Sumpah

Soalan:

Saya telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui game online dan terlalu menyayanginya. Dia telah menyuruh saya bersumpah yang saya benar2 menyayanginya dan saya telah bersumpah dengan nama Allah.  Dia telah menyekat semua aktiviti dan pergaulan saya. Dia telah menipu saya dari segi latar belakangnya.

Persoalan saya ialah, apakah tindakan yang harus saya lakukan apabila saya telah menyatakan sumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak akan mencari lain sedangkan sekarang saya rasa tertipu sangat-sangat.

Dan, sejak saya mengetahui siapa dia, ada perkara yang dia sekat dulu saya langgar dan salah satunya dia tak mengizinkan saya terlibat dengan instagram tapi saya masih simpan instagram saya dan saya tipu dia cakap saya dan uninstall dan disuruh bersumpah. Sekali lagi saya telah bersumpah dengan nama Allah kerana nak mengelak daripada bergaduh. Dan dia dapat tahu saya masih ada instagram.

Saya rasa stress dan tak sanggup nak teruskan hubungan ini tetapi disebabkan sumpah saya atas nama Allah menghalang saya meninggalkannya. Apa yang harus saya lakukan?

 

Jawapan :

Sumpah boleh dibahagikan kepada dua kategori;

Pertama, sumpah sebenar

Kedua, sumpah yang ‘lagha’ (sia-sia). Sumpah yang ‘lagha’ ini merupakan satu kebiasaan sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti ‘Wallahi’, ‘Wabillahi’ atau ‘Watallahi’. Mereka menggunakan perkataan itu untuk menegaskan suatu perkara, bukannya bersumpah. Maka, ia tidak wajib (dilunaskan).

Namun, jika seseorang itu benar-benar bersumpah dalam erti kata yang sebenarnya, maka dia wajib menunaikan sumpahnya itu. Jika tidak dilaksanakan, maka hukumnya berdosa.

Seseorang yang telah bersumpah dengan nama Allah wajib menunaikan sumpahnya. Sekiranya dia melanggar sumpah tersebut maka wajib ke atasnya membayar kifarah sumpah iaitu:

  1. Memerdekakan seorang hamba; atau
  2. Memberi makan kepada 10 orang miskin; atau
  3. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau jika tidak mampu
  4. Berpuasa 3 hari

 

Saudari dinasihatkan jangan terlalu banyak dan mudah bersumpah dengan nama Allah disebabkan kemungkinan sumpah itu tidak dapat ditunaikan kelak.

Walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah swt dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.”

Dekatkan diri dengan Allah, banyakkan berzikir, membaca al-quran, menggandakan amal ibadat, berdoa dan bertawakkal. Amalkan tawakal setelah berusaha kerana setiap hamba yang bertawakal pasti akan bersyukur dengan apa-apa sahaja keputusan yang Allah berikan kepadanya, termasuklah ujian, dugaan dan cabaran pasti akan diharunginya sebaik mungkin.

 

 

Beri dan jawab salam

Soalan:

Bolehkah kita memberi/menjawab salam secara ringkas seperti assalam/wassalam

 

Jawapan:

Hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkan dan hukum menjawab salam adalah wajib.

Salam bermaksud sejahtera/selamat. Boleh memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السلام) atau (سلام) ketika mengucapkannya.

Walaupun begitu, yang paling baik adalah memberi salam atau menulisnya dengan lafaz yang sempurna,

Assalamualaikum (السلام عليكم) atau

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ( السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ )

Cara membuang kuku mengikut sunnah

Soalan:

Bagaimanakah cara membuang kuku mengikut sunnah nabi.

 

Jawapan:

Tidak ada hadis sahih berkenaan persoalan dan tatacara memotong kuku dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimulai dengan jari manapun. Namun, pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat adalah lebih disyorkan untuk melakukan ibadat dan amalan-amalan sunat. Oleh yang demikian, adalah sunat memotong kuku pada hari-hari tersebut.

Sunatkan memulakannya dari tangan kanan kemudian tangan kiri dan memulakan kaki kanan kemudian kaki kiri.

Hadith:

Yang bermaksud, Dari ‘Aisyah RA, Sesungguhnya Rasulullah saw suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Muslim)

Hadith:

Yang bermaksud, Ditetapkan waktu buat kami pada memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencabut bulu kemaluan, agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam.

Hal ini dilakukan agar tiada kotoran terperangkap di bawahnya dan agar tidak menghalangi masuknya air ketika berwudhuk dan mandi.

 

 

 

Hukum datuk mencium bibir cucu perempuan belum baligh

Soalan:

Adakah Datuk boleh mencium bibir cucu perempuan yang belum baligh?

Apakah cara yang sesuai untuk kita maklumkan kepada ayah kita berkenaan perkara ini.

 

Jawapan:

Secara dasarnya harus seorang lelaki mencium perempuan yang menjadi mahramnya sama ada yang telah dewasa mahupun yang kecil tanpa syahwat, (seperti anak perempuannya, cucu perempuannya, ibunya, anak saudaranya dan sebagainya dari wanita-wanita yang haram dikahwininya untuk selama-lamanya) sebagai tanda kasih sayang.

Terdapat riwayat menceritakan; Nabi s.a.w mencium anaknya Fatimah. Saidina Abu Bakar juga pernah menciuam anaknya ‘Aisyah. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

  1. Bebas dari syahwat. Jika ciuman menimbulkan syahwat atau dikhuatiri menimbulkan syahwat, haram menciumnya sekalipun ada ikatan mahram.
  2. Bukan cium pada mulut. Harus mencium dahi, pipi dan sebagainya, tetapi tidak harus mencium mulut. Ciuman pada mulut hanya khusus untuk suami-isteri sahaja (itupun bukan di khalayak ramai).
  3. Tidak dilakukan di khalayak ramai kerana ia membangkitkan ghairah orang lain dan merupakan perlakuan yang kurang beradab yang boleh menjatuhkan nilai diri di hadapan orang lain.

Pada zaman hari ini di mana terlalu banyak faktor yang mendorong syahwat, ditambah dengan iman yang lemah, perlulah lebih berhati-hati dalam segala perkara yang membabitkan hubungan lelaki dan perempuan sekalipun ada ikatan mahram. Apatah lagi semakin banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan berlaku hari ini.

Terpulang kepada puan cara yang difikirkan sesuai untuk memberitahu ayah puan berkenaan perkara tersebut.

Menghadkan bilangan anak

 

Soalan :

Ada sesetengah Negara meletakkan undang-undang untuk menghadkan bilangan anak-anak dalam setiap keluarga, sekiranya satu hari nanti Malaysia berbuat sedemikian, adakah ianya dibenarkan di dalam Islam?

 

Jawapan:

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-12 yang bersidang pada 20 Februari 1977 telah membincangkan Rancangan Keluarga. Persidangan telah memutuskan bahawa Rancangan Keluarga mengandungi tiga bahagian, iaitu:

  1. Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
  2. Mencegahkan beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.
  3. Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada (a) dan (b) di atas adalah harus.

Kesimpulannya:

  1. Harus merancang keluarga atas sebab-sebab yg diharuskan syarak, umpamanya atas faktor kesihatan ibu, anak dan faktor kesihatan mental dan fizikal si ibu.
  2. Haram merancang keluarga atas sebab ekonomi sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 31, yang bermaksud “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”
  3. Haram merancang keluarga secara kekal seperti ikat peranakan dan memandulkan lelaki.

 

Membeli kain kafan dan papan gendeng kubur dan diberikan secara percuma kepada jenazah

Sebaik-baiknya pembiayaan pengurusan jenazah si mati adalah diambil daripada harta si mati itu sendiri. Pembiayaan pembelian kain kafan digunakan dari harta si mati, jika si mati tidak meninggalkan harta, maka pembelian ditanggung orang yang menanggug nafkahnya semasa hidup, jika yang menanggung nafkahnya tidak ada maka menjadi tanggungan muslim lainnya.

Jika dalam keadaan si mati dan warisnya tidak mempunyai wang atau sebarang harta untuk membeli kain kafan, pihak masjid boleh memberikannya secara percuma.

 

Bawa telefon bimbit dalam poket ketika solat

Soalan:

Hukum membawa telefon bimbit yang diletakkan di dalam poket ketika solat

Jawapan:

Tidak menjadi kesalahan jika membawa telefon yang diletakkan di dalam poket ketika solat. Sebaik-baiknya matikanlah telefon bimbit terlebih dahulu sebelum menunaikan solat atau diletakkan di dalam nada senyap. Telefon bimbit yang berdering ketika solat boleh mengganggu tumpuan dan kekhusyukan solat.

 

Mewarnakan rambut

Soalan:

Saya mempunyai masalah uban yang agak teruk sejak dari umur belasan tahun. Saya sering diejek ahli keluarga dan merasa malu jika mengambil air wuduk ketika berada di surau atau masjid sehingga saya mengelak daripada rambut saya dilihat orang lain. bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan pewarna rambut (dye) selain daripada inai?

Jawapan:

Hukum mewarna rambut:

Fatwa Negeri Sembilan

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Sunat 

Mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam

  1. Harus

(a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad

(b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

  1. Makruh

(a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh

(b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

  1. Haram

(a)  Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b)

(b)  Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.          

Walaupun mewarnakan rambut dibenarkan, namun, perlu diingatkan pewarna rambut selain inai mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu. Terdapat sesetengah pewarna rambut mengandungi bahan terlarang dan diharamkan oleh Islam. Adakalanya pewarna rambut berkenaan akan mengakibatkan air wuduk tidak sampai kepada rambut sedangkan ia syarat sah dalam wuduk.

Jika dua keadaan ini berlaku, maka hukum mewarnakan rambut dengan pewarna itu adalah haram. Justeru, penggunaan pewarna rambut daripada inai adalah yang terbaik memandangkan ia tidak mengandungi bahan meragukan.

 

Ubahsuai surau oleh kontraktor bukan Islam

Soalan :

Apakah hukumnya / adakah dibenarkan di dalam Islam, sebuah surau diubahsuai (renovate) oleh kontrator bukan Islam. Ini adalah merujuk kepada kerja-kerja pengubahsuaian surau yang sedia ada untuk sivil, mekanikal dan electrical di bawah kontraktor utama yang bukan muslim

Design dan drawing disediakan oleh pihak kami (muslim) hanya kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor bukan Islam

Jawapan:

Harus bagi kontraktor bukan Islam melakukan pengubahsuaian surau tersebut dengan pengawasan pihak pengurusan syarikat yang beragama Islam.

Adalah lebih baik orang Islam diberi keutamaan dalam melaksanakan kerja tersebut, tetapi dalam keadaan sangat perlu utk meminta pertolongan dari bukan Islam atas sebab kelebihan kepakaran dan kemahiran yang ada pada mereka, dan dapat menyempurnakan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Rawatan jarak jauh

Soalan:

Ada hamba Allah yang bertanyakan pendapat saya tentang kaedah perubatan Islam jarak jauh. Adakah ianya dibolehkan? Adakah kaedah ini haram secara mutlak atau ada perbahasannya?

Kaedah Yang Digunakan :

  1. Dari kajian saya melalui pembacaan dan juga cerita yang diterima dari pesakit, antara pendekatan yang digunakan untuk menjayakan kaedah ini ialah dengan menggunakan alat perhubungan telekomunikasi seperti telefon bimbit, telefon rumah, internet (skype, google hangout dan lain-lain).

Dengan penggunaan alat perhubungan yang saya sebutkan di atas, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah dan pesakit pula akan mendengar bacaan tersebut. Adakah Kaedah ini dibenarkan dari segi syarak ? kerana tidak terdapat sebarang unsur syirik, khurafat dan juga meragukan disini.

Pesakit cuma dapat mendengar dengan jelas bacaan dari perawat. Kaedah ini bagi saya sama sahaja seperti pesakit mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah melalui laptop, radio cd, mp3 dan sebagainya.

Cuma perawat sahaja tidak berada bersama pesakit secara bersemuka. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak?

 

2. Kaedah yang seterusnya pula ialah rawatan jarak jauh menggunakan doa-doa yang mustajab, ZIKIR, SOLAT HAJAT, BERSEDEKAH dan sebagainya. Beza rawatan menggunakan doa ini dengan rawatan menggunakan alat telekomunikasi di atas ialah rawatan ini sesuai untuk pesakit yang enggan untuk dirawat. Ataupun pesakit yang dah terlalu uzur samada disebabkan faktor usia, ataupun tahap kesihatan yang tidak mengizinkan. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak?

 

Jawapan:

Kaedah rawatan jarak jauh adalah antara kepelbagaian kaedah rawatan yang dipraktikkan di pusat-pusat rawatan Islam di Malaysia. Hal ini berdasarkan hadith Nabi saw yang menyarankan agar seseorang itu mendoakan sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya itu. Ia juga termasuk dalam konteks doa yang mendapat perkenan Allah swt kemakbulannya.

وعن أبي الدرداء رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أنه سمع رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يقول: ما من عبد مسلم يدعو لأخيه بظهر الغيب إلا قال الملَك: ولك بمثل

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau segala kebaikan yang engkau doakan untuknya.”

عن عبد الله بن عمرو عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ما دعوة أسرع إجابة من دعوة غائب لغائب

Maksudnya: “Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dirinya.”

Berkaitan dengan penggunaan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit, dapat dibahagikan kepada dua pandangan yang utama dari sudut keharusan dan pengharaman penggunaan kaedah ini.

 

Pertama: Diharuskan untuk menggunakan kaedah jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi.

Selain itu, diharuskan juga menggunakan kaedah ini dalam situasi ia dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan saling mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon. Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar. Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi.

Dalam situasi yang lain pula, juga termasuk dalam rawatan jarak jauh adalah melalui amalan solat hajat dan mendoakan kesembuhan bagi pesakit. Melalui amalan ini, ia adalah diharuskan, bahkan Nabi SAW sangat menggalakkan seseorang Muslim itu mendoakan kesejahteraan bagi Muslim yang lain dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan tersebut tidak diketahui oleh sahabat yang didoakan tersebut melainkan Allah swt sahaja.

 

Kedua: Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh sekiranya tidak melibatkan sebarang perhubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus. Contohnya perawat menyatakan bahawa beliau akan menjalankan rawatan (iaitu selepas mendapatkan maklumat dan persetujuan dari pesakit atau ahli keluarga) apabila tibanya waktu malam, pesakit akan didatangi seseorang yang tidak dikenali ketika tidur (dalam keadaan tidak sedar) untuk merawat pesakit tersebut.

Pesakit juga disyaratkan untuk meletakkan bahan-bahan tertentu yang diberikan oleh perawat di bawah bantal tidurnya dengan tujuan rawatan sedemikian. Cara rawatan sedemikian jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, ia menyerupai amalan perbomohan yang mendakwa bahawa akan ada makhluk yang akan membantu merawat pesakit tersebut ketika tidur seperti akan didatangi oleh makhluk berjubah putih dan berserban atau mendakwa bahawa akan didatangi oleh seorang syeikh yang datang merawat pesakit itu dan pelbagai keadaan lagi.

Secara umumnya cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal. Dalam sesetengah keadaan, perawat itu berusaha untuk menunjukkan kelebihan dan kemampuannya dalam rawatan sehingga dirinya dipandang sebagai seorang yang hebat dan dipercayai.