Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)

Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)

Mufti Pertama Negeri Sembilan Dan
Pemimpin Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Al-Rashidiyyah

Al-Dandarawiyyah

Oleh : Dr. Mahmud Saedon Awang Othman

Tuan Haji Ahmad dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964. Tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bertajuk ” Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun.

Setelah Tuan Hj. Muhammad Said Al-Linggi kembali ke rahmatullah pada tahun 1345H, pemimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah telah dikendalikan oleh anak lelaki beliau bernama Tuan Haji Abdullah saudara kandung yang tertua Allahyarham Tuan Hj. Ahmad. Pada masa itu Pusat al-Tariqah al-Ahmadiyyah berada di Ampangan, di mana tempat ini telah di asaskan oleh Tuan Haji Mohd Said sebelum wafatnya (1) dan di sinilah terletaknya rumah Tuan Haji Abdullah. Dalam hubungan ini Tuan Hj. Ahmad menegaskan antara lain….”kemudian daripada wafatnya (Tuan Haji Mohd Said) berdirilah kemudian daripadanya salah seorang daripada anaknya dengan seelok-elok pendirian kemudian daripada sempurnalah baginya pemandangan Tuhan al-Amin al-Allam dan yang demikian dengan ittifaq yang besar daripada ikhwan dan isyarat setengah daripada mereka yang adalah atasnya pekeliling ini tariqah pada ini masa dan telah menjadi akan dia oleh Allah Ta’ala mereka yang dipercayai atas segala pekerjaannya dan khalifah baginya atas sekelian kelakuannya dan rahsia-rahsianya dan iaitu saudara kandungan kami al-Fadhil al-Syeikh Abdullah hafidhahullah waffaqahu lima yuhibbu wayardhahu Amin.”(2)

Tuan Haji Ahmad Pembantu Kanan Tuan Haji Abdullah

Setelah kembali dari pengajiannya di Makkah al-Mukarramah selama lebih kurang tujuh tahun (1927-1934), Tuan Haji Ahmad telah menyebarkan ilmu pengetahuannya sebagai menyambung tugas mengembangkan Islam dan ilmu-ilmu tradisi yang diwarisi dari ayahanda beliau dan juga nenekanda beliau, yang mana keturunan beliau ini adalah titisan darah ulama Islam yang terkenal (3). Sebelum beliau menyambung pelajarannya di Makkah, beliau telah menerima pendidikan awal di bidang syariah dan tasawwuf, khususnya tentang perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, amalan-amalan zikir dan sebagainya (4). Dengan asas yang kuat ini tidaklah menghairankan sekiranya beliau menjadi pembantu kanan Tuan Haji Abdullah di dalam memimpin Tariqah ini, dan kemudian mengambil alih kepimpinannya setelah Tuan Haji Abdullah kembali ke rahmatullah.

Dengan kepulangan Allahyarham Tuan Haji Ahmad dari Makkah, maka lahirlah seorang lagi tokoh penting memimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah khususnya di Negeri Sembilan, dan umumnya di kawasan ini. Kedua-dua tokoh ini berkerjasama di dalam mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya. Mereka bantu-membantu, seperti aur dengan tebing. Amat tepat sekali apa yang di katakana oleh Sidi Abu al-Abbas (5) “ peranan kedua beradik ulama ini di dalam mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya ibarat Nabi Musa a.s dengan saudaranaya Nabi Harun a.s (6)”, kedua-dua tokoh ini pernah bertemu dan belajar dengan Saidi Abu al-Abbas di Makkah sebelum kembali ke tanah air (7).

Tuan Haji Abdullah selalu menugaskan Tuan Haji Ahmad supaya mengetuai majlis-majlis zikir dan haul yang di adakan di Kampung Ampangan atau di tempat-tempat lain. Tuan Haji Abdullah akan hadir sama jika tidak ada apa-apa keuzuran (8). Ini banyak memberikan pengalaman kepada Tuan Haji Ahmad sebagai satu isyarat bahawa pemimpin kedua Tariqah ini adalah di pegang oleh Tuan Haji Ahmad, seperti yang dibayangkan oleh Sidi Abu Abbas al-Dandarawi. Dan sebagai persediaan bagi beliau untuk mengambil alih pimpinannya jiaka Tuan Haji Abdullah telah tiada. Dan inilah yang berlaku.

Kerjasama dan bantu-membantu antara tokoh ini berjalan terus dan sewajarnyalah diikuti oleh mereka yang datang kemudian demi kepentingan dan perkembangan Tariqah ini. Walaupun kedua tokoh ini tinggal berlainan tempat, Tuan Haji Abdullah di Ampangan dan Tuan Haji Ahmad di Kampung Pondok Rasah, namun ianya tidak sedikit pun menjejaskan keeratan kerjasama di antara kedua mereka. Kedua tokoh ini saling merujuk antara satu sama lain. Jawapan kepada anak-anak murid dari Tuan Haji Abdullah: Apa kata Ahmad? Ha itulah dia! Atau kata-kata Tuan Haji Ahmad kepada muridnya: Apa kata Bang Lah itulah dia! Adalah perkara yang menjadi kelaziman (9) seolah-olah tidak terdapat apa-apa perbezaan fikiran dan pendapat di antara kedua tokoh ini di dalam persoalan-persoalan yang ada hubungan dengan Tariqah ini. Jika majlis-majlis haul diadakan di Ampangan, Tuan Haji Ahmad akan memerintahkan anak-anak muridnya ke Ampangan bagi sama-sama berkhidmat mempersiapkan persediaan-persediaan haul dan sama menghadiri majlis tersebut (10). Tradisi yang baik ini berjalan terus sehingga wafat Tuan Haji Abdullah pada tahun 1965 di kebumikan berhampiran dengan makam ayahandanya Tuan Hj. Mohd Said al-Linggi.

Dengan itu Tuan Haji Ahmad pun mengambil alih kepimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan dengan sendirinya Pusat Tariqah ini berlih ke Kampung Pondok Rasah (11). Ini merupakan tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan lagi yang harus dilaksanakan dengan baik dan sempurna oleh Tuan Haji Ahmad. Melaksanakan amanah dan tanggungjawab inilah, dasar segala tindak tanduk beliau di dalam mengendalikan pimpinan tariqah ini sehinggalah berjaya dan bersih dari penyelewengan mana-mana pihak.

Al-Madrasah al-Saidiyah Dan Peranannya Di Dalam Perkembangan al-Tariqah al-Ahmadiyyah

Setelah Tuan Haji Ahmad kembali ke tanah air dari Makkah setelah menuntut ilmu disana lebih kurang tujuh tahun, beliau telah menyebarkan ilmu pengetahuannya kepada umat Islam setempat. Beliau telah mengambil daya usaha mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di Seremban. Dan kawasan-kawasannya seperti Sega, Rantau, Kuala Sawah hinggalah ke daerah Rembau. Di samping beliau mengajar ilmu-ilmu syariah seperti Fiqh dan Tauhid, beliau juga mengajar ilmu Tasawwuf di samping membimbing pelajar-pelajarnya cara-cara beramal dengan amalan-amalan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, zikir-zikirnya, dan memahamkan kepada mereka tentang ajaran-ajaran Tariqah ini (12). Sambutan yang diberikan adalah menggalakkkan tambahan pula usaha-usaha ini adalah merupakan sambungan kepada usaha-usaha ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said.

Tidak cukup dengan itu, dalam masa yang sama beliau mendirikan pondok yang akhirnya diberi nama al-Madrasah al-Saidiyyah. Bersempena dengan nama ayahanda Tuan Haji Mohd Said. Bolehlah dikatakan bahwa tujuan beliau mendirikan Madrasah ini ialah untuk mengajar dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam yang tradisional, ini tidaklah terkecuali dari mengajarkan ilmu Tasawwuf, khususnya ajaran-ajaran al-Tariqah al-Ahmadiyyah.

Satu perkara yang menarik mengenai madrasah ini ialah ianya lebih dikenali di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dengan nama : Pondok Sheikh Haji Ahmad. Dari nama inilah yang akhirnya nama tetap kepada tempat kediaman Tuan Haji Ahmad iaitu Kampung Rasah Seremban sekarang ini.

Pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah al-Saidiyyah ini, datang dari berbagai-bagai tempat dan negeri di Malaysia dan juga dari seberang laut seperti Siak (13). Mereka tinggal di pondok-pondok yang didirikan sekitar tempat kediaman Tuan Haji Ahmad tempat belajar mereka ialah surau. Surau ini masih ada hingga sekarang, walaupun telah menerima sedikit sebanyak perubahan fizikalnya.

Seperti juga pondok-pondok di seluruh tanah air, di Pondok Rasah ini pelajar-pelajar dikehendaki patuh pada disiplin yang telah ditentukan seperti disiplin pakaian, akhlak, makanan, pelajaran, sembahyang berjemaah dan lain-lain lagi, seperti disiplin-disiplin yang kebiasaanya terdapat di pondok-pondok yang lain, di tambah dengan disiplin yang seharusnya diikuti oleh pengikut-pengikut al-tariqah al-Ahmadiyyah seperti zikir-zikir tertentu yang dikehendaki untuk diamalkan, menghadiri majlis-majlis zikir dan haul. Di bulan puasa pula pondok ini mempunyai program yang tersendiri berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini pelajar-pelajar digalakkan berzikir. Malahan kadang-kadang Tuan Haji Ahmad sendiri memimpin pelajar-pelajar berzikir dari selepas tengah malam hingga subuh. Mereka juga digalakkan membaca al-Quran dan diajarkan cara sembahyang Tarawih sepuluh rakaat yang biasanya dilakukan oleh al-Tariqah ini. Pelajar-pelajar dikehendaki tidur selepas tengah Maghrib dan bangun selepas tengah malam untuk bersahur sebelum subuh dan hanya tidur semula selepas subuh. Bolehlah dikatakan pada bulan puasa, mereka berehat di waktu siang, beramal dan belajar di waktu malam.

Bagi pelajar-pelajar yang telah lama belajar dan didapati layak untuk mempelajari ilmu Tasawwuf yang lebih mendalam, mereka di ajarkan dengan kitab-kitab Tasawwuf seperti al-Hikam dan ada pula sebahagian dari mereka diajar dan digalakkan bermuqarabah (14). Muqarabah ialah satu-satu disiplin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang penting. Di antara tempat-tempat yang pernah dijadikan tempat bermuqarabah ialah Masjid Rasah (15) yang masih wujud hingga kini.

Pembentukan madrasah ini secara langsung dan tidak langsung membawa kepada penyebaran Tariqah inike daerah-daerah dari mana murid-murid itu dating, mereka ini dengan sendirinya menjadi ejen penyebaran Tariqah ini setelah tamnat pengajian mereka di Madrasah ini. Bolehleh dikatakan bahawa matlamat yang penting dari penubuhan Madrasah ini ialah untuk meneruskan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang telah digariskan oleh al-Marhum Tuan Hj. Mohd Said. Di antara to koh-tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang mendapat didikan beliau ialah Tuan Haji Abdul Rashid, Tuan Hi. Mohd, Tuan Hj. Mohd Hamid, Tuan Hj. Mohd Noor. Mereka ini adalah adik-adik kepada Allahyarham.

Pimpinan Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Selepas Tuan Haji Abdullah

Sebagaimana yang telah di nyatakan bahawa setelah Tuan Haji Abdullah kembali ke rahmatullah, maka secara automatis pimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah telah dipegang oleh Tuan Haji Ahmad. Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pembantu kanan kepada kekandanya dan kebolehan beliau di dalam memimpin al-Tariqah ini tidak boleh dipersoalkan. Tambahan pula beliau ini memang terkenal sebagai seorang yang alim di dalam ilmu-ilmu tradisi Islam dan termasuklah ilmu Tasawwuf, ajaran dan disiplin-disiplin Tariqah ini. Malahan beliau telah banyak mengarang kitab-kitab berhubung dengan perkara-perkara ini dan hasil-hasil karya beliau di dalam bidang ini amat berharga, di samping itu keseluruhan ikhwan-ikhwan yang kanan-kanan telah datang menemui Tuan Haji Ahmad tanda pengakuan mereka di atas kepimpinan beliau menggantikan kekanda beliau (16). Namun demikian terdapat juga beberapa orang murid bercita-cita untuk menggantikan Tuan Haji Abdullah seolah-olah ini adalah peluang keemasan yang ditunggu-tunggui untuk mengisi kekosongan pimpinan, di dalam sejarah perkara seperti ini lumrah berlaku sesuai dengan tabiat semulajadi manusia, ini tidak terkecuali di dalam perebutan khalifah-khalifah Islam-atau cuba meragui tentang kepimpinan Tuan Haji Ahmad.

Tuan Haji Ahmad yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan pimpinan telah bertindak dengan cepat dan tegas membanteras unsur-unsur ini supaya jangan sampai merebak yang boleh menjejaskan kedudukan dan Samat al-Tariqah al- Ahmadiyyah(17). Beliau memanggil mereka-mereka yang berkenaan ke rumahnya di Pondok Rasah secara bergilir-gilir di hari-hari yang berlainan di antara mereka yang pernah dipanggil ialah :

1. Tuan Haji Hassan (al-Marhum)

2. Tuan Haji Ta’in (al-marhum)

3. Tuan Haji Sulaiman (al-Marhum)

4. Tuan Haji Jani

5. Tuan Haji Husain Ma;un

6. dan Che Yusuf (18)

Tujuan mereka dipanggil ialah untuk memberitahu perkara sebenarnya kepada mereka mengenai perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Ketua Tariqah ini. Dengan ini beliau telah meredakan keadaan dan membanterasnya.

Lebih jauh dari itu beliau telah menulis surat terbuka ditujukan kepada ikhwan yang kanan-kanan demi membanteras dan menghapuskan unsur-unsur perpecahan di dalam Tariqah ini, antara lain beliau berkata : (19)…”menjauhkan fitnah terhadap perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan terhadap Asyaduna al-Kiram dan terhadap Tuan Guru kita (Tuan Haji Abdullah) adalah lebih utama daripada memperbuat perkara-perkara yang boleh dengan sebabnya tercacat perjalanan Asyaduna al-Kiram kerana ini, maka adalah Tuan dan Jamaah tuan dinasihatkan supaya mengambil berat dengan pengetahuan agama mengikut sebagaimana yang diwajibkan dan beramal dan berzikir akan Allah dengan cara yang bersih dan sunyi daripada riya’ dan Sum’ah.

Begitulah beliau dengan tegas memperingati pengikut-pengikut Tariqah ini supaya menuntut ilmu agama supaya perjalanan mereka menepati dengan kehendak ajaran Tariqah ini. Di samping menghindarkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama baik Tariqah dan tuan-tuan gurunya. Jangan sampai timbul penyelewengan dan fitnah. Di dalam para yang lain beliau dengan tegas mengarahkan supaya beramal hendaklah dengan ilmu yang ikhlas. Antara lain beliau berkata : (20)…”pada pengetahuan saya, beramal itu dengan ilmu, beramal dengan ketiadaan ilmu itu adalah sebesar-besar bala pada sisi agama dan lagi beramal itu adalah semata-mata ikhlas bagi Allah Ta’ala bukannya kerana siapa dan bukannya kerana apa dan bukannya kerana mencari satu makam atau satu keadaan yang membesarkan pandangan makhluk Allah Ta’ala maka mana-mana satu keadaan amalan yang tersebut dengan ini semua adalah sia-sia sahaja kerana ini maka eloklah tuan dan jamaah tuan mengambil pengetahuan dengan perkara-perkara seumpama ini supaya tiadalah mudah-mudahan pekerjaan dan amalan tuan yang dikerja akannya dengan penat lelah itu tersia-sia sahaja di sisi Allah Ta’ala.

Lebih jauh dari itu Tuan haji Ahmad telah menegaskan tujuan zikir ialah untuk membersihkan diri untuk mewujudkan perpaduan dan kekumpukkan, dari itu hendaklah ianya dibina di atas ilmu, ikhlas dan yang memimpin itu hendaklah benar-benar berkelayakan dan berkebolehan dalam hal ini beliau dengan tegas berkata : (21)”…perjalan berzikir akan Allah Ta’ala ialah perjalanan yang penting pada masa akhir zaman iaitu masa kita sekarang kerana ia adalah satu amalan yang boleh membersih hati dan menghilang akan kekaratannya dan dengan yang demikian maka adalah ia sebab yang boleh mencantumkan di antara satu dengan yang lain dan berpegang dengan jalan yang betul dan menjauhkan daripada berpecah belah…”

Selepas itu Tuan Haji Ahmad mencabar kewibawaan mereka-mereka ini dari segi kepimpinan Tariqah yang sejati yang seharusnya mempunyai kelebihan-kelebihan sebagai bukti dakwaan (dalam erti kata yang lain kalau ianya dipimpin oleh Sheikh yang murshid tentu sahaja ianya mempunyai kelebihan-kelebihan- ini menurut ukuran Tuan Haji Ahmad dan dalam hal ini beliau berkata : (22) “…tetapi di dalam amalan zikir yang tuan dan jamaah tuan mengerjakannya maka apakah satu bukti yang menunjukkan kepadanya oleh qabul dan berkat zikir yang tuan dan jemaah tuan supaya boleh diisytihar dan diagung-agungkan akannya.”

Kemudian beliau telah mensarankan perkara-perkara yang sewajarnya dilakukan oleh Sheikh Tariqah Ahmadiyyah di majlis-majlis haul dan majlis-majlis zikir di antara lain beliau berkata : (23) “…sebagaimana yang telah diadatkan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah bahawa mereka itu memperbuat akan haul guru-guru mereka itu Asyaduna al-Kiram dan pada ketika itu adalah mereka itu berhimpun kerana haul-haul yang tersebut dan adalah mereka itu mengadakan padanya akan majlis zikir atau ilmu akhirat atau ilmu Tariq supaya adalah demikian itu sebagai satu panduan atau pengajaran bagi mereka itu.”

Sebagai penutup kepada surat beliau tersebut beliau mengharapkan kerjasama dari mereka antara lain beliau berkata : (24) “..tiadalah dapat saya berkata panjang selain daripada berharap kerjasama tuan dan jemaah tuan di atas memahamkan apa-apa yang telah saya sebutkan akannya. Dan ini adalah semata-mata nasihat bagi membetulkan haluan jalan daripada terpesong atau tersesat dan Tuhan yang mengurniakan ke atas kita sekelian akan taufiq dan hidayat…”

Dengan ini jelas kepada kita gambaran tentang perjalanan zikir dan juga orang-orang yang memimpin zikir yang dikehendaki oleh al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang dijelaskan oleh Tuan Haji Ahmad tadi. Tindakan tegas dalam menjaga perjalanan Tariqah ini supaya tidak menyeleweng atau disalah gunakan oleh mana-mana pihak yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Ahmad ini amatlah berkesan. Satu contoh yang lain pula untuk lebih jelas cara beliau bertindak ialah : Pada 3hb. Julai 1960 beliau telah menerima pengaduan bahawa terdapat seorang bernama Lebai Ma’aruf – pengikut al-Tariqah al-Ahmadiyyah – telah memberi Ijazah kepada Lebai Sami’un dan melantiknya sebagai khalifah al-Tariqah ini di Sungai Baru, Kampung Lundang. Apabila sahaja beliau mendapat pengaduan tadi dengan segera beliau menyiasat dan tindakan segera beliau memanggil orang yang berkenaan iaitu Lebai Ma’ruf (25).

Ini beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana beliau telah bertindak tegas, segera dan teliti di dalam perjalanan Tariqah ini supaya jauh dari penyelewengan atau perkara-perkara yang boleh merosakkannya.

Tuan Haji Ahmad Mufti Dan Ketua Tariqah

Tuan Haji Ahmad dilantik menjadi Mufti Negeri Sembilan yang pertama pada tahun 1950 adalah atas pemilihan dan persetujuan ulamak Negeri Sembilan di dalam satu persidangan ulamak di Negeri Sembilan, yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu (26) dan bukan atas permintaan atau permohonan jawatan yang lazimnya dilakukan bagi memenuhi sesuatu jawatan kosong kerajaan. Pada awalnya beliau tidak bersetuju di atas lantikan tersebut keengganan beliau ini akhirnya kalah kerana desakan-desakan yang kuat dari ulamak Negeri Sembilan dan juga pembesar-pembesar Negeri Sembilan sendiri (27). Tambahan pula mereka ini sama ada pengikut atau bersimpati dengan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, dan kewibawaan Tuan Haji Mohd Said ayahanda Tuan Haji Ahmad masih tegak dan kukuh di negeri ini. Di samping desakan dari sebahagian orang ramai dan ikhwan, konsep memenuhi hajat orang lain memainkan peranan di dalam penerimaan jawatan ini. Di samping itu bonda beliau al-Marhumah Siti Zubaidah bersetuju dan mendesak beliau agar menerima jawatan tersebut (28) atas dasar taat kepada ibu juga menjadi faktor penentu bagi beliau.

Untuk makluman bahawa pemimpin-pemimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang terdahulu dan beliau adalah bebas dari jawatan-jawatan rasmi Kerajaan, seperti Tuan Haji Mohd Said dan juga Tuan Haji Abdullah malahan Tuan-tuan Guru Tariqah ini yang lainnya pun demikian juga. Jadi secara tidak langsung, beliau adalah orang yang pertama makan gaji di kalangan pemimpin Tariqah ini. Ini dengan sendirinya merupakan pemecahan tradisi di dalam cara kepimpinan Tariqah ini. Adakah ini boleh menjejaskan kewibawaan kepimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah? Jawapannya ialah : Sejarah telah membuktikan bahawa ianya tidak menjejaskan malahan jika dihalusi akan didapati banyak hikmat-hikmat yang tersirat di sebalik penerimaan jawatan tersebut. Untuk makluman seterusnya bahawa sebelum beliau bersetuju menerima jawatan ini beliau telah bersembahyang Istikharah berminggu-minggu lamanya, hasil istikharah beliau itulah yang menjadi faktor utama beliau menerima lantikan tersebut (29). Dan sudah sewajarnya ianya tidak bertentangan dengan kehendak tuan-tuan guru Tariqah ini kerana orang sufi pada umumnya percaya kepada isyarat-isyarat dan alamat-alamat yang salihah dan menghormatinya. Ini adalah keyakinan saya sendiri.

Di dalam mengendalikan tanggungjawab beliau sebagai seorang Mufti dan dalam masa yang sama sebagai seorang pemimpin Tariqah beliau amat hati-hati dan cermat supaya jawatan yang satu tidak mempengaruhi yang lainnya atau sebaliknya, hingga jelas garis-garis kasar yang boleh dirasa memisahkan di antara dia sifat dan tanggungjawab yang ada pada beliau. Inilah merupakan suatu kejayaan kepada kekuatan peribadi beliau. Sebagai bukti, beliau melarang pengikut-pengikutnya mengadakan majlis zikir di Masjid terutama selepas Jumaat kecuali ia merupakan kawasan yang banyak pengikut Tariqah ini atau ahli-ahli Masjid itu bersepakat menerimanya atau sudah menjadi tradisi turun temurun bagi Masjid dan jemaah melakukan demikian seperti Masjid Penajis Rembau. Dan begitu juga beliau melarang digantung tahlil al-Tariqah al-Ahmadiyyah di Masjid iaitu:

Atau amalan-amalan yang lainya. Kecuali dengan kehendak ahli-ahli Masjid tersebut dengan suka rela mereka (30).

Dalam hubungan yang sama, beberapa persoalan yang menyentuh perkara-perkara yang mempunyai hubungan rapat dengan perjalanan dan disiplin Tariqah secara umum ini termasuklah al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti persoalan keramat, wali, tawassuf dan bernazar kepada kubur-kubur auliya’ telah dikemukakan oleh sesetengah pihak kepada beliau atas sifat beliau sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di antaranya ialah surat dari Haji Abdullah, Seremban bertarikh 6hb Oktober 1952. Walaupun beliau mempunyai kewibawaan untuk memberi jawapan-jawapan yang jitu kepada persoalan seperti di atas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan seorang yang alim di dalam ilmu Tasawwuf, namum demikian beliau tidak bertindak dengan sewenang-wenang malahan dengan cara yang teliti. Beliau telah mengeluarkan satu surat terbuka ditujukan kepada lebih dari 20 orang ulamak Negeri Sembilan sama ada yang berjawatan di dalam kerajaan atau tidak. Surattersebut berbunyi:

Tuan,

Diharap mendapat keterangan terhadap perkara-perkara yang tesebut di bawah ini:

1. Apa takrif wali

2. Adakah didapati semasa ini mereka-mereka yang dikatakan baginya auliya’ Allah Ta’ala.

3. Adakah sabit keramat bagi mereka itu kemudian daripada wafat mereka itu.

4. Apakah hukum bertawassul dengan mereka itu pada masa hayat dan mati mereka itu.

5. Apakah hukum bernazar kepada kubur mereka itu.

Hal inilah wassalam (31)

Ternyata tujuan beliau ialah ingin meninjau pendapat rakan-rakannya ulamak Negeri Sembilan di dalam perkara-perkara yang tersebut di atas sebelum mengeluarkan fatwa atas nama Mufti Negeri Sembilan dan bukan atas nama tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah sedangkan beliau mempunyai karya-karya yang bercetak di dalam persoalan-persoalan di atas tadi seperti kitab:

ﺍﺗﺤﺎﻒ ﺫﻭﻯ ﺍﻠﺮﻏﺒﺎﺖ ﺑﺑﻴﺎﻥ ﮐرﺍﻤﺎﺕ ﺍﻻﻭﻠﻴﺎء ﻓﻰ ﺍﻠﺤﻴﺎﺓ ﻭﺒﻌﺩ ﺍﻠﻤﻤﺎﺕ

dan lain-lain lagi (32).

Menjadi amalan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah bersembahyang terawih sepuluh rakaat dengan mempunyai doa-doa khas dan ma’thur. Sedangkan kebiasaan masyarakat Melayu bersembahyang terawih dua puluh rakaat, walaupun Tuan Haji Ahmad menjadi Mufti Negeri Sembilan namun beliau tidak mengarahkan supaya umat Islam di Negeri Sembilan bersembahyang terawih sepuluh rakaat seperti yang diamalkan oleh ahli Tariqah ini. Malahan kebebasan diberikan kepada ahli jemaah untuk memilihnya sama ada sepuluh atau dua puluh rakaat.

Walaupun Tuan Haji Ahmad telah menghasilkan karya sebuah kitab berhubung dengan cara bersembahyang terawih sepuluh rakaat (33) sebagai takliq kepada tulisan ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said al-Linggi.

Saya percaya sikap dan pendirian al-Marhum ini menyebabkan ianya berjaya dan dihormati sebagai seorang Mufti dan tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang berwibawaan dan disegani.

Ijazah Mentalkinkan al-Tariq al-Ahmadiyyah

Tiap-tiap Tariqah mempunyai cara-cara tersendiri bagi menerima anggota barunya. Al-Tariqah al-Ahmadiyyah juga mempunyai cara yang tersendiri, mudah dan ringkas. Mereka yang berminat untuk menjadi pengikut Tariqah ini hendaklah menemui tokoh-tokohnya atau mereka-mereka yang diijazahkan untuk mentalkinkan Tariqah ini. Majlis ini boleh diadakan di rumah tokoh-tokoh tadi atau mereka yang telah diijazahkan atau di surau dan Masjid atau di mana-mana sahaja tempat diadakan majlis zikir atau haul.

Jika kita kembali kepada zaman yang lebih awal lagi, kita akan mendapati bahawa al-Marhum Tuan Haji Mohd Said pernah memberikan ijazah mentalkinkan al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini kepada beberapa orang murid-murid kanan beliau seperti Faqih Mohd Noor, Tuan Haji Hussain, Datuk Samad (Rembau), Tuan Lebai Ibrahim dan lain-lain lagi, tetapi sebahagiannya telah ditarik kembali ijazah mereka kerana didapati melanggar disiplin Tariqah ini (34) hanya yang diketahui Datuk Samad dan Tuan Lebai Ibrahim yang masih kekal ijazah mereka hingga ke zaman Tuan Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad(35)

Semasa al-Tariqah al-Ahmadiyyah di bawah pimpinan Tuan Haji Ahamd tidak pernah diketahui atau didengar yang beliau pernah memberikan ijazah mentalkinkan Tariqah ini kepada mana-mana murid beliau (36). Mungkin beliau berpendapat bahawa masanya tidak sesuai bagi beliau untuk berbuat demikian atau ada sebab lain yang mendorong beliau bersikap demikian, seperti beliau telah melihat dan menyaksikan bagaimana setengah murid-murid kanan ayahanda beliau telah ditarik kembali ijazah mereka kerana melanggar disiplin. Maka jika langkah yang sama diikuti oleh beliau besar kemungkinan mereka bukan sahaja melanggar disiplin bahkan akan menimbulkan fitnah dan perpecahan. Ini terbukti dengan persoalan Labai Ma’ruf dan surat terbuka (37).

Dewasa ini Ijazah mentalkin ini dipegang oleh saudara-saudara beliau seperti Tuan Hj. Mansor, mereka ini berada di Seremban dan Tuan Haji Abdul Rashid di Singapura.

Majlis Haul Dan Zikir

Di dalam mengadakan majlis haul dan zikir. Tuan Haji Ahmad amat berhati-hati supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap perjalanan Tariqah ini dan majlis-majlis zikir dan haulnya. Kerana cara berzikir ahli-ahli Tariqah ini mungkin akan menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang tidak memahami hakikatnya. Oleh itu beliau selalu mengadakan majlis-majlis zikir dan haul ini dikediamannya di Kampong Pondok Rasah dan kawasan-kawasan yang ramai pengikut Tariqah ini seperti Rembau, Linggi, Rantau, Port Dickson dan lain-lain. Di kawasan Kuala Pilah sendiri Tuan Haji Ahamad hanya mengadakan majlis ini di Kampong Terachi(39) sahaja (40), Tuan Haji Ahmad tidak mengadakan majlis seperti ini dengan berleluasa dan di dalam pemilihan tempat beliau amat teliti (41).

Majlis haul yang diadakan biasanya dibuat di kawasan Padang yang luas yang membolehkannya diadakan dalam bentuk lengkungan bulat (halaqah). Ini pernah dilakukan di halaman rumah Encik Mohd Isa, Tuan Haji Ahmad kurang gemar menggunakan Masjid Rasah sebagai tempat diadakan majlis ini kecuali jika hari hujan (42). Ini adalah mengelakkan dari mengganggu penggunaan masjid oleh orang lain yang bukan menjadi ahli Tariqah ini.

Dalam hal ini beliau berkata : Bahawa barang yang memperbuat akan dia oleh ahli bagi al-Tariqah al-Ahmadiyyah daripada berhimpun pada berzikir dan berkeliling baginya dan berpelahan baginya pada satu kelakuan dan berkuat dengannya pada satu kelakuan seperti barang yang adalah diterima daripada guru-guru mereka haruslah ianya lagi tiada ditegah bahkan adalah ia afdhal (43).

Kemudian beliau memberikan alasan-alasan kenapa dikatakan ianya afdhal, di samping menyatakan perkara-perkara yang seharusnya dijaga semasa mengadakan majlis-majlis tadi. Antara lain beliau berkata : kerana bahawa perbuatan mereka itu akan yang demikian dan berkekalanlah mereka itu atasnya pada sepanjang masa daripada ketiadaan berubah menunjuklah ia atas bahawasa demikian itu tiadalah ia melainkan mengasadkan wajah Allah Ta’ala daripada ketiadaan bahawa dirupai padanya akan ada riya’ sama sekali dan tiada dirupai menyakiti daripada mereka itu bagi orang yang tidur atau yang membaca al-Quran atau bagi yang beribadat pada satu tempat pada kelakuan yang apabila berkuat mereka itu dengannya dan mengangkat oleh mereka itu dengan ramai akan suara yang demikian itu dengan himpunan ridha dan ittifaq (44).

Majlis-majlis haul yang pernah diadakan bagi mengingati perjalanan tokoh-tokoh penting al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini ialah:

1. Saidi Ahmad bin Idris, wafat 21 Rejab 1253 H

2. Saidi Ibrahim al-Rashidi, wafat 9 Sya’ban 1291 H

3. Saidi Mohd Dandarawi, wafat 29 Muharram 1327H

4. Saidi Mohd Said al-Linggi, wafat 12 R.Awal 1345 H

Majlis-majlis haul ini diadakan bertujuan untuk mengingati tokoh-tokoh penting Tariqah ini seperti yang telah disebutkan tadi. Dengan cara diadakan setiap tahun menepati hari-hari wafat mereka. Ini akan menguatkan lagi hubungan dengan Tuan-tuan Guru dan perjalanan Tariqah seperti yang telah digaris dan dilandaskan. Ia bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah atau kerana riya’ dan sam’ah (45). Pada keseluruhannya adalah bermaksud di dalam hubungan menghormati guru dan mengenang jasa dan dalam pengertian Adab antara murid dengan guru.

Di dalam hubungan ini, tujuan Tuan Haji Ahmad amat teliti dan berhalus demi mencapai maksud di atas tadi. Selain dari berzikir, diadakan bacaan al-Quran, syarahan agama yang berbentuk nasihat, qasidah yang berbentuk puji-pujian dan tawassul kepada Tuan-tuan Guru Tariqah ini. Manaqib dan riwayat hidup serta perjalanan Tuan-tuan Guru yang kerananya diadakan haul diceritakan untuk menjadi iktibar dan ikutan. Fadhilat-fadhilat zikir, kedudukan ibadat dan perjalanan Tariqah ini pun disentuh sebagai panduan dan pengajaran bagi ahli-ahli Tariqah ini.(46)

TUAN HAJI AHMAD DI ZAMAN TERAKHIRNYA

Yang dimaksudkan dengan zaman terakhir beliau ialah zaman selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan setelah Yang Di Pertuan Agong Pertama dilantik (47). Di zaman ini beliau terlalu sibuk menghadapi golongan-golongan masyarakat yang berbeza-beza disebabkan terdedahnya beliau kepada zaman baharu beliau Mufti Negeri Sembilan, juga Mufti yang berurusan dengan Kerajaan Pusat Persekutuan, guru yang mengajar kepada murid-murid, Ketua al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang banyak pengikut di samping suami kepada empat orang isteri dan ayah hampir empat puluh orang anak. Ternyata beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna di dalam kesibukan-kesibukan tadi.

Selain dari majlis-majlis haul beliau mengadakan majlis-majlis zikir di surau rumahnya pada tiap-tiap malam Jumaat. Selain dari malam Jumaat diadakan juga zikir-zikir ini kadang-kadang dipimpin oleh murid-murid beliau, ini berdasarkan keluangan masa beliau. Tempatnya tidaklah semestinya di surau malahan juga diadakan di rumahnya sendiri. Tugas mengajar yang telah dilakukan oleh beliau sejak kembali dari Mekah diteruskan juga walau pun tidak sehebat sebelum perang dunia kedua kerana tugas-tugas lain namum ianya tetap diteruskan walau pun hanya secara sederhana sahaja hingga ke akhir hayat beliau. Masa mengajar ialah selepas subuh tiap-tiap hari hingga kira-kira jam tujuh pagi (48).

Rumah beliau sentiasa sibuk dengan orang-orang yang berziarah dengan tujuan dan maksud berbeza-beza. Ada yang menziarahi beliau sebagai tanda hormat, ada yang mengharapkan doa-doa saleh beliau, ada yang menuntut amalan doa-doa dan bermacam-macam lagi. Ini selain dari yang datang kerana ingin menjadi pengikut Tariqah atau memang telah menjadi pengikutnya. Mereka-mereka ini datang dari segala lapisan masyarakat. Dari Kota dan Desa, miskin dan kaya, dari golongan bangsawan, pembesar-pembesat, pentadbir, pegawai, alim ulamak dan rakyat biasa dan tidak ketinggalan mereka-mereka yang bukan Islam.

Meninggal Dunia

.

Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Tuan Haji Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau. Amin…

NOTA

1. Tuan Haji Muhammad Nur, adik kandung Tuan Haji Ahmad, pernah bertemu dan bermurid kepada Sidi Abu al-Abbas

2. Ahmad bin Muhammad Said, Kanzul Muid

3. Ibid hal 7.

4. Sumber lisan dari Tuah Haji Muhammad Nur

5. As-Sayyid Abu al-Abbas ialah anak kepada As-Sayyid Muhammad Al-Dandrawi yang telah memimpin Tariqat Ahmadiyyah setelah wafat ayahanda.

6. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur.

7. Sama

8. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar, Murid Tuan Hj. Ahmad hingga kini menetap bersama keluarga beliau.

9. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur

10. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

11. Sama

12. Sumber lisan dari Tuan Haji Murtadza

13. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Omar

14. Sama

15. Sumber lisan dari Tuan Imam Taat, murid tua kepada Tuan Haji Muhammad Said dan berguru juga kepada Tuan Haji Ahmad

16. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur

17. Sama

18. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

19. Tuan Haji Hassan ialah anak sulong kepada Tuan Haji Abdullah dan telah cubaditonjolkan oleh beberapa orang murid Tuan Haji Abdullah sebagai pemimpin Tariqat ini.

20. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh 15, 1956

21. Ibid

22. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh September 15, 1956

23. Ibid

24. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh September 15, 1956

25. Ibid

26. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said kepada Tuan Lebai Ma’aruf, bertarikh Julai 5, 1960

27. Sumber lisan dari Tuan Hj. Sidek Taat

28. Sumber lisan dari Tuan Hj. Daud Umar

29. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar

30. Surat dari Mufti Negeri Sembilan pada November 13, 1952, No. PUNS/216/52

31. Ahmad bin Muhammad Said, Ithaf Zawi Al-Raghban, Singapura : Jawi Press, 1358H

32. Ahmad bin Muhammad Said, Ta’aliq di atas faedah pada menyebutkan kaifiyat Tarawih sepuluh rakaat. Singapura Jawi Press, 1356H 21 halaman

33. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

34. Sama

35. Sama

36. Perkara ini telah disentuh di bawah tajuk “Pimpinan Tariqah Ahmadiyyah selepas Tuan Haji Abdullah

37. Sama

38. Jauhnya kira-kira 12 batu dari Seremban

39. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar

40. Sama

41. Sama

42. Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi tanpa tahun, halaman 14

43. Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi, halaman 15

44. Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965

45. Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965

46. Yang Di Pertuan Agong Yang Pertama ialah Tuanku Abdul Rahman, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan

47. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad ‘Abid, anak kepada Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said.

PERINGATAN :

HAUL ALLAHYARHAM AS-SHEIKH HAJI AHMAD BIN AL-SHEIKH MOHD SAID PADA 22 SYAABAN 1421H (SABTU) BERSAMAAN 18 NOVEMBER, 2000 (HAUL YANG KE – 36 TAHUN)

Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)

Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)

Dipetik daripada buku

Tokoh Ulama Silam: Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang,

Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2007

LATAR BELAKANG

Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang merupakan anak jati Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan di kampung Kanchung, Rantau, pada 16 Februari 1915, berdasarkan catatan di dalam sijil kelahiran[1]. Beliau merupakan anak hasil daripada perkongsian hidup antara ayahandanya Haji Sijang bin Kulup, dan bondanya Rahmah binti Mohd Noh. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang mempunyai empat orang adik-beradik, iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Mereka ialah Haji Mahmud, Hajjah Fatimah, Cik Rogayah, dan Itam bin Sijang yang meninggal dunia pada waktu kanak-kanak.

ZAMAN KANAK-KANAK & PENDIDIKAN

Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang ialah seorang kanak-kanak pintar, dan terang hati. Beliau mula belajar mengaji al-Quran pada usia 5 tahun daripada bapa saudara sebelah ibunya, iaitu Tuan Haji Yaakub bin Mohd Noh, dan Husin bin Maksum. Beliau Berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu Rantau dari darjah satu hingga darjah lima. Berkat dorongan dan doa ibu bapa, bapa saudaranya dan keizinan keluarga. Pada tahun 1929, Beliau mula merantau pada usia 14 tahun untuk menambah ilmu di dada. Destinasi pertama yang dituju ialah Pondok Darul Wataniah yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pondok ini diteraju oleh ulama terkemuka Tanah Melayu pada ketika itu, iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Bin Fahim, atau dikenali dengan Syeikh Abdullah Fahim. Di madrasah inilah Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang mempelajari pelbagai ilmu keagamaan seperti fiqh, tauhid, asuhan tilawah al-Quran, ulum syariah , sejarah islam, akhlak islamiah, malah ilmu falak dan lain-lain. Dalam masa Darul Wataniah di bawah kemudiran Sheikh Abdullah Fahim, tuan guru tersebut telah menggunakan pendekatan yang pragmatik[2] dan moderate[3] dalam hal pengurusan sekolah, dan dalam pengajaran. Sayugia diingati, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang dalam usia mudanya juga terdidik dengan gaya pemikiran terbuka.

Pada tahu 1931, beliau menyertai Sekolah Agama Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana mengikut gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang telah mendapat pelawaan daripada Baginda Sultan Perak ketika itu, iaitu Almarhum DYMM Sultan Yusof untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisiah. Madrasah ini terletak berhampiran dengan Istana Bukit Chandan dan menjadi tumpuan golongan istana dan pembesar Perak untuk menghantar anak-anak belajar.

Pada tahun yang sama (1931) Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah menyertai sekolah pondok yang dipimpin oleh Tuan Haji Shamsuddin bin Haji Isa, yang terletak di Beranang, Selangor.

Setelah tamat pengajiannya di pondok tersebut, beliau telah kembali ke pangkuan keluarganya semula di Kanchung, Rantau. Pada ketika itu, usianya baru mencapai 17 tahun. Namun beliau telah menunjukkan keperibadian dan akhlak yang tinggi, dengan menjadi siak dan bilal muda masjid Kampung Kanchung. Selain itu, beliau membantu bapa saudaranya mengajar anak-anak kampung mempelajari al-Quran. Untuk menyara kehidupan, beliau menorah getah di kebun milik keluarganya, di samping melakukan kerja-kerja kampung. Walaupun pada usia yang muda, dan masih dalam tanggungan ibubapa, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah menujukkan sikap berdikari, dan bertanggungjawab. Justeru beliau sentiasa menjadi contoh kepada rakan seangkatannya, dan mendapat pujian di kalangan yang lebih tua daripadanya.

Sebagai seorang pencinta ilmu, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang sentiasa menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya ke Makkah. Sayugia diberitahu, beliau mendapat inspirasi ini daripada mantan guru kesayangannya, Sheikh Abdullah Fahim yang lahir dan membesar di Makkah. Dalam pada itu, muncul pula Pergerakan Melayu Muda (KMM) yang bergerak cergas bagi menjana perubahan khalayak umat islam melalui penulisan Majalah al-Imam, yang dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaluddin al-Falaki dan rakan-rakannya. Hal ini telah merangsang semangat Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang untuk menambah ilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan Negara.

Sebagai langkah mempersiapkan diri untuk tujuan itu, pada tahun 1935, pada usia 20 tahun, beliau telah berangkat ke Pondok Pasir Mas, Kelantan, dan menuntut di sana selama 3 tahun. Akhirnya pada tahun 1937, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah berangkat ke Makkah dan belajar di Madrasah Solatiyah hingga ke peringkat tinggi. Semasa di Makkah, beliau telah mendalami Tarikat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Shafie bin Mohd Salleh bin Abdul Rahman[4], anak murid kepada Syed Ismail Nawab, yang juga pembantu kanan kepada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Adapun Tuan Guru Mohd Shafie merupakan ulama tasawwuf yang mengajar di Kota Makkah, dan menerima ijazah tarikat sezaman dengan Tuan Tabal dan Sheikh Mohd Sa’id al-Linggi.

Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang berada di Makkah selama 13 tahun, dan kembali ke tanah air pada tahun 1948. Kejayaan Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang menamatkan pengajian di Madrasah Solatiyah amatlah membanggakan. Hal ini kerana kedatangan beliau di Makkah, bukan dilimpahi kemewahan malah beliau hanya dibekalkan dengan tambang oleh ayahandanya, di samping doa dan restu keluarga. Namun, apa yang nyata ialah ketinggian peribadi menjadikan beliau amat disenangi oleh guru-guru dan rakan sepengajian.

KEHIDUPAN BERKELUARGA

Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang dijodohkan oleh orang tuanya dengan calon pilihan keluarga iaitu Hajah Siti Tijah binti Sani sekembalinya dari Makkah pada April 1948. Pada ketika itu, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang berumur 31 tahun sementara isterinya berusia 13 tahun. Hasil daripada perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan zuriat seramai tiga orang. Mereka ialah Latifah Haji Abdullah, lulusan Universiti Malaya yang kini mengikut suaminya yang bertugas sebagai Diplomat di Hanoi, Vietnam. Anak kedua ialah Abdul Wahid Abdullah, lulusan Institut Teknologi Mara, dan kini bertugas di Bank Negara Kuala Lumpur. Anak bongsu, Mohd Fauzi Abdullah, lepasan Institut Teknologi Mara, kini menetap bersama bondanya, Datin Hajjah Tijah binti Sani yang tercinta di kediaman mereka, di perkarangan Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang, Port Dickson. Dengan ketokohan dan jasa Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang, masjid tersebut dimatrikan dengan nama beliau.

LATAR BELAKANG DATIN HAJJAH TIJAH BINTI SANI

Datin Hajjah Tijah binti Sani dilahirkan pada 1936, di Kampung Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak kepada pasangan Sani bin Haji Khamis dan Siti binti Maarof. Beliau sempat memasuki alam persekolahan selama dua tahun di Sekolah Melayu Siliau, dan kemudiannya terhenti kerana penaklukan tentera Jepun.

Datin Hajjah Tijah binti Sani bertemu jodoh dengan Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang ketika umurnya 13 tahun. Sebagai anak dara sunti, beliau menimba ilmu dunia dan akhirat dengan ayah dan bonda serta suaminya. Tanpa pendidikan formal, beliau berjaya membantu suaminya mendidik anak-anak sehingga berjaya. Falsafah beliau ialah sentiasa patuh dan taat kepada suami dan memberi sepenuh tumpuan kepada urusan rumahtangga. Sifat peribadi beliau lemah lembut, tetapi tegas dan sabar serta sentiasa menyokong perjuangan suami yang menjadikan keluarga Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang sentiasa aman dan bahagia.

Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang amat menekankan pendidikan agama dalam membentuk keperibadian anak-anaknya. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang membuat peraturan supaya anak-anaknya wajib khatam al-Quran sebelum usia baligh. Dalam konteks pemilihan kerjaya anak-anak, beliau dianggap seorang yang agak liberal[5].

