Thu05252017

Last updateThu, 25 May 2017 11am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Tokoh Ulamak Tareqat Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)

Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)

Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)

 

Mufti Pertama Negeri Sembilan Dan 
Pemimpin Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Al-Rashidiyyah

Al-Dandarawiyyah

 

Oleh : Dr. Mahmud Saedon Awang Othman

 

Tuan Haji Ahmad dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964. Tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bertajuk " Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun.

 

            Setelah Tuan Hj. Muhammad Said Al-Linggi kembali ke rahmatullah pada tahun 1345H, pemimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah telah dikendalikan oleh anak lelaki beliau bernama Tuan Haji Abdullah saudara kandung yang tertua Allahyarham Tuan Hj. Ahmad. Pada masa itu Pusat al-Tariqah al-Ahmadiyyah berada di Ampangan, di mana tempat ini telah di asaskan oleh Tuan Haji Mohd Said sebelum wafatnya (1) dan di sinilah terletaknya rumah Tuan Haji Abdullah. Dalam hubungan ini Tuan Hj. Ahmad menegaskan antara lain….”kemudian daripada wafatnya (Tuan Haji Mohd Said) berdirilah kemudian daripadanya salah seorang daripada anaknya dengan seelok-elok pendirian kemudian daripada sempurnalah baginya pemandangan Tuhan al-Amin al-Allam dan yang demikian dengan ittifaq yang besar daripada ikhwan dan isyarat setengah daripada mereka yang adalah atasnya pekeliling ini tariqah pada ini masa dan telah menjadi akan dia oleh Allah Ta’ala mereka yang dipercayai atas segala pekerjaannya dan khalifah baginya atas sekelian kelakuannya dan rahsia-rahsianya dan iaitu saudara kandungan kami al-Fadhil al-Syeikh Abdullah hafidhahullah waffaqahu lima yuhibbu wayardhahu Amin.”(2)

                                                                  

 

Tuan Haji Ahmad Pembantu Kanan Tuan Haji Abdullah

 

            Setelah kembali dari pengajiannya di Makkah al-Mukarramah selama lebih kurang tujuh tahun (1927-1934), Tuan Haji Ahmad telah menyebarkan ilmu pengetahuannya sebagai menyambung tugas mengembangkan Islam dan ilmu-ilmu tradisi yang diwarisi dari ayahanda beliau dan juga nenekanda beliau, yang mana keturunan beliau ini adalah titisan darah ulama Islam yang terkenal (3). Sebelum beliau menyambung pelajarannya di Makkah, beliau telah menerima pendidikan awal di bidang syariah dan tasawwuf, khususnya tentang perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, amalan-amalan zikir dan sebagainya (4). Dengan asas yang kuat ini tidaklah menghairankan sekiranya beliau menjadi pembantu kanan Tuan Haji Abdullah di dalam memimpin Tariqah ini, dan kemudian mengambil alih kepimpinannya setelah Tuan Haji Abdullah kembali ke rahmatullah.

 

            Dengan kepulangan Allahyarham Tuan Haji Ahmad dari Makkah, maka lahirlah seorang lagi tokoh penting memimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah khususnya di Negeri Sembilan, dan umumnya di kawasan ini. Kedua-dua tokoh ini berkerjasama di dalam mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya. Mereka bantu-membantu, seperti aur dengan tebing. Amat tepat sekali apa yang di katakana oleh Sidi Abu al-Abbas (5) “ peranan kedua beradik ulama ini di dalam mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya ibarat Nabi Musa a.s dengan saudaranaya Nabi Harun a.s (6)”, kedua-dua tokoh ini pernah bertemu dan belajar dengan Saidi Abu al-Abbas di Makkah sebelum kembali ke tanah air (7).

 

            Tuan Haji Abdullah selalu menugaskan Tuan Haji Ahmad supaya mengetuai majlis-majlis zikir dan haul yang di adakan di Kampung Ampangan atau di tempat-tempat lain. Tuan Haji Abdullah akan hadir sama jika tidak ada apa-apa keuzuran (8). Ini banyak memberikan pengalaman kepada Tuan Haji Ahmad sebagai satu isyarat bahawa pemimpin kedua Tariqah ini adalah di pegang oleh Tuan Haji Ahmad, seperti yang dibayangkan oleh Sidi Abu Abbas al-Dandarawi. Dan sebagai persediaan bagi beliau untuk mengambil alih pimpinannya jiaka Tuan Haji Abdullah telah tiada. Dan inilah yang berlaku.

