Mon10232017

Last updateFri, 13 Oct 2017 4pm

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Tokoh Ulamak Tareqat Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)

Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)



Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)

 

 

Dipetik daripada buku

Tokoh Ulama Silam: Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang,

Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2007



LATAR BELAKANG

 

            Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang merupakan anak jati Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan di kampung Kanchung, Rantau, pada 16 Februari 1915, berdasarkan catatan di dalam sijil kelahiran[1]. Beliau merupakan anak hasil daripada perkongsian hidup antara ayahandanya Haji Sijang bin Kulup, dan bondanya Rahmah binti Mohd Noh. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang mempunyai empat orang adik-beradik, iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Mereka ialah Haji Mahmud, Hajjah Fatimah, Cik Rogayah, dan Itam bin Sijang yang meninggal dunia pada waktu kanak-kanak.

 

 

ZAMAN KANAK-KANAK & PENDIDIKAN

 

            Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang ialah seorang kanak-kanak pintar, dan terang hati. Beliau mula belajar mengaji al-Quran pada usia 5 tahun daripada bapa saudara sebelah ibunya, iaitu Tuan Haji Yaakub bin Mohd Noh, dan Husin bin Maksum. Beliau Berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu Rantau dari darjah satu hingga darjah lima. Berkat dorongan dan doa ibu bapa, bapa saudaranya dan keizinan keluarga. Pada tahun 1929, Beliau mula merantau pada usia 14 tahun untuk menambah ilmu di dada. Destinasi pertama yang dituju ialah Pondok Darul Wataniah yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pondok ini diteraju oleh ulama terkemuka Tanah Melayu pada ketika itu, iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Bin Fahim, atau dikenali dengan Syeikh Abdullah Fahim. Di madrasah inilah Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang mempelajari pelbagai ilmu keagamaan seperti fiqh, tauhid, asuhan tilawah al-Quran, ulum syariah , sejarah islam, akhlak islamiah, malah ilmu falak dan lain-lain. Dalam masa Darul Wataniah di bawah kemudiran Sheikh Abdullah Fahim, tuan guru tersebut telah menggunakan pendekatan yang pragmatik[2] dan moderate[3] dalam hal pengurusan sekolah, dan dalam pengajaran. Sayugia diingati, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang dalam usia mudanya juga terdidik dengan gaya pemikiran terbuka.   

            Pada tahu 1931, beliau menyertai Sekolah Agama Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana mengikut gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang telah mendapat pelawaan daripada Baginda Sultan Perak ketika itu, iaitu Almarhum DYMM Sultan Yusof untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisiah. Madrasah ini terletak berhampiran dengan Istana Bukit Chandan dan menjadi tumpuan golongan istana dan pembesar Perak untuk menghantar anak-anak belajar.

            Pada tahun yang sama (1931) Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah menyertai sekolah pondok yang dipimpin oleh Tuan Haji Shamsuddin bin Haji Isa, yang terletak di Beranang, Selangor.

            Setelah tamat pengajiannya di pondok tersebut, beliau telah kembali ke pangkuan keluarganya semula di Kanchung, Rantau. Pada ketika itu, usianya baru mencapai 17 tahun. Namun beliau telah menunjukkan keperibadian dan akhlak yang tinggi, dengan menjadi siak dan bilal muda masjid Kampung Kanchung. Selain itu, beliau membantu bapa saudaranya mengajar anak-anak kampung mempelajari al-Quran. Untuk menyara kehidupan, beliau menorah getah  di kebun milik keluarganya, di samping melakukan kerja-kerja kampung. Walaupun pada usia yang muda, dan masih dalam tanggungan ibubapa, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah menujukkan sikap berdikari, dan bertanggungjawab. Justeru beliau sentiasa menjadi contoh kepada rakan seangkatannya, dan mendapat pujian di kalangan yang lebih tua daripadanya.

            Sebagai seorang pencinta ilmu, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang sentiasa menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya ke Makkah. Sayugia diberitahu, beliau mendapat inspirasi ini daripada mantan guru kesayangannya, Sheikh Abdullah Fahim yang lahir dan membesar di Makkah. Dalam pada itu, muncul pula Pergerakan Melayu Muda (KMM) yang bergerak cergas bagi menjana perubahan khalayak umat islam melalui penulisan Majalah al-Imam, yang dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaluddin al-Falaki dan rakan-rakannya. Hal ini telah merangsang semangat Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang untuk menambah ilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan Negara.