Beliau memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak untuk membentuk dan memilih kerjaya masing-masing. Walaubagaimanapun asas pendidikan agama amat ditekankan kepada anak-anak. Beliau dan isteri sentiasa mengambil tanggungjawab membimbing anak-anak dalam aspek kerohanian.

PERKEMBANGAN KERJAYA DATO’ HAJI ABDULLAH BIN HAJI SIJANG

Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah dilantik menjadi Naib Kadi Pantai pada Jun 1949. Sumber yang rapat dengan Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang menyatakan bahawa, beliau hanya bersetuju menerima perlantikan tersebut setelah dipujuk oleh Sheikh Ahmad al-Haj, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu. Dikatakan bahawa, Sheikh Ahmad telah mengunjungi kediaman Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang sebanyak dua kali. Lantaran sifat zuhud beliau, tawaran tersebut ditolak pada kali pertama, kerana Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang merasakan dirinya tidak layak untuk memikul tanggungjawab tersebut. Setelah diyakinkan dan dipujuk oleh Sheikh Ahmad yang juga merupakan rakan dan idolanya, barulah Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

Pada tahun 1957, beliau telah dilantik menjadi Kadi Port Dickson menggantikan Tuan Haji Abdul Malik yang telah dinaikkan pangkat menjadi Kadi Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 1962, Majlis Mesyuarat Agama Negeri Sembilan telah mengesahkan perjawatan Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang sebagai Kadi Besar Port Dickson. Beliau telah berkhidmat sehingga tahun persaraan 1970, dan disambung kontrak perkhidmatannya sehingga tahun 1979.

Semasa memulakan khidmatnya, beliau menerima gaji sebanyak RM 160.00 sebulan dan gaji maksimum yang diterima pada akhir perkhidmatannya ialah RM 425.00. Sementara itu, bayaran pencen yang diterimanya ialah RM 270.00 sebulan.

Sebelum 1963, beliau menjalankan tugas sebagai Kadi secara bersendirian di kuarters jalan Seremban. Hanya pada tahun 1963, kerajaan telah melantik seorang pembantu pejabat bagi membantu tugas-tugas Kadi. Sebagai Kadi, beliau menjalankan tugas yang pelbagai, antaranya mendaftarkan nikah, kahwin/cerai, menjaga urusan masjid sekitar Port Dickson, dan urusan lain bagi masyarakat Islam di sekitar Port Dickson. Masalah kekurangan tenaga kerja, kekurangan peralatan pejabat dan masalah komunikasi pada sekitar tahun 1950-1960-an adalah antara masalah umum yang dihadapi oleh kadi-kadi pada zaman tersebut. Hal ini disahkan oleh Yang ‘Arif Dato’ Hussin bin Harun, Ketua Hakim Syarie hari ini di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Menurut Yang Arif Dato’ Hussin, kadi-kadi pada zaman tersebut diselia oleh Kadi Besar, selain rujukan terus dibuat kepada Mufti Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, kadi-kadi daerah sering menggunakan budi bicara dan inisiatif masing-masing dalam tugasan mereka oleh sebab masalah kekurangan infrastruktur dalam pentadbiran. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah awal tahun 1980-an, sewaktu Yang Arif Dato’ Hussin memulakan perkhidmatan sebagai Kadi.

Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah berkhidmat sebagai Kadi Port Dickson sehingga tempoh persaraan wajib beliau pada tahun 1970. Memandangkan ketokohan beliau tiada tandingan, Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju memanjangkan tempoh perkhidmatannya sehinggalah tahun 1979. Pada tahun 1980, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan, sehinggalah pada tahun 2000.

SUATU KEHILANGAN

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Amr al-‘As r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

(Hadith Riwayat Muslim)

Justeru itu kehilangan beliau sebagai salah seorang tokoh agama amat dirasai oleh umat Islam di Negeri Sembilan khususnya di daerah Port Dickson. Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang pulang ke rahmatullah pada jam 3:55 petang 25 Mei 2003 di Hospital Daerah Port Dickson dalam usia 89 tahun. Semoga Allah s.w.t menempatkan rohnya di kalangan orang yang beramal soleh dan muttaqin.

Al-Fatihah

[1] Waris dekatnya berpendapat, Allayarham lahir pada tahun 1914.

[2] Mempunyai sifat atau pendirian yang lebih mementingkan (mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori. Bersifat praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan akibat yang sebenarnya terdapat atau akan timbul – Kamus Dewan cetakan kelima edisi ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000

[3] Tidak keterlaluan / sederhana – Kamus Dewan cetakan kelima edisi ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000

[4][4] Beliau ialah Muhammad al-Syafie bin Muhammad Saleh bin Abdul Rahman yang berasal dari negeri Kedah. Beliau terkenal sebagai seorang sufi di kalangan ulama’ Tasawwuf di Mekah di antara akhir kurun yang ke-19 dan permulaan kurun ke-20 Miladi. Tarikh kelahiran beliau yang sebenar tidak dapat diketahui secara tepat tetapi tarikh beliau meninggal dunia ialah pada tahun 1950 Miladi di Mekah seperti yang disebut oleh banyak riwayat.

Tok Syafie telah berumah tangga dengan seorang wanita berbangsa Arab dan perkahwinan itu kekal hingga ke akhir hayat. Menurut dari seorang muridnya, Haji Mansor bin Haji Said, Tok Syafie ialah seorang Sufi yang mahsyur yang memiliki berbagai-bagai keajaiban. Antaranya beliau menyatakan, “Apabila Tok Syafie mengajar Ilmu Tasawwuf kepada para murinya, maka mengalirlah rasa takjub ke dalam hati-hati mereka. Hal ini adalah kerana beliau mengajar dalam keadaan menangis khususnya apabila menyentuh persoalan zat Allah Taala dan sifat-sifat-Nya. Allah telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dan keistimewaan. Apabila beliau bercerita tentang Allah dan syurga, seolah-olah syurga berada di hadapan para pendengar. Begitulah juga halnya apabila beliau mensifatkan serta menjelaskan perihal gerhana matahari dan bulan serta warna-warni serta warna-warni yang meliputi peristiwa tersebut, para pendengar seolah-olah melihat warna hijau, kuning, biru dan lain-lain berada di hadapan mereka serta seakan-akan mereka dapat menyentuhnya.

Kemudian apabila beliau menjelaskan sifat air laut yang masin, kami seolah-olah melihat laut terbentang di hadapan kami. Tok Syafie sangat suka memuji ayah kami yakni Sheikh Muhammad Said khususnya apabila saya dan Sheikh Ahmad ada bersama-sama di dalam pengajiannya dan pengajian yang dihadiri oleh anak-anak muridnya sendiri. Ya! Tok Syafie ini memang memiliki maqam kasyf yang hebat di samping karamahnya yang lain. Beringat-ingatlah kamu!

Adapun Sheikh Daud yang telah dijelaskan tentangnya sebelum ini adalah seorang daripada murid Tok Syafie. Di samping itu antara muridnya yang lain termasuklah Sheikh Mansor bin Muhammad Said dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Said al-Linggi, Sheikh Abdul Rahman bin Othman, Sheikh Tok Selehor, kedua-duanya ulama yang terakhir ini adalah dari Kelantan.

Tarikat Ahmadiah mula berkembang di Mekah al-Mukarramah. Kemudian melalui anak-anak murid Tok Syafie dari Asia Tenggara khususnya Malaysia, Ilmu Tasawwuf serta tarikat Ahmadiah telah berkembang dengan pesatnya.

Dalam pengajarannya, Tok Syafie menggunakan kitab-kitab Tasawwuf berbahasa Melayu seperti kitab al-Minhal al-Sofi karangan Sheikh Daud Fathani, Syarh al-Hikam al-‘Athaiyyah terjemahan Sheikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis), Syarh al-Hikam Abu Madyan oleh Sheikh Daud Fathani dan Dur al-Nafis oleh Sheikh Muhammad Nafis al-Banjari. Tok Syafie juga mengajar Ilmu Tasawwuf falsafah menurut acuan al-Syeikh al-Akbar ibnu ‘Arabi berpandukan kitab Fusus al-Hikam dan lain-lain. Selain itu, Tok Syafie juga menghasilkan karyan berbahasa Melayu ketika berada di Mekah seperti Kanz al-Sa’adah Fi Bayan Istilahat al-Sufiyyah. Kitab ini masih lagi dalam bentuk manuskrip. Di samping itu, beliau juga adalah khadam kepada al-Tariqat al-Ahmadiah.

[5] Liberal : Berfikiran terbuaka, berpandangan bebas, fahaman bebas

Allahyarham Tuan Haji Maarof bin Yaakob (1901-1994)

Allahyarham Tuan Haji Maarof bin Yaakob (1901-1994)

Khalifah ke 37 Tarekat Naqsyabandiah, Negeri Sembilan

Ehsan daripada: http://ulamakito.blogdrive.com/

Latar belakang guru

Tokoh yang kita bicarakan ini berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan iaitu sebuah mukim yang bersempadan dengan kawasan Ulu Langat Selangor. Kawasan ini lebih mudah dihubungi melalui jalan Kajang- Seremban. Sebahagian besar penduduknya ialah berasal dari tanah seberang khususnya masyarakat Minangkabau. Tuan Haji Maarof dilahirkan pada tanggal 1901 bersamaan lebih kurang tahun 1322H pada hari Selasa pukul 10.00 pagi di sebuah pondok tengah sawah Kampung Sungai Bunga. Anak pertama bagi pasangan Yaakob Haji Saman dan Siti Hajar Haji Arshad asalnya diberi nama Muhamad Jinid, namun bayi ini sering menghadapi masalah dan mengikut kepercayaan orang-orang tua nama tersebut tidak serasi bagi batang tubuh anak. Lalu ditukarkan kepada Maarof dengan harapan akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Nenek moyang sebelah ibunya berasal dari tanah Jawa. Neneknya bernama Inah dan bapanya Haji Arshad dari Jawa Tengah. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan berkampung di Pulau Besar. Keluarga ini akhirnya masuk suku mengikut adat negeri ini iaitu berperut kepada Suku Biduanda. Manakala sebelah bapanya berasal dari Tanah Minang dan bermukim pula di Kampung Ampang Penajis. Di sanalah bapanya dilahirkan dan ternaung di bawah Suku Batu Hampar.

Mereka berpindah ke Lenggeng dalam sekitar tahun 1895. Di sinilah ibu dan bapanya bertemu jodoh. Lima tahun kemudian, mereka dikurniakan cahaya mata. Pondok penginapan mereka terletak kira-kira di hadapan Masjid Mandom sekarang.

Pendidikan

Meningkat usia 7 tahun, Maarof pun menjejakkan kakinya di Sekolah Melayu Pekan Lenggeng kira-kira 2.5 km dari rumahnya. Sekolahnya hanya beratapkan rumbia dan berdinding papan di tepi sawah. Di sinilah ia bersekolah hingga menamatkan darjah 5. Kemudian beliau terpilih melanjutkan pendidikan dua tahun lagi sehinggalah lulus peperiksaan peringkat sekolah rendah. Haji Maarof mendapat nombor ke lapan dari 2,550 murid yang mengambil peperiksaan itu. Kejayaan ini membuka peluang kepada beliau untuk menjadi guru kecil (pelatih) dan diterima mengajar di Sekolah Melayu Pantai, Jalan Jelebu. Sebagai tanda kelayakannya, Kerajaan British ketika itu menganugerahkan beliau ‘Certificate For Standard V’ ( 30 Jun 1917) dan ‘Certificate Of Registration Of A Teacher’ pada 28 Oktober 1921. Haji Maarof kemudiannya berpindah pula ke Sekolah Melayu Mantin (1918). Beliau bertemu jodoh dalam tahun 1921 berkahwin dengan seorang gadis bernama Ghina bt Muhamad Nuh.

Anggota M.V.I

Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan kolonial British telah menubuhkan pasukan tentera simpanan yang dikenali sebagai Malayan Voluntary Infantry ( MIV) di negeri ini. Maarof telah berkhidmat dalam pasukan ini ketika masih menjadi guru. Beliau memakai nombor 1619 M.V.I dan terpaksa berlatih 2 kali seminggu di Seremban dan kemudiannya latihan intensif selama 2 tahun di Kem Batu 4 Port Dickson dalam tahun 1922. Mungkin tempoh tersebut juga beliau ditukarkan ke Sekolah melayu Bagan Pinang, Port Dickson. Beliau berkhidmat dalam pasukan beruniform ini hingga tahun 1924.

Letak jawatan

Dalam tahun 1925, beliau dipindahkan pula ke Sekolah Melayu Beranang. Di sinilah Haji Maarof meletakkan jawatan sebagai guru secara sukarela dengan gaji terakhir sebanyak $18.70 sebulan. Bagi memenuhi masa lapangnya, beliau belajar memandu kereta sehingga memperolehi lesen memandu. Selepas itu beliau memandu kereta sewa ke Seremban dan bersawah padi di kampung.

Cita-cita mengaji di pondok

Tuan Haji Maarof pernah bercita-cita belajar ilmu agama secara mendalam. Antara negeri-negeri sasarannya ialah Pantai Timur, Pattani dan Kedah. Dalam diam-diam beliau pergi mendapatkan akuan dari Dato’ Klana Petra Luak Sungai Ujong yang menyatakan Maarof adalah anak buahnya dan menyokong hasrat beliau untuk merantau menuntut ilmu agama. Surat akuan itu diperolehi bertarikh 4 Mac 1925. Sayangnya, hasrat beliau tidak mendapat restu ibunya.

Merantau ke Jambi

Sebetulnya, Haji Maarof masih menanam tekad untuk menuntut ilmu agama dan dalam tahun 1925, beliau memberanikan diri meminta izin ibunya untuk ke Jambi pula. Tujuan beliau ialah untuk mencari wang belanja bagi meneruskan cita-citanya menuntut ilmu agama di Pantai Timur. Kali ini ibunya mengizinkan, anak muda yang taat kepada ibu dan bapanya itupun bertolaklah ke Singapura bersama pak ciknya. Mereka bermalam di masjid Kg Jawa sebelum belayar ke Jambi.

Di Jambi, Haji Maarof bekerja membersihkan kebun getah dan sebagai pemandu bot tambang di Sungai Jambi. Kemahirannya memandu dan boleh membaik pulih injin itu telah menarik minat penduduk di Pekan jambi untuk mendapat khidmatnya. Beliau balik ke Lenggeng semula setelah dimaklumkan ibunya sakit merinduinya. Kemudian beliau bekerja sebagai ‘Revenue officer grade III di Kuala Lumpur dengan gaji bulanan sebanyak $35 dan tambahan $5 untuk elaun basikal. Dia bertugas bermula 11 April 1927 hingga 31 Oktober 1928. Setelah itu Haji Maarof bertukar beberapa kerja sehinggalah mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya.

Mengambil Tarekat

Ketika mengajar di sekolah Mantin dalam tahun 1920, Haji Maarof mengambil tarekat daripada Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad bin Muhamad al-Baqir di Pantai, Seremban. Sekembalinya dari Jambi itu, Haji Maarof mula bersuluk. Suluk pertamanya selama 20 hari dan gurunya mengarahkannya membuat tahlil sebanyak 4 khatam selama sebulan.

Dinyatakan aktiviti bersuluk telah lama diamalkan di kawasan Lenggeng. Surau suluk pertama dicatatkan ada sejak tahun 1901 di bawah pimpinan Syeikh Kubung. Kemudian pusat-pusat bersuluk tumbuh di sana seperti di Kampung Tengah pimpinan Haji Mustaffa, Kg Suluk pimpinan Tuan Faqih, Kg Sungai Macang oleh Haji Abdullah Haji Ismail dan di Kg Dacing pimpinan Haji Said dan Syeikh Muda. Dilaporkan di Kg Dacing itu ramai murid-murid berasal dari tanah seberang.

Ijazah Khalifah

Awal tahun 1940an, Haji Maarof menumpukan masanya berguru sambil bersuluk di surau Syeikh Haji Ahmad bin Mohd Albaqir di Pantai, Seremban. Tuan guru itu telah lama mengadakan majlis ilmu di sana dan beliau merupakan khalifah tarekat Naqsyanbandi kholidiah ke 36 dan murid kepada Syeikh Ali Redha yang bermastautin di Jabal Qubais Mekah al Mukarramah, penyusun muat turunkan kedudukan lokasi Qubais ini sebagaimana catatan pengembaraan Ibnu Battutah iaitu:

“Makkah ialah sebuah kota yang besar dan mempunyai bangunan-bangunan yang rapat-rapat. Ia berbentuk bujur dan terletak di dasar sebuah lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau. Pengunjung yang datang tidak akan dapat melihat kota tersebut hingga ia benar-benar sampai di situ. Bukit-bukau yang mengelilinginya itu tidaklah begitu tinggi. Antara bukit tersebut ialah Jabal Abu Qubais dan Jabal Qu’aiqi’an iaitu dua buah Jabal al-Akhsyaban. Jabal Abu Qubais terletak di sebelah selatan kota Makkah dan Jabal Qu’aiqi’an pula di sebelah baratnya. Di sebelah utaranya terletak Jabal al-Ahmar. Bersebelahan dengan Jabal Abu Qubais pula terletak Ajyad al-Akbar dan Ajyad al-Asghar, kedua-duanya curam serta sempit selain Jabal al-Khandamah yang akan diceritakan kemudian. Tempat-tempat untuk melaksanakan haji iaitu Mina, ‘Arafah dan Muzdalifah, semuanya terletak di timur Makkah. ”

Berkat kesungguhan dan mujahaddah Haji Maarof ketika menuntut dengan Syeikh Haji Ahmad itu maka beliau terpilih untuk diijazahkan Khalifah Tarekat dalam tahun 1941. Ketika bertawajuh dalam tahun 1942, Haji Maarof mengalami sakit teruk hingga melemahkan tubuhnya. Gurunya mengarahkan murid-murid menyediakan setin minyak tanah air sejuk yang dibacakan surah Yassin. Selepas khatam tawajuh, Maarof dipimpin rakan-rakannya ke bawah jambatan sungai yang tidak jauh dari surau suluk mereka. Di atas batu tengah sungai itulah Haji Marof dimandikan. Dia begitu bersyukur kerana selepas dimandikan, tubuh badannya kembali sehat dan mampu berjalan tanpa dipapah lagi.

Memimpin jamaah

Selepas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Haji Ahmad al-Baqir pada 1 Syaaban 1362 H bersamaan 30 Julai 1942, Haji Maarof terus bersuluk dengan Haji Abdullah Haji Ismail di Suluk Sungai Bunga. Haji Abdullah dianggap guru dan abang tua dalam aliran tarekat ini. Haji Abdullah telah menulis ijazah ( bertarikh 28 April 1952) boleh memimpin tawajuh dan menyuluk bagi Haji Maarof yang tidak sempat ditulis oleh Syeikh Haji Ahmad dalam tahun 1942. Bertawajuh dengan Haji Abdullah berjalan hinggalah Haji Abdullah meninggal dunia lebih kurang tahun 1953/54.

Peninggalan Haji Abdullah, jamaah masih bertawajuh di Masjid Mandom setiap malam Selasa dan Jumaat di bawah pimpinan Haji Maarof. Kemudian mereka berpindah pula ke bangunan sekolah lama yang telah ditinggalkan dan lebih kurang 10 tahun pula mereka menggunakan bangunan tersebut. Akhirnya, dengan kesepakatan jamaah dan gotong royong telah didirikan surau baru di Kg Hilir pada 23 Ogos 1965. Surau suluk ini telah didaftarkan di Pejabat Agama dan kebenaran bertulis untuk menjalankan aktiviti keagamaan turut diberikan oleh pihak berwajib. Dato Klana Petra, Undang Luak Sungai Ujong turut berkenan hadir di hari penutup suluk tahun tersebut. Walau bagaimanapun, jamaah ini tidak lepas dari fitnah orang yang tidak memahami aliran bersuluk atau bertarekat. Surat bantahan dari individu yang ditujukan kepada pihak berwajib telah dilayangkan tetapi kelulusan Pejabat Agama Negeri telah lama diperolehi. Malah dalam surat sokongan jabatan agama negeri bertarikh 23 Disember 1975 antara lain menyatakan:

“..Jabatan ini adalah sentiasa memberikan sokongan kepada apa-apa kegiatan keagamaan dan kerohanian yang boleh membawa masyarakat Islam di negeri ini kembali kepada Allah..”

Mereka juga berharap Tuan Guru Haji Maarof bin Yaakob akan dapat memimpin masyarakat Islam khasnya di kalangan jenerasi muda ke arah menghayati ajaran agama dan bertakwa.

Aktiviti jamaah

Surau telah diperbesarkan sesuai dengan pertambahan murid atau jamaah yang mengikuti majlis pimpinan Haji Maarof. Ramai pengunjung datang menyertai aktiviti di sini dari merata pelusuk negeri termasuk dari Singapura. Setiap majlis penutup suluk, jamaah akan mengadakan kenduri dan jiran-jiran berhampiran yang tidak bersuluk pun turut dijemput serta dalam kenduri tersebut. Apabila datang hari raya, program menziarahi tuan guru dan majlis korban turut diadakan. Haji Maarof akan diwakilkan untuk menyembelih binatang korban murid-murid beliau.

Penutup

Ratusan orang muridnya telah diberi pengakuan mengambil tarekat dan dibenarkan mengadakan tawajuh di masa hidupnya. Mereka adalah dari semua lapisan masyarakat dewasa dan berlatar belakang berbagai profession dari merata negeri. Tidak kira lelaki atau wanita yang ingin mencari keredhaan Ilahi tidak akan dihampakan oleh Tuan Guru yang soleh itu. Dipercayai bilangan murid bagi aliran Naqsyabadiah Kholidiah telah mencapai ribuan orang di merata pelusuk negeri. Selepas pemergiannya, difahamkan majlis tawajuh di surau itu masih diteruskan oleh menantunya Sheikh Talib.

Hasil perkongsian hidup dengan Hajah Fatimah Idris ( isteri kedua), Almarhum telah dikurniakan 8 cahaya mata dan mewarisi cucu cicit yang ramai. Isteri beliau meninggal dunia pada 7 Jun 1987 bersamaan 9 Ramadhan 1407H. Manakala Tuan Guru Syeikh Haji Maarof kembali ke rahmatullah pada tanggal tahun 1994. Kita berdoa agar jasa dan perjuangan almarhum khalifah Naqsyabandiah Kholidiah ini mendapat tempat di sisi Allah.

Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin ( 1875 – 1926 )

Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin ( 1875 – 1926 )
Pengasas Tareket al-Ahmadiah di Negeri Sembilan

Ehsan daripada: http://www.alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

Nama lengkap Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi.

Datuknya, Haji Idris adalah anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin ‘Amaluddin bin Awaluddin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini adalah kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato’ Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi(1783) di Negeri Sembilan.

Satu sumber lain mengatakan nasab sebalah datuk bapanya sampai ke Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut.

Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama’ Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram semasa bermukim di kota Makkah. Dia terkenal zahid, berpendirian memada ( qana’ah ) dan dikurniakan pelbagai karamah. Diceritakan pada hari kematiannya, dia tidak meninggalkan sebarang wang walau sesen pun!

Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang Qurra’ yang terkenal elok bacaanya lagi penyantun. Pernah menjadi guru Qira’at al-Quran baik semasa tinggal di Makkah mahupun ketika berada di Patani. Murid-muridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai.

Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani pula adalah seorang tokoh ulama’ yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan beberapa banyak keistemewaan yang tersendiri.

Ringkasnya, Muahmmad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama’ yang terkemuka dan alim turun-temurun.

Kelahirannya:

Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi’b Ali Makkah pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Sya’ban tahun 1292 yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875.

Dipelihara ibu dan neneknya(Hajjah Mariam) . Ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi.

Zaman Remajanya:

Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan disana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun.

Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seorang yang fasih dalam bidang qiraat al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan membentuk peribadinya.Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong sebagai seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula akalnya.

Guru-guru Awalnya:

Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani(Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato’ Semela), Dato’ Nahu dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari Negeri Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Nahu dan macam-macam ilmu lagi. Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani.

Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan ada ketika-ketika mengalir kedua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.

Setahun kemudian(1888), bapanya meninggal dunia semasa berusia 54 tahun(Hijri). dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.

Ke Makkah:

Pada tahun 1892, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut:-

Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
Syaikh Muhammad Nawawi al-Batani
Syaikh Abi Bakr Syata
Syaikh Ahmad al-Manshawi
Syaikh Umar al-Shami
Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi’i)
Syaikh Abdul karim al-Daghastani
Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
Syaikh Zainuddin Sumbawa
Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan
Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani

Ke Madinah:

Muhammad Said termasuk di kalangan penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana menziarahi makam Rasulullah(sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja’far al-Barzanji, Mufti Shafi’i.

Ke Mesir:

Kemudian meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan akhirnya ke negara Mesir melanjutkan ilmu tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Disana beliau mendalami ilmu-ilmu syara’, naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syaikh al-Jami’ al-Azhar iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syaikh Ahmad al-Rifa’I al-Malikki, iaitu sebesar-besar ulama’ Mazhab Malaiki di dalam Azhar zaman itu(1896).

Pulang Ke Makkah:

Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Belajar ilmu tarikat dengan Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah(bersamaan pertengahan April 1901).

Alhasilnya, guru Muhammad Said berjumlah 50 orang lebih. Beliau diketahui alim dalam ilmu-ilmu alat, Usuluddin, Fiqh empat mazhab; juga ilmu ruhani, Hikmat, Falsafah, al-Quran dan sebagainya.

Sahabat-sahabatnya:

Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Husain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al-Azhari Makkah dan ramai lagi.

Pulang Ke Tanahair:

Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarikat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah atau wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.

Di samping itu, beliau begitu berani cuba mengikiskan perbuatan bid’ah, pegangan khurafat dan amalan yang didapati bertentangan dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya tindakan Haji Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Namun berkat kesabarannya pemimpin tarikat ini akhirnya dapat mengumpul ramai pengikut setia.

Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo China(Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan.

Di Kelantan:

Ketika Sheikh Muhammad Said tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun mengembang ajaran tarikat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut dan di Langgar.

Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Sheikh Muhammad Said menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan atau terpelajar. Seiring dengan itu beliau juga mengedarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id sebagai teks panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan pengertian ayat di dalan risalat al-Fawa’id telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.

Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Said terlalu cepat sehingga menimbulkan rasa majdhub(semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang keras oleh sebahagian besar ulama’ Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama’ yang lain. Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syaikh Wan Ahmad al-Fatani sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini.

Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syaikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar bertarikh 5 Safar 1324 (Bersamaan 30 Mac 1906).

Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mertuanya. Sheikh Haji Muhammad Said telah berkahwin dengan Hajjah Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah suci lagi. Ketika itu Hajjah Safiah sudah pun janda, berikutan kematian suami pertamanya di Makkah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.

Anak-anaknya:

Sepanjang hayatnya Sheikh Haji Muhammad Said disebut-sebut berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.

Berikut disenaraikan anak-anaknya yang agak terkenal:

Sheikh Haji Abdullah(1905-1956), Kampung Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tarikat Ahmadiyah selepas kematiannya.
Sheikh Haji Ahmad(6 Apri 1910-7 Januari 1964). Khalifah yang kedua selepas Sheikh Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah(1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (1950).
Sheikh Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah yang ketiga selepas Sheikh Haji Abdullah dan Sheikh Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura.
Sheikh Haji Mansor,Ampangan,Seremban(meniggal 1981)
Sheikh Haji Muhammad Nor(meninggal 1981)
Sheikh Haji Muhammad Hamid
Sheikh Haji Ibrahim(dengan isterinya Hajjah Wan Safiah Kota Bharu)
Haji Mahadi(1914-20 Februari 1983), Taman Maluri,Kampung Pandan.Kuala Lumpur.

Peribadinya:

Sheikh Haji Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama’ yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu’, pemalu, pemurah, wara’, kuat beramal dan berkhalwat. Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul.

Beliau suka menolong orang yang dalam kesusahan. Memandang makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih-sayang. Semenjak menuntut ilmu di Makkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihan-kelebihan wara’, salih serta keramatnya.

Sebagai seorang ulama’ yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan, beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad,Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 ogos 1933) dan amat disayangi Dato’ Kelana Ma’mur(1889-1945).

Karya Tulisannya:

Walaupun Sheikh Haji Muhammad Said ada menghasilkan beberapa banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakannya belum dicetak dan sukar diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuaniyyat fi Qawa’id al-Tarikat al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasai’l Jawiyyah. Selesai terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistemewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab al-Irfaniyyah.

2. al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap ditulis di Bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323(18 Jun 1905). Berukuran 18 ½ x14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb.

3.Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba.

4.Sullam al-Ta’rif ila ‘Ilm al-Tasrif(ilmu sarf)

5.Risalah Fath(juga mengenai ilmu Sarf).

6.al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris.

7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih 10 rakaat.

8.Perjalanan mendirikan Jumaat.

9.Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya.

10.Manuskrip syair arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan kekarutan mereka.

Meninggal Dunia:

Ajalnya tiba pada malam Ahad, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 18/19 September 1926 ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan.Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di Bandar Seremban. Semoga Allah mencucuri rahmat Nya ke atas roh beliau.

Sebagai mengenang jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dinamakan sempena namanya: SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS ).

Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al-Baqir (1876-1942)

Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al-Baqir (1876-1942)

Khalifah Tarekat Naqsyabadiah Kholidiah ke-36, Khalifah Terawal Tarekat Naqsyabadiah di Negeri Sembilan

Ehsan daripada: http://ulamakito.blogdrive.com/

Prakata:

Dalam menyingkapkan sejarah perkembangan aliran tarekat di Negeri Sembilan dan Tanah Melayu amnya, kita bagai terlupa kepada pembawa asal tarekat Nasyabandiah al-Kholidiah di negeri pengamal adat perpatih ini iaitu Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad al-Baqir ini. Beliau kiranya adalah sezaman dengan kehadiran Syeikh Muhamad Said al Linggi yang mengasaskan tarekat Ahmadiah di negeri kita.

.

Latarbelakang dan Sejarah Syeikh

Dicatatkan bahawa Syeikh Haji Ahmad pernah menuntut dan bermukim di bumi Mekah al-Mukarramah. Di sanalah beliau menerima ijazah Khalifah tarekat dari Syeikh Ali Redha yang menetap di Jabal Qubais. Syeikh Ali Redha pula adalah pewaris ke 35. Almarhum Haji Ahmad dikatakan waris kepada Dato Kelana Sungai Ujung dan balik membuka surau suluk di Pantai sejak awal 1900 lagi.

Syeikh Haji Ahmad adalah keturunan akrab kepada pewaris Dato’ Klana. Zaman mudanya beliau dilantik ke jawatan Dato’ Laksamana dan mendapat didikan agama hingga di Mekah al-Mukarramah dalam usianya 20an. Beliau mungkin dilahirkan dalam tahun 1876 dan mengenali Syeikh Muhamad Said al-Linggi ulama terkenal dan pembawa Tareqat Ahmadiah yang dominan di Negeri Sembilan. Dalam tempoh tersebut ramai anak watan bermukim di kota suci Mekah untuk belajar agama.

Menariknya, kepulangan Syeikh Muhamad Said ke tanah air seakan sekapal pula dengan Syeikh Haji Ahmad. Kedua anak watan yang alim ini terus membuka pusat pengajian di kampung masing-masing dalam mukim Luak Sungai Ujong ini. Antara pusat pengajian masing-masing hanya sekadar 10 km sahaja dan pondok mereka menjadi tumpuan ratusan murid-murid yang datang dari berbagai tempat untuk menimba ilmu agama dari dada orang alim ini. Dua bahtera besar yang mengibarkan panji-panji kesufian Ahmadiah dan Naqsyabandiah terawal di negeri beradat. Sejak kehadiran Syeikh Haji Ahmad inilah, penduduk negeri mula mengenali tuwajjuh dan bersuluk.

Melalui didikan dan pengawasan Syeikh inilah, ramai murid berjaya menjalani program tawajuh dan bersuluk. Haji Maarof Yaakob adalah antara anak murid bongsunya yang sempat menerima ijazah pada tahun 1942. Dikatakan semasa mengadakan program bersuluk terakhir dalam tahun 1942, Syeikh Ahmad telah begitu uzur namun beliau masih menggagahi untuk menaiki tangga surau bagi menyertai majlis. Surau suluknya kira-kira 10 kaki sahaja dari pintu rumahnya. Adakalanya beliau akan diusung di atas kerusi oleh anak muridnya untuk naik ke surau.

Meninggal Dunia

Hari jumaat sesudah magrib, 1 Syaaban 1362H bersamaan 30 Julai 1942 Tuan Guru yang soleh ini telah pergi menemui kekasihnya yang abadi. Jenazah dikebumikan pada hari Sabtu hari berikutnya di tanah perkuburan Pantai kira-kira 15 rantai dari suraunya.

Allahyarham Tuan Guru Hj. Ibrahim bin Mohd Dahan (1907-1997)

Allahyarham Tuan Guru Hj. Ibrahim bin Mohd Dahan (1907-1997)

Ehsan daripada:

Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff

Latar Belakang Dan Pendidikan :-

Tuan Guru Hj. Ibrahim bin Mohd Dahan telah dilahirkan di Kampung Sri Lemak, Rembau pada 1907. Bapanya Encik Mohd Dahan bin Hassan dan ibunya pula Lijah bin Mohd Arshad.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak Nama pada tahun 1916-1922 dengan kelulusan darjah 5. Mula mengaji Al-Quran di kampung dengan guru Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan mendalami ilmu Tajwid dengan Tuan Haji Mahmud bin Haji Mustafa.

Mula belajar Kitab dan Bahasa Arab dengan Tuan Guru Haji Mustafa bin Hj. Mohd di surau Pekan Chengkau, Masjid Sri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.

Pada tahun 1925-1930 beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab Al-Hamidiah, Alor Setar, Kedah. Di sini beliau telah belajar ilmu Falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik Sheik Al-Islamiah, Syeikh al-Islam Kedah. Tahun 1930 menyambung pelajaran cara pondok Air Hitam Kedah selama satu setengah tahun.

Kemudian melanjutkan pelajaran di Kelantan di Kota Bharu selama 4 tahun. Di sini beliau telah belajar dengan beberapa orang guru yang terkenal dan mendalami pelajaran ilmu Falak dan beliau juga sempat belajar dengan Tuan Guru Allahyarham Tok Awang Kenali selama beberapa bulan sebelum Tuan Guru Awang Kenali meninggal dunia

Khidmat Dalam Masyarakat : –

Pada akhir tahun 1935 beliau telah balik ke kampung semula. Tahun 1936 mula mengajar dan membuka Pondok di Kampung Bongek, selain itu beliau juga mengajar Madrasah Pekan Tampin dan beberapa tempat lagi di Johol dan Pulau Sebang.

Pada tahun 1946, beliau telah menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek, dari tahun 1946 sehingga 1959, Madrasah ini telah mengadakan Ikhtifal setiap tahun. Antara pembesar dan penyampai Agama yang penah hadir dalam Ikhtifal ini temasuk :

Allahyarham Tuan Hj. Ahmad Fuad.
Allahyarham Profesor Zulkefli Mohd.
Allahyarham Doktor Borhanuddin Helmi.
Allahyarham Mohd Fadihalluah Suhaimi.

Pada tahun 1949, beliau berangkat ke Tanah Suci Mekah. Selain menunaikan ibadat haji, beliau mengambil kesempatan belajar kitab Al-Ahzab serta menerima amalan Tariqat Ahmadiah sehingga beliau diijazahkan serta bertauliah pula untuk mengajarkannya. Guru yang mengajar beliau ialah Tuan Guru Shafie Kedah. Selain itu, semasa di Mekah, Hj.Ibrahim sempat juga berguru dengan Tuan Guru Sulaiman Ambon.

Beliau menerangkan mengenai kedudukan salasilah Guru Tariqat Ahmadiah ialah: Ia dinisbahkan kepada Ahmad Idris atau Sidi Ahmad. Beliau mempunyai murid bernama Ibrahim al-Rashidi dan Ibrahim al-Rashidi pula mempunyai tiga orang murid iaitu: Ismail Nawab (guru kepada Tok Shafie Kedah), yang kedua Muhammad al-Dandarawi (guru kepada Allahyarham Tuan Sheikh Mohd Said) dan yang ketiga Mohd Salleh.

Pada tahun 1962 hingga 1968 beliau mengajar agama di Sekolah Menengah Undang Rembau. Pada tahun 1969 beliau dilantik memegang jawatan Inspektor Zakat Fitrah Baitullmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Pada tahun 1974 beliau berpeluang sekali lagi mengerjakan Haji ke Makkah dengan kapal terbang dan seterusnya berpeluang mengerjakan Umrah dan ziarah ke negeri Mesir,Turki,danIndia.

Di antara rakan-rakan yang pernah sepengajian dengan beliau ialah :-

1. Tuan Hj. Abdul Ghani ( Guru Mengajar Pondok Pasir Mas, Kelantan ).

2. Tuan Hj. Abdul Aziz Ibrahim ( Pendang, Kedah )

3. Tuan Hj. Abdul Wahid ( Sungai Udang, Melaka )

4. Tuan Hj.Salleh Kemboja

5. Tuan Hj. Muhammad Yatim ( Hulu Gadong ).

Berjihad menyebar ilmu pengetahuan kepada masyarakat Islam Negeri Sembilan. Hampir setiap hari dan setiap malam dipenuhi dengan jadual mengajar. Berikut ialah jadual beliau mengajar :-

HARI

MASA

TEMPAT MENGAJAR

Ahad

– Kuliah Subuh

– Petang

– Malam

– Masjid Pekan Rembau

– Surau Selemak

– Masjid Kampung Batu

Isnin

– Pagi

– Petang

– Madrasah dirumahnya

– Masjid Bongek

Selasa

– Petang

– Disurau Kampung Lada

Rabu

– Pagi

– Petang

– Malam

– Dimadrasahnya ( khas untuk orang bersara)

– Masjid Pulau Sebang.

– Surau Tampin Jaya.

Khamis

– Pagi

– Petang

– Malam

– Mengajar dirumah Undang

– Masjid Selemak

– Masjid Chengkau

Jumaat

– Pagi

– Petang

– Malam

– Masjid Keru

– Masjid Jamik Tampin

– Masjid Tebong

Sabtu

– Pagi

– Petang

– Malam

– Mengajar di rumah Hj. Borhan ( Tampin )

– Masjid Johol

– Masjid Bukit Rokan

Penulisan :-

Di samping belajar, mengajar dan berdakwah beliau sempat mengarang beberapa risalah buku :-

1. Kitab Nurul-Aulad, tahun 1989 dikeluarkan dengan kebenaran daripada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan diulang cetak pada tahun 1949, 1952, 1963, 1975 dan 1991.

2. Menyusun Taqwim Solat yang bolah digunakan sepanjang masa bagi kawasan Negeri Sembilan,Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.

3. ” صلاح الغلمان في عبادة رب الرحمن ” Tahun 1976. Risalah kecil mengandungi Doa,Waktu Solat, dan Arah Qiblat.

4. Menerbitkan risalah dan kertas lambaran mengerjakan Haji dan Umrah serta bacaan Khutbah hari Jumaat dan hari Raya Puasa.

Penghargaan :-

Walaupun usia telah mengjangkau 85 tahun, tetapi beliau masih gigih. Sebagai penghargaan khidmat dalam masyarakat Islam Negeri Sembilan, khususnya masyarakat Rembau, beliau telah dianugerahkan sebaga tokoh pengkhidmat masyarakat Daerah Rembau pada 16 hb Oktober 1988 oleh Yang teramat Mulia Dato’ Undang Luak Rembau dan Pentadbir Daerah Rembau.

Meninggal Dunia:-

Tuan Guru Hj.Ibrahim telah meninggal dunia pada 3 Ogos 1997. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohnya…… Al-Fatihah.

ALLAHYARHAM TUAN GURU GALAU Haji Zakaria Mohd Kari ( 1882 – 1954)

ALLAHYARHAM TUAN GURU GALAU

Haji Zakaria bin Mohd Kari ( 1882 – 1954)

Disusun oleh

Unit Buhuth Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Haji Zakaria bin Mohd Kari juga dikenali dengan panggilan Fakih Kiak atau Tok Guru Galau. Galau adalah satu kampung tidak jauh dari pekan Seri Menanti. Beliau dari suku Tanah Datar Seri Menanti iaitu orang lingkungan Istana. Beliau dilahirkan pada tahun 1882 Masihi bersamaan 1299 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, Kuala Pilah. Beliau berumahtangga dengan Aisyah bt Toha dan dikurnikan 7 cahaya mata iaitu Hj. Abdullah (meninggal di Mekah), Hj. Mahmad (meninggal di Mekah), Hj. Mukhtar (meninggal di Mekah), Hj. Yahya (meninggal di Mesir), Hjh. Kalsom, Hjh. Fatimah dan Hj. Hafidz.

Pendidikan

Tok Guru Galau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti dan kemudiannya berguru dengan Allahyarham Tuan Haji Darun Haji Ibrahim. Bagi meluaskan pengetahuan ilmu agamanya, beliau mengaji pula di sekolah pondok di Patani selama 10 tahun. Selepas itu beliau berguru pula dengan Tuan Guru Haji Che’ Dol atau lebih dikenali Tuan Guru Che Doi di Gajah Mati, Kedah Darul Aman selama 10 tahun lagi. Nama penuh beliau ialah Haji Ismail bin Mustafa al Fathani. Beliau merupakan pengasas pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah. Gurunya ini merupakan anak murid kepada ulama terkenal iaitu Tok Wan Din al Fathani atau Syeikh Wan Muhamad Zainal Abidin yang berasal dari Kampung Sena Janjar, Pattani ( lahir tahun 1233H/ 1817 dan meninggal dunia pada 18 Zulhijjah 1325 / 21 Januari 1908). Sewaktu Tok Guru Galau menunaikan haji antara tahun 1925 hingga 1927, beliau mengambil kesempatan belajar lagi di Mekah Al Mukarramah. Tuan Guru Galau menimba ilmu dengan ulama melayu terkenal di sana iaitu Tuan Guru Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Pak De ‘E.

Mengajar

Apabila kembali ke kampung halamannya, Tuan Guru Galau membuka pondok pengajian di perkarangan Masjid Galau. Di samping itu, beliau mengajar di beberapa buah masjid dan surau sekitar Daerah Kuala Pilah. Antara anak didik beliau yang memegang jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan ialah Tuan Haji Ali yang merupakan bekas Kadi Daerah Kuala Pilah dan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan.

Di pondok, Tuan Guru Galau mengajar berbagai cabang ilmu agama. Beliau terkenal dengan kepakaran dalam bidang nahu dan Bahasa Arab. Antara kitab yang diajar oleh beliau di pondok tersebut ialah kitab al-Mukhtasar dan Kawakib Mutammimah ( kitab Nahu ), Faridah al Faraid ( ilmu Tauhid ) dan Matla’ al-Badrain (kitab Fiqh ). Tuan Guru Galau juga seorang yang alim dalam bidang al-Quran sehingga beliau mampu mendengar dan memperbetulkan bacaan 2 orang yang mengaji al-Quran di hadapannya sekali gus.

Pada setiap minggu pula, beliau mengadakan kuliah tasawwuf yang dihadiri bukan sahaja penduduk setempat, malah yang tinggal di luar Daerah Kuala Pilah. Tuan Guru Galau merupakan Syeikh kepada Tarikat Syatariah dan tidak dapat dipastikan sama ada beliau mengambil Ijazahtarikat tersebut di Pattani atau Mekah. Pada setiap hari Khamis malam Jumaat pula, pengikut-pengikut Tarikat Syatariah akan berkumpul dan mengadakan majlis zikir di pondok Masjid Galau.

Kealiman, ketinggian ilmu agama dan keperibadian akhlak beliau memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Mengikut sumber, beliau pernah mendapat tawaran menjadi Kadi Daerah Kuala Pilah tetapi beliau menolaknya kerana beliau lebih selesa mencurahkan ilmunya secara bebas.

Keistimewaan

Tuan Guru Galau juga terkenal dengan keistimewaan dan karamat beliau. Menurut Ustaz Yusof bin Musa berusia 78 tahun yang merupakan salah seorang anak murid beliau, ketika Tuan Guru Galau masih hidup, kolam dan perigi di Masjid Galau tidak pernah kering walaupun pada ketika itu kemarau selama 5 bulan.

Pada ketika zaman pemerintahan Jepun, pondok pengajian Tuan Guru Galau tidak pernah dikacau oleh tentera Jepun. Selain itu, beras simpanan beliau juga tidak pernah dirampas dan sentiasa cukup. Sesiapa yang bertembung dengan Tuan Guru Galau di jalanan pasti akan turun dari basikalnya sebagai tanda hormat kepada beliau tidak kira sama ada orang itu berbangsa Melayu, Cina atau India. Diceritakan, Tuan Guru Galau pernah meredah hujan untuk ke tempat beliau mengajar dan apabila tiba di sana didapati pakaian beliau tidak basah.

Meninggal Dunia

Tok Guru Galau meninggal dunia dalam tahun 1954 ketika berusia 72 tahun dan disemadikan di Tanah perkuburan Tanjung Sepam, Seri Menanti. Ketika meninggal dunia, Mufti pada ketika itu Syeikh Haji Ahmad Mohd Said tidak membenarkan jenazah Tuan Guru Galau dimakamkan di perkarangan Masjid Galau, sebaliknya meminta jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Islam yang berhampiran supaya orang yang dikebumikan di sekeliling tanah perkuburan beliau turut mendapat keberkatan. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohnya…… Al-Fatihah.

Sumber maklumat dan kajian:

1) Temuramah bersama Ustaz Hafidz bin Haji Zakaria anak lelaki Tuan Guru Galau di kediamannya di Kg. Umor, Sri Menanti pada 11 Januari 2007.

2) Temuramah bersama Ustaz Yusof bin Musa bekas anak murid Tuan Guru Galau di kediamannya Kg. Bukit Senaling, Ulu Pilah pada 14 Januari 2007.

3) Website : http://sungaiujung.blogspot.com/

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

NAMA

ALAMAT

NO TELEFON

Ustaz Haji Hafidz b Haji Zakaria

( anak lelaki tuan guru Galau )

No.8, Kg. Umor, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah

064979287

Ustaz Haji Yusof Musa

( anak murid tuan guru Galau )

No 20 A, Kg Bukit, Senaling, Ulu Pilah 70200 Kuala Pilah

06-4979613