Sumpah

Soalan:

Saya telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui game online dan terlalu menyayanginya. Dia telah menyuruh saya bersumpah yang saya benar2 menyayanginya dan saya telah bersumpah dengan nama Allah.  Dia telah menyekat semua aktiviti dan pergaulan saya. Dia telah menipu saya dari segi latar belakangnya.

Persoalan saya ialah, apakah tindakan yang harus saya lakukan apabila saya telah menyatakan sumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak akan mencari lain sedangkan sekarang saya rasa tertipu sangat-sangat.

Dan, sejak saya mengetahui siapa dia, ada perkara yang dia sekat dulu saya langgar dan salah satunya dia tak mengizinkan saya terlibat dengan instagram tapi saya masih simpan instagram saya dan saya tipu dia cakap saya dan uninstall dan disuruh bersumpah. Sekali lagi saya telah bersumpah dengan nama Allah kerana nak mengelak daripada bergaduh. Dan dia dapat tahu saya masih ada instagram.

Saya rasa stress dan tak sanggup nak teruskan hubungan ini tetapi disebabkan sumpah saya atas nama Allah menghalang saya meninggalkannya. Apa yang harus saya lakukan?

 

Jawapan :

Sumpah boleh dibahagikan kepada dua kategori;

Pertama, sumpah sebenar

Kedua, sumpah yang ‘lagha’ (sia-sia). Sumpah yang ‘lagha’ ini merupakan satu kebiasaan sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti ‘Wallahi’, ‘Wabillahi’ atau ‘Watallahi’. Mereka menggunakan perkataan itu untuk menegaskan suatu perkara, bukannya bersumpah. Maka, ia tidak wajib (dilunaskan).

Namun, jika seseorang itu benar-benar bersumpah dalam erti kata yang sebenarnya, maka dia wajib menunaikan sumpahnya itu. Jika tidak dilaksanakan, maka hukumnya berdosa.

Seseorang yang telah bersumpah dengan nama Allah wajib menunaikan sumpahnya. Sekiranya dia melanggar sumpah tersebut maka wajib ke atasnya membayar kifarah sumpah iaitu:

  1. Memerdekakan seorang hamba; atau
  2. Memberi makan kepada 10 orang miskin; atau
  3. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau jika tidak mampu
  4. Berpuasa 3 hari

 

Saudari dinasihatkan jangan terlalu banyak dan mudah bersumpah dengan nama Allah disebabkan kemungkinan sumpah itu tidak dapat ditunaikan kelak.

Walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah swt dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.”

Dekatkan diri dengan Allah, banyakkan berzikir, membaca al-quran, menggandakan amal ibadat, berdoa dan bertawakkal. Amalkan tawakal setelah berusaha kerana setiap hamba yang bertawakal pasti akan bersyukur dengan apa-apa sahaja keputusan yang Allah berikan kepadanya, termasuklah ujian, dugaan dan cabaran pasti akan diharunginya sebaik mungkin.

 

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast