Software tiruan

Soalan:

Apakah hukum menggunakan perisian atau ‘software’ tiruan atau bukan original untuk tujuan kebaikan atau promosi seperti membuat poster, Video program dan apa-apa yang bermanfaat tanpa sebarang upah kerana harga original untuk sesebuah perisian yang original terlalu mahal dan perlu kemaskini setiap bulan(RM 350++) yang tidak mampu dimiliki oleh seorang pelajar.

Dan jika sebaliknya, yakni pengguna itu mengambil upah melalui kegiatan ini, apakah hukumnya?

Jawapan:

Perisian komputer (software) adalah sejenis harta intelek (intelectual property) yang merupakan aset tidak nyata tetapi diiktiraf dari sudut undang-undang dan juga syarak.

Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah membincangkan berkenaan harta tidak nyata (huquq ma’nawiyyah) dan meluluskan resolusi berikut:

“Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dll). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”.

Oleh kerana perisian komputer termasuk dalam harta intelek yang diiktiraf syarak, maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti cetak rompak dan seumpamanya.

Firman Allah Taala: وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”. (Al-Baqarah: 188).

Berasaskan kepada pengiktirafan syarak terhadap harta intelek, maka hukum asal bagi pembelian, penjualan dan penyebaran perisian komputer cetak rompak, sama ada untuk tujuan komersial atau untuk kegunaan peribadi tanpa keizinan pemilik hak ciptanya adalah tidak diharuskan.

 

Anak luar nikah

Soalan:

Fatwa mengatakan hukum nikah dengan wanita hamil sah tetapi jika kelahiran bayi itu kurang daripada 6 bulan kandungan, bayi tersebut tidak boleh dinasabkan kepada suami ibunya walaupun beliau merupakan bapanya kalau mengikut secara biologinya.

Mohon penjelasan

Jawapan:

Para Fuqaha sepakat bahawa anak zina/anak luar nikah/anak tak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah. Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua-dua ibu bapanya.

Jumhur berpendapat anak yang tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, walaupun setelah bapa biologinya itu berkahwin dengan ibunya. Ini memberikan implikasi daripada sudut penamaan, keturunan anak, pergaulan dalam keluarga, hadanah, nafkah, pusaka, wali, kematian, amal kebajikan, penghakiman hukum qisas dan hudud serta lain-lain lagi

Fatwa Negeri Sembilan

  1. Jika seorang bayi itu dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepadaa suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kelahiran anak tersebut.
  2. Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.
  3. Wajib bagi suami tersebut menafikan bayi berkenaan adalah anaknya.

4          Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.

Nikah dengan wanita hamil

Soalan:

Apakah status perkahwinan atau hukum bagi pasangan yang berkahwin dimana bakal isterinya itu sedang mengandungkan anak luar nikah.?

Jawapan:

Pernikahan wanita yang sedang mengandungkan anak luar nikah  itu sah  apabila cukup syarat dan rukunnya.

Mencuri ketika kanak-kanak

Soalan:

Hukum mencuri barang dan makanan di kedai sewaktu kanak-kanak dan bagaimana saya nak selesaikan tentang itu sama ada perlu bayar atau tidak ?

Jawapan:

Seorang kanak-kanak yang belum baligh, jika mencuri dia tidak dikenakan apa-apa hukuman. Dan tidak ada dosa baginya kerana Nabi s.a.w bersabda:

Maksudnya: Diangkat qalam (tidak dihukum mukallaf) daripada tiga orang; orang gila sehingga dia sedar, orang yang tidur sehingga dia bangun, dan kanak-kanak sehingga dia baligh.                               Abu Daud (no: 4403) dan lain-lain.

Tetapi barangan yang dicuri mestilah dipulangkan balik, sama ada oleh walinya jika walinya mengetahui, ataupun jika dia sudah baligh maka dia sendiri yang memulangkannya. Kerana ia berkait dengan dhaman (tanggungan) iaitu menggantikan hak orang lain.

Jika dia mengetahui jumlah yang dicuri daripada pemilik barang tersebut, maka dia hendaklah mengembalikannya sama ada dalam bentuk barang atau wang yang sama nilai dengan barang yang dicuri. Tapi kalau pemilik menghalalkan, selesailah permasalahan.

Jika dia tidak pasti berapa yang sudah diambil, dan juga tidak dapat menghubungi orang tersebut, maka tiada apa-apa tanggungan yang perlu dilakukannya.

Pakaian ada kesan air mazi

Soalan:

Hukum memakai pakaian yang ada kesan mazi di dalam surau tetapi tidak berhadas besar?

Jawapan:

Keluar mazi tidak memerlukan mandi wajib. Ia hanya membatalkan wudhuk dan adalah najis. Oleh itu, orang yang keluar mazi dari kemaluannya (sama ada lelaki atau wanita), sebelum mengerjakan solat dia wajib membersihkan badan dan pakaiannya daripada mazi tersebut sebelum wudhuk.

Puasa selepas nisfu sya’aban

Soalan:

Apa hukum puasa selepas nisfu syaaban

Jawapan:

Haram berpuasa Sya’ban pada setengah bulan yang kedua sahaja (selepas nisfu Sya’ban). Larangan ini adalah bagi orang yang tidak memiliki kebiasaan berpuasa ketika itu. Jadi bagi yang memiliki kebiasaan berpuasa (seperti puasa Isnin-Khamis), boleh berpuasa ketika itu.

Nikah batin

Soalan:

Adakah nikah batin itu sah nikahnya atau maksiat semata-mata?

Seorang wanita telah bernikah secara batin dengan seorang lelaki yang berstatus suami orang. Mereka nikah secara batin kerana isteri pertama tidak membenarkan berpoligami. Wujud persoalan di sini, adakah nikah batin itu benar dan apakah hukumnya? Adakah dalil-dalil yang menyatakan bahawa nikah batin itu boleh dan dibenarkan dalam islam? Wanita tersebut sangat menginginkan anak. Dan sememangnya mereka telah melakukan hubungan suami isteri.

Jawapan :

Pernikahan yang tidak mengikut syariat Islam adalah tidak sah dan tidak diiktiraf. Rukun Nikah ialah : 1.Calon suami (lelaki), 2.Calon isteri (perempuan), 3.Wali, 4.Saksi, 5.Ijab dan Kabul (akad). Jika perkara ini tidak ditepati maka nikah tersebut tidak sah.

Dalam Islam tidak ada istilah ‘nikah batin’. Disyorkan supaya kawan puan bertaubat dengan taubat nasuha iaitu menyesali segala perbuatan tersebut serta berazam tidak akan melakukannya lagi.

Harta sepencarian

Soalan:

Sekiranya seorang perempuan mempunyai pekerjaan sendiri  dan membeli sebuah rumah kedua selepas berkahwin, adakah rumah itu termasuk dalam harta sepencarian suami isteri walaupun si suami tidak menyumbang dalam pembelian rumah tersebut.

Jawapan:

Perkataan harta sepencarian tidak wujud dalam kamus Arab mahupun dalam kitab fiqh Islam. Di Malaysia, pembahagian harta sepencarian merupakan amalan adat yang kemudiannya diterima pakai sebagai sebahagian daripada undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia.

Kadar pembahagian oleh kebanyakan Hakim bicara ialah prinsip sumbangan. Kalau sumbangan secara langsung, baik berbentuk tenaga ataupun wang ringgit maka pembahagian adalah sama banyak. Tiada ketetapan kadar tertentu bergantung kepada keputusan mahkamah dengan melihat kepada takat sumbangan pemohon.

Kedudukan rumah tersebut, sama ada ia harta sepencarian atau tidak boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

 

Berniaga di bawah syarikat milik orang bukan Islam

Soalan:

Apakah hukum berniaga di bawah syarikat milik orang bukan Islam? Produk yang dijual syarikat itu halal dan bersih. Contoh menjadi agen pengedar Shaklee.

Jawapan:

Jika aktiviti perniagaan syarikat itu harus di sisi Islam, maka harus hukumnya bekerja di situ. Keharusan tersebut berasaskan kepada aktiviti perniagaan. Apabila aktiviti perniagaan itu harus, maka hukum bekerja dalam syarikat tersebut adalah harus. Jika aktiviti perniagaan itu haram, maka hukum bekerja dalam syarikat tersebut adalah haram.

Wanita dalam keadaan haid masuk ke dalam masjid

Soalan:

Apakah hukum wanita dalam keadaan haid masuk ke dalam masjid untuk menuntut ilmu atau majlis akad nikah.

Jawapan:

Haram berada / duduk di dalam masjid untuk menuntut ilmu atau majlis akad nikah.