 

            Kerjasama dan bantu-membantu antara tokoh ini berjalan terus dan sewajarnyalah diikuti oleh mereka yang datang kemudian demi kepentingan dan perkembangan Tariqah ini. Walaupun kedua tokoh ini tinggal berlainan tempat, Tuan Haji Abdullah di Ampangan dan Tuan Haji Ahmad di Kampung Pondok Rasah, namun ianya tidak sedikit pun menjejaskan keeratan kerjasama di antara kedua mereka. Kedua tokoh ini saling merujuk antara satu sama lain. Jawapan kepada anak-anak murid dari Tuan Haji Abdullah: Apa kata Ahmad? Ha itulah dia! Atau kata-kata Tuan Haji Ahmad kepada muridnya: Apa kata Bang Lah itulah dia! Adalah perkara yang menjadi kelaziman (9) seolah-olah tidak terdapat apa-apa perbezaan fikiran dan pendapat di antara kedua tokoh ini di dalam persoalan-persoalan yang ada hubungan dengan Tariqah ini. Jika majlis-majlis haul diadakan di Ampangan, Tuan Haji Ahmad akan memerintahkan anak-anak muridnya ke Ampangan bagi sama-sama berkhidmat mempersiapkan persediaan-persediaan haul dan sama menghadiri majlis tersebut (10). Tradisi yang baik ini berjalan terus sehingga wafat Tuan Haji Abdullah pada tahun 1965 di kebumikan berhampiran dengan makam ayahandanya Tuan Hj. Mohd Said al-Linggi.

 

            Dengan itu Tuan Haji Ahmad pun mengambil alih kepimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan dengan sendirinya Pusat Tariqah ini berlih ke Kampung Pondok Rasah (11). Ini merupakan tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan lagi yang harus dilaksanakan dengan baik dan sempurna oleh Tuan Haji Ahmad. Melaksanakan amanah dan tanggungjawab inilah, dasar segala tindak tanduk beliau di dalam mengendalikan pimpinan tariqah ini sehinggalah berjaya dan bersih dari penyelewengan mana-mana pihak.

 

 

Al-Madrasah al-Saidiyah Dan Peranannya Di Dalam Perkembangan al-Tariqah al-Ahmadiyyah

 

Setelah Tuan Haji Ahmad kembali ke tanah air dari Makkah setelah menuntut ilmu disana lebih kurang tujuh tahun, beliau telah menyebarkan ilmu pengetahuannya kepada umat Islam setempat. Beliau telah mengambil daya usaha mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di Seremban. Dan kawasan-kawasannya seperti Sega, Rantau, Kuala Sawah hinggalah ke daerah Rembau. Di samping beliau mengajar ilmu-ilmu syariah seperti Fiqh dan Tauhid, beliau juga mengajar ilmu Tasawwuf di samping membimbing pelajar-pelajarnya cara-cara beramal dengan amalan-amalan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, zikir-zikirnya, dan memahamkan kepada mereka tentang ajaran-ajaran Tariqah ini (12). Sambutan yang diberikan adalah menggalakkkan tambahan pula usaha-usaha ini adalah merupakan sambungan kepada usaha-usaha ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said.

 

Tidak cukup dengan itu, dalam masa yang sama beliau mendirikan pondok yang akhirnya diberi nama al-Madrasah al-Saidiyyah. Bersempena dengan nama ayahanda Tuan Haji Mohd Said. Bolehlah dikatakan bahwa tujuan beliau mendirikan Madrasah ini ialah untuk mengajar dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam yang tradisional, ini tidaklah terkecuali dari mengajarkan ilmu Tasawwuf, khususnya ajaran-ajaran al-Tariqah al-Ahmadiyyah.

 

            Satu perkara yang menarik mengenai madrasah ini ialah ianya lebih dikenali di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dengan nama : Pondok Sheikh Haji Ahmad. Dari nama inilah yang akhirnya nama tetap kepada tempat kediaman Tuan Haji Ahmad iaitu Kampung Rasah Seremban sekarang ini.

 

            Pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah al-Saidiyyah ini, datang dari berbagai-bagai tempat dan negeri di Malaysia dan juga dari seberang laut seperti Siak (13). Mereka tinggal di pondok-pondok yang didirikan sekitar tempat kediaman Tuan Haji Ahmad tempat belajar mereka ialah surau. Surau ini masih ada hingga sekarang, walaupun telah menerima sedikit sebanyak perubahan fizikalnya.

 

            Seperti juga pondok-pondok di seluruh tanah air, di Pondok Rasah ini pelajar-pelajar dikehendaki patuh pada disiplin yang telah ditentukan seperti disiplin pakaian, akhlak, makanan, pelajaran, sembahyang berjemaah dan lain-lain lagi, seperti disiplin-disiplin yang kebiasaanya terdapat di pondok-pondok yang lain, di tambah dengan disiplin yang seharusnya diikuti oleh pengikut-pengikut al-tariqah al-Ahmadiyyah seperti zikir-zikir tertentu yang dikehendaki untuk diamalkan, menghadiri majlis-majlis zikir dan haul. Di bulan puasa pula pondok ini mempunyai program yang tersendiri berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini pelajar-pelajar digalakkan berzikir. Malahan kadang-kadang Tuan Haji Ahmad sendiri memimpin pelajar-pelajar berzikir dari selepas tengah malam hingga subuh. Mereka juga digalakkan membaca al-Quran dan diajarkan cara sembahyang Tarawih sepuluh rakaat yang biasanya dilakukan oleh al-Tariqah ini. Pelajar-pelajar dikehendaki tidur selepas tengah Maghrib dan bangun selepas tengah malam untuk bersahur sebelum subuh dan hanya tidur semula selepas subuh. Bolehlah dikatakan pada bulan puasa, mereka berehat di waktu siang, beramal dan belajar di waktu malam.

 

            Bagi pelajar-pelajar yang telah lama belajar dan didapati layak untuk mempelajari ilmu Tasawwuf yang lebih mendalam, mereka di ajarkan dengan kitab-kitab Tasawwuf seperti al-Hikam dan ada pula sebahagian dari mereka diajar dan digalakkan bermuqarabah (14). Muqarabah ialah satu-satu disiplin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang penting. Di antara tempat-tempat yang pernah dijadikan tempat bermuqarabah ialah Masjid Rasah (15) yang masih wujud hingga kini.

 

            Pembentukan madrasah ini secara langsung dan tidak langsung membawa kepada penyebaran Tariqah inike daerah-daerah dari mana murid-murid itu dating, mereka ini dengan sendirinya menjadi ejen penyebaran Tariqah ini setelah tamnat pengajian mereka di Madrasah ini. Bolehleh dikatakan bahawa matlamat yang penting dari penubuhan Madrasah ini ialah untuk meneruskan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang telah digariskan oleh al-Marhum Tuan Hj. Mohd Said. Di antara to koh-tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang mendapat didikan beliau ialah Tuan Haji Abdul Rashid, Tuan Hi. Mohd, Tuan Hj. Mohd Hamid, Tuan Hj. Mohd Noor. Mereka ini adalah adik-adik kepada Allahyarham.

 

 

Pimpinan Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Selepas Tuan Haji Abdullah

 

            Sebagaimana yang telah di nyatakan bahawa setelah Tuan Haji Abdullah kembali ke rahmatullah, maka secara automatis pimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah telah dipegang oleh Tuan Haji Ahmad. Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pembantu kanan kepada kekandanya dan kebolehan beliau di dalam memimpin al-Tariqah ini tidak boleh dipersoalkan. Tambahan pula beliau ini memang terkenal sebagai seorang yang alim di dalam ilmu-ilmu tradisi Islam dan termasuklah ilmu Tasawwuf, ajaran dan disiplin-disiplin Tariqah ini. Malahan beliau telah banyak mengarang kitab-kitab berhubung dengan perkara-perkara ini dan hasil-hasil karya beliau di dalam bidang ini amat berharga, di samping itu keseluruhan ikhwan-ikhwan yang kanan-kanan telah datang menemui Tuan Haji Ahmad tanda pengakuan mereka di atas kepimpinan beliau menggantikan kekanda beliau (16). Namun demikian terdapat juga beberapa orang murid bercita-cita untuk menggantikan Tuan Haji Abdullah seolah-olah ini adalah peluang keemasan yang ditunggu-tunggui untuk mengisi kekosongan pimpinan, di dalam sejarah perkara seperti ini lumrah berlaku sesuai dengan tabiat semulajadi manusia, ini tidak terkecuali di dalam perebutan khalifah-khalifah Islam-atau cuba meragui tentang kepimpinan Tuan Haji Ahmad.

 

            Tuan Haji Ahmad yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan pimpinan telah bertindak dengan cepat dan tegas membanteras unsur-unsur ini supaya jangan sampai merebak yang boleh menjejaskan kedudukan dan Samat al-Tariqah al- Ahmadiyyah(17). Beliau memanggil mereka-mereka yang berkenaan ke rumahnya di Pondok Rasah secara bergilir-gilir di hari-hari yang berlainan di antara mereka yang pernah dipanggil ialah :

 

1.      Tuan Haji Hassan (al-Marhum)

2.      Tuan Haji Ta’in (al-marhum)

3.      Tuan Haji Sulaiman (al-Marhum)

4.      Tuan Haji Jani

5.      Tuan Haji Husain Ma;un

6.      dan Che Yusuf (18)

 

Tujuan mereka dipanggil ialah untuk memberitahu perkara sebenarnya kepada mereka mengenai perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Ketua Tariqah ini. Dengan ini beliau telah meredakan keadaan dan membanterasnya.

 

Lebih jauh dari itu beliau telah menulis surat terbuka ditujukan kepada ikhwan yang kanan-kanan demi membanteras dan menghapuskan unsur-unsur perpecahan di dalam Tariqah ini, antara lain beliau berkata : (19)…”menjauhkan fitnah terhadap perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan terhadap Asyaduna al-Kiram dan terhadap Tuan Guru kita (Tuan Haji Abdullah) adalah lebih utama daripada memperbuat perkara-perkara yang boleh dengan sebabnya tercacat perjalanan Asyaduna al-Kiram kerana ini, maka adalah Tuan dan Jamaah tuan dinasihatkan supaya mengambil berat dengan pengetahuan agama mengikut sebagaimana yang diwajibkan dan beramal dan berzikir akan Allah dengan cara yang bersih dan sunyi daripada riya’ dan Sum’ah.

 

Begitulah beliau dengan tegas memperingati pengikut-pengikut Tariqah ini supaya menuntut ilmu agama supaya perjalanan mereka menepati dengan kehendak ajaran Tariqah ini. Di samping menghindarkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama baik Tariqah dan tuan-tuan gurunya. Jangan sampai timbul penyelewengan dan fitnah. Di dalam para yang lain beliau dengan tegas mengarahkan supaya beramal hendaklah dengan ilmu yang ikhlas. Antara lain beliau berkata  : (20)…”pada pengetahuan saya, beramal itu dengan ilmu, beramal dengan ketiadaan ilmu itu adalah sebesar-besar bala pada sisi agama dan lagi beramal itu adalah semata-mata ikhlas bagi Allah Ta’ala bukannya kerana siapa dan bukannya kerana apa dan bukannya kerana mencari satu makam atau satu keadaan yang membesarkan pandangan makhluk Allah Ta’ala maka mana-mana satu keadaan amalan yang tersebut dengan ini semua adalah sia-sia sahaja kerana ini maka eloklah tuan dan jamaah tuan mengambil pengetahuan dengan perkara-perkara seumpama ini supaya tiadalah mudah-mudahan pekerjaan dan amalan tuan yang dikerja akannya dengan penat lelah itu tersia-sia sahaja di sisi Allah Ta’ala.

 

Lebih jauh dari itu Tuan haji Ahmad telah menegaskan tujuan zikir ialah untuk membersihkan diri untuk mewujudkan perpaduan dan kekumpukkan, dari itu hendaklah ianya dibina di atas ilmu, ikhlas dan yang memimpin itu hendaklah benar-benar berkelayakan dan berkebolehan dalam hal ini beliau dengan tegas berkata : (21)”…perjalan berzikir akan Allah Ta’ala ialah perjalanan yang penting pada masa akhir zaman iaitu masa kita sekarang kerana ia adalah satu amalan yang boleh membersih hati dan menghilang akan kekaratannya dan dengan yang demikian maka adalah ia sebab yang boleh mencantumkan di antara satu dengan yang lain dan berpegang dengan jalan yang betul dan menjauhkan daripada berpecah belah…”

 

Selepas  itu Tuan Haji Ahmad mencabar kewibawaan mereka-mereka ini dari segi kepimpinan Tariqah yang sejati yang seharusnya mempunyai kelebihan-kelebihan sebagai bukti dakwaan (dalam erti kata yang lain kalau ianya dipimpin oleh Sheikh yang murshid tentu sahaja ianya mempunyai kelebihan-kelebihan- ini menurut ukuran Tuan Haji Ahmad dan dalam hal ini beliau berkata : (22) “…tetapi di dalam amalan zikir yang tuan dan jamaah tuan mengerjakannya maka apakah satu bukti yang menunjukkan kepadanya oleh qabul dan berkat zikir yang tuan dan jemaah tuan supaya boleh diisytihar dan diagung-agungkan akannya.”

 

Kemudian beliau telah mensarankan perkara-perkara yang sewajarnya dilakukan oleh Sheikh Tariqah Ahmadiyyah di majlis-majlis haul dan majlis-majlis zikir di antara lain beliau berkata : (23) “…sebagaimana yang telah diadatkan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah bahawa mereka itu memperbuat akan haul guru-guru mereka itu Asyaduna al-Kiram dan pada ketika itu adalah mereka itu berhimpun kerana haul-haul yang tersebut dan adalah mereka itu mengadakan padanya akan majlis zikir atau ilmu akhirat atau ilmu Tariq supaya adalah demikian itu sebagai satu panduan atau pengajaran bagi mereka itu.”

 

Sebagai penutup kepada surat beliau tersebut beliau mengharapkan kerjasama dari mereka antara lain beliau berkata : (24) “..tiadalah dapat saya berkata panjang selain daripada berharap kerjasama tuan dan jemaah tuan di atas memahamkan apa-apa yang telah saya sebutkan akannya. Dan ini adalah semata-mata nasihat bagi membetulkan haluan jalan daripada terpesong atau tersesat dan Tuhan yang mengurniakan ke atas kita sekelian akan taufiq dan hidayat…”

 

Dengan ini jelas kepada kita gambaran tentang perjalanan zikir dan juga orang-orang yang memimpin zikir yang dikehendaki oleh al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang dijelaskan oleh Tuan Haji Ahmad tadi. Tindakan tegas dalam menjaga perjalanan Tariqah ini supaya tidak menyeleweng atau disalah gunakan oleh mana-mana pihak yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Ahmad ini amatlah berkesan. Satu contoh yang lain pula untuk lebih jelas cara beliau bertindak ialah : Pada 3hb. Julai 1960  beliau telah menerima pengaduan bahawa terdapat seorang bernama Lebai Ma’aruf – pengikut al-Tariqah al-Ahmadiyyah – telah memberi Ijazah kepada Lebai Sami’un dan melantiknya sebagai khalifah al-Tariqah ini di Sungai Baru, Kampung Lundang. Apabila sahaja beliau mendapat pengaduan tadi dengan segera beliau menyiasat dan tindakan segera beliau memanggil orang yang berkenaan iaitu Lebai Ma’ruf (25).

 

Ini beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana beliau telah bertindak tegas, segera dan teliti di dalam perjalanan Tariqah ini supaya jauh dari penyelewengan atau perkara-perkara yang boleh merosakkannya.

