Fotografi

Soalan 1  :

Adakah haram pendapatan kami apabila menjual bingkai gambar beserta gambar studio pada majlis konvokesyen?

Kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa rumah tidak di masuki oleh Malaikat Rahmat kerana tergantungnya gambar di rumah.

 Bagaimana status pendapatan kami yang mana syarikat perlu mengambil gambar ke semua graduan menerima sijil tetapi graduan tersebut tidak menutup aurat dan yang bukan Islam.

Soalan 2 :

Bagaimana status pendapatan syarikat yang menghantar jurugambar untuk mengambil gambar majlis perkahwinan atau majlis yang terdapat di dalamnya wanita Islam yang tidak menutup aurat dan gambar itu di cuci dan di masukkan ke dalam album, kami tidak dapat mengelak untuk tidak mengambil gambar mereka kerana kami di bayar oleh pelanggan untuk merakamkan suasa perjalanan majlis secara keseluruhan.

Soalan 3 :

Jika kami mempunyai mesin pencetak gambar dan pelanggan yang menghantar kepada kami itu adalah mereka yang bukan Islam dan kami mencetak gambar tersebut (yang mana wanitanya tidak menutup aurat contohnya gambar perkahwinan masyarakat India, Cina atau Melayu) bagaimana status pendapatan itu?

Begitu juga jika gambar – gambar tersebut jika kami hasilkan dalam bentuk album untuk simpanan pelanggan.

 

Jawapan:

Pada perinsipya hukum berfotografi adalah harus tetapi perlu diingat selagi mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan perkara tersebut bertukar menjadi kepada perkara yang diharamkan. Seperti mengambil gambar seseorang tokoh lalu diagungkannya maka disini hukum fotografi tersebut berubah menjadi haram, begitu juga dengan gambar-gambar wanita atau lelaki mendedahkan aurat mereka maka hukum fotografi seperti ini juga adalah diharamkan walaupun pada asalnya ia adalah harus.

Pekerjaan mengambil gambar tidak salah dari sudut agama asalkan gambar yang diambil itu tidak menyalahi agama dan syariat. Ia tidak sama dengan melukis dan mengukir manusia atau binatang yang diharamkan oleh agama kerana illah pengharamannya ialah menandingi ciptaan Allah. Mengambil gambar bukan menandingi ciptaan Allah, akan tetapi merakam ciptaan Allah di atas filem atau kertas.

Namun jika suatu perkerjaan yang halal itu dilakukan di dalam keadaan atau tempat yang tidak dibenarkan Islam, maka pekerjaan itu menjadi syubhah (bersekongkol dengan maksiat atau kebatilan). Contoh lain ialah seorang yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di pusat judi atau kedai arak. Pekerjaan tersebut halal tetapi tempat kerjanya adalah tempat yang tidak baik. Permintaan pelanggan bukanlah alasan untuk mengharuskan pekerjaan yang haram.

 

Menggugurkan kandungan

Soalan :

Saya Syaza Farzana pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tahun 3 semester 1 jurusan undang-undang bersama dengan ahli kumpulan saya sedang menjalankan kajian bertajuk ‘Abortion of Down Syndrome Babies’ untuk mata pelajaran Usul Fiqh.

Walaubagaimanapun, sepanjang kajian dijalankan kami hanya mendapati bahawa kandungan boleh digugurkan bagi bayi yang menghidap zika semasa dalam kandungan dan tidak menjumpai fatwa mengenai bayi yang disahkan menghidapi down syndrome oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan.

Justeru itu, kami ingin menanyakan pendapat tuan/puan, berkenaan dengan bayi yang disahkan down syndrom oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan atau tidak mengikut perspektif Islam di Malaysia.

 

Jawapan:

 

Peringkat dan hukum pengguguran janin

 

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu. (Wujud kecacatan bayi tersebut hendaklah mendapat pengesahan doktor pakar beragama Islam).
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

 

Fatwa-fatwa mengenai pengguguran kandungan yang dibincangkan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

1) Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan 

 Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 di Bilik Mesyuarat, Tingkat 11, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, Kangar pada 7- 8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

 

2) Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol

Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 di Dewan Syura JAKIM Putrajaya pada 1 Julai 2002 telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

 

3) Cadangan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia

 Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 di Dewan Syura JAKIM Putrajaya pada 1 Julai 2002 telah membincangkan isu Cadangan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

 

Darah istihadah

Soalan:

BERAPAKAH TEMPOH DARAH NIFAS? untuk pengetahuan ustaz tiap kali saya bersalin darah nifas melebihi 60 hari..di sini saya merujuk kepada ibu saya kerana dia guru agama..ibu saya berpegang kepada tempoh nifas adalah 60 hari..tetapi sekiranya masih belum suci maka darah tersebut dikira sebagai haid selama 15 hari..selepas 75 hari ke atas sekiranya msih ada darah dikira darah penyakit n diwajibkan mandi dan solat seperti biasa.maka di sini bermaksud dalam tempoh 75 hari sekiranya masih ada darah tidak perlu mandi hadas..(nifas 60 hari + haid 15 hari)

Jawapan:

Tempoh nifas:

Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَةٌ). Ia kadang-kadang berterusan hingga beberapa hari dan biasanya 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit (istihadhah).

Mandi tolak bala

Soalan:

Apakah hukumnya amalan mandi tolak bala selepas bersalin.

Jawapan:

Jika kita meyakini air tersebut boleh menolak bala, ia boleh membawa kepada syirik kepada Allah swt.

Pelupusan air zam-zam

Soalan:

Bagaimana kaedah pelupusan air zam-zam

Jawapan:

Sekiranya air rampasan berkenaan diyakini serta disahkan selamat dan bersih, ia digalakkan untuk dijadikan minuman percuma di premis-premis awam bagi orang Islam seperti masjid dan seumpamanya. Sekiranya didapati sebaliknya, air rampasan tersebut hendaklah dimusnah dan dilupuskan.

 

Ubat pencair darah

Soalan:

Saya baru sahaja bersalin anak secara czer. Macam biasa doktor bekalkan pencair darah. Untuk makluman ustazah ni kali pertama saya bersalin czer. Saya baru dimaklumkan pencair darah jenis CLEXANE ada mengandungi unsur dna babi.

Persoalan saya adakah dibolehkan? Dan kenapa pihak Hospital Tunku Jaafar Seremban tak memaklumkan dahulu kepada pesakit tentang ubat ni? Pada pandangan ustazah (dari sudut agama) apa yang perlu saya lakukan? Saya dah cucuk 5kali. Dan ada baki 5 lagi.  Mohon pencerahan dan tindakan sewajarnya

 

Jawapan:

Hukum menggunakan ubat yang mengandungi bahan daripada babi kecuali dalam keadaan darurat atau bahan-bahan yang boleh mendatangkan mudharat kepada badan adalah haram. Oleh itu adalah menjadi keutamaan seseorang Muslim untuk mengutamakan ubat yang suci berbanding yang mengandungi najis sekiranya ada pilihan.

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine (2009)

Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.
  2. Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane danFraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:

  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.
  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;
  • Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;
  • Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;
  • Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan
  • Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.
  1. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.
  2. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.
  3. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.
  4. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

 

 

Uruf zakat emas

Soalan:

Mengapakah kadar uruf zakat emas di Negeri Sembilan ditetapkan sebanyak 200 grams? Adakah jumlah kepadatan penduduk dan saiz negeri Negeri Sembilan memainkan peranan dalam penetapan uruf ini?

Jawapan:

Kadar uruf atau kebiasaan pemakaian emas bagi wanita di Negeri Sembilan ditetapkan sebanyak 200 gram kerana biasanya tiada golongan wanita yang memakai perhiasan melebihi kadar tersebut.  Keputusan ini diambil kira hasil daripada kajian penyelidikan (Penentuan Uruf Pemakaian Emas Wanita Islam di Negeri Sembilan-2008) yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Soalan:

Mengapakah sebab tersebut tidak diletakkan di dalam laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, tetapi hanya kadar uruf sahaja yang ditunjukkan?

Tidak perlu menyatakan bagaimana kadar uruf tersebut ditetapkan, kerana kadar yang ditetapkan itu adalah mengikut uruf di Negeri Sembilan.

Mufti wanita

Soalan:

Bolehkah wanita dilantik sebagai mufti?

Persoalan tentang isu di atas andai kata pihak orientalis mengaitkan persoalan di atas dengan kerajaan negeri Saba’ yang terdahulu yang mana ketuanya ialah seorang perempuan yakni Ratu Balqis.

Seterusnya, JIKA kaum lelaki tidak mahir tentang perkara ini malah kaum wanita lebih ramai yang tahu tentang ini. Dan di saat itu,bolehkah perempuan digalakkan menjadi seorang mufti?

ATAU kerajaan akan mengambil mufti dari negara luar yang mana menggunakan mazhab yang bertentangan dengan mazhab yang dipakai di Malaysia sekarang yakni Mazhab Syafi’e.

 

Jawapan:

Harus melantik mufti wanita, tetapi pada syaraknya masih ada halangan-halangan yang menyebabkan wanita tidak boleh dilantik sebagai mufti. Menurut uruf dan amalan semasa, khasnya hubungan mufti dengan pihak istana dalam urusan keagamaan.

Wanita kurang sesuai menjadi mufti kerana mufti sinonim dengan lelaki. Wanita boleh terlibat dalam kefatwaan dan lebih sesuai sebagai penolong mufti, tetapi bukan bagi bidang kuasa Mufti kerana secara realitinya pelantikan sebagai mufti akan berlaku pelbagai masalah dalam pelaksanaan.

Beberapa perkara perlu diambil iaitu bidang tugas yang dilaksanakan oleh seorang mufti serta uruf atau adat di Malaysia. Bidang kuasa atau tugas seorang mufti banyak berkait rapat dalam urusan keistanaan dan mufti perlu menjadi ketua dalam upacara agama seperti menjadi imam solat yang dihadiri Sultan/Raja. Oleh kerana itu, terdapat halangan dalam pelaksanaan dalam melantik wanita sebagai mufti kerana terdapat bidang tugas mufti yang tidak boleh dilakukan oleh seorang wanita. Pelantikan mufti secara rasmi daripada kalangan wanita juga belum pernah berlaku dalam sejarah institusi kefatwaan di Malaysia.

Di Malaysia masih ramai individu yang memenuhi kelayakan yang ditetapkan syarak untuk  dilantik sebagai Mufti, tidak perlu sehingga mengambil mufti luar Negara.

Rawatan jarak jauh

Soalan:

Ada hamba Allah yang bertanyakan pendapat saya tentang kaedah perubatan Islam jarak jauh. Adakah ianya dibolehkan? Adakah kaedah ini haram secara mutlak atau ada perbahasannya?

Kaedah Yang Digunakan :

  1. Dari kajian saya melalui pembacaan dan juga cerita yang diterima dari pesakit, antara pendekatan yang digunakan untuk menjayakan kaedah ini ialah dengan menggunakan alat perhubungan telekomunikasi seperti telefon bimbit, telefon rumah, internet (skype, google hangout dan lain-lain).

Dengan penggunaan alat perhubungan yang saya sebutkan di atas, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah dan pesakit pula akan mendengar bacaan tersebut. Adakah Kaedah ini dibenarkan dari segi syarak ? kerana tidak terdapat sebarang unsur syirik, khurafat dan juga meragukan disini.

Pesakit cuma dapat mendengar dengan jelas bacaan dari perawat. Kaedah ini bagi saya sama sahaja seperti pesakit mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah melalui laptop, radio cd, mp3 dan sebagainya.

Cuma perawat sahaja tidak berada bersama pesakit secara bersemuka. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak?

 

2. Kaedah yang seterusnya pula ialah rawatan jarak jauh menggunakan doa-doa yang mustajab, ZIKIR, SOLAT HAJAT, BERSEDEKAH dan sebagainya. Beza rawatan menggunakan doa ini dengan rawatan menggunakan alat telekomunikasi di atas ialah rawatan ini sesuai untuk pesakit yang enggan untuk dirawat. Ataupun pesakit yang dah terlalu uzur samada disebabkan faktor usia, ataupun tahap kesihatan yang tidak mengizinkan. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak?

 

Jawapan:

Kaedah rawatan jarak jauh adalah antara kepelbagaian kaedah rawatan yang dipraktikkan di pusat-pusat rawatan Islam di Malaysia. Hal ini berdasarkan hadith Nabi saw yang menyarankan agar seseorang itu mendoakan sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya itu. Ia juga termasuk dalam konteks doa yang mendapat perkenan Allah swt kemakbulannya.

وعن أبي الدرداء رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أنه سمع رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يقول: ما من عبد مسلم يدعو لأخيه بظهر الغيب إلا قال الملَك: ولك بمثل

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau segala kebaikan yang engkau doakan untuknya.”

عن عبد الله بن عمرو عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ما دعوة أسرع إجابة من دعوة غائب لغائب

Maksudnya: “Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dirinya.”

Berkaitan dengan penggunaan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit, dapat dibahagikan kepada dua pandangan yang utama dari sudut keharusan dan pengharaman penggunaan kaedah ini.

 

Pertama: Diharuskan untuk menggunakan kaedah jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi.

Selain itu, diharuskan juga menggunakan kaedah ini dalam situasi ia dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan saling mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon. Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar. Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi.

Dalam situasi yang lain pula, juga termasuk dalam rawatan jarak jauh adalah melalui amalan solat hajat dan mendoakan kesembuhan bagi pesakit. Melalui amalan ini, ia adalah diharuskan, bahkan Nabi SAW sangat menggalakkan seseorang Muslim itu mendoakan kesejahteraan bagi Muslim yang lain dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan tersebut tidak diketahui oleh sahabat yang didoakan tersebut melainkan Allah swt sahaja.

 

Kedua: Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh sekiranya tidak melibatkan sebarang perhubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus. Contohnya perawat menyatakan bahawa beliau akan menjalankan rawatan (iaitu selepas mendapatkan maklumat dan persetujuan dari pesakit atau ahli keluarga) apabila tibanya waktu malam, pesakit akan didatangi seseorang yang tidak dikenali ketika tidur (dalam keadaan tidak sedar) untuk merawat pesakit tersebut.

Pesakit juga disyaratkan untuk meletakkan bahan-bahan tertentu yang diberikan oleh perawat di bawah bantal tidurnya dengan tujuan rawatan sedemikian. Cara rawatan sedemikian jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, ia menyerupai amalan perbomohan yang mendakwa bahawa akan ada makhluk yang akan membantu merawat pesakit tersebut ketika tidur seperti akan didatangi oleh makhluk berjubah putih dan berserban atau mendakwa bahawa akan didatangi oleh seorang syeikh yang datang merawat pesakit itu dan pelbagai keadaan lagi.

Secara umumnya cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal. Dalam sesetengah keadaan, perawat itu berusaha untuk menunjukkan kelebihan dan kemampuannya dalam rawatan sehingga dirinya dipandang sebagai seorang yang hebat dan dipercayai.

Tanah wakaf

saya ingin bertanya , sekiranya moyang kepada ibu saya pernah mewakafkan sebidang tanah untuk didirikan masjid. Masjid itu pernah digunakan dahulu, tetapi sekarang masjid itu tidak berfungsi kerana keuzuran dan terlalu kecil untuk kawasan persekitaran. Pihak masjid telah memulangkan semula tanah itu kepada pewaris semula. Dan tanah itu telah dibayar cukainya oleh ibu saya setiap tahun.

Soalannya:

Apakah tanah itu masih wakaf dan bolehkah sesuatu pembinaan dibuat diatas tapak masjid wakaf itu?

 

Jawapan:

Tanah itu masih lagi dianggap tanah wakaf selagi ia wujud atau ada. Jika ingin menukar status wakaf masjid kepada pembinaan lain maka perlu kepada kelulusan dan pandangan pihak jawatankuasa fatwa negeri. Proses ini dipanggil proses istibdal harta wakaf.

Penggunaan harta wakaf

Harta wakaf tidak harus dijual beli, dihibah atau diwarisi, sama ada oleh pewaqaf atau penerima waqaf, sama ada penerima khusus atau tidak khusus. Ia tetap menjadi hak Allah. Penggunaan manfaatnya terserah kepada penerima waqaf, dan seboleh-bolehnya diuruskan menurut ketetapan pewaqafnya. (Fiqh Manhaji, Jilid 5, m/s 39 )