Thu05252017

Last updateThu, 25 May 2017 11am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Info Bahagian Tareqat Tasauwuf Pengenalan Enakmen Tarekat Tasawwuf(Negeri Sembilan) 2005

Pengenalan Enakmen Tarekat Tasawwuf(Negeri Sembilan) 2005

PENGENALAN ENAKMEN TASAWWUF (NEGERI SEMBILAN ) 2005

Disediakan oleh

Syaiful Nizam bin Md Jan

Penolong Mufti Bahagian Tarekat Tasawuf/Pendaftar Tarekat N.Sembilan


SEJARAH & MATLAMAT ENAKMEN TAREKAT TASAWUF

 

Pendahuluan

Senario Tarekat masa kini:

                       i            Sering menjadi tohmahan.

                     ii            Terlalu eksklusif.

                    iii            Diamalkan secara tertutup.

                   iv             Disisihkan dari masyarakat.

                     v            Sering diragui pengamalannya.

                   vi             Dialahkan oleh fahaman material. 


Terdapat juga faktor berlakunya penyelewengan dalam kumpulan tarekat antaranya:

                       i            Pengamalan yang tidak berpaksikan ilmu teras Islam.

                     ii            Taksub yang melampau.

                    iii            Berlakunya campur-aduk dengan fahaman kebatinan.

                    iv            Eksploitasi pihak yang mencari pengaruh.


Apabila perkara sebegini berlaku maka ianya memberi kesan kepada Islam dan Tarekat.  Antara kesan-kesan tersebut ialah:

                       i            Tindakan undang-undang dikenakan.

                     ii            Tarekat tersebut diharamkan.

                    iii            Istilah Tasawuf ditakuti dan disalah ertikan.

                   iv            Silibus ilmu Tasawuf dimansuhkan dalam pembelajaran.

                     v           Penerbitan bahan bacaan berkaitan tarekat tasawuf berkurangan.

                   vi            Umat Islam ketandusan kaedah pengisian jiwa.

                  vii            Islan terus dianggap jumud.

                viii            Umat Islam disuapkan dengan idealogi dan pemikiran barat.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah menjalankan beberapa usaha iaitu:

                        i            Mengadakan seminar pelbagai peringkat.

                     ii             Menyediakan bahan bacaan berkaitan aqidah, fiqh dan tasawuf.

                    iii             Mengembeleng tenaga pakar dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

                   iv             Mengetengahkan tokoh-tokoh sufi silam dan semasa.

                   v            Merangka undang-undang yang bertujuan mengiktiraf,

                                 membela, memantau, memurnikan tarekat yang beramal di Negeri Sembilan.

Sejarah

Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dibuat adalah berdasarkan kepada resolusi seminar yang diadakan pada tahun 2002 dan 2003. Pada peringkat awalnya, undang-undang ini dicadangkan diadakan di peringkat Kerajaan Pusat. Pada pertemuan pihak Jabatan Mufti dengan YAB Dato’ Dr. Abdullah bin Md Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada Ogos 2004, beliau mengesyorkan supaya undang-undang ini dibuat di Negeri Sembilan dahulu.

 

Sehubungan dengan itu, pada tahun akhir tahun 2004, Enakmen Tarekat Tasawuf mula digubal dan pemindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 turut dilakukan bagi mengwujudkan punca kuasa penubuhan suatu jawatankuasa kecil yang akan membantu Jawatankuasa Fatwa dalam semua perkara yang berkaitan dengan tarekat tasawuf.

 

Enakmen ini siap digubal pada tahun penghujung tahun 2005 dan mula dikuatkuasakan pada 27 Ramadhan 1427H/20 Oktober 2006. Pelaksanaan enakmen ini diharap memberi kesan seperti berikut:

 

                       i           Amalan tarekat tasawuf dapat dimasyarakatkan dan tidak diamalkan secara sembunyi-sembunyi.

                     ii            Pengamal tarekat dan masyarakat akan dapat pendedahan Ilmiah tentang tarekat tasawuf.

                    iii            Mensasarkan sesat sifar di Negeri Sembilan

                   iv            Mengwujudkan organisasi kumpulan tarekat yang bersistematik.

                     v            Dapat membimbing dan mentarbiah pengamal tarekat berdasarkan prinsip tasawu

                                  yang murni di bawah seliaan Jawatankuasa Fatwa, Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah,

                                  dan Pendaftar Tarekat.

 

Berikut ialah senarai nama yang terlibat dalam penggubalan enakmen ini pada tahun 2004-2005:

1.      YB Dato’ Ilani binti Mohammad Ibrahim

Penasihat Undang-Undang Negeri

 

2.      SS Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad

Mufti

 

3.      Tn. Haji Zaharudin bin Haji Mohd Syarif

Pengarah JHEAINS

 

4.      En. Mohd Najib bin Khairudin

Setiausaha MAINS

 

5.      YAA Mohd Radzi bin Abd. Latif

Ketua Hakim Syarie N.Sembilan

 

6.      SF Ust. Mohd Zaidi bin Ramli

Timbalan Mufti

 

7.      Ust. Mohd Fadhil bin Abu Kassim

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah

 

8.      Ust. Selamat bin Paigo

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan

 

9.      Ust. Ahmad Damiri

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan

 

10.  Pn. Wan Rabwah binti Wan Hassan

Pembantu Penasihat Undang-Undang Negeri

 

11.  Y.Bhg Dato’ Baharum bin Hasbullah

Ahli Majlis/AJK Fatwa

 

12.  Y.Bhg Dato’ Haji Mohamed bin Hussin

Ahli Majlis

 

13.  En. Kamal Amran bin Kamarudin

MAINS

 

14.  Ust. Zainal bin Said

Pegawai Zakat Negeri

 

15.  Ust. Ahmad Zaki bin Haji Hamzah

Penolong Mufti

 

16.  Ust. Syaiful Nizam bin Md Jan

Penolong Mufti

 

            Urusetia

 

1.      En. Mohd Zin bin Abd Hamid

2.      En Shukri bin Yunus

3.      Pn Azriah binti Maaris

4.      Pn Junaidah binti Ab. Manaf

 

 

 

 

Enakmen Tarekat Tasawuf ini mengandungi 35 seksyen dan 2 Jadual, dimuatkan dalam 10 Bahagian.

 

Bahagian I

 

Bahagian I Enakmen ini (seksyen 1 hingga 3) menyatakan tajuk ringkas undang-undang ini, tafsiran dan kecualian prerogatif Yang di Pertuan Besar selaku Ketua Agama bagi Negeri Sembilan.

 

Bahagian II

 

Bahagian II pula menyatakan tentang perlantikan Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar (seksyen 4) serta fungsi atau tugas Pendaftar (seksyen 5).

 

Bahagian III  

 

Bahagian III seterusnya mewajibkan suatu tarekat tasawuf itu didaftarkan di bawah Enakmen ini. Seksyen 6 menyatakan tiada seorang pun boleh menubuhkan, mengurus atau mengendalikan mana-mana tarekat tasawuf kecuali tarekat itu telah didaftarkan. Melanggar peruntukan ini merupakan satu kesalahan, dan andainya pesalah disabitkan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 2 tahun, denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Jika dia mengulangi kesalahan yang sama, dia boleh dikenakan hukuman yang lebih berat lagi – iaitu penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5,000.

 

Selain itu, seorang itu juga dilarang menyertai (menjadi ahli) mana-mana tarekat tasawuf kecuali tarekat yang hendak disertainya itu telah pun didaftarkan di bawah Enakmen ini (seksyen 7).  Dia juga dilarang mengamalkan suatu tarekat tasawuf kecuali tarekat itu telah didaftarkan di bawah Enakmen ini. Pelanggaran seksyen 7 ini  boleh mengakibatkan orang itu dikenakan hukuman (jika sabit kesalahannya) denda tidak lebih RM1,000. Andainya dia mengulangi kesalahannya, dia boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000.

 

Bahagian IV

 

Bahagian IV menyatakan seorang syeikh itu mestilah terlebih dahulu mendapatkan pengiktirafan Jawatankuasa Fatwa – seksyen 8(1). Mengikut seksyen 2 Enakmen ini, istilah ”syeikh” itu bermakna seorang ”pemimpin suatu tarekat tasawuf, tidak kira apa jua gelarannya, dan termasuklah orang yang dipertanggungjawabkan oleh syeikh, yang diiktiraf di bawah subseksyen 8(1).”   

 

Selanjutnya, bahagian ini menyatakan secara terperinci syarat-syarat minima sebelum seorang itu boleh diiktiraf oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai seorang syeikh – iaitu ia mesti warganegara Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda dalam pengajian Islam atau yang setaraf dengannya, telah mengamalkan suatu tarekt tasawuf selama satu tempoh yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Fatwa, mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang tarekat tasawuf yang diamalkan, mempunyai silsilah yang ditentusahkan oleh Jawatankuasa Fatwa dan mempunyai akhlak dan sahsiah yang baik.

   

Bahagian V

 

Bahagian V (seksyen 9 hingga 12) mewajibkan suatu tarekat tasawuf itu didaftarkan.  Sesiapa sahaja yang ingin menubuhkan suatu tarekat tasawuf dikehendaki mengemukakan permohonan dalam Borang yang ditetapkan kepada Pendaftar (seksyen 9). Sekiranya permohonan itu didapati teratur, Pendaftar akan mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Fatwa, dan terserahlah kepada Jawatankuasa itu menentukan sama ada permohonan itu diluskan atau ditolak (seksyen 10). Jika permohonan itu diluluskan, Jawatankuasa Fatwa boleh mengenakan apa-apa syarat yang difikirkan patut olehnya. Jika permohonan itu ditolak, Jawatankuasa Fatwa tidak dikehendaki memberikan apa-apa sebab.

 

Setelah permohonan itu diluluskan, ia hendaklah didaftarkan dalam Daftar Tarekat Tasawuf  (seksyen 11). Setelah didaftarkan, Pendaftar dikehendaki mengeluarkan Perakuan Pendaftaran dalam Borang yang ditetapkan (seksyen 12).  Perakuan Pendaftaran itu hendaklah dipamerkan oleh syeikh pada suatu tempat yang mudah dilihat di pusat pengamalan tarekat tasawuf berkenaan.