 

 

Tuan Haji Ahmad Mufti Dan Ketua Tariqah

 

 

Tuan Haji Ahmad dilantik menjadi Mufti Negeri Sembilan yang pertama pada tahun 1950 adalah atas pemilihan dan persetujuan ulamak Negeri Sembilan di dalam satu persidangan ulamak di Negeri Sembilan, yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu (26) dan bukan atas permintaan atau permohonan jawatan yang lazimnya dilakukan bagi memenuhi sesuatu jawatan kosong kerajaan. Pada awalnya beliau tidak bersetuju di atas lantikan tersebut keengganan beliau ini akhirnya kalah kerana desakan-desakan yang kuat dari ulamak Negeri Sembilan dan juga pembesar-pembesar Negeri Sembilan sendiri (27). Tambahan pula mereka ini sama ada pengikut atau bersimpati dengan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, dan kewibawaan Tuan Haji Mohd Said ayahanda Tuan Haji Ahmad masih tegak dan kukuh di negeri ini. Di samping desakan dari sebahagian orang ramai dan ikhwan, konsep memenuhi hajat orang lain memainkan peranan di dalam penerimaan jawatan ini. Di samping itu bonda beliau al-Marhumah Siti Zubaidah bersetuju dan mendesak beliau agar menerima jawatan tersebut (28) atas dasar taat kepada ibu juga menjadi faktor penentu bagi beliau.

 

Untuk makluman bahawa pemimpin-pemimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang terdahulu dan beliau adalah bebas dari jawatan-jawatan rasmi Kerajaan, seperti Tuan Haji Mohd Said dan juga Tuan Haji Abdullah malahan Tuan-tuan Guru Tariqah ini yang lainnya pun demikian juga. Jadi secara tidak langsung, beliau adalah orang yang pertama makan gaji di kalangan pemimpin Tariqah ini. Ini dengan sendirinya merupakan pemecahan tradisi di dalam cara kepimpinan Tariqah ini. Adakah ini boleh menjejaskan kewibawaan kepimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyyah? Jawapannya ialah : Sejarah telah membuktikan bahawa ianya tidak menjejaskan malahan jika dihalusi akan didapati banyak hikmat-hikmat yang tersirat di sebalik penerimaan jawatan tersebut. Untuk makluman seterusnya bahawa sebelum beliau bersetuju menerima jawatan ini beliau telah bersembahyang Istikharah berminggu-minggu lamanya, hasil istikharah beliau itulah yang menjadi faktor utama beliau menerima lantikan tersebut (29). Dan sudah sewajarnya ianya tidak bertentangan dengan kehendak tuan-tuan guru Tariqah ini kerana orang sufi pada umumnya percaya kepada isyarat-isyarat dan alamat-alamat yang salihah dan menghormatinya. Ini adalah keyakinan saya sendiri.

 

 

Di dalam mengendalikan tanggungjawab beliau sebagai seorang Mufti dan dalam masa yang sama sebagai seorang pemimpin Tariqah beliau amat hati-hati dan cermat supaya jawatan yang satu tidak mempengaruhi yang lainnya atau sebaliknya, hingga jelas garis-garis kasar yang boleh dirasa memisahkan di antara dia sifat dan tanggungjawab yang ada pada beliau. Inilah merupakan suatu kejayaan kepada kekuatan peribadi beliau. Sebagai bukti, beliau melarang pengikut-pengikutnya mengadakan majlis zikir di Masjid terutama selepas Jumaat kecuali ia merupakan kawasan yang banyak pengikut Tariqah ini atau ahli-ahli Masjid itu bersepakat menerimanya atau sudah menjadi tradisi turun temurun bagi Masjid dan jemaah melakukan demikian seperti Masjid Penajis Rembau. Dan begitu juga beliau melarang digantung tahlil al-Tariqah al-Ahmadiyyah di Masjid iaitu:

 

Atau amalan-amalan yang lainya. Kecuali dengan kehendak ahli-ahli Masjid tersebut dengan suka rela mereka (30).

 

Dalam hubungan yang sama, beberapa persoalan yang menyentuh perkara-perkara yang mempunyai hubungan rapat dengan perjalanan dan disiplin Tariqah secara umum ini termasuklah al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti persoalan keramat, wali, tawassuf dan bernazar kepada kubur-kubur auliya’ telah dikemukakan oleh sesetengah pihak kepada beliau atas sifat beliau sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di antaranya ialah surat dari Haji Abdullah, Seremban bertarikh 6hb Oktober 1952. Walaupun beliau mempunyai kewibawaan untuk memberi jawapan-jawapan yang jitu kepada persoalan seperti di atas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan seorang yang alim di dalam ilmu Tasawwuf, namum demikian beliau tidak bertindak dengan sewenang-wenang malahan dengan cara yang teliti. Beliau telah mengeluarkan satu surat terbuka ditujukan kepada lebih dari 20 orang ulamak Negeri Sembilan sama ada yang berjawatan di dalam kerajaan atau tidak. Surattersebut berbunyi:

 

Tuan,

 

Diharap mendapat keterangan terhadap perkara-perkara yang tesebut di bawah ini:

 

1.         Apa takrif wali

 

2.         Adakah didapati semasa ini mereka-mereka yang dikatakan baginya auliya’ Allah Ta’ala.

 

3.         Adakah sabit keramat bagi mereka itu kemudian daripada wafat mereka itu.

 

4.         Apakah hukum bertawassul dengan mereka itu pada masa hayat dan mati mereka itu.

 

5.         Apakah hukum bernazar kepada kubur mereka itu.

 

Hal inilah wassalam (31)

 

Ternyata tujuan beliau ialah ingin meninjau pendapat rakan-rakannya ulamak Negeri Sembilan di dalam perkara-perkara yang tersebut di atas sebelum mengeluarkan fatwa atas nama Mufti Negeri Sembilan dan bukan atas nama tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah sedangkan beliau mempunyai karya-karya yang bercetak di dalam persoalan-persoalan di atas tadi seperti kitab:

 

 

ﺍﺗﺤﺎﻒ ﺫﻭﻯ ﺍﻠﺮﻏﺒﺎﺖ ﺑﺑﻴﺎﻥ ﮐرﺍﻤﺎﺕ ﺍﻻﻭﻠﻴﺎء ﻓﻰ ﺍﻠﺤﻴﺎﺓ ﻭﺒﻌﺩ ﺍﻠﻤﻤﺎﺕ

 

 

dan lain-lain lagi (32).

 

Menjadi amalan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah bersembahyang terawih sepuluh rakaat dengan mempunyai doa-doa khas dan ma’thur. Sedangkan kebiasaan masyarakat Melayu bersembahyang terawih dua puluh rakaat, walaupun Tuan Haji Ahmad menjadi Mufti Negeri Sembilan namun beliau tidak mengarahkan supaya umat Islam di Negeri Sembilan bersembahyang terawih sepuluh rakaat seperti yang diamalkan oleh ahli Tariqah ini. Malahan kebebasan diberikan kepada ahli jemaah untuk memilihnya sama ada sepuluh atau dua puluh rakaat.

 

Walaupun Tuan Haji Ahmad telah menghasilkan karya sebuah kitab berhubung dengan cara bersembahyang terawih sepuluh rakaat (33) sebagai takliq kepada tulisan ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said al-Linggi.

 

Saya percaya sikap dan pendirian al-Marhum ini menyebabkan ianya berjaya dan dihormati sebagai seorang Mufti dan tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang berwibawaan dan disegani.

 

 

Ijazah Mentalkinkan al-Tariq al-Ahmadiyyah

 

 

Tiap-tiap Tariqah mempunyai cara-cara tersendiri bagi menerima anggota barunya. Al-Tariqah al-Ahmadiyyah juga mempunyai cara yang tersendiri, mudah dan ringkas. Mereka yang berminat untuk menjadi pengikut Tariqah ini hendaklah menemui tokoh-tokohnya atau mereka-mereka yang diijazahkan untuk mentalkinkan Tariqah ini. Majlis ini boleh diadakan di rumah tokoh-tokoh tadi atau mereka yang telah diijazahkan atau di surau dan Masjid atau di mana-mana sahaja tempat diadakan majlis zikir atau haul.

 

Jika kita kembali kepada zaman yang lebih awal lagi, kita akan mendapati bahawa al-Marhum Tuan Haji Mohd Said pernah memberikan ijazah mentalkinkan al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini kepada beberapa orang murid-murid kanan beliau seperti Faqih Mohd Noor, Tuan Haji Hussain, Datuk Samad (Rembau), Tuan Lebai Ibrahim dan lain-lain lagi, tetapi sebahagiannya telah ditarik kembali ijazah mereka kerana didapati melanggar disiplin Tariqah ini (34) hanya yang diketahui Datuk Samad dan Tuan Lebai Ibrahim yang masih kekal ijazah mereka hingga ke zaman Tuan Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad(35)

 

Semasa al-Tariqah al-Ahmadiyyah di bawah pimpinan Tuan Haji Ahamd tidak pernah diketahui atau didengar yang beliau pernah memberikan ijazah mentalkinkan Tariqah ini kepada mana-mana murid beliau (36). Mungkin beliau berpendapat bahawa masanya tidak sesuai bagi beliau untuk berbuat demikian atau ada sebab lain yang mendorong beliau bersikap demikian, seperti beliau telah melihat dan menyaksikan bagaimana setengah murid-murid kanan ayahanda beliau telah ditarik kembali ijazah mereka kerana melanggar disiplin. Maka jika langkah yang sama diikuti oleh beliau besar kemungkinan mereka bukan sahaja melanggar disiplin bahkan akan menimbulkan fitnah dan perpecahan. Ini terbukti dengan persoalan Labai Ma’ruf dan surat terbuka (37).

 

Dewasa ini Ijazah mentalkin ini dipegang oleh saudara-saudara beliau seperti Tuan Hj. Mansor, mereka ini berada di Seremban dan Tuan Haji Abdul Rashid di Singapura.

 

 

Majlis Haul Dan Zikir

 

 

Di dalam mengadakan majlis haul dan zikir. Tuan Haji Ahmad amat berhati-hati supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap perjalanan Tariqah ini dan majlis-majlis zikir dan haulnya. Kerana cara berzikir ahli-ahli Tariqah ini mungkin akan menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang tidak memahami hakikatnya. Oleh itu beliau selalu mengadakan majlis-majlis zikir dan haul ini dikediamannya di Kampong Pondok Rasah dan kawasan-kawasan yang ramai pengikut Tariqah ini seperti Rembau, Linggi, Rantau, Port Dickson dan lain-lain. Di kawasan Kuala Pilah sendiri Tuan Haji Ahamad hanya mengadakan majlis ini  di Kampong Terachi(39) sahaja (40), Tuan Haji Ahmad tidak mengadakan majlis seperti ini dengan berleluasa dan di dalam pemilihan tempat beliau amat teliti (41).

 

Majlis haul yang diadakan biasanya dibuat di kawasan Padang yang luas yang membolehkannya diadakan dalam bentuk lengkungan bulat (halaqah). Ini pernah dilakukan di halaman rumah Encik Mohd Isa, Tuan Haji Ahmad kurang gemar menggunakan Masjid Rasah sebagai tempat diadakan majlis ini kecuali jika hari hujan (42). Ini adalah mengelakkan dari mengganggu penggunaan masjid oleh orang lain yang bukan menjadi ahli Tariqah ini.

 

Dalam hal ini beliau berkata : Bahawa barang yang memperbuat akan dia oleh ahli bagi al-Tariqah al-Ahmadiyyah daripada berhimpun pada berzikir dan berkeliling baginya dan berpelahan baginya pada satu kelakuan dan berkuat dengannya pada satu kelakuan seperti barang yang adalah diterima daripada guru-guru mereka haruslah ianya lagi tiada ditegah bahkan adalah ia afdhal (43).

 

Kemudian beliau memberikan alasan-alasan kenapa dikatakan ianya afdhal, di samping menyatakan perkara-perkara yang seharusnya dijaga semasa mengadakan majlis-majlis tadi. Antara lain beliau berkata : kerana bahawa perbuatan mereka itu akan yang demikian dan berkekalanlah mereka itu atasnya pada sepanjang masa daripada ketiadaan berubah menunjuklah ia atas bahawasa demikian itu tiadalah ia melainkan mengasadkan wajah Allah Ta’ala daripada  ketiadaan bahawa dirupai padanya akan ada riya’ sama sekali dan tiada dirupai menyakiti daripada mereka itu bagi orang yang tidur atau yang membaca al-Quran atau bagi yang beribadat pada satu tempat pada kelakuan yang apabila berkuat mereka itu dengannya dan mengangkat oleh mereka itu dengan ramai akan suara yang demikian itu dengan himpunan ridha dan ittifaq (44).

 

Majlis-majlis haul yang pernah diadakan bagi mengingati perjalanan tokoh-tokoh penting al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini ialah:

 

1.                  Saidi Ahmad bin Idris, wafat 21 Rejab 1253 H

 

2.                  Saidi Ibrahim al-Rashidi, wafat 9 Sya’ban 1291 H

 

3.                  Saidi Mohd Dandarawi, wafat 29 Muharram 1327H

 

4.                  Saidi Mohd Said al-Linggi, wafat 12 R.Awal 1345 H

 

Majlis-majlis haul ini diadakan bertujuan untuk mengingati tokoh-tokoh penting Tariqah ini seperti yang telah disebutkan tadi. Dengan cara diadakan setiap tahun menepati hari-hari wafat mereka. Ini akan menguatkan lagi hubungan dengan Tuan-tuan Guru dan perjalanan Tariqah seperti yang telah digaris dan dilandaskan. Ia bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah atau kerana riya’ dan sam’ah (45). Pada keseluruhannya adalah bermaksud di dalam hubungan menghormati guru dan mengenang jasa dan dalam pengertian Adab antara murid dengan guru.

 

Di dalam hubungan ini, tujuan Tuan Haji Ahmad amat teliti dan berhalus demi mencapai maksud di atas tadi. Selain dari berzikir, diadakan bacaan al-Quran, syarahan agama yang berbentuk nasihat, qasidah yang berbentuk puji-pujian dan tawassul kepada Tuan-tuan Guru Tariqah ini. Manaqib dan riwayat hidup serta perjalanan Tuan-tuan Guru yang kerananya diadakan haul diceritakan untuk menjadi iktibar dan ikutan. Fadhilat-fadhilat zikir, kedudukan ibadat dan perjalanan Tariqah ini pun disentuh sebagai panduan dan pengajaran bagi ahli-ahli Tariqah ini.(46)

 

 

TUAN HAJI AHMAD DI ZAMAN TERAKHIRNYA

 

 

Yang dimaksudkan dengan zaman terakhir beliau ialah zaman selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan setelah Yang Di Pertuan Agong Pertama dilantik (47). Di zaman ini beliau terlalu sibuk menghadapi golongan-golongan masyarakat yang berbeza-beza disebabkan terdedahnya beliau kepada zaman baharu beliau Mufti Negeri Sembilan, juga Mufti yang berurusan dengan Kerajaan Pusat Persekutuan, guru yang mengajar kepada murid-murid, Ketua al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang banyak pengikut di samping suami kepada empat orang isteri dan ayah hampir empat puluh orang anak. Ternyata beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna di dalam kesibukan-kesibukan tadi.