            Sebagai langkah mempersiapkan diri untuk tujuan itu, pada tahun 1935, pada usia 20 tahun, beliau telah berangkat ke Pondok Pasir Mas, Kelantan, dan menuntut di sana selama 3 tahun. Akhirnya pada tahun 1937, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah berangkat ke Makkah dan belajar di Madrasah Solatiyah hingga ke peringkat tinggi. Semasa di Makkah, beliau telah mendalami Tarikat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Shafie bin Mohd Salleh bin Abdul Rahman[4], anak murid kepada Syed Ismail Nawab, yang juga pembantu kanan kepada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Adapun Tuan Guru Mohd Shafie merupakan ulama tasawwuf yang mengajar di Kota Makkah, dan menerima ijazah tarikat sezaman dengan Tuan Tabal dan Sheikh Mohd Sa’id al-Linggi.

            Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang berada di Makkah selama 13 tahun, dan kembali ke tanah air pada tahun 1948. Kejayaan Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang menamatkan pengajian di Madrasah Solatiyah amatlah membanggakan. Hal ini kerana kedatangan beliau di Makkah, bukan dilimpahi kemewahan malah beliau hanya dibekalkan dengan tambang oleh ayahandanya, di samping doa dan restu keluarga. Namun, apa yang nyata ialah ketinggian peribadi menjadikan beliau amat disenangi oleh guru-guru dan rakan sepengajian.

 

 

KEHIDUPAN BERKELUARGA

 

            Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang dijodohkan oleh orang tuanya dengan calon pilihan keluarga iaitu Hajah Siti Tijah binti Sani sekembalinya dari Makkah pada April 1948. Pada ketika itu, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang berumur 31 tahun sementara isterinya berusia 13 tahun. Hasil daripada perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan zuriat seramai tiga orang. Mereka ialah Latifah Haji Abdullah, lulusan Universiti Malaya yang kini mengikut suaminya yang bertugas sebagai Diplomat di Hanoi, Vietnam. Anak kedua ialah Abdul Wahid Abdullah, lulusan Institut Teknologi Mara, dan kini bertugas di Bank Negara Kuala Lumpur. Anak bongsu, Mohd Fauzi Abdullah, lepasan Institut Teknologi Mara, kini menetap bersama bondanya, Datin Hajjah Tijah binti Sani yang tercinta di kediaman mereka, di perkarangan Masjid Jamek Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang, Port Dickson. Dengan ketokohan dan jasa Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang, masjid tersebut dimatrikan dengan nama beliau.

 

 

LATAR BELAKANG DATIN HAJJAH TIJAH BINTI SANI

 

            Datin Hajjah Tijah binti Sani dilahirkan pada 1936, di Kampung Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak kepada pasangan Sani bin Haji Khamis dan Siti binti Maarof. Beliau sempat memasuki alam persekolahan selama dua tahun di Sekolah Melayu Siliau, dan kemudiannya terhenti kerana penaklukan tentera Jepun.

            Datin Hajjah Tijah binti Sani bertemu jodoh dengan Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang ketika umurnya 13 tahun. Sebagai anak dara sunti, beliau menimba ilmu dunia dan akhirat dengan ayah dan bonda serta suaminya. Tanpa pendidikan formal, beliau berjaya membantu suaminya mendidik anak-anak sehingga berjaya. Falsafah beliau ialah sentiasa patuh dan taat kepada suami dan memberi sepenuh tumpuan kepada urusan rumahtangga. Sifat peribadi beliau lemah lembut, tetapi tegas dan sabar serta sentiasa menyokong perjuangan suami yang menjadikan keluarga Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang sentiasa aman dan bahagia.       

            Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang amat menekankan pendidikan agama dalam membentuk keperibadian anak-anaknya. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang membuat peraturan supaya anak-anaknya wajib khatam al-Quran sebelum usia baligh. Dalam konteks pemilihan kerjaya anak-anak, beliau dianggap seorang yang agak liberal[5].

            Beliau memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak untuk membentuk dan memilih kerjaya masing-masing. Walaubagaimanapun asas pendidikan agama amat ditekankan kepada anak-anak. Beliau dan isteri sentiasa mengambil tanggungjawab membimbing anak-anak dalam aspek kerohanian.

 

PERKEMBANGAN KERJAYA DATO’ HAJI ABDULLAH BIN HAJI SIJANG

 

            Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah dilantik menjadi Naib Kadi Pantai pada Jun 1949. Sumber yang rapat dengan Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang menyatakan bahawa, beliau hanya bersetuju menerima perlantikan tersebut setelah dipujuk oleh Sheikh Ahmad al-Haj, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu. Dikatakan bahawa, Sheikh Ahmad telah mengunjungi kediaman Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang sebanyak dua kali. Lantaran sifat zuhud beliau, tawaran tersebut ditolak pada kali pertama, kerana Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang merasakan dirinya tidak layak untuk memikul tanggungjawab tersebut. Setelah diyakinkan dan dipujuk oleh Sheikh Ahmad yang juga merupakan rakan dan idolanya, barulah Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

            Pada tahun 1957, beliau telah dilantik menjadi Kadi Port Dickson menggantikan Tuan Haji Abdul Malik yang telah dinaikkan pangkat menjadi Kadi Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 1962, Majlis Mesyuarat Agama Negeri Sembilan telah mengesahkan perjawatan Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang sebagai Kadi Besar Port Dickson. Beliau telah berkhidmat sehingga tahun persaraan 1970, dan disambung kontrak perkhidmatannya sehingga tahun 1979.

            Semasa memulakan khidmatnya, beliau menerima gaji sebanyak RM 160.00 sebulan dan gaji maksimum yang diterima pada akhir perkhidmatannya ialah RM 425.00. Sementara itu, bayaran pencen yang diterimanya ialah RM 270.00 sebulan.

            Sebelum 1963, beliau menjalankan tugas sebagai Kadi secara bersendirian di kuarters jalan Seremban. Hanya pada tahun 1963, kerajaan telah melantik seorang pembantu pejabat bagi membantu tugas-tugas Kadi. Sebagai Kadi, beliau menjalankan tugas yang pelbagai, antaranya mendaftarkan nikah, kahwin/cerai, menjaga urusan masjid sekitar Port Dickson, dan urusan lain bagi masyarakat Islam di sekitar Port Dickson. Masalah kekurangan tenaga kerja, kekurangan peralatan pejabat dan masalah komunikasi pada sekitar tahun 1950-1960-an adalah antara masalah umum yang dihadapi oleh kadi-kadi pada zaman tersebut. Hal ini disahkan oleh Yang ‘Arif Dato’ Hussin bin Harun, Ketua Hakim Syarie hari ini di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Menurut Yang Arif Dato’ Hussin, kadi-kadi pada zaman tersebut diselia oleh Kadi Besar, selain rujukan terus dibuat kepada Mufti Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, kadi-kadi daerah sering menggunakan budi bicara dan inisiatif masing-masing dalam tugasan mereka oleh sebab masalah kekurangan infrastruktur dalam pentadbiran. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah awal tahun 1980-an, sewaktu Yang Arif Dato’ Hussin memulakan perkhidmatan sebagai Kadi.

            Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah berkhidmat sebagai Kadi Port Dickson sehingga tempoh persaraan wajib beliau pada tahun 1970. Memandangkan ketokohan beliau tiada tandingan, Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju memanjangkan tempoh perkhidmatannya sehinggalah tahun 1979. Pada tahun 1980, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan, sehinggalah pada tahun 2000.

 

SUATU KEHILANGAN

 

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Amr al-‘As r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

            (Hadith Riwayat Muslim)

           

Justeru itu kehilangan beliau sebagai salah seorang tokoh agama amat dirasai oleh umat Islam di Negeri Sembilan khususnya di daerah Port Dickson. Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang pulang ke rahmatullah pada jam 3:55 petang 25 Mei 2003 di Hospital Daerah Port Dickson dalam usia 89 tahun. Semoga Allah s.w.t menempatkan rohnya di kalangan orang yang beramal soleh dan muttaqin.

Al-Fatihah



[1] Waris dekatnya berpendapat, Allayarham lahir pada tahun 1914.

