Menggugurkan kandungan

Soalan :

Saya Syaza Farzana pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tahun 3 semester 1 jurusan undang-undang bersama dengan ahli kumpulan saya sedang menjalankan kajian bertajuk ‘Abortion of Down Syndrome Babies’ untuk mata pelajaran Usul Fiqh.

Walaubagaimanapun, sepanjang kajian dijalankan kami hanya mendapati bahawa kandungan boleh digugurkan bagi bayi yang menghidap zika semasa dalam kandungan dan tidak menjumpai fatwa mengenai bayi yang disahkan menghidapi down syndrome oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan.

Justeru itu, kami ingin menanyakan pendapat tuan/puan, berkenaan dengan bayi yang disahkan down syndrom oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan atau tidak mengikut perspektif Islam di Malaysia.

 

Jawapan:

 

Peringkat dan hukum pengguguran janin

 

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu. (Wujud kecacatan bayi tersebut hendaklah mendapat pengesahan doktor pakar beragama Islam).
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

 

Fatwa-fatwa mengenai pengguguran kandungan yang dibincangkan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

1) Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan 

 Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 di Bilik Mesyuarat, Tingkat 11, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, Kangar pada 7- 8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

 

2) Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol

Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 di Dewan Syura JAKIM Putrajaya pada 1 Julai 2002 telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

 

3) Cadangan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia

 Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 di Dewan Syura JAKIM Putrajaya pada 1 Julai 2002 telah membincangkan isu Cadangan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast