Penggunaan patung combat dummy dalam seni bela diri

Soalan:

Hukum penggunaan patung combat dummy dalam seni bela diri

Saya baru menceburi bidang seni bela diri jiu jitsu yg menggunakan banyak teknik kunci anggota atau “grappling”. Saya ada membeli sebuah patung grappling yang cukup kaki dan tangan serta kepala yg saya gunakan untuk berlatih seni jiu jitsu. Kepala patung ini flat, dan tiada rupa manusia seperti hidung, telinga dan mata. Saya ingin tahu apa hukum saya menyimpan serta menggunakan patung ini di rumah.

Saya harap ustaz paham yang saya hanya menyifatkan patung ini sebagai alat untuk saya berlatih dan tidak ada terlintas untuk menjadikannya hiasan atau barang yg dipuja.

Saya bertanya kpd sheikh yasir qadhi dan beliau menyatakan tiada masalah utk menggunakannya kerana patung ini tidak cukup sifat serta terang terangan digunakan sekadar barang bagi tujuan latihan.

Harap tuan boleh memberi penjelasan yg bernas. Kerana pada pendapat saya, sebab kenapa Rasulullah SAW membenarkan saidatina Aishah R.A memiliki patung kerana patung itu hanya mainan, yg penting di sini adalah tujuan dan kegunaan patung itu sebagai sekadar mainan. Jadi tidak ada bezanya jika menjadikan patung yang bertujuan dijadikan sebagai alat latihan bela diri atau latihan dalam bidang medikal.

Jawapan:

Telah disepakati oleh sekalian ulama bahawa haram menyimpan patung (yang berupa makhluk bernyawa) jika tujuannya adalah untuk penyembahan dan pemujaan, kerana ia adalah rijs (kotoran) yang disebut Allah dalam firmanNya;

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Yang bermaksud, Jauhilah rijs (kotoran), iaitu berhala-berhala, dan jauhilah perkataan dusta (Surah al-Haj, ayat 30).

Jika tujuan menyimpannya bukan untuk sembahan atau pemujaan, ia turut diharamkan jika mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Patung itu sempurna anggota-anggotanya.
  2. Tidak ada keperluan untuk membuat atau menyimpannya.
  3. Dibuat dengan bahan yang boleh kekal dalam tempoh yang lama seperti kayu, logam atau batu.

Merujuk kepada ciri-ciri di atas, dikecualikan daripada hukum haram tersebut patung-patung berikut;

  1. Patung yang tidak sempurna, iaitu patung yang berbentuk separuh badan, atau yang kurang anggotanya sekira-kira jika diandaikan patung itu makhluk hidup, ia tidak akan dapat hidup tanpa anggota itu (seperti patung yang tidak berkepala dan sebagainya). Patung jenis ini tidak haram, namun makruh. Menurut mazhab Maliki; diharuskan patung yang berlubang yang menghalang hidup (jika diandaikan ia hidup) sekalipun lubang itu kecil. Mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan lubang itu besar.
  2. Dibolehkan patung yang dibuat untuk suatu maslahah seperti sebagai permainan kanak-kanak perempuan (untuk pendidikan mereka) atau sebagai alat bantuan dalam pembelajaran, kerana Nabi s.a.w tidak melarang ‘Aisyah rha ketika melihat dia bermain dengan patung kanak-kanak perempuan bersama rakan-rakan perempuannya (*ketika mula tinggal dengan Nabi s.a.w, ‘Aisyah rha baru berusia 9 tahun), sebagaimana yang diceritakan oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim. Para ulamak menjelaskan illah (sebabnya), iaitu; patung permainan itu dibolehkan sebagai latihan atau bimbingan bagi kanak-kanak perempuan untuk masa depannya.
  3. Sekiranya patung itu dibuat daripada bahan yang tidak kekal lama seperti dibuat daripada manisan atau tepung, sebahagian ulamak mazhab Maliki mengharuskannya. Antaranya Ibnu al-Faraj al-Maliki dan Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (Tafsir al-Qurtubi; surah Saba’, ayat 13)”

Kesimpulan; pada dasarnya, patung yang berupa makhluk bernyawa (yakni manusia atau haiwan) -jika memenuhi ciri-ciri di atas- adalah dilarang oleh syariat Islam sekalipun tidak dijadikan sembahan kerana hadis-hadis Nabi s.a.w yang melarangnya bersifat umum.

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast