Wed03292017

Last updateWed, 22 Mar 2017 2pm

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Koleksi Kertas Kerja TAZKIYAT AL-NAFS: JALAN TAQARRUB KEPADA ALLAH S.W.T

TAZKIYAT AL-NAFS: JALAN TAQARRUB KEPADA ALLAH S.W.T

 

JALAN TAQARRUB KEPADA ALLAH S.W.T

 

Oleh

Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi

Jabatan Usuluddin

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam

UniSZA

 

Pada

Program Bicara Sufi @ Balai Kediaman Rasmi YTM Undang Luak Sungei Ujong,

30 Oktober 2010

 

 

 

Pengenalan                                                    

 

Tazkiyat al-nafs merupakan proses penyucian jiwa manusia yang perlu ditempuh untuk mengembalikannya kepada asal kejadiannya yang suci bersih daripada kekotoran dan pencemaran rohani. Jiwa manusia pada asal kejadiannya berada pada naluri (fitrah) yang bersih dengan memiliki makrifat ketuhanan, keyakinan dan sifat kemuliaan. Namun pengaruh tertentu telah mencemarkan naluri yang bersih ini sehingga ia menjadi kotor dan perlu dibersihkan kembali. Para rasul diutuskan antara lain adalah untuk melaksanakan tugas menyucikan jiwa manusia dan mengembalikannya kepada naluri asal ini. Ia adalah sebahagian daripada tugas utama kerasulan. Tulisan ini akan menjelaskan beberapa aspek tentang jiwa manusia dan proses penyuciannya yang memungkinkannya untuk kembali kepada asalnya.

 

 

Asal- Usul Kejadian Manusia

 

Manusia adalah makhluk yang diberikan kemuliaan oleh Allah. Terdapat dua unsur yang membentuk diri manusia iaitu unsur rohani (roh) dan jasmani (jasad) dan di antara dua unsur ini terdapat satu bentuk hubungan yang khusus. Kewujudan hubungan yang khusus ini menjadikan manusia itu hidup. Apabila berlaku perceraian di antara roh dan jasad ini maka berlakulah kematian. Paduan dua unsur ini membentuk manusia yang sempurna kejadiannya. Al-Quran telah menjelaskan tentang paduan dua unsur ini seperti yang terdapat keterangannya dalam firman Allah s.w.t:

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ. فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

 

Maksudnya: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “sesungguhnya Aku (Allah) hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan) Ku lalu mereka (para malaikat) sujud kepadanya”.[1]

 

Nabi Adam a.s merupakan manusia pertama yang diciptakan daripada tanah. Terdapat banyak ayat al-Quran dan juga hadith Nabi s.a.w yang menjelaskan tentang hakikat ini. Oleh kerana semua manusia berasal daripada nabi Adam a.s ini, maka sudah tentu unsur ketanahan tetap ada pada setiap jasad manusia itu sekalipun pembentukan awal zuriat manusia seterusnya adalah dari air mani yang berlaku menerusi proses persenyawaan. Rasulullah s.a.w telah menyatakan hakikat ini sebagaimana sabda baginda:

 

وَالنَاْسُ بَنُوْ آدَمَ وَخَلَقَ اللهُ آدَمَ مِنْ تُرَاْبٍ

 

Maksudnya : Semua manusia adalah keturunan Adam dan Adam berasal daripada tanah.[2]

 

Manakala roh manusia pula tidak diketahui hakikat atau asal kejadiannya. Pada dasarnya seseorang itu dilarang mengkaji hakikat tersebut kerana ketidakmampuan akal manusia untuk mengetahui hakikat roh itu. Percubaan untuk mengetahui dan mendedahkan hakikat tersebut akan menyebabkan kebingunan dan kesesatan manusia itu sendiri.

 

Roh adalah diri manusia yang sebenar manakala jasad hanyalah tempat bagi roh itu. Rohlah yang sebenarnya merasai kenikmatan dan kesengsaraan, ketenangan dan kegelisahan, kebahagiaan dan kecelakaan. Sihatnya roh bererti kebahagiaan dan ketenangan bagi diri manusia manakala sakitnya roh bererti kesengsaraan dan penderitaan bagi dirinya itu.

 

Sesungguhnya roh sudah mengenali, mengakui dan menyaksikan ketuhanan penciptanya sebelum jasad diciptakan. Al-Quran telah menyatakan hakikat ini di mana Allah s.w.t telah mengambil penyaksiaan dengan bertanyakan roh di alam arwah (sebelum jasad dijadikan) tentang ketuhananNya lalu dijawab oleh roh dengan pengakuan, pengesahan serta penyaksian terhadap ketuhanan pencipta mereka. Pertanyaan dan jawapan ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

 

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آَدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

 

Maksudnya : Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia (Allah) jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri(sambil Ia bertanya dengan firmanNya) “Tidakkah Aku (Allah) tuhan kamu (wahai roh-roh)”. Mereka menjawab “Bahkan (Engkaulah tuhan kami), kami saksikan (ketuhanan Engkau)”. Supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat nanti bahawa sesungguhnya kami lupa semua ini.[3]

 

 

Tujuan Manusia Dijadikan

 

Setiap apa yang dijadikan pasti ada tujuannya. Allah s.w.t tidak menjadikan sesuatu makhluk itu dengan sia-sia tanpa sebarang tujuan. Sesungguhnya manusia adalah semulia-mulia makhluk yang diciptakan. Penciptaannya itu sudah pasti mengandungi maksud atau tujuan yang tertentu. Al-Quran telah menyatakan bahawa penciptaan manusia itu adalah bertujuan mengabdikan diri (`ubudiyyah) kepada Alah s.w.t. Hakikat ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

 

Maksudnya : Dan Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia itu kecuali supaya mereka beribadah (memperhambakan diri) kepadaKu.[4]

 

Pengabdian diri (‘ubudiyyah) ini tidak dapat dicapai tanpa seseorang itu mengenali (ma`rifat) penciptanya. Dengan akal semata-mata, manusia tidak mampu mengenali Tuhannya dan seterusnya mengabdikan diri kepadaNya. Kerana itu Allah s.w.t telah mengutuskan para rasul a.s kepada umat manusia daripada kalangan mereka sendiri untuk memperkenalkan kepada mereka tentang Tuhan mereka supaya mereka dapat mengabdikan diri kepadaNya. Kenyataan ini dapat dilihat keterangannya dalam al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t:

 

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

 

Maksudnya; Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan kepada setiap umat itu rasul (yang menyeru mereka supaya) mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi kezaliman.[5]

 

Namun di sana terdapat banyak halangan atau rintangan yang menghalang manusia daripada mencapai hakikat pengabdian diri (‘ubudiyyah) ini. `Ubudiyyah seseorang itu akan mengalami kecacatan dengan wujudnya halangan-halangan ini. Oleh itu, untuk mencapai kesempurnaan maqam `ubudiyyah ini, seseorang itu dikehendaki berusaha membuang rintangan-rintangan tersebut hingga dia berjaya mencapai tujuan penciptaannya.

 

 

Hijab-Hijab Yang Menghalang Manusia Daripada Mencapai Tujuan Penciptaannya

 

Terdapat banyak  hijab yang menutup jiwa manusia sehingga ia terhalang daripada mencapai hakikat `ubudiyyah yang menjadi tujuan penciptaannya. Antara hijab tersebut ialah kejahilan, dosa, syaitan, sifat-sifat basyariyyah dan kelalaian. Hijab-hijab ini pada hakikatnya mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu sama lain.

 

1-Hijab Kejahilan

 

Kejahilan merupakan hijab kebanyakan manusia. Orang yang berada dalam keadaan kejahilan seumpama orang yang berjalan dalam kegelapan. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab daripada Tuhannya sehingga dia tidak mengenaliNya dengan sebenar-benar pengenalan. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab daripada mengenali suruhan dan larangan tuhannya sehingga dia mengabaikan tuntutan agamanya dalam kehidupan di dunia ini. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab daripada mengenali kehidupan akhirat yang pasti akan dihadapinya sehingga dia tidak membuat persediaan yang cukup bagi tujuan tersebut.

 

Hijab kejahilan merupakan hijab yang pertama yang mesti dibuang daripada diri seseorang. Suruhan dan kewajiban menuntut ilmu bagi setiap yang beragama Islam adalah bagi membuang hijab kejahilan ini. Rasulullah s.a.w  telah bersabda :

 

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ  عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

 

Maksudnya : Menuntut ilmu adalah satu kewajiban ke atas setiap muslim.[6]

 

Imam al-Ghazali telah meletakkan ilmu sebagai halangan pertama yang perlu ditempuh oleh setiap orang yang ingin menjalani jalan agama dan mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. Huraian tentang perkara ini dapat dilihat dalam karya beliau Minhaj al-Abidin[7] (jalan ahli ibadah) dan karya-karya beliau yang lain.

 

2-Hijab Dosa

 

Dosa yang dilakukan oleh manusia akan mengakibatkan kekotoran hati dan menjadi hijab yang menutup hati manusia daripada mencapai hakikat kebenaran. Dosa-dosa itu diumpamakan seperti titik-titik hitam yang menutup permukaan hati manusia di mana kewujudannya boleh menghalang penglihatan mata hati (basirah) tersebut. Hakikat ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda:

 

إِذَاْ أَذْنَبَ الْعَبْدُ نُكِتَ فِيْ قَلْبِهِ   نُكْتَةٌ سَوْدَاْءُ  فَإِنْ تَاْبَ صَقُلَ مِنْهَاْ فَإِنْ عَاْدَ زَاْدَتْ حَتَّى تَعْظُمَ فِيْ قَلْبِهِ فَذَلِكَ الرَّاْنُ الَّذِيْ ذَكَرَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ كَلَّاْ بَلْ رَاْنَ عَلَى قُلُوْبِهِمْ مَاْ كَاْنُوْا يَكْسِبُوْنَ

 

Maksudnya : Apabila seseorang mukmin itu melakukan sesuatu dosa maka ada titik hitam dalam hatinya, sekiranya dia bertaubat dan beristighfar maka bersihlah hatinya itu, sekiranya ia berulang (dosanya) maka bertambahlah (titik hitam itu) sehingga ia menutupi hatinya, maka itulah al-ran yang disebut oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud “bahkan apa yang telah mereka usahakan itu (kekufuran dan kemaksiatan) telah menutup hati mereka”.[8]

 

Kewujudan dosa yang tidak diikuti dengan taubat dan istighfar menjadikan penglihatan matahati manusia (basirah) terhijab sehingga ia tidak dapat melihat hakikat-hakikat kebenaran dengan nyata dan terang. Keadaan ini menjadikan manusia mula menghadapi krisis sehingga keyakinannya menjadi lemah dan pudar malah timbul banyak keraguan dalam hatinya tentang urusan agamanya. Demikian juga dorongan melaksanakan tuntutan-tuntutan agama menjadi lemah. Di samping itu, hatinya juga akan menjadi keras dan berperangai buruk.

 

 

3-Hijab Syaitan

Syaitan merupakan musuh tradisi bagi setiap manusia. Permusuhan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya : Tidakkah Aku (Allah) telah memerintahkan kamu wahai bani Adam (manusia) supaya kamu tidak menyembah (memperhambakan diri) kepada syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.[9]

Syaitan menjadi hijab bagi hati manusia kerana ia menutup matahati manusia dengan cara mengerumuninya dan mendatangkan berbagai lintasan hati dan fikiran sehingga ia terhijab daripada menyaksikan hakikat-hakikat kebenaran. Sekiranya syaitan tidak mengerumuni hati manusia maka manusia akan dapat menyaksikan keagungan Allah di sebalik alam nyata ini. Rasulullah s.a.w telah mendedahkan perkara ini dalam sabda baginda:

فَلَّمَاْ نَزَلْتُ إِلَى السَمَاْءِ الدُنْيَاْ نَظَرْتُ أَسْفَلَ مِنِّيْ فَإِذَاْ أَنَاْ بِرَهْجٍ وَدُخَاْنٍ وَأَصْوَاْتٍ فَقُلْتُ مَاْ هَذَاْ يَاْ جِبْرِيْلُ قَاْلَ هَذِهِ الْشَيَاْطِيْنُ   يَحُوْمُوْنَ  عَلَى أَعْيُنِ بَنِيْ آدَمَ اَنْ لَاْ يَتَفَكَّرُوْا فِيْ مَلَكُوْتِ الْسَمَاْوَاْتِ وَالْأَرْضِ وَلَوْ لَاْ ذَلِكَ لَرَأَوْا الْعَجَاْئِبَ

Maksudnya : Apabila aku turun ke langit dunia, lalu aku melihat di bawahku tiba-tiba aku berada dalam suasana debu, asap dan suara-suara. Aku bertanya “Ini apa wahai Jibril?”. Jibril menjawab “inilah syaitan-syaitan yang mengerumuni penglihatan manusia supaya mereka tidak bertafakkur tentang kekuasaan Allah di langit dan bumi. Kalaulah tidak kerana semua itu pasti mereka akan melihat keajaiban”.[10]

Syaitan juga mengganggu manusia dengan mendatangkan berbagai was-was dan keraguan. Keraguan yang mendatangi hati manusia ini lama-kelamaan akan mempengaruhinya sehingga ia menjadi sebahagiaan daripada pegangan hatinya. Kewujudan keraguan dalam hati manusia akan mengganggu kejernihan hati tersebut dan seterusnya akan melemahkan keyakinannya terhadap hakikat-hakikat kebenaran yang diketahuinya selama ini.

4-Hijab Sifat Basyariyyah

Sifat basyariyyah ini bukanlah bermaksud tabiat semulajadi yang ada dalam diri manusia seperti keinginan untuk makan, minum, tidur, berkelamin dan sebagainya. Apa yang dimaksudkan dengan sifat basyariyyah di sini ialah sifat-sifat tercela (sifat madzmumah) yang bersarang dalam hati manusia seperti sifat angkuh (takabbur), ujub (bangga dengan kelebihan dan keistmewaan diri), iri hati (hasad), menunjuk-nunjuk (riak), rakus atau tamak dan sebagainya lagi. Ini kerana, menurut ulama tasauwuf, asal roh manusia itu sudah mengenal hakikat ketuhanan Tuhannya secara fitrah (naluri) yang dijadikan Allah pada setiap diri manusia. Hakikat ini jelas kelihatan dalam firman Allah s.w.t:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu (sepenuh jiwa ragamu) kepada agama (Islam/ tauhid) dalam keadaan bersih (dari syirik), (ia adalah) fitrah Allah yang mana Allah menjadikan manusia berada atas fitrah ini, tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah, itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.[11]

Namun kewujudan sifat-sifat tercela ini terutamanya sifat keakuan diri (ananiyyah) yang mana daripadanya timbul berbagai sifat tercela lain, telah mencemar kemurnian fitrah bertauhid dan beragama manusia tersebut. Ia telah menghijab hati manusia sehingga pengenalannya terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Tuhannya mula pudar dan dibayangi syirik khafi (yang tersembunyi).

5. Hijab Kelalaian (Ghaflah)

Ghaflah (kelalaian) merupakan salah satu hijab bagi hati manusia. Kelalaian yang dimaksudkan di sini ialah kelalaian hati manusia daripada mengingati dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan perkara-perkara keakhiratan. Kelalaian ini berpunca daripada kelalaian hati yang cenderung dan tertumpu kepada kebendaan semata-mata. Ikatan kasih yang sangat kuat terhadap perkara-perkara keduniaan atau kebendaan menyebabkan hati sentiasa tertumpu kepada perkara-perkara tersebut.Apabila hati mula tertumpu dan terikat dengan perkara-perkara tersebut itu maka kecenderungan dan tumpuan terhadap hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan menjadi lemah. Semakin kuat ikatan hati manusia terhadap perkara-perkara keduniaan dan kebendaan maka semakin lemah tumpuan hatinya terhadap hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan. Al-Qur’an telah mengisyaratkan hakikat ini sebagaimana firman Allah s.w.t:

مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

Maksudnya: Allah s.w.t tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati (tumpuan) dalam rongga dadanya.[12]

Untuk membuang hijab-hijab (halangan-halangan) rohani ini seseorang, itu perlu melakukan tazkiyat al-nafs.

 

 

Kesan-Kesan Daripada Rohani Yang Terhijab

Kewujudan halangan-halangan ini menyebabkan kekotoran jiwa manusia dan kekerasan hatinya sehingga ia menjadi semakin jauh daripada penciptanya. Orang-orang yang terhijab rohaninya berada dalam keadaan kelalaian (ghaflah) seumpama orang yang sedang tidur. Sebagaimana keadaan orang yang sedang tidur itu tidak menyedari peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya, maka demikian juga orang yang terhijab rohaninya. Dia tidak menyedari kewujudan Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat keagungan, keindahan dan kesempurnaan. Dia tidak menyedari kewujudan pencipta yang menciptanya, yang mengatur urusan hidupnya, yang berkuasa ke atas dirinya, yang mengetahui tentang dirinya, yang memberikannya nikmat yang tidak terhitung jumlahnya, yang memenuhi keperluan hidupnya dan sebagainya. Dia tidak menyedari tentang kematian yang akan mendatangi setiap yang bernyawa dan juga peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepasnya. Hakikat inilah yang terkandung dalam apa yang diriwayatkan:

النَاْسُ نِيَاْمٌ فَإِذَاْ  مَاْتُوْا اِنْتَبَهُوْا

Maksudnya: Manusia itu tidur, apabila mereka telah mati, mereka mula sedar.[13]

Rohani manusia yang terhijab dan tidak menjalani proses tazkiyat al-nafs akan dihinggapi berbagai penyakit rohani yang akan merosakkannya. Punca segala penyakit hati itu ialah cinta dunia (kegilaan terhadap habuan duniawi yang membawa kepada kerosakan agama dan moral seseorang itu). Nabi `Isa a.s. telah menjelaskan hakikat ini sebagaimana sabda baginda:

حُبُّ الْدُنْيَاْ  أَصْلُ كُلِّ خَطِيْئَةٍ

Maksudnya : Cinta dunia adalah punca segala kesalahan (dosa).[14]

Sesungguhnya kerosakan, kecelakaan dan kebinasaan seseorang itu adalah berpunca daripada kerosakan rohaninya. Ini kerana hati manusia adalah seumpama raja yang memerintah dan mengeluarkan arahan yang mana perintah dan arahannya itu akan dituruti. Sekiranya raja tersebut tidak baik maka ia akan mengarahkan sesuatu yang tidak baik dan arahan tersebut akan dilaksanakan. Demikian juga hati di mana sekiranya hati itu tidak baik maka ia akan mengeluarkan arahan yang tidak baik yang akan dilaksanakan oleh anggota-anggotanya itu. Renungan terhadap hidayah al-Rasul s.a.w dalam sabda baginda dapat mendedahkan hakikat ini. Rasullullah s.a.w telah bersabda:

أَلَاْ وَاِنَّ فِيْ الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَاْ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَاْ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَاْ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya : Ketahuilah sesunggunya dalam tubuh manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah, itulah hati.[15]

Bukanlah yang dimaksudkan dengan hati (qalb) di sini iaitu hati sanubari atau jantung yang merupakan segumpal darah beku yang berada dalam rongga dada sebelah kiri manusia. Apa yang dimaksudkan di sini ialah roh manusia. Menurut keterangan Iman al-Ghazali dalam beberapa karya beliau khususnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, roh tersebut mempunyai hubungan khusus dengan hati sanubari tersebut.

Sesungguhnya kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri yang berpunca daripada kerosakan dan kepincangan hati mereka. Keangkuhan, kerakusan, kegilaan terhadap dunia dan kedengkian menjadi sebab timbulnya permusuhan di kalangan manusia. Kejadian jenayah seperti rompakan, pembunuhan, penculikan, penipuan, rogol dan lain-lain dan kejadian maksiat seperti zina, minum minuman keras, judi dan sebagainya, adalah berpunca daripada kerosakan hati manusia. Kerosakan manusia yang berpunca daripada kerosakan hati ini akan membawa kepada kerosakan masyarakat dan seterusnya kerosakan dan kemusnahan umat manusia yang mendiami muka bumi ini di samping kemusnahan tamadun kebendaan yang mereka telah bina dalam tempoh yang lama. Allah s.w.t telah befirman mengisyaratkan hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya : Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka (sebagai balasan terhadap) sebahagiaan (kesalahan) yang mereka lakukan mudah- mudahan mereka kembali (ke jalan Allah s.w.t).[16]

 

Tazkiyat al-nafs

Apabila hati manusia telah terhijab maka ia terhalang daripada mencapai kesempurnaan dan kemuliaan dirinya, lantaran itu ia perlu melakukan tazkiyat al-nafs. Tazkiyat al-nafs merupakan satu proses pembersihan rohani manusia daripada perkara-perkara yang menghalang seseorang itu mencapai kesempurnaan `ubudiyyah yang merupakan tujuan asal kejadian manusia. Kejayaan manusia dalam melakukan tazkiyat al-nafs ini akan membawa kepada kejayaannnya dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Allah s.w.t telah menjelaskan tentang hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Maksudnya : Sesungguhnya (pasti akan) berjaya orang yang membersihkan dirinya (rohaninya) dan (pasti akan) rugi orang yang mengotorkannya.[17]

Allah s.w.t telah menjelaskan bahawa antara tujuan perutusan Rasul s.a.w adalah untuk melakukan tazkiyat al-nafs ini. Kenyataan ini dapat dilihat pada firman Allah s.w.t:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang ummi itu seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang membacakan ke atas mereka ayat-ayatNya, membersihkan (tazkiyah) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-kitab (al-Quran) dan hikmah (hadith) dan mereka sebelum itu adalah benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.[18]

 

Proses Tazkiyat al-nafs

Tazkiyat al-nafs itu pada hakikatnya terdiri daripada dua perkara iaitu takhliah dan tahliah. Takhliah bermaksud membuang sifat-sifat tercela yang ada pada diri manusia manakala tahliah pula bermaksud menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji. Kedua-dua perkara penting ini tidak akan tercapai dengan sempurna tanpa ilmu dan amal.

Tazkiyat al-nafs pada hakikatnya merupakan perlaksanaan terhadap ilmu atau dengan kata lain ia merupakan gabungan antara ilmu dan amal. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ilmu tanpa amal adalah kerugian manakala amal tanpa ilmu adalah kekosongan. Walau bagaimanapun, ilmu itulah yang perlu didahulukan daripada amal. Ini kerana ilmu itu adalah seumpama imam yang diikuti manakala amal itu seumpama makmum yang mengikuti imam. Perkara ini jelas kelihatan dalam apa yang diriwayatkan iaitu:

العِلْمُ اِمَاْمُ الْعَمَلِ وَالْعَمَلُ تَاْبِعُهُ

Maksudnya : Ilmu itu adalah (seumpama) imam (ikutan) bagi amal dan amal itu pula adalah (seumpama) yang mengikutinya(makmum).[19]

Imam al-Ghazali telah meletakkan ilmu sebagai halangan pertama yang perlu ditempuh oleh orang yang ingin kembali ke jalan Allah dan berusaha untu memperbaiki taqwa serta mendekatkan diri kepadaNya. Perkara ini dapat dilihat dalam karya beliau yang terkenal Minhaj al-Abidin.

Oleh itu langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha melakukan tazkiyat al-nafs ini ialah mendapatkan ilmu. Mendapatkan ilmu, sebagaimana yang diketahui ramai, merupakan satu kewajiban setiap muslim. Ilmu yang perlu dipelajari ialah ilmu yang menjelaskan tentang persoalan mengenal tuhan (tauhid/usuluddin), ilmu yang menerangkan tentang peraturan-peraturan atau hukum-hukum mu`amalah (fiqh) dan ilmu yang membicarakan tentang masalah-masalah kerohaniaan (tasauwuf). Kesemua ilmu ini perlu dipelajari sekadar yang dituntut (fardu ain). Sekiranya seseorang itu berkemampuan untuk mendapatkan ilmu yang lebih daripada kadar yang dituntut maka itu lebih baik.

Setelah ilmu yang diperlukan itu diperolehi maka seseorang itu hendaklah berusaha untuk mengamalkan ilmunya sekadar kemampuannya. Apa yang penting ialah kesungguhan dalam melaksanakan amal. Kesungguhan inilah yang disebut mujahadah dalam ilmu tasauwuf. Amal yang berasaskan mujahadah inilah yang akan membawa kepada pembukaan pintu rohani dan meningkatkan maqam taqwa seseorang itu. Namun semua ini bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. kepada seseorang itu.  Apa  yang jelas ialah mujahadah itu adalah pembuka jalan ke arah taqwa yang disyaratkan dalam firman Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang bermuhajadah pada jalan Kami (Allah) pasti Kami akan tunjukkan (hidayahkan) kepada mereka jalan-jalan (yang membawa kepada mengenal dan mencapai keredaan) Kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.[20]

Dalam melakukan takziah al-nafs, amal yang dilaksanakan ialah amal mujahadah (amal darjat). Konsep amal mujahadah berbeza daripada amal taklif (amal hasanah). Amal taklif atau amal hasanah ialah segala amalan yang dilakukan semata-mata untuk melepaskan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan mengharapkan ganjaran pahala daripadaNya di akhirat. Manakala amal mujahadah (darjat) pula ialah amalan yang dilaksanakan untuk menyucikan hati, membuka hijab, mencapai kedekatan (qurb) dan mendapat ma`rifat terhadap Allah s.w.t., di samping melaksanakan tanggungjawab dan mengharapkan ganjaran pahala daripadaNya.

Ringkasnya terdapat beberapa ciri amalan yang disifatkan sebagai amal tazkiyah atau amal mujahadah ini seperti yang dikemukakan oleh para ulama tasauwuf sekalipun terdapat beberapa persamaan dengan amal taklif. Ciri-ciri tersebut ialah :

Pertama: Mengikuti atau membetuli Sunnah (mutaba`ah)

Kedua: Kehadiran hati, iaitu keikhlasan dan penyaksian Ihsan (hudur dan ihsan)

Ketiga: Kesungguhan atau hemah yang tinggi

Keempat: Berperingkat-peringkat dalam melaksanakan amal

Kelima: Berterusan dalam amal (istiqamah)

Keenam: Mengambil kira keutamaan dalam amal (afdaliyyah)

Dalam usaha untuk melaksanakan amal mujahadah tersebut seseorang itu kerapkali menghadapi berbagai rintangan seperti kemalasan, keraguan, kekeliruan, kesilapan dan sebagainya lagi. Bagi menghadapi perkara ini seseorang itu disarankan agar mendampingi dan mendapatkan bimbingan atau irsyad daripada orang yang sudah ada pengalaman dalam perkara tersebut. Dari sini timbulnya konsep mursyid dalam ilmu tasauwuf yang memberikan tunjuk ajar (irsyad) dan didikan rohani (tarbiyah) kepada murid. Ini kerana, dalam melakukan mujahadah seseorang itu berkemungkinan akan menghadapi berbagai rintangan yang akan memutuskan perjalananya sehingga dia terhenti daripada meneruskan usahanya itu. Dengan irsyad dan tarbiyah mursyid, sesuatu yang sukar dan bermasalah mungkin dapat diatasi dengan kurniaan Allah. Saranan seumpama ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang benar.[21]                            

Keperluan kepada bimbingan, didikan dan tunjuk ajar murshid dalam menempuh jalan mujahadah ini telah dinyatakan dan dijelaskan oleh tokoh-tokoh besar ulama tasauwuf seperti al-Junayd, al-Bustami, al-Qushayri, al-Ghazali, al-Jilani, al-Sha`rani dan lain-lain lagi dalam karya-karya mereka. Mereka bukan sahaja menyatakan keperluan, malahan pada peringkat mujahadah tertentu ia menjadi satu kemestian atau kewajiban bagi orang yang ingin menempuhnya. Bukan setakat itu sahaja malahan mereka sendiri menunjukkan contoh tauladan di mana mereka juga mempunyai guru rohani yang khusus dan tidak ditemui di kalangan mereka yang tidak mempunyai pembimbing rohani.

 

Wasilah Dalam Malakukan Tazkiyat al-nafs

Bagi melakukan tazkiyat al-nafs, seseorang itu perlu mengambil wasilah yang disyariatkan dalam agama. Sebarang usaha tazkiyat al-nafs bertujuan mendekatkan diri kepada Allah menerusi wasilah yang tidak disyariatkan adalah sia-sia malah boleh menyesatkan. Keperluan kepada wasilah ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَوَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan carilah wasilah kepadaNya, dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.[22]

Semua amalan agama pada hakikatnya adalah merupakan wasilah yang mengandungi unsur tazkiyat al-nafs. Hakikat ini dapat dilihat pada firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai manusia, sembahlah (beribadahlah kepada) Tuhan yang telah menjadikan kamu dan juga orang-orang sebelum kamu mudahan (nescaya) kamu bertaqwa (kepadaNya).[23]

Amalan-amalan seperti solat fardu dan sunat (nawafil), puasa wajib dan sunat, zakat dan sedekah, haji dan umrah, dan amalan-amalan lain yang dituntut agama adalah merupakan wasilah yang mengandungi unsur tazkiyat al-nafs yang boleh membawa kepada peningkatan maqam taqwa dan pencapaian maqam dekat (qurb) dengan Allah s.w.t. Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan juga hadith Nabi s.a.w. yang menjelaskan hakikat ini. Amalan-amalan ini berfungsi meningkatkan tahap kerohanian seseorang itu sekiranya ia dilaksanakan dengan tekun dan menurut kaedah-kaedah yang betul seperti yang dihuraikan oleh para ulama tasauwuf dalam karya-karya mereka.

Walau bagaimana pun sesuatu yang sangat ditekankan dalam usaha tazkiyat al-nafs ini ialah dzikrullah. Saranan supaya banyak melakukan dzikrullah yang ditemui dalam banyak ayat al-Qur’an dan juga hadith Nabi s.a.w. sudah cukup memperlihatkan kepentingan amalan ini. Sebenarnya unsur dzikrullah ini terdapat dalam semua amalan seperti solat, puasa dan sebagainya, malahan sesuatu amalan itu dikira kosong jika tidak disertai dengan hadir hati yang pada hakikatnya merupakan zikir.Para ulama tasauwuf seperti Imam al-Qushayri dan lainnya telah sepakat menyatakan bahawa dzikrullah ini merupakan asas penting dalam usaha membersihkan hati dalam perjalanan menuju kepada mengenal (ma`rifah) Allah s.w.t. dan mencapai keredaanNya. Kerana itu amalan dzikrullah ini sangat ditekankan perlaksanaannya dalam tarekat Sufiyyah.

Renungan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadith-hadith Nabi s.a.w. mendapati bahawa dzikrullah memainkan peranan penting dalam usaha membuang hijab-hijab hati serta meningkatkan tahap ketaqwaan seseorang itu. Antaranya ialah firman Allah s.w.t. yang mensifatkan golongan ulu al-albab (orang-orang yang mempunyai mata hati) iaitu:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآَيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ. الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam ada tanda (keagungan Allah) bagi golongan ulu al-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka lindungilah kami daripada azab neraka”.[24]

Berdasarkan ayat ini, antara ciri-ciri golongan ulul al-albab itu ialah sentiasa dzikrullah dan tafakkur dalam apa jua keadaan sehingga terangkat hijab hati. Ini dapat dilihat pada ucapan mereka iaitu “maha suci Engkau” yang sebenarnya memperlihatkan apa yang telah dicapai oleh mata hati mereka iaitu penyaksian terhadap ketuhanan dan ketauhidan Allah. Begitu juga mereka dapat menyaksikan hakikat kehambaan (‘ubudiyyah) kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri yang terlihat pada permohonan dan doa mereka iaitu “lindungilah kami daripada azab neraka”. Penyaksian terhadap kedua-dua hakikat ini iaitu ketuhanan (uluhiyyah dan rububiyyah) Allah dan kehambaan (`ubudiyyah) manusia adalah merupakan tahap spiritual golongan ulu al-albab.

 

Tujuan Melakukan Tazkiyat al-nafs

Seseorang yang tekun melakukan tazkiyat al-nafs kebiasaannya akan mengalami intibah (kesedaran rohani). Keadaan ini berlaku disebabkan hijab-hijab yang menutup hati mula terangkat sedikit demi sedikit menyebabkan basirah (penglihatan mata hati) sedikit demi sedikit terbuka sehingga dia dapat melihat atau menyaksikan hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan dengan yakin.

Kesedaran rohani ini akan menggerakkan seseorang itu untuk kembali ke jalan Allah yang selama ini diabaikan atau tidak dipedulikan. Ia akan menyedarkan seseorang itu tentang kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang lalu, keburukan perangainya dan kecuaiannya dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Tuhan dan manusia seluruhnya. Ia mendorongnya untuk bertaubat dan seterusnya beramal soleh serta berkhidmat dengan jujur.

Kesedaran rohani ini juga akan menyedarkan seseorang itu tentang kejahilan, kejauhan dan kelalaian dirinya terhadap Tuhannya. Kesedaran ini akan menggerakkannya untuk mengenali Tuhan dengan lebih dekat sehingga pengenalan terhadap Tuhan menjadi semakin jelas dan keyakinannya terhadapNya semakin kuat. Dia mula merasai ketenteraman rohani dan ketenangan jiwa yang sebenar yang lahir daripada rohani yang bersih berpunca daripada pengenalan, pegangan dan keyakinan hati yang kuat terhadap Tuhan.

Kesedaran rohani ini juga menjadikan seseoranng itu mula mengenali hakikat dunia. Dunia yang penuh dengan tarikan, perebutan dan kebanggaan ini sudah tidak menjadi kegilaan dan rebutan bagi dirinya. Dunia yang fana ini hanyalah sebagai perantaraan, peralatan dan jambatan baginya menuju akhirat yang kekal.

Semua ini adalah proses pemurnian dan peningkatan martabat kerohanian manusia sehingga dia menjadi hamba Allah yang sebenar atau dengan kata lain mencapai kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah. Sesungguhnya tazkiyat al-nafs ini pada hakikatnya bertujuan meningkatkan kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah ini. Pada maqam inilah letaknya kemuliaan manusia di sisi Tuhannya. Pada maqam ini, ketuhanan (rububiyyah dan uluhiyyah)  Allah dan kehambaan (`ubudiyyah) manusia menjadi nyata. Pada maqam ini manusia dapat menyaksikan ketuhanan Tuhannya dan juga menyaksikan kehambaan, kefaqiran, kehinaan, kelemahan, kekurangan dan kebinasaan dirinya. Dia menjadi hamba Tuhannya yang sebenar, zahir dan batin. Zahirnya beribadah kepada Tuhan serta menjunjung titah perintahNya dan batinnya pula mengenali, meyakini, bergantung harap dan reda terhadap suruhan, larangan dan ketentuanNya.

 

Penutup                                                            

 

Sesungguhnya maqam `ubudiyyah (kehambaan) yang berpaksikan ketaqwaan merupakan nilaian harga diri dan kemuliaan manusia di sisi Tuhannya. Pembinaan, pemantapan dan peningkatan maqam ini tercapai menerusi satu proses penyucian rohani yang dinamakan tazkiyat al-nafs. Menerusi proses ini manusia boleh meningkat tahap kemuliaannya sehingga dapat mengatasi kemuliaan makhluk-makhluk lain. Tanpanya, kemuliaan manusia boleh jatuh merudum sehingga menjadi lebih hina daripada binatang.



[1] Al-Qur’an, Surah al-Hijr, 28-29.

[2] Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, juz.16, hlm.341.

[3] Al-Qur’an, Surah al-A`raf, 172.

[4] Al-Qur’an, Surah al-Dhariyat, 56.

[5] Al-Qur’an, Surah al-Nahl, 36.

[6] Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, juz.8, hlm.295.

[7]  Lihat: al-Ghazali, Minhaj al-`Abidin, hlm.13-20.

[8] Al-Hakim, al-Mustadrak `ala al-Sahihayn, juz.1, hlm.45.

[9] al-Qur’an, Surah Yasin, 60.

[10] Ahmad ibn Hanbal, Musnad Ahmad, juz.2, hlm.353.

[11] Al-Qur’an, Surah al-Rum, 30.

[12] Al-Qur’an, Surah al-Ahzab, 4.

[13] Al-Munawi, Fayd al-Qadir, juz.5, hlm.56.

[14] Al-Bayhaqi, Shu`ab al-Iman, Juz.7, hlm.323.

[15] Al-`Ajluni, Kashf al-Khafa, juz.1, hlm.438

[16]  Al-Qur’an, Surah al-Rum, 41.

[17] Al-Qur’an, Surah al-Shams, 9-10.

[18] Al-Qur’an, Surah al-Jum`ah, 2.

[19] Al-Ghazali, Minhaj al-`Abidin, hlm.18.

[20]  Al-Qur’an, Surah al-`Ankabut, 69.

[21] Al-Qur’an, Surah al-Tawbah, 119.

[22] Al-Qur’an, Surah al-Ma’idah, 35.

[23] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah, 21.

[24]  Al-Qur’an, Surah Ali `Imran, 190-191.

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427