 

Selain dari majlis-majlis haul beliau mengadakan majlis-majlis zikir di surau rumahnya pada tiap-tiap malam Jumaat. Selain dari malam Jumaat diadakan juga zikir-zikir ini kadang-kadang dipimpin oleh murid-murid beliau, ini berdasarkan keluangan masa beliau. Tempatnya tidaklah semestinya di surau malahan juga diadakan di rumahnya sendiri. Tugas mengajar yang telah dilakukan oleh beliau sejak kembali dari Mekah diteruskan juga walau pun tidak sehebat sebelum perang dunia kedua kerana tugas-tugas lain namum ianya tetap diteruskan walau pun hanya secara sederhana sahaja hingga ke akhir hayat beliau. Masa mengajar ialah selepas subuh tiap-tiap hari hingga kira-kira jam tujuh pagi (48).

 

Rumah beliau sentiasa sibuk dengan orang-orang yang berziarah dengan tujuan dan maksud berbeza-beza. Ada yang menziarahi beliau sebagai tanda hormat, ada yang mengharapkan doa-doa saleh beliau, ada yang menuntut amalan doa-doa dan bermacam-macam lagi. Ini selain dari yang datang kerana ingin menjadi pengikut Tariqah atau memang telah menjadi pengikutnya. Mereka-mereka ini datang dari segala lapisan masyarakat. Dari Kota dan Desa, miskin dan kaya, dari golongan bangsawan, pembesar-pembesat, pentadbir, pegawai, alim ulamak dan rakyat biasa dan tidak ketinggalan mereka-mereka yang bukan Islam.

 

 

Meninggal Dunia

.

Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Tuan Haji Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau. Amin…

 

 

 

 

NOTA

 

1.         Tuan Haji Muhammad Nur, adik kandung Tuan Haji Ahmad, pernah bertemu dan bermurid kepada Sidi Abu al-Abbas

2.         Ahmad bin Muhammad Said, Kanzul Muid

3.         Ibid hal 7.

4.         Sumber lisan dari Tuah Haji Muhammad Nur

5.         As-Sayyid Abu al-Abbas ialah anak kepada As-Sayyid Muhammad Al-Dandrawi yang telah memimpin Tariqat Ahmadiyyah setelah wafat ayahanda.

6.         Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur.

7.         Sama

8.         Sumber dari Tuan Haji Daud Umar, Murid Tuan Hj. Ahmad hingga kini menetap bersama keluarga beliau.

9.         Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur

10.       Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

11.       Sama

12.       Sumber lisan dari Tuan Haji Murtadza

13.       Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Omar

14.       Sama

15.       Sumber lisan dari Tuan Imam Taat, murid tua kepada Tuan Haji Muhammad Said dan berguru juga kepada Tuan Haji Ahmad

16.       Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur

17.       Sama

18.       Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

19.       Tuan Haji Hassan ialah anak sulong kepada Tuan Haji Abdullah dan telah cubaditonjolkan oleh beberapa orang murid Tuan Haji Abdullah sebagai pemimpin Tariqat ini.

20.       Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh 15, 1956

21.       Ibid

22.       Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh September 15, 1956

23.       Ibid

24.       Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh September 15, 1956

25.       Ibid

26.       Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said kepada Tuan Lebai Ma’aruf, bertarikh Julai 5, 1960

27.       Sumber lisan dari Tuan Hj. Sidek Taat

28.       Sumber lisan dari Tuan Hj. Daud Umar

29.       Sumber dari Tuan Haji Daud Umar

30.       Surat dari Mufti Negeri Sembilan pada November 13, 1952, No. PUNS/216/52

31.       Ahmad bin Muhammad Said, Ithaf Zawi Al-Raghban, Singapura : Jawi Press, 1358H

32.       Ahmad bin Muhammad Said, Ta’aliq di atas faedah pada menyebutkan kaifiyat Tarawih sepuluh rakaat. Singapura Jawi Press, 1356H 21 halaman

33.       Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar

34.       Sama

35.       Sama

36.       Perkara ini telah disentuh di bawah tajuk “Pimpinan Tariqah Ahmadiyyah selepas Tuan Haji Abdullah

37.       Sama

38.       Jauhnya kira-kira 12 batu dari Seremban

39.       Sumber dari Tuan Haji Daud Umar

40.       Sama

41.       Sama

42.       Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi tanpa tahun, halaman 14

43.       Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi, halaman 15

44.       Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965

45.       Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965

46.       Yang Di Pertuan Agong Yang Pertama ialah Tuanku Abdul Rahman, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan

47.       Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad ‘Abid, anak kepada Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said.

 

PERINGATAN :

 

HAUL ALLAHYARHAM AS-SHEIKH HAJI AHMAD BIN AL-SHEIKH MOHD SAID PADA 22 SYAABAN 1421H (SABTU) BERSAMAAN 18 NOVEMBER, 2000 (HAUL YANG KE – 36 TAHUN)

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427