Wang lebihan dari mesin layan diri

Soalan :

Saya menguruskan mesen layan diri (vending mesen) menjual minuman, masalah saya mesin tu kadang-kadang mengalami kerosakan teknikal (tapi bukan selalu) dan menyebabkan mesin akan menelan duit dan pembeli tak dapat barang, dan ada kalanya mesin memulangkan duit baki kurang. Jadi soalan saya bagaimanakah cara untuk saya pulangkan duit tu sedangkan saya tak tau siapa dan berapa jumlahnya.

 

Jawapan :

Wang hasil jualan yang *lebih* daripada jumlah modal beserta keuntungannya adalah *harta syubhah* dan ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Namun jika diketahui kadar dan pemiliknya, ia hendaklah dipulangkan. Bagaimanapun, mesin minuman yang rosak tersebut hendaklah segera dibaiki atau diganti yang baharu supaya masalah yang sama tidak berulang.

 

Status kutipan derma masjid yang tidak dituntut

Soalan:

Perbadanan wakaf NS telah menerima tabung kutipan derma untuk pembinaan Masjid A daripada Restoran Z (tempoh kebenaran kutipan 11.3.2005-31.8.2005).

i.  Apakah status hasil kutipan tabung derma yang tidak dituntut itu?

ii. Ke manakah wajar ia disalurkan?

 

Jawapan:

Kutipan wang derma tersebut adalah bertujuan pembinaan Masjid A. Derma itu telah ditentukan untuk masjid yang tertentu, maka duit derma tersebut hendaklah diserahkan kepada masjid berkenaan. Duit tersebut akan dibelanjakan atau digunakan untuk segala urusan pembinaan dan pembangunan fizikal masjid seperti membina, membaik pulih, mengubahsuai untuk kepentingan dan manfaatnya.

Derma tersebut tidak dibelanjakan, dipindahkan atau digunakan kepada masjid/surau lain sebagai menghormati niat para penderma.

Zakat emas

Soalan:

Ibu saya sudah meninggal dunia 17 tahun lalu dan arwah ibu ada meninggalkan emas perhiasannya seberat 122.6 gram yang telah disimpan oleh ayah. Adakah perlu kami adik beradik mengeluarkan (membayar) zakat emas perhiasan tersebut. Bolehkah kami menjual emas ini dan kemudiannya duit hasil jualan itu ditolakkan dengan zakat emas. Selebihnya, baki kami faraidkan kepada adik beradik seramai 5 orang dan juga ayah (jadi jumlah adalah 6 orang waris si mati)?

 

Jawapan:

Emas perhiasan yang kurang daripada 200 gram tidak perlu dizakatkan. Terserah kepada waris untuk menguruskannya.

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati

Soalan :

Adakah orang hidup boleh berhubung dengan roh orang mati?

 

Jawapan :

Firman Allah s.w.t:               وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (Nabi Muhammad s.a.w) tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”                          (Surah al-Isra’: 85)

Hakikat roh itu tidak dapat difikirkan oleh akal manusia bagaimana rupa bentuknya. Hanya Allah yang mengetahuinya.  Roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh. Manusia tidak boleh berhubung dengan roh orang yang telah meninggal dunia. Sekiranya ada yang mengatakan bahawa dia telah berhubung dengan roh yang telah mati, maka ia adalah satu kesesatan yang nyata, yang disangka roh itu sebenarnya jin dan syaitan yang akhirnya mampu memesongkan akidah (syirik) manusia.

Membina kepok di pusara tanah wakaf

Soalan:

Hukum membuat kepok di atas pusaradalam kawasan tanah yang diwakafkan?

Jawapan:

Hukum asal membuat kepungan atau binaan/kepok di atas pusara dalam kawasan tanah yang diwakafkan adalah haram manakala mengapur atau menulis sesuatu di atasnya adalah makruh. Bagaimanapun, hukum tersebut boleh berubah menjadi harus jika ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara pusara daripada hakisan air/struktur tanah yang lembut dan pencerobohan binatang liar, seperti dikorek binatang,atau takut dipijak orang,  namun jangan keterlaluan dengan binaan mewah yang terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah. Hanya dibina diperkarangan tanah kubur si mati. Tidak boleh ambil ruang yang sangat banyak kerana dikhuatiri menggangu tanah kubur lain.

Adakah wang khairat kematian perlu dizakatkan

Soalan :

Adakah wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas perlu dizakatkan?

Jawapan :

Wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas tidak wajib dizakatkan kerana bukan milik perseorangan tertentu dan bukan milik sempurna.

Bawa telefon bimbit dalam poket ketika solat

Soalan:

Hukum membawa telefon bimbit yang diletakkan di dalam poket ketika solat

Jawapan:

Tidak menjadi kesalahan jika membawa telefon yang diletakkan di dalam poket ketika solat. Sebaik-baiknya matikanlah telefon bimbit terlebih dahulu sebelum menunaikan solat atau diletakkan di dalam nada senyap. Telefon bimbit yang berdering ketika solat boleh mengganggu tumpuan dan kekhusyukan solat.

 

Mewarnakan rambut

Soalan:

Saya mempunyai masalah uban yang agak teruk sejak dari umur belasan tahun. Saya sering diejek ahli keluarga dan merasa malu jika mengambil air wuduk ketika berada di surau atau masjid sehingga saya mengelak daripada rambut saya dilihat orang lain. bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan pewarna rambut (dye) selain daripada inai?

Jawapan:

Hukum mewarna rambut:

Fatwa Negeri Sembilan

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

JADUAL/SCHEDULE

  1. Sunat 

Mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam

  1. Harus

(a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad

(b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

  1. Makruh

(a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh

(b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

  1. Haram

(a)  Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b)

(b)  Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.          

Walaupun mewarnakan rambut dibenarkan, namun, perlu diingatkan pewarna rambut selain inai mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu. Terdapat sesetengah pewarna rambut mengandungi bahan terlarang dan diharamkan oleh Islam. Adakalanya pewarna rambut berkenaan akan mengakibatkan air wuduk tidak sampai kepada rambut sedangkan ia syarat sah dalam wuduk.

Jika dua keadaan ini berlaku, maka hukum mewarnakan rambut dengan pewarna itu adalah haram. Justeru, penggunaan pewarna rambut daripada inai adalah yang terbaik memandangkan ia tidak mengandungi bahan meragukan.

 

Zihar

Soalan:

Abang ipar saya baru sahaja mendapat seorang anak perempuan. Saya menyamakan muka isteri saya dengan anak buah saya tersebut…apakah saya sudah menziharkan isteri saya? Dan perlukah saya berpuasa 2 bulan berturut2…

Ada pendapat tidak kerana muka bukan aurat dan ada pendapat kata perlu kerana muka di zahirkan sebagai aurat.

 

Jawapan:

Zihar berasal daripada perkataan zahr, yang bererti belakang. Apabila seorang suami mengatakan bahawa isterinya seperti belakang ibunya, maka berlakulah zihar. Dalam konteks zihar, dua aspek utama yang menjadi perhatian.

Pertama, perkataan belakang hanya sebagai kiasan sahaja, sedangkan secara hakikatnya ia merangkumi semua anggota tubuh badan. Oleh itu, jika diniatkan sebagai suatu penghormatan maka tidak menjadi zihar. Sebaliknya jika diniatkan talak maka jadi zihar.

Kedua, wanita yang menjadi perbandingan ialah wanita yang haram dikahwini oleh suami.

Jika kita telitikan apa yang dimaksudkan oleh zihar mengikut Imam Syafie: “Lafaz suami menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan mana-mana anggota wanita yang haram ke atasnya.

Menyamakan muka isteri dengan anak saudara tidaklah dikira zihar jika si suami berniat memuji atau selain zihar. Begitu juga menyamakan anggota anak saudara dengan anggota isteri tidak dinamakan zihar jika lafaz itu berbentuk kinayah dan tidak berniat zihar.

Di dalam kitab “al-Fiqh al-Manhaji”:

“Jika seorang suami bermaksud zihar dengan lafaz itu maka (bermakna) dia adalah penzihar. Jika dia bermaksud menyamakan isterinya dengan ibunya atau kakaknya pada sudut kemuliaan dan penghargaan maka dia bukan lah penzihar dan tiada apa-apa kesan pun sama sekali”.

Para suami dinasihatkan agar berhati-hati ketika melafazkan kata-kata terhadap isterinya dikhuatiri terungkap lafaz zihar secara jelas tanpa disengajakan.

 

 

 

 

Komisyen

Soalan:

Saya seorang broker yang mengambil keuntungan melalui komisyen penjualan rumah. Ada 2 cara mengambil untung

Pertama adalah dengan cara setiap satu rumah yang saya jual saya akan markup sebanyak 3% komisyen dengan persetujuan tuan rumah.

Kedua adalah dengan cara markup harga rumah jika RM 100,000 saya akan markup dalam RM 5000 dan saya akan jual dengan harga RM 105,000

Adakah kedua dua cara saya ini ada mengandungi riba. Dan bagaimana cara yang betul untuk saya praktikkan. Banyak saya sudah rujuk tapi jawapan kurang memuaskan.

Jawapan:

Pada dasarnya komisyen tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama antara tuan/pemilik harta yang hendak dijual dan wakil penjualnya (broker).

Contohnya tuan rumah berkata; ‘juallah rumah saya ini berapa saja harga yang kamu ingin jual, bayar kepada saya RM100,000 sahaja’, maka broker boleh menjual dengan harga melebihi dari yang diminta oleh tuan rumah dan yang lebih itu adalah miliknya. Mu’amalah cara ini dibolehkan oleh sebahagian ulamak, antaranya Ibnu ‘Abbas RA sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohehnya; berkata Ibnu ‘Abbas RA;

لاَ بَأْسَ أَنْ يَقُولَ: بِعْ هَذَا الثَّوْبَ، فَمَا زَادَ عَلَى كَذَا وَكَذَا، فَهُوَ لَكَ

“Tidak mengapa (yakni dibolehkan) untuk seorang berkata (kepada wakil/brokernya); ‘Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian sekian, maka ia adalah milik kamu'” (Bukhari).

Namun harus jika tidak melanggar Syariat, kerana itu dalam aktiviti orang tengah, bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut, tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;

a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.

b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.

c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama.

d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.

Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran.