Wed03292017

Last updateWed, 22 Mar 2017 2pm

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Tokoh Ulamak Tareqat Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin ( 1875 – 1926 )

Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin ( 1875 – 1926 )

Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin ( 1875 – 1926 )

Pengasas Tareket al-Ahmadiah di Negeri Sembilan

 

Ehsan daripada: http://www.alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

 

Nama lengkap Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi.

Datuknya, Haji Idris adalah anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin ‘Amaluddin bin Awaluddin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini adalah kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato’ Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi(1783) di Negeri Sembilan.

Satu sumber lain mengatakan nasab sebalah datuk bapanya sampai ke Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut.

Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama’ Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram semasa bermukim di kota Makkah. Dia terkenal zahid, berpendirian memada ( qana'ah ) dan dikurniakan pelbagai karamah. Diceritakan pada hari kematiannya, dia tidak meninggalkan sebarang wang walau sesen pun!

Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang Qurra’ yang terkenal elok bacaanya lagi penyantun. Pernah menjadi guru Qira’at al-Quran baik semasa tinggal di Makkah mahupun ketika berada di Patani. Murid-muridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai.

Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani pula adalah seorang tokoh ulama’ yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan beberapa banyak keistemewaan yang tersendiri.

Ringkasnya, Muahmmad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama’ yang terkemuka dan alim turun-temurun.

 

Kelahirannya:

Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi’b Ali Makkah pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Sya’ban tahun 1292 yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875.

Dipelihara ibu dan neneknya(Hajjah Mariam) . Ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi.

 

Zaman Remajanya:

Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan disana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun.

Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seorang yang fasih dalam bidang qiraat al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan membentuk peribadinya.Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong sebagai seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula akalnya.

 

Guru-guru Awalnya:

Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani(Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato’ Semela), Dato’ Nahu dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari Negeri Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Nahu dan macam-macam ilmu lagi. Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani.

Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan ada ketika-ketika mengalir kedua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.

Setahun kemudian(1888), bapanya meninggal dunia semasa berusia 54 tahun(Hijri). dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.

 

Ke Makkah:

Pada tahun 1892, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut:-

  1. Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
  2. Syaikh Muhammad Nawawi al-Batani
  3. Syaikh Abi Bakr Syata
  4. Syaikh Ahmad al-Manshawi
  5. Syaikh Umar al-Shami
  6. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi’i)
  7. Syaikh Abdul karim al-Daghastani
  8. Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
  9. Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
  10. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
  11. Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
  12. Syaikh Zainuddin Sumbawa
  13. Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan
  14. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani

 

Ke Madinah:

Muhammad Said termasuk di kalangan penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana menziarahi makam Rasulullah(sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja’far al-Barzanji, Mufti Shafi’i.

 

Ke Mesir:

Kemudian meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan akhirnya ke negara Mesir melanjutkan ilmu tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Disana beliau mendalami ilmu-ilmu syara’, naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syaikh al-Jami’ al-Azhar iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syaikh Ahmad al-Rifa’I al-Malikki, iaitu sebesar-besar ulama’ Mazhab Malaiki di dalam Azhar zaman itu(1896).

 

Pulang Ke Makkah:

Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Belajar ilmu tarikat dengan Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah(bersamaan pertengahan April 1901).

Alhasilnya, guru Muhammad Said berjumlah 50 orang lebih. Beliau diketahui alim dalam ilmu-ilmu alat, Usuluddin, Fiqh empat mazhab; juga ilmu ruhani, Hikmat, Falsafah, al-Quran dan sebagainya.

 

Sahabat-sahabatnya:

Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Husain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al-Azhari Makkah dan ramai lagi.

 

Pulang Ke Tanahair:

Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarikat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah atau wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.

Di samping itu, beliau begitu berani cuba mengikiskan perbuatan bid’ah, pegangan khurafat dan amalan yang didapati bertentangan dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya tindakan Haji Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Namun berkat kesabarannya pemimpin tarikat ini akhirnya dapat mengumpul ramai pengikut setia.

Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo China(Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan.

 

Di Kelantan:

Ketika Sheikh Muhammad Said tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun mengembang ajaran tarikat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut dan di Langgar.

Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Sheikh Muhammad Said menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan atau terpelajar. Seiring dengan itu beliau juga mengedarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id sebagai teks panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan pengertian ayat di dalan risalat al-Fawa’id telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.

Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Said terlalu cepat sehingga menimbulkan rasa majdhub(semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang keras oleh sebahagian besar ulama’ Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama’ yang lain. Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syaikh Wan Ahmad al-Fatani sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini.

Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syaikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar bertarikh 5 Safar 1324 (Bersamaan 30 Mac 1906).

Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mertuanya. Sheikh Haji Muhammad Said telah berkahwin dengan Hajjah Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah suci lagi. Ketika itu Hajjah Safiah sudah pun janda, berikutan kematian suami pertamanya di Makkah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.

 

Anak-anaknya:

Sepanjang hayatnya Sheikh Haji Muhammad Said disebut-sebut berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.

Berikut disenaraikan anak-anaknya yang agak terkenal:

  1. Sheikh Haji Abdullah(1905-1956), Kampung Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tarikat Ahmadiyah selepas kematiannya.
  2. Sheikh Haji Ahmad(6 Apri 1910-7 Januari 1964). Khalifah yang kedua selepas Sheikh Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah(1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (1950).
  3. Sheikh Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah yang ketiga selepas Sheikh Haji Abdullah dan Sheikh Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura.
  4. Sheikh Haji Mansor,Ampangan,Seremban(meniggal 1981)
  5. Sheikh Haji Muhammad Nor(meninggal 1981)
  6. Sheikh Haji Muhammad Hamid
  7. Sheikh Haji Ibrahim(dengan isterinya Hajjah Wan Safiah Kota Bharu)
  8. Haji Mahadi(1914-20 Februari 1983), Taman Maluri,Kampung Pandan.Kuala Lumpur.

 

Peribadinya:

Sheikh Haji Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama’ yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu’, pemalu, pemurah, wara’, kuat beramal dan berkhalwat. Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul.

Beliau suka menolong orang yang dalam kesusahan. Memandang makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih-sayang. Semenjak menuntut ilmu di Makkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihan-kelebihan wara’, salih serta keramatnya.

Sebagai seorang ulama’ yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan, beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad,Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 ogos 1933) dan amat disayangi Dato’ Kelana Ma’mur(1889-1945).

 

Karya Tulisannya:

Walaupun Sheikh Haji Muhammad Said ada menghasilkan beberapa banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakannya belum dicetak dan sukar diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuaniyyat fi Qawa’id al-Tarikat al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasai’l Jawiyyah. Selesai terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistemewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab al-Irfaniyyah.

2. al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap ditulis di Bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323(18 Jun 1905). Berukuran 18 ½ x14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb.

3.Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba.

4.Sullam al-Ta’rif ila ‘Ilm al-Tasrif(ilmu sarf)

5.Risalah Fath(juga mengenai ilmu Sarf).

6.al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris.

7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih 10 rakaat.

8.Perjalanan mendirikan Jumaat.

9.Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya.

10.Manuskrip syair arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan kekarutan mereka.

 

Meninggal Dunia:

Ajalnya tiba pada malam Ahad, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 18/19 September 1926 ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan.Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di Bandar Seremban. Semoga Allah mencucuri rahmat Nya ke atas roh beliau.

Sebagai mengenang jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dinamakan sempena namanya: SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS ).

 

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427