Thu08162018

Last updateThu, 16 Aug 2018 8am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Koleksi Kertas Kerja PERANAN PENYUCIAN JIWA (TAZKIYAH AL-ANFUS) TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DALAM MASYARAKAT BERTAMADUN

PERANAN PENYUCIAN JIWA (TAZKIYAH AL-ANFUS) TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DALAM MASYARAKAT BERTAMADUN

 

 

 

PERANAN PENYUCIAN JIWA (TAZKIYAH AL-ANFUS) TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DALAM MASYARAKAT BERTAMADUN

Oleh

Prof. Madya Dr. Che Zarrina Sa’ari

Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

PENDAHULUAN

Kertaskerja ini akan membincangkan tentang peranan penyucian jiwa (tazkiyah al-anfus) terhadap pembangunan insan dalam masyarakat bertamadun. Insan yang menjadi teras pembangunan negara dan pada masa yang sama telah dipertanggungjawabkan sebagai khalifah fi al-`ard dan `ibad Allah di muka bumi ini telah dianugerahkan Allah SWT. dengan unsur psiko-fizik. Bagi merealisasikan pertanggungjawaban tersebut, insan perlu memiliki keunggulan peribadi. Oleh yang demikian, ketetapan iman, keutuhan jiwa dan kemuliaan akhlak yang dirangkum di bawah istilah pembangunan spiritual insan amat penting di samping unsur-unsur lain seperti pembangunan jasmani dan kemantapan akal. Justeru itu, dalam usaha mencapai keunggulan peribadi, metode yang dilihat amat penting sebagaimana saranan para sufi ialah penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Untuk membincangkan perkara ini, pembentangan kertaskerja ini akan dibahagikan kepada penyucian jiwa, pembangunan insan dan masyarakat bertamadun serta peranan penyucian jiwa terhadap meaktualisasikan pembangunan insan bagi menjamin kelangsungan masyarakat bertamadun yang diiktiraf Allah SWT.

 

JIWA (AL-NAFS) DAN  TAZKIYAH AL-NAFS [1]

Disiplin ilmu tasawuf melahirkan pelbagai aspek pemikiran merangkumi aspek spiritual, intelektual dan juga fizikal. Ketiga-tiga aspek ini dilihat sebagai saling berkaitan antara satu dengan yang lain, umpamanya persoalan pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) berhubung rapat dengan perolehan ma`rifat Allah dan pemurnian akhlak. Ahli sufi yang telah dilihat sebagai psikologis memantau persoalan kejiwaan, sebenarnya telah menggariskan pelbagai metode pembangunan spiritual untuk digunapakai oleh umat Islam. Dalam hal ini, ahli sufi yang sebelum ini dilihat sebagai golongan elit (khawwas) masyarakat seringkali disalah ertikan sehingga masyarakat meletakkan pandangan bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh golongan tersebut tidak boleh diamalkan oleh masyarakat awam. Oleh yang demikian, metodologi pendidikan yang digariskan oleh golongan tersebut tidak dapat dimanfaatkan oleh golongan pendidik masyarakat yang terdiri daripada anggota masyarakat biasa. Ini boleh dilihat sebagai suatu kerugian besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan dalam Islam. Antara metodologi yang disarankan kepada umat Islam dalam menangani masalah sosial masyarakat Islam ialah penyucian diri(tazkiyah al-nafs) kerana perbincangan tentang topik ini adalah berkait rapat dengan persoalan ketetapan iman, keutuhan jiwa dan kemuliaan akhlak.

Secara tidak langsung perbincangan mengenai penyucian jiwa akan mengaitkannya dengan persoalan akhlak. Kata akhlak atau khuluq telah digunapakai dalam al-Quran dan juga al-Hadith.[2] Ibn Miskawayh mendefiniskan akhlak dari aspek istilah sebagai “Sifat yang tertanam dalam jiwa yang mendorong pemiliknya melakukan perbuatan tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan”.[3] Manakala Imam al-Ghazali pula mendefinisikannya sebagai “Sifat yang tertanam dalam jiwa yang menimbulkan pelbagai bentuk perbuatan dengan mudah, tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan”.[4] Sementara Ibrahim Anis menyebut dengan jelas tentang kelahiran sifat-sifat baik dan buruk dari jiwa seseorang manusia dengan mendefinisikan akhlak sebagai: “Sifat yang tertanam dalam jiwa di mana lahirnya pelbagai bentuk perbuatan baik ataupun buruk tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan”.[5] Daripada definisi-definisi tersebut dapat difahami ciri akhlak ialah pertama, akhlak adalah perbuatan yang tertanam kukuh dalam jiwa seseorang individu sehingga telah menjadi keperibadiannya; kedua, akhlak juga adalah perbuatan yang dilakukan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran kerana perbuatan tersebut telah sebati dalam dirinya; ketiga, akhlak adalah suatu perbuatan yang timbul dari dalam diri orang yang melakukannya tanpa adanya paksaan atau tekanan dari luar[6]; keempat, akhlak adalah perbuatan yang dilakukan dengan bersunguh-sungguh dan bukannya main-main atau berpura-pura; dan kelima, akhlak merupakan perbuatan baik yang dilakukan berdasarkan keikhlasan kerana Allah SWT sahaja semata-mata.

Akhlak sangat penting kepada kehidupan manusia kerana merupakan cerminan kepada akidah yang menjadi asas dan teras serta pokok pegangan seseorang manusia dalam beragama. Namun tingkahlaku dalam ertikata akhlak Islam ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kehadiran jiwa yang baik oleh sipelaku yang memerlukan pula usaha berterusan dari aspek psikologi (psychological effort) yang dalam terminologi Islam dinamakan sebagai Tazkiyah.[7]Allah Taala berfirman:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih (dhaka) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [8]

 

Dari sudut bahasa, tazkiyah bermaksud penyucian, pembersihan dan penyuburan diri serta penyingkiran segala bentuk perkembangan yang tidak dikehendaki dan segala perkara yang tidak baik.[9] Sebagai suatu terma spiritual, tazkiyah mengandungi makna suatu usaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk membersih dan menyucikan diri seseorang manusia dari sifat-sifat buruk dan keji (madhmumah) yang menjadi penghalang kepada penyuburan akhlak mulia (mahmudah) seseorang insan.[10] Seterusnya penyucian diri itu diikuti dengan usaha pengisian dan perhiasan diri supaya proses tersebut menjadi lebih sempurna.[11] Justeru, dapat difahami bahawa tazkiyah melibatkan proses usaha dan kesungguhan seseorang insan dalam menyelesaikan konflik antara baik dan buruk yang wujud dalam jiwa (nafs)nya.

            Apabila kita bercakap tentang jiwa atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai nafs dan bahasa Inggerisnya disebut sebagai soul, sekurang-kurangnya perlu difahami apakah yang dimaksudkan dengan jiwa (nafs) tersebut. Secara umumnya jiwa boleh difahami sebagai suatu jirim halus yang bergerak memberi kekuatan kepada kehidupan dan perasaan serta kehendak-kehendak yang ada pada diri manusia.[12] Berkaitan dengan perkara ini, Allah Taala telah berfirman: “Ketahuilah! Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terdapat di dalam jiwa kamu (anfusikum), maka hendaklah kamu berhati-hati.”[13] Nafs atau jiwa ini merupakan suatu hasrat yang mencetuskan nilai-nilai kekuatan pada diri seseorang insan bagi mencapai naluri kemahuannya. Setiap yang dihasilkan melalui amal perbuatan merupakan lukisan kehidupan yang bermula dari suatu perasaan yang mengalir dalam jiwa untuk diterjemahkan menjadi kenyataan melalui perbuatan, kerana perbuatan manusia biasanya menurut acuan hasil dari perasaan jiwa yang terpendam di dalam hati. Atau dengan kata lain, jiwa ialah suatu bentuk ukiran pemikiran dan cita-cita yang baik mahupun buruk terkandung di dalam hati. Al-Qur’an al-Karim banyak memberikan inspirasi