Adat dalam perkahwinan

Soalan:

Di sini saya ingin bertanyakan mengenai pengantin yang diarak pikul hanya dipasang lilin dan paluan kompang. Anak saya akan melangsungkan perkahwinan. ini kerana ada beberapa orang di tempat saya menyatakan tidak elok dibuat pikul tapi bila saya tanya kenapa mereka tidak dapat memberikan penjelasan kepada saya.

Jawapan:

Mengadakan majlis perkahwinan berdasarkan budaya dan adat adalah dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.

  1. Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat disandingkan secara tertutup (di hadapan keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat. Jika diadakan secara terbuka diharuskan, bertujuan pemberitahuan dan memperkenalkan pengantin kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak, sama ada pengantin atau para jemputan menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat; tidak berlebihan berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj);
  2. Tiada upacara syirik dan khurafat seperti penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan yang bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi dan penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu;
  3. Tiada percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, sebaik-baiknya dibuat pengasingan tempat makan jemputan lelaki dan wanita;
  4. Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang melalaikan seperti mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran dan bersifat mewah dan mengabaikan perintah Allah s.w.t dengan meninggalkan solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir;
  5. Tiada hiburan yang berlebihan dan melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak.

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال أعلنوا هذا النكاح واجعلوه في المساجد واضربوا عليه بالدفوف

Nabi s.a.w bersabda, Iklankanlah (war-warkanlah) perkahwinan ini, dan jadikannya di masjid-masjid, dan pukullah gendang-gendang (kompang). (at-Tirmidzi).

Justeru, memukul kompang dalam majlis perkahwinan adalah dibenarkan.

  1. Tiada upacara yang meniru upacara agama lain

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Rasulullah s.a.w bersabda, Sesiapa menyerupai satu kaum, dia termasuk dalam golongan mereka (Abu Daud)

 

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Daripada Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a berkata, Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh banyak orang. Maka sesiapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.

Maka dengan itu, majlis perkahwinan hendaklah dilaksanakan berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam. Majlis boleh diadakan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, dan jika adat atau perbuatan yang meragukan lebih elok ditinggalkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast