Hukum menziarahi Masjid Al-Aqsa. 

Soalan:

Hukum menziarahi Masjid Al-Aqsa.

Jawapan:

Harus menziarahi Masjid al-Aqsa. Hal ini berdasarkan hujah dan nas hadis yang menunjukkan galakan untuk menziarahi Masjid al-Aqsa dan beribadat di dalamnya.

Memegang, membaca, membawa al-quran

Soalan- 1. Hukum memegang dan membaca al-quran bersaiz A3 tanpa wuduk. Niat utk baca tersebut adalah untuk belajar. Jika memegang al-Quran

Jawapan – Tidak harus memegang/menyentuh al-Quran tanpa wuduk.

Firman Allah SWT surah al-Waqiah ayat 79:

لا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Yang bermaksud, tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

Rasulullah SAW bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تمسَّ القرآنَ إلَّا وأنت طاهرٌ

Yang bermaksud, sabda Rasulullah s.a.w tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang bersuci.

(Fiqh Manhaji Jilid 1 m/s 145)

Harus bagi orang yang tidak berwuduk (hadath kecil) membaca al-quran. Hadith

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرئنا القرآن على كل حال ما لم يكن جنبا

Sunan Tarmizi, لم يكن جنبا باب ما جاء في الرجل يقرأ القرآن على كل حال ما لم

Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w membacakan al-quran untuk kita dalam segala keadaan, kecuali di dalam keadaan junub

 

Soalan- 2. Boleh atau tidak masuk ke tandas dengan membawa al-quran di dalam bag..jika tinggal diluar dikhuatiri bag tersebut dicuri

Jangan membawa tulisan yang tertera nama Allah dan nama-nama-Nya yang lain ke dalam tandas kerana ia tempat yang kotor dan najis.

(Fiqh Manhaji Jilid 1 m/s 105)

 

Soalan- 3. Perlukah wuduk ketika belajar al-quran dgn mendengar MP3 bacaan ayat sambil tangan membuka al-quran

Jika belajar al-quran dengan mendengar MP3 sahaja, tidak perlu berwuduk, tetapi jika menyentuh al-quran perlu berwuduk. Ini kerana al-Quran yang dirakam atau seumpamanya tidak mengambil hukum seperti mana hukum mashaf al-Quran yang dibaca secara terus.

 

Soalan- 4. Hukum membaca al-quran sambil baring.

Tiada halangan membaca al-Quran sambil baring.

Firman Allah surah an-Nisak ayat 103:

فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ..

Yang bermaksud, dan berdzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, dan dalam keadaan duduk dan dalam keadaan berbaring

Allah berfirman surah ali-Imran ayat 191:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ …

Yang bermaksud, dan orang orang yang berdzikir kepada Allah dalam keadaan berdiri, dan dalam keadaan duduk, dan dalam keadaan berbaring

 

Soalan- 5. Dimanakah terdapat kelas belajar  al-quran bagi org dewasa

Jabatan ini mengsyorkan pihak tuan mendapatkan maklumat di Pusat Dakwah Islamiah Paroi bagi kelas belajar al-quran untuk orang dewasa.

 

 

 

Berbaik sangka dengan Allah

Soalan:

Bolehkan kita berbaik sangka dengan Allah

  1. Apabila mendapat rezeki lebih dan nikmat lebih.
  2. Apabila ditimpa kesusahan hidup dan rezeki berkurang

Jawapan:

Umat Islam hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT dalam segala urusan dan keadaan, maka Allah SWT akan melimpahkan kebaikan yang banyak, kurniaan, kelebihan serta pelbagai pemberian.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa … (al-Hujurat ayat 12)

Orang yang beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada baik atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi.

Apabila kita diberi nikmat rezeki, maka hendaklah sentiasa berfikir dan bermuhasabah diri, apakah hikmah di sebalik ujian rezeki yang Allah SWT kurniakan ini. Janganlah lupa bersyukur kepada-Nya dengan cara membayar zakat dan bersedekah.

Begitu juga sebaliknya, jika ditimpa masalah dan musibah, hendaklah kita yakin bahawa di sebalik musibah itu ada hikmahnya tersendiri. Justeru, hendaklah kita bersifat reda kepada ketetapan Allah SWT.

Jika kita berdoa kepada Allah SWT, maka hendaklah bersangka baik jika hajat tidak dimakbulkan. Mungkin Allah SWT mahu memberi yang lebih baik daripada apa yang kita minta. Doa adalah ibadah zikir yang Allah SWT suka.

Bersangka baik kepada Allah SWT  dapat dilakukan  dengan dua  sikap  iaitu:

  1. Bersyukur  atas  semua  nikmat  yang  telah  diberikan-Nya.
  2. Bersabar  atas  semua  dugaan  dan  ujian-Nya.

Ingatlah  bahwa  Allah  SWT  tidak  akan  membebani  seseorang  diluar batas kemampuannya.

 

 

 

Patung permainan kanak-kanak

Soalan:

Seorang jurujual beragama Islam menjual patung-patung permainan kanak-kanak/ patung berupa anjing kepada pembeli-pembeli bukan Islam.

Jawapan:

Dibolehkan menjual patung-patung permainan kanak-kanak

Rukhsah Dalam Permainan Anak-Anak

 

Kalau macam daripada patung itu tidak dimaksudkan untuk diagung-agungkan dan tidak berlebih-lebihan serta tidak ada suatu unsur larangan di atas, maka dalam hal ini Islam tidak akan bersempit dada dan tidak menganggap hal tersebut suatu dosa. Misalnya permainan anak-anak berupa pengantin-pengantinan, kucing-kucingan, dan haiwan-haiwan lainnya. Patung-patung ini semua hanya sekadar pelukisan untuk permainan dan menghibur anak-anak.

 

Oleh kerana itu kata Aisyah:

 

“Aku biasa bermain-main dengan anak-anakan wanita (boneka wanita) di sisi Rasulullah s.a.w. dan kawan-kawanku datang kepadaku, kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah s.a.w, tetapi Rasulullah s.a.w. tidak menegah malah senang dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Dan dalam salah satu riwayat diterangkan:

 

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pada suatu hari bertanya kepada Aisyah: Apa ini? Jawab Aisyah: Ini anak-anak wanitaku (boneka wanitaku); kemudian Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di tengahnya itu? Jawab Aisyah: Kuda. Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di atasnya itu? Jawab Aisyah: Itu dua sayapnya. Kata Rasulullah: Apa ada kuda yang bersayap? Jawab Aisyah: Belumkah engkau mendengar, bahawa Sulaiman bin Daud a.s. mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap? Kemudian Rasulullah tertawa sehingga nampak gigi gerahamnya.” (Riwayat Abu Daud)

Bekerja di muzium yang ada patung

Soalan:

Apa hukumnya seorang beragama Islam bekerja di muzium yang dihiasi patung-patung yang menceritakan sejarah sesuatu Negara/patung-patung mempamerkan adat resam sesuatu kaum.

Jawapan :

Tiada halangan bagi sesesorang beragama Islam untuk bekerja di muzium yang dihiasi patung-patung.

Beberapa hukum mengenai gambar dan yang menggambar sebagai berikut :

  1. Jenis gambar yang sangat di haramkan adalah gambar yang disembah selain Allah, seperti Isa al-Masih dalam agama Kristen. Gambar seperti ini dapat membuat pelukisnya kufur kalau dia lakukan itu dengan penuh pengetahuan dan kesengajaan. Begitu juga dengan pembuat patung, dosanya akan sangat besar apabila dimaksudkan untuk diagung-agungkan dengan cara apapun. Termasuk juga terlibat dalam dosa, orang-orang yang bersekutu dalam hal tersebut.
  2. Termasuk juga berdosa orang yang melukis sesuatu yang tidak disembah, tatapi bertujuan untuk menandingi ciptaan Allah. Yakni dia beranggapan dapat membuat model baru dan membuat seperti pembuatan Allah. Hal ini dapat membuat kufur, hal ini, tergantung pada niat pelukisnya sendiri.
  3. Di bawah lagi termasuk patung-patung yang tidak disembah, tapi untuk diagung-agungkan, seperti patung raja-raja, kepala Negara, atau para pemimpin yang dianggap keabadian mereka itu dengan didirikan monument-monumen yang dibangun dilapangan-lapangan dan sebagainya. Dosanya sama saja, baik patung itu setengah badan atau sebadan penuh.
  4. Di bawahnya lagi patung binatang-binatang dengan tidak ada maksud untuk disucikan atau diagung-agungkan, dikecualikan patung mainan anak-anak dan yang terbuat dari bahan makanan seperti manisan dan sebagainya.
  5. Selanjutnya, ialah di papan yang oleh pelukisnya atau pemiliknya sengaja diagung-angungkan seperti gambar para penguasa, dan pemimpin, lebih-lebih kalau gambar itu dipancangkan atau digantung. Lebih kuat lagi haramnya apabila yang digambar itu orang zalim, ahli fasik dan golongan anti Tuhan. Mengagungkan mereka ini berarti meruntuhkan Islam.
  6. Di bawah itu ialah gambar binatang yang tidak bermaksud untuk diagung-agungkan , tetapi dianggap sebagai suatu pemborosan, misalnya, gambar di dinding dan sebagainya. Ini hanya termasuk yang dimakruhkan.
  7. Adapun gambar pemandangan, misalnya, pepohonan, kurma, lautan, perahu, gunung, dan sebagainya, tidak ada dosa sama sekali baik si pelukis atau yang menyimpannya, selama gambar tersebut tidak menjauhkan pemiliknya daripada ibadah dan pemborosan. Kalau sampai demikian, maka hukumnya makruh.
  8. Adapun fotografi pada prinsipnya mubah, selama tidak mengandung objek yang diharamkan, seperti disucikan oleh permiliknya secara keagamaan atau disanjung-sanjung secara keduniaan. Lebih-lebuh kalau yang disanjung itu orang-orang fasik, misalnya golongan penyembah berhala, komunis, dan seniman-seniman yang telah menyimpang.
  9. Terakhir, apabila patung dan gambar yang diharamkan itu bentuknya telah diubah dan direndahkan (dalam bentuk gambar), maka dapat pindah dari lingkungan haram menjadi halal. Seperti gambar-gambar di lantai yang bias diinjak-injak oleh kaki dan sandal.

 

Arahan kakitangan Islam untuk persiapan sambutan krismas

Soalan :

Apa hukumnya jika seorang kerani pasaraya yang beragama Islam memberi arahan melalui kata-kata yang diucapkan di mulut kepada pekerja bawahannya untuk memastikan sambutan hari krismas berjalan lancar. Pada hari krismas kerani tersebut tidak menghadirkan diri (tidak menyambutnya)

 Jawapan :

Krismas dirayakan oleh penganut agama Kristian pada setiap 25hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ.

Sebagai seorang muslim tidak boleh menolong orang-orang kafir untuk persiapan sambutan mengadakan dan merayakan Hari Raya mereka dengan apa cara sekali pun. tindakan (tersebut) seolah-olah memberi penghormatan dan sokongan terhadap kemusyrikan mereka serta membantu kekufuran mereka.

Firman Allah: “Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara yang baik dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah seseungguhnya Allah amat keras seksaannya.“(al-Maidah : 2)”

Dalam hal ini, tidak harus kerani tersebut memberikan arahan bagi memastikan sambutan krismas berjalan dengan lancar.

 

Orang Islam turut serta buat sambutan krismas

Soalan :

Adakah jatuh syirik kepada Allah jika sebuah keluarga Islam menyambut hari krismas di rumah dengan meletakkan pokok krismas dan hadiah krismas (tanpa ada patung jesus di atas pokok krismas) di kediaman rumah keluarga Islam tersebut.

Jawapan :

Janganlah umat Islam menyambut krismas dan menghias pokok krismas di rumah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum itu, maka mereka termasuk dalam kalangannya”.

Syari’at Islam melarang umatnya untuk meniru-niru atau menyerupai umat lain dalam segala hal yang berkaitan dengan ibadah, kebiasaan dan perbuatan dalam hidup mereka sehari-hari,

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

  • menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
  • menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
  • iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
  • memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
  • tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

  • Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
  • Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
  • iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
  • Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

  • Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
  • Berpakaian yang menjolok mata;
  • iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
  • Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

 

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

  • Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
  • Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
  • iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
  • Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
  1. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Kerja berkaitan arak

Soalan:

  1. Seorang pegawai pentadbiran hotel beragama Islam mengambil:
  2. Pekerja-pekerja bukan Islam untuk bekerja sebagai pelayan hotel di unit penyediaan makanan dan minuman (F&B) yang menyediakan arak.
  3. Mengambil pekerja-pekerja Islam bekerja sebagai pelayan hotel yang menyediakan arak.

Pegawai pentadbiran hotel tersebut tidak terlibat di unit penyediaan makanan & minuman yang menyediakan arak.

Jawapan:

Pengharaman arak kepada umat Islam tidak terhad kepada meminum arak itu sahaja, malah meliputi apa jua usaha atau aktiviti yang berkaitan dengannya, termasuk orang yang memerahnya, orang yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang minta dihantarinya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang minta dibelikannya.

Hadith Nabi SAW yang bermaksud, Diriwayatkan dari Anas bin Malik berkata, “Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya.”  (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah )

 

 

Perempuan memakai piercing (bertindik)

Soalan :

Apakah hukum perempuan memakai piercing? Mohon pencerahan

Jawapan :

Hukum bertindik telinga bagi perempuan adalah harus kerana ia merupakan satu perhiasan wanita dan perlu dibatasi.

  1. Tidak boleh menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram.
  2. Tidak bertindik seperti di perut, pusat, lidah kerana menyerupai orang kafir, fasik atau ahli maksiat dan juga merbahaya dari segi kesihatan.Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Lelaki dan wanita Islam adalah ditegah menampilkan diri dengan penampilan yang bertentangan dengan sifat-sifat semulajadi mereka;
  2. Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu;
  3. Perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

 

 

Makan daging haiwan klon

Soalan:

Apakah hukum makan daging haiwan yang diklon menggunakan teknik terkini?

Jawapan:

Klon haiwan bertujuan untuk meningkatkan dan menjaga kualiti ternakan adalah harus dengan syarat tidak memudaratkan binatang tersebut. Oleh itu harus makan daging haiwan yang diklon.