas suami untuk isterinya mengikut kemampuan seseorang suami.