Mukadimah jimak di bulan ramadhan

Saya dan isteri telah bercumbuan & bercium (dalam keadaan tanpa seurat benang/siang/1 hari), pada masa yang sama, saya menggeselkan kemaluan (tidak memasukkan zakar ke dalam faraj) dengan isteri tetapi tidak keluar mani.

Soalan:

Apakah hukumnya atas perbuatan kami?

Jawapan:

Bercumbuan dan sebagainya (mukadimah jimak) pada waktu siang Ramadan makruh kerana dikhuatiri akan menyebabkan rosaknya puasa, boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

Soalan:

Adakah puasa kami terbatal dan dikenakan kaffarah puasa?

Jawapan:

Ia tidak membatalkan puasa. Jika mencium dan mencumbui menyebabkan keluarnya mani, maka dia berdosa dan puasanya batal, walaupun demikian wajib baginya terus menahan diri daripada makan dan minum serta diwajibkan pula baginya mengqadha puasa tersebut.

Melakukan perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa akan tetapi adalah lebih elok jika ia tidak dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan demi menjaga daripada dikenakan kaffarah puasa, iaitu bagi pasangan suami isteri yang membatalkan puasa dengan bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan diwajibkan kaffarah ke atas suami seperti berikut :-

1-Memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu,

2- Berpuasa 2 bulan berturut-turut. Jika tidak mampu,

3- Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin dengan kadar secupak seorang.

Tertinggal rukun khutbah

Soalan :

Khatib tidak membaca rukun khutbah yang kedua pada rukun yang ke-5 iaitu doa berkenaan akhirat bagi umat Islam.

Jawapan :

Solat Jumaat tersebut hendaklah diqadha’ dengan solat zohor

TIdak dapat solat Jumaat

Soalan:

Saya bekerja di Calamba, Philippine di mana jarak masjid yang saya tahu paling dekat di Manila dan jarak lebih kurang Kuala Lumpr-Seremban. Saya juga ada masalah pengangkutan di sini. Saya balik Malaysia 3 bulan sekali dan selama 3 bulan di Philippine saya tidak pergi sembahyang Jumaat di sebabkan kekangan tersebut. Bagaimana pendapat tuan?

Jawapan:

Hukum meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran syarak adalah haram dan berdosa.

Keuzuran syarak yang membolehkan seseorang itu meninggalkan solat Jumaat :

  1. Sakit, demam dan sebagainya.
  2. Hujan yang menyusahkan perjalanan ke masjid
  3. Tinggal terlalu jauh daripada masjid yang menyukarkan perjalanan ke masjid tersebut
  4. Dalam perantauan (musafir)
  5. Menjaga orang sakit yang tiada penjaganya
  6. Bimbangkan diri dan harta benda daripada musuh ataupun orang zalim

Dalam keadaan saudara ketika berada di Philippine, digugurkan kewajiban solat Jumaat namun solat zuhur tetap wajib dikerjakan.

Pakaian ada kesan air mazi

Soalan:

Hukum memakai pakaian yang ada kesan mazi di dalam surau tetapi tidak berhadas besar?

Jawapan:

Keluar mazi tidak memerlukan mandi wajib. Ia hanya membatalkan wudhuk dan adalah najis. Oleh itu, orang yang keluar mazi dari kemaluannya (sama ada lelaki atau wanita), sebelum mengerjakan solat dia wajib membersihkan badan dan pakaiannya daripada mazi tersebut sebelum wudhuk.

Puasa selepas nisfu sya’aban

Soalan:

Apa hukum puasa selepas nisfu syaaban

Jawapan:

Haram berpuasa Sya’ban pada setengah bulan yang kedua sahaja (selepas nisfu Sya’ban). Larangan ini adalah bagi orang yang tidak memiliki kebiasaan berpuasa ketika itu. Jadi bagi yang memiliki kebiasaan berpuasa (seperti puasa Isnin-Khamis), boleh berpuasa ketika itu.

Mandi wajib dan wuduk dengan rambut ber’dye’

Soalan:

Apakah sah mandi wajib atau wuduk jika rambut di ‘dye’ kerana ada pendapat mengatakan mandi wajib dan wuduk sah kerana rambut tidak termasuk/ bukan anggota badan yg wajib semasa mandi atau wuduk.

Jawapan:

Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah menepati tiga syarat iaitu:-

(1)       boleh menyerap air, supaya wudhuk dan mandi wajib menjadi sah

(2)       tidak mengandungi bahan yang memudaratkan kulit; seperti kanser, kekeringan rambut, allergi  dan sebagainya

(3)       dibuat daripada bahan yang tidak bercampur dengan najis dan daripada bahan yang suci dan halal

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi wajib atau wuduk. Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi wajib dan wuduk berkenaan tidak sah.

Mengelap air wuduk

Soalan:

Mengelap anggota wuduk dihukumkan makruh. Adakah ia boleh menjadi haram jika kita berterusan mengelap anggota wuduk setiap masa?

Jawapan:

Tiada nas yang mengatakan haram jika mengelap air wuduk berterusan.

 

Wuduk yang sempurna

Soalan:

Wuduk yang sempurna adalah penting dalam solat. Apakah yang dimaksudkan dengan wuduk yang sempurna?

Jawapan:

Wuduk yang sempurna ialah mengambil wuduk dengan rukun dan sunat yang dilakukan secara sempurna syarat dan tertibnya serta membaca doa setelah wuduk.

Antara nas yang menyatakan tentang wuduk

  1. Surah al-Maidah ayat 6

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِۚ …

Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah dua belah kaki kamu meliputi buku lali …

  1. Hadith

أَنَّ عُثْمَانَ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَتَوَضَّأَ: فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى مِثْلَ ذلِكَ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هذَا ثُمَّ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هَذَا ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيْهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

(Muslim 226)

Yang bermaksud, Usman bin ‘Affan ra minta diambilkan air wuduk lalu berwuduk. Dia basuh dua tapak tangannya tiga kali. Kemudian berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung lalu mengeluarkannya. Lalu membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh tangan kanannya hingga siku tiga kali, begitu pula dengan tangan kirinya. Setelah itu, dia usap kepalanya lantas membasuh kaki kanannya hingga buku lali tiga kali, begitu juga dengan kaki kirinya. Dia kemudian berkata, ‘Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk sebagaimana wudukku ini, kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dan tidak berkata-kata dalam hati dalam kedua-dua rakaat tadi, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.

 

Solat bagi pelaut yang tinggal atas kapal selama 6 bulan

Soalan:

Seorang pelaut yang tinggal atas kapal selama 6 bulan. Kapal tersebut tidak tinggal di satu tempat. Malah belayar dari semasa ke semasa dan dari satu tempat ke destinasi yang melebihi dua marhalah.

Adakah kapal dikira tempat tinggal dalam konteks ini atau kenderaan yang membolehkan pelaut melakukan jamak dan qasar sepanjang 6 bulan di atas kapal.

Jawapan:

Sepanjang tempoh perjalanan di atas kapal, seseorang boleh melakukan solat secara jamak dan qasar.

Manakala apabila sampai ke destinasi maka hukum jamak dan qasar adalah tertakluk kepada status seseorang itu, sama ada dikira bermukim atau bermusafir.

Menurut Mazhab Syafie, sekiranya seseorang berniat untuk menetap di satu-satu tempat selama empat hari empat malam, maka dia dikira bermukim di tempat tersebut, dan terhentilah segala hukum-hakam musafir. Dengan itu, dia tidak lagi boleh mengambil rukhsah jamak dan qasar solat.

Sekiranya tempoh berada di pelabuhan adalah dua minggu, maka dia sudah dikira melebihi tempoh musafir dan tidak lagi berhak mengambil rukhsah jamak dan qasar menurut Mazhab Syafie.

Tetapi sekiranya tempoh perhentian di sana adalah kurang daripada empat hari empat malam, dia masih boleh mengambil ruhksah untuk melakukan jamak dan qasar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rakaman azan atau azan radio

Soalan:

Apakah hukumnya masjid /surau mengundangkan azan dari kaset rakaman? Adakah sah atau tidak sah dan mohon penjelasanya beserta dalil. Terima Kasih.

Jawapan :

Azan di dalam Islam adalah ibadah dan mesti dilaksanakan oleh seorang yang sah ibadahnya. Syeikh ‘Athiyah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa al-Azhar) dalam fatwanya menegaskan; Tidak memadai rakaman azan atau azan radio bagi menggantikan tuntutan melaungkan azan kerana kaum muslimin dituntut agar melaungkan azan apabila masuk waktu solat sebagaimana perintah Nabi s.a.w

إذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم وليؤمكم أكبركم

Yang bermaksud, Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.

(Bukhari dan Muslim daripada Malik bin al-Huwairith r.a).

Laungan azan adalah dituntut oleh Syarak untuk dilaksanakan dalam masyarakat Islam. Meninggalkannya adalah makruh (mengikut pandangan yang berkata ia sunat muakkad) atau berdosa (mengikut pandangan yang berkata ia adalah fardhu kifayah). Perlaksanaan azan itu mestilah dengan dilakukan oleh seorang muslim secara langsung.

Maka menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin di setiap masjid (atau tempat didirikan solat) untuk menentukan dalam kalangan mereka seorang yang dapat melaksanakan seruan azan dengan baik pada setiap waktu solat sebagaimana yang menjadi amalan yang diwarisi sejak dari zaman Nabi s.a.w hingga hari ini. Tidak memadai dengan mereka hanya memutarkan rakaman azan atau dengan azan radio sahaja.