[2] Mempunyai sifat atau pendirian yang lebih mementingkan (mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori. Bersifat praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan akibat yang sebenarnya terdapat atau akan timbul – Kamus Dewan cetakan kelima edisi ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000

[3] Tidak keterlaluan / sederhana - Kamus Dewan cetakan kelima edisi ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000

[4][4] Beliau ialah Muhammad al-Syafie bin Muhammad Saleh bin Abdul Rahman yang berasal dari negeri Kedah. Beliau terkenal sebagai seorang sufi di kalangan ulama’ Tasawwuf di Mekah di antara akhir kurun yang ke-19 dan permulaan kurun ke-20 Miladi. Tarikh kelahiran beliau yang sebenar tidak dapat diketahui secara tepat tetapi tarikh beliau meninggal dunia ialah pada tahun 1950 Miladi di Mekah seperti yang disebut oleh banyak riwayat.

               

Tok Syafie telah berumah tangga dengan seorang wanita berbangsa Arab dan perkahwinan itu kekal hingga ke akhir hayat. Menurut dari seorang muridnya, Haji Mansor bin Haji Said, Tok Syafie ialah seorang Sufi yang mahsyur yang memiliki berbagai-bagai keajaiban. Antaranya beliau menyatakan, “Apabila Tok Syafie mengajar Ilmu Tasawwuf kepada para murinya, maka mengalirlah rasa takjub ke dalam hati-hati mereka. Hal ini adalah kerana beliau mengajar dalam keadaan menangis khususnya apabila menyentuh persoalan zat Allah Taala dan sifat-sifat-Nya. Allah telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dan keistimewaan. Apabila beliau bercerita tentang Allah dan syurga, seolah-olah syurga berada di hadapan para pendengar. Begitulah juga halnya apabila beliau mensifatkan serta menjelaskan perihal gerhana matahari dan bulan serta warna-warni serta warna-warni yang meliputi peristiwa tersebut, para pendengar seolah-olah melihat warna hijau, kuning, biru dan lain-lain berada di hadapan mereka serta seakan-akan mereka dapat menyentuhnya.

 

Kemudian apabila beliau menjelaskan sifat air laut yang masin, kami seolah-olah melihat laut terbentang di hadapan kami. Tok Syafie sangat suka memuji ayah kami yakni Sheikh Muhammad Said khususnya apabila saya dan Sheikh Ahmad ada bersama-sama di dalam pengajiannya dan pengajian yang dihadiri oleh anak-anak muridnya sendiri. Ya! Tok Syafie ini memang memiliki maqam kasyf yang hebat di samping karamahnya yang lain. Beringat-ingatlah kamu!

 

Adapun Sheikh Daud yang telah dijelaskan tentangnya sebelum ini adalah seorang daripada murid Tok Syafie. Di samping itu antara muridnya yang lain termasuklah  Sheikh Mansor bin Muhammad Said dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Said al-Linggi, Sheikh Abdul Rahman bin Othman, Sheikh Tok Selehor, kedua-duanya ulama yang terakhir ini adalah dari Kelantan.

 

Tarikat Ahmadiah mula berkembang di Mekah al-Mukarramah. Kemudian melalui anak-anak murid Tok Syafie dari Asia Tenggara khususnya Malaysia, Ilmu Tasawwuf serta tarikat Ahmadiah telah berkembang dengan pesatnya.

 

Dalam pengajarannya, Tok Syafie menggunakan kitab-kitab Tasawwuf berbahasa Melayu seperti kitab al-Minhal al-Sofi karangan Sheikh Daud Fathani, Syarh al-Hikam al-‘Athaiyyah terjemahan Sheikh Abdul Malek (Tok Pulau Manis), Syarh al-Hikam Abu Madyan oleh Sheikh Daud Fathani dan Dur al-Nafis oleh Sheikh Muhammad  Nafis al-Banjari. Tok Syafie juga mengajar Ilmu Tasawwuf falsafah menurut acuan al-Syeikh al-Akbar ibnu 'Arabi berpandukan kitab Fusus al-Hikam dan lain-lain. Selain itu, Tok Syafie juga menghasilkan karyan berbahasa Melayu ketika berada di Mekah seperti Kanz al-Sa’adah Fi Bayan Istilahat al-Sufiyyah. Kitab ini masih lagi dalam bentuk manuskrip. Di samping itu, beliau juga adalah khadam kepada al-Tariqat al-Ahmadiah.

[5] Liberal : Berfikiran terbuaka, berpandangan bebas, fahaman bebas


 

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427