Aliran Pemikiran Islam Di Malaysia

AHLI SUNNAH WALJAMAAH- SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

  1. Golongan yang menguasai tauhid dan kenabian, dengan kata lain al-Mutakkalimin. Mereka bebas dari ideologi Tasybih (menyamakan Allah dengan makhluknya) dan Ta’thil (menafikan sifat Allah)
  2. Golongan Ahli Fiqh dari Ahli Ra’yi (logik) dan ahli hadis. Ahli Ra’yi (logik) berpusat di Iraq yang diketahui oleh Imam Abu Hanafi sedangkan Ahli Hadis berpusat di Madinah yang diketahui Imam Malik. Mereka menetapkan ‘Ru’yah al-Allah’ (melihat Allah di Hari Akhirat), adanya shirat, syafa’at dan bahawasanya Allah SWT mengampuni semua dosa selain syirik (menyekutukan Allah)
  3. Golongan yang menguasai Hadis Rasulullah. Dapat membezakan yang sahih dan dhoif, dan mengetahui sebab-sebab Jarh Wa Ta’dil (Kredibiliti Ahli Hadis)
  4. Golongan yang menguasai tentang Ilmu Adab, Nahu, Tasrif. Lebih tepatnya ahli Lughah (bahasa)
  5. Golongan yang menguasai ilmu Wujuhi Qira’ati al-Quran, Tafsir al Qur’an dan ta”wilnya yang sejalan atau sesuai dengan Ahlusunnah wa al-Jama’ah.
  6. Golongan Ahli Zuhud dan Sufi, yang mereka redha terhadap ketentuan Allah dan menyedari bahawa mata, telinga dan hati semua akan dipertanggungjawabkan, tidak melakukan kebaikan kerana riya’ (ingin dilihat atau disanjung orang lain).
  7. Golongan Mujahidin yang melindungi umat Islam dan barjuang demi menegakkan agama Islam.
  8. Daerah-daerah yang mana syiar Ahlusunnah Wal Jama’ah lebih nampak dari pada Ahl Dhalal Wa Ahwaa’ (golongan menyimpang dan mendahulukan nafsunya).

Lapan golongan inilah yang disebut oleh Imam Baghdadi sebagai ‘Firqah an- Najiyah’ iaitu golongan yang selamat dari api neraka.

AHLI SUNNAH WALJAMAAH- MENURUT JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN

Tafsiran Pegangan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Tarikh keputusan : 25 Februari 2016

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadanagn takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:

  1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
  2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanabi.
  3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.