Harta jumpa

Soalan:

Pada tahun 2011 saya telah menjumpai seutas rantai tanpa mengetahui rantai tersebut ialah rantai emas tulen. Saya sedar perbuatan mengambil barang jumpa itu adalah salah dan saya telah cuba bertanya pada orang di sekitar kawasan saya menemui rantai tersebut sama ada pernah atau tidak orang bertanya mengenai kehilangan rantai. Malangnya, kes ini terlalu lama dan orang di sekitar kawasan tersebut menyatakan bahawa tidak pernah sesiapa bertanya mengenai rantai yang hilang. Soalan saya, apakah tindakan selanjutnya yang perlu saya ambil untuk menguruskan rantai yang saya temui ini?

 

Jawapan:

Rantai itu menjadi harta luqatah iaitu harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain. Rantai tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Namun jika diketahui pemiliknya, ia hendaklah dipulangkan.

 

Surah al-Fatihah diletakkan di awal al-quran

Soalan:

Kita sudah maklum dan mengetahui bahawa ayat pertama diturunkan adalah surah al-Alaq.  Persoalannya disini, mengapa surah tersebut tidak diletak di permulaan al-quran memandangkan surah tersebut yang pertama diturunkan, mengapa surah al-Fatihah dan al-Baqarah diletakkan di awal al-quran?

Jawapan:

Penurunan al-Quran adalah berperingkat-peringkat selama 23 tahun mengikut zuruf, peristiwa, menerangkan hukum dan menjawab persoalan tertentu.

Penyusunan ayat al-Quran mengikut surah adalah perkara Taufiqiy, petunjuk Allah melalui Jibril as bila mana Nabi saw bertadarrus al-Quran dengan Jibril as sekali setiap tahun, kecuali pada akhir hayat Baginda dilakukan 2 kali. Oleh itu, susunan yang diajar oleh Jibril as ini telah disampaikan kepada Sahabat Nabi saw yang menulis al-Quran dan penghafal-penghafal al-Quran.

Wang lebihan dari mesin layan diri

Soalan :

Saya menguruskan mesen layan diri (vending mesen) menjual minuman, masalah saya mesin tu kadang-kadang mengalami kerosakan teknikal (tapi bukan selalu) dan menyebabkan mesin akan menelan duit dan pembeli tak dapat barang, dan ada kalanya mesin memulangkan duit baki kurang. Jadi soalan saya bagaimanakah cara untuk saya pulangkan duit tu sedangkan saya tak tau siapa dan berapa jumlahnya.

 

Jawapan :

Wang hasil jualan yang *lebih* daripada jumlah modal beserta keuntungannya adalah *harta syubhah* dan ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Namun jika diketahui kadar dan pemiliknya, ia hendaklah dipulangkan. Bagaimanapun, mesin minuman yang rosak tersebut hendaklah segera dibaiki atau diganti yang baharu supaya masalah yang sama tidak berulang.

 

Status kutipan derma masjid yang tidak dituntut

Soalan:

Perbadanan wakaf NS telah menerima tabung kutipan derma untuk pembinaan Masjid A daripada Restoran Z (tempoh kebenaran kutipan 11.3.2005-31.8.2005).

i.  Apakah status hasil kutipan tabung derma yang tidak dituntut itu?

ii. Ke manakah wajar ia disalurkan?

 

Jawapan:

Kutipan wang derma tersebut adalah bertujuan pembinaan Masjid A. Derma itu telah ditentukan untuk masjid yang tertentu, maka duit derma tersebut hendaklah diserahkan kepada masjid berkenaan. Duit tersebut akan dibelanjakan atau digunakan untuk segala urusan pembinaan dan pembangunan fizikal masjid seperti membina, membaik pulih, mengubahsuai untuk kepentingan dan manfaatnya.

Derma tersebut tidak dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat para penderma.

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati

Soalan :

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati?

 

Jawapan :

Firman Allah s.w.t:               وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (Nabi Muhammad s.a.w) tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”                          (Surah al-Isra’: 85)

Hakikat roh itu tidak dapat difikirkan oleh akal manusia bagaimana rupa bentuknya. Hanya Allah yang mengetahuinya.  Roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh. Manusia tidak boleh berhubung dengan roh orang yang telah meninggal dunia. Sekiranya ada yang mengatakan bahawa dia telah berhubung dengan roh yang telah mati, maka ia adalah satu kesesatan yang nyata, yang disangka roh itu sebenarnya jin dan syaitan yang akhirnya mampu memesongkan akidah (syirik) manusia.

Membina kepok di pusara tanah wakaf

Soalan:

Hukum membuat kepok di atas pusaradalam kawasan tanah yang diwakafkan?

Jawapan:

Hukum asal membuat kepungan atau binaan/kepok di atas pusara dalam kawasan tanah yang diwakafkan adalah haram manakala mengapur atau menulis sesuatu di atasnya adalah makruh. Bagaimanapun, hukum tersebut boleh berubah menjadi harus jika ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara pusara daripada hakisan air/struktur tanah yang lembut dan pencerobohan binatang liar, seperti dikorek binatang,atau takut dipijak orang,  namun jangan keterlaluan dengan binaan mewah yang terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah. Hanya dibina diperkarangan tanah kubur si mati. Tidak boleh ambil ruang yang sangat banyak kerana dikhuatiri menggangu tanah kubur lain.

Adakah wang khairat kematian perlu dizakatkan

Soalan :

Adakah wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas perlu dizakatkan?

Jawapan :

Wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas tidak wajib dizakatkan kerana bukan milik perseorangan tertentu dan bukan milik sempurna.

Bayang hutang jika pemberi hutang sudah meninggal

Soalan :

Bagaimana caranya kita ingin membayar hutang kita jika si pemberi hutang sudah meninggal?

 

Jawapan:

Hutang wajib dibayar. Jika pemberi hutang telah meninggal dunia, hutang tersebut hendaklah diberikan kepada warisnya. Jika tidak mengetahui warisnya, maka hutang tersebut diserahkan kepada Baitul Mal.

Menjual tanah kepada pihak gereja

Soalan :

Sebuah koperasi telah menerima tawaran pembelian tanah milik koperasi daripada pihak gereja. Mohon pandangan dari sudut Islam berkaitan penjualan tanah tersebut.

 

Jawapan :

Harus menjual tanah kepada pihak gereja dan jual belinya sah jka memenuhi syarat rukun jual beli.

Namun jika diketahui bahawa pihak gereja membeli tanah untuk tujuan kemaksiatan seperti membina tempat ibadat mereka di kawasan orang Islam atau untuk memudaratkan orang Islam jual beli seperti ini lebih elok dielakkan.

Guna ayat dari bible untuk panduan hidup

Soalan:

Saya merupakan seorang pelajar tajaan yang sedang belajar di United Kingdom. Ada yang bertanya kepada saya tentang hukum seorang Muslim menggunakan ayat Bible yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, dia menggunakan sepotong ayat sekadar sebagai motivasi harian tetapi ayat tersebut jelas tidak bertentangan dengan Islam. Adakah perbuatan seperti ini dibenarkan dalam Islam?

Jawapan:

Sekiranya jelas ucapan-ucapan itu berasal daripada kitab bible atau petikan khutbah paderi Kristian sebaiknya dielakkan daripada disebarkan atau diamalkan. Bagi orang yang membaca atau menyebarkannya atas niat menyebarkan ajaran agama tersebut maka berdosa dan tergelincir akidahnya.

Seseorang itu dibolehkan membaca bible untuk tujuan penyelidikan serta memperkuatkan hujah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Sekiranya terdapat kekeliruan apa yang dibaca, dapatkan nasihat daripada alim ulama bagi memastikannya. Adalah lebih baik kita tidak membaca atau mengkaji bible sekiranya kita kurang atau tidak membaca dan memahami al-quran kerana dikhuatiri kita lebih mempercayai dan mengagumi bible sedangkan kita tidak mendalami keistimewaan isi kandungan al-quran.