Sempena kehadiran bulan Ramadhan al Mubarak pada tahun 2009 ini Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dengan merancang satu program berbentuk pengukuhan kefahaman hukum
dalam ibadah puasa bagi memantapkan kefahaman kepada seluruh pegawai agensi agama di Negeri Sembilan.
Program Tafaqquh Ramadhan akan membincangkan bab Puasa berpandukan kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhailiy, seorang ulama dari Syria yang telah mendapat pengiktirafan sebagai tokoh Maal Hijrah 1430H peringkat Kebangsaan. Program ini berteraskan pengajian talaqqi kitab secara berkelompok yang akan diketuai oleh S.S Dato’ Hj Mohd Yusof bin Hj. Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus.Topik yang yang akan dibentang dan dibahaskan dari segi hukum dan tatabahasanya ialah topik mengenai `ibadah puasa` dan ‘iktikaf’. Program ini dihadiri seramai 40 orang peserta, terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa negeri, ahli-ahli Panel Penyelidik Fatwa, pegawai-pegawai Jabatan Mufti, pegawai-pegawai JHEAINS, pegawai-pegawai agama Islam Daerah dan pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Program ini telah berjalan dengan lancar dan upacara penutup telah dirasmikan oleh S.S. Dato' Mufti dan disudahi dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta.