Fidyah puasa

Soalan:

Ibu saya baru meninggal dunia pada 7/9 yg lepas. Dalam usaha menyelesaikan perkara yang perlu selepas kematian, timbul keraguan tentang fidyah ibu saya yang belum dijelaskan selama hidupnya.

Saya telahpun ke pusat zakat untuk mengira fidyah arwah ibu saya. Kiraan yang saya buat sendiri dengan menggunakan aplikasi kiraan zakat secara online sebagaimana yang digunakan juga oleh pegawai di pusat zakat, terdapat perbezaan. Bolehkah ustaz/ustazah membuat pengiraan sekali lagi daripada detail berikut:

Ibu baligh pada tahu 1953, kebiasaan tinggal puasa wanita selama 7 hari (dimaklumkan oleh pegawai zakat). Mula dari 2010 – 2016 tidak pernah lagi berpuasa kerana perlu mengambil ubat jantung mengikut masa yang tepat.

Tambahan pula kami tidak pasti adakah ibu ada melahirkan anak-anaknya dalam bulan puasa dan tidak menggantikannya.

Cara pembayaran:

Cara pertama dianggap lebih tepat dan cara kedua sebagai tidak menyusahkan waris.(dijelaskan oleh pegawai zakat). Jika saya mengambil kira cara pertama tetapi tidak mampu membayarnya secara keseluruhan, bolehkah saya  membayarnya secara beransur-ansur.?

Menurut pegawai tersebut lebih baik ambil cara kedua sebagai tidak menyusahkan waris. Bagi saya bukan yang menyenangkan tetapi yang sepatutnya bagaimana.

Harap dapat  penjelasan yang tepat.

Jawapan:

Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, bayarlah fidyah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.

Berkaitan dengan pengiraan fidyah puasa hendaklah dirujuk ke Pusat Zakat iaitu pihak yang bertanggungjawab berkaitan hal ini.

Pelajar lelaki berasrama solat Jumaat

Soalan :

Banyak sekolah berasrama yang menetapkan pelajar lelaki hanya boleh balik selepas menunaikan solat jumaat terlebih dahulu, pada hari jumaat.

Bagi kes pelajar dihantar oleh pihak sekolah hingga ke Bandar Seremban atau balik sendiri (naik bas awam, teksi) ada ibubapa bagi pelajar yang tinggal jauh, jarak lebih dari 2 marhalah (90 km) memohon supaya anak-anak mereka diberi pelepasan untuk boleh balik pada jam 12.30 tengahari.

Ini menyebabkan akan ada kemungkinan pelajar tidak sempat menunaikan solat di Bandar Seremban (menaiki bas milik sekolah) atau dalam perjalanan (balik sendiri naik bas awam).

Mohon pencerahan hukum menunaikan solat jumaat dengan dikaitkan dengan situasi yang diberikan di atas.

Jawapan :

Pelajar wajib menunaikan solat Jumaat terlebih dahulu sama ada di tempat yang dihantar oleh pihak sekolah atau di dalam perjalanan bagi pelajar yang tinggal jauh. Setelah selesai barulah pulang ke rumah/kampung halaman.

Solat Jumaat tidak wajib bagi seseorang yang bermusafir dengan syarat memulakan perjalanan sebelum terbit fajar pada hari Jumaat.

Kementerian telah mengeluarkan pekeliling untuk membolehkan murid-murid Islam bersembahyang Jumaat, “Sekolah sesi sebelah pagi yang mana kebanyakan muridnya beragama Islam, hendaklah ditutup tidak lewat dari pukul 12.15 tengahari.”

Perjalanan pada hari Jumaat hendaklah dirancang terlebih dahulu seperti tempahan tiket kenderaan. Kini kemudahan pengangkutan awam telah berkembang, terdapat kereta api, komuter, lrt, monorel.

Dalam situasi ini tidak ada kelonggaran atau keuzuran syarie yang boleh mengecualikan pelajar daripada menunaikan solat Jumaat.

Pengawal keselamatan tidak solat Jumaat

Soalan :

Isu yang kami hadapi ialah berkenaan Pengawal Keselamatan tidak dapat melaksanakan solat Jumaat di masjid kerana tidak boleh meninggalkan pos masing-masing atas sebab keselamatan premis dan warga Kolej UNITI.

Jawapan :

Setiap orang Islam yang sudah baligh dan berakal adalah diwajibkan menunaikan solat fardu Jumaat kecuali uzur syarie seperti sakit dan sebagainya.  Jika suatu kerja atau tugas itu membabitkan kepentingan awam atau menjaga kemaslahatan/kepentingan yang tidak dapat dielakkan (dari menjaga dan memerhatikannya sepanjang masa termasuk ketika waktu jumaat), orang terbabit harus meninggalkan solat jumaat kerana berlaku keuzuran yang tidak dapat dielakkan tetapi dengan syarat tidak boleh meninggalkan solat jumaat lebih dari tiga kali Jumaat berturut-turut. Mereka hendaklah menggantikan solat jumaat mereka dengan solat zohor.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oct 1985 telah membincangkan Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas.

Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut.

Mufarraqah dari imam

Soalan : 

Apakah yang patut makmum lakukan apabila menyedari bahawa Imam tidak bangun pada rakaat keempat dan terus duduk tahiyat walaupun ada makmum yang menegur dengan menyebut Subhanallah?

Jawapan : 

Makmum sambung rakaat yang keempat dengan niat mufarraqahMufarraqah ialah niat untuk memisahkan diri dari mengikuti imam semasa mengerjakan solat berjemaah.

Solat di tempat kerja

Soalan :

Bolehkan syarikat menetapkan peraturan menetapkan waktu solat pada jam 5.30 pm bagi pekerja pejabat dan jam 6.00 pm bagi pekerja workshop?

Jawapan :

Boleh, kerana masa yang diberikan oleh pihak syarikat masih di dalam tempoh waktu solat. ( waktu solat belum berakhir )

Soalan :

Adakah sebarang bentuk arahan dari Pejabat Mufti, hukum atau apa-apa yang lain yang tidak membenarkan syarikat menghalang seorang pekerja Islam untuk melaksanakan solat seawal waktu?

Jawapan : 

Jabatan ini tidak ada kuasa atau peruntukkan undang-undang bagi mengarahkan mana-mana syarikat di dalam menentukan waktu solat pekerja. Walau bagaimanapun, kebenaran waktu solat yang diberikan oleh pihak syarikat tidak melewati waktu solat.

Hukum Jenazah Bayi Yang Gugur

PENDAPAT AL-SYAFIEYYAH,[1]

Sekiranya kandungan gugur sebelum cukup tempoh mengandung (minimum) iaitu 6 bulan 2 lahzah:

1.      Sekiranya diketahui hayatnya maka ia diuruskan seperti orang dewasa, wajib dimandikannya.

2.      Sekiranya tidak diketahui hayatnya:

i.  Seandainya zahir rupa bentuk manusia maka wajib dimandikan tanpa perlu solat ke atasnya.

ii.  Seandainya tidak zahir rupa bentuk manusia, maka tidak wajib dimandikan.

Manakala sekiranya kandungan gugur lebih daripada yang dinyatakan di atas (6 bulan 2 lahzah) maka wajib dimandikan sekalipun telah mati apabila keluar. Sunat ianya diberi nama dengan syarat roh telah ditiupkan kepada kandungan tersebut.

PENDAPAT AL-HANAFIYYAH,

Sekiranya kandungan itu keluar dalam keadaan hidup seperti dengar suaranya atau dilihat pergerakannya kemudian gugur maka wajib dimandikannya sama ada tidak cukup tempoh hamil atau cukup tempohnya.

Sekiranya ia telah mati ketika keluar dan sempurna rupa bentuk manusia maka wajib dimandikan. Seandainya tidak sempurna rupa bentuknya bahkan sebahagiannya sahaja maka tidak perlu dimandikan sebagaimana biasa tetapi cukuplah sekadar menjiruskannya dengan air dan dibalut dengan kain dan diberikan nama ke atasnya kerana ia akan bersama-sama di padang Mahsyar kelak.

PENDAPAT AL-HANABILAH,

Sekiranya gugur dan sempurna di dalam kandungan ibunya iaitu cukup 4 bulan kemudian keluar maka wajib dimandikan. Sekiranya gugur sebelum daripada tempoh itu maka tidak wajib dimandikan.

PENDAPAT AL-MALIKIYAAH,

Sekiranya ada hayat mustaqirrah maka wajib dimandikan dan seandainya sebaliknya maka hukum adalah makruh.

 

*Diwajibkan solat jenazah bagi bayi yang gugur sekiranya diwajibkan mandi atasnya seperti mana yang dibincang tadi. [2]

Puasa qada’&sunat enam hari

Soalan :

Apakah boleh dicampurkan antara puasa sunat enam hari di bulan Syawal dengan puasa qada’?

Jawapan:

Boleh dicampurkan antara puasa sunat enam hari dibulan Syawal dengan puasa qada’. Tetapi lebih afdal (utama) puasa tersebut hendaklah diasingkan di antara puasa qada’ dengan puasa sunat.

Solat jika dua zon dalam masa satu hari

Soalan :

Bagaimana seseorang itu menunaikan solat jika ia berada di dua zon dalam masa satu hari. Contohnya Ahmad berada di Amerika bertolak ke Malaysia dalam waktu Isyak (waktu Amerika). Sebaik sahaja sampai di Kuala Lumpur didapati pada ketika itu adalah waktu zohor (waktu Malaysia), bagaimana kedudukan solat subuh Ahmad?

Jawapan:

Ahmad hendaklah solat subuh apabila masuk waktu subuh, kerana untuk mendirikan solat subuh tidak perlu ditunggu sehingga sampai di Malaysia. Ia boleh melakukannya semasa dalam kapal terbang, maklumat waktu boleh didapati daripada anak kapal. Sekiranya beliau terlupa, tertidur atau tidak tahu kedudukan sebenar solat subuh maka hendaklah beliau Qada’.

Hukum zikir & tasbih secara nyayian

Soalan :

Apakah hukumnya zikir dan tasbih yang dibuat secara nyanyian dan di dalam suasana yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan?

Jawapan:

Alhi Jawatankusa Syariah memutuskan zikir dan tasbih dibuat dalam bentuk nyanyian adalah harus mengikut masa dan tempat, ramai sahabat Rasulullah yang mengharuskannya, seperti: Abdullah bin Jaafar, Ibn al Zubair, Al Mughirah bin Syu’bah dan Muawiah begitu juga barisan Ulama’ Tasawwauf seperti al Junaid, Sariyyu al Saqati dan Zunnun.

Walau bagaimanapun ianya hendaklah selaras dengan Syariah Islam samada pada tujuan, tempat, masa, suasana dan niat. Perkara ini hendaklah diruju’ kepada Komposer yang arif tentang agama[1].

Solat jumaat di kariah lain

Soalan :

Apakah hukumnya seorang yang bermastautin di satu kariah tidak mahu bersembahyang Jumaat di kariahnya sebaliknya beliau pergi ke masjid lain?
Jawapan:
 
Wajib seseorang yang bermastautin di satu qariah mendirikan sembahyang Jumaat di qariah itu. Dan haram hukumnya ia bersembahyang Jumaat di qariah yang lain. Wajib bagi Hakim memberitahu dengan kuasanya agar mereka ini tidak mengerjakan sembahyang di tempat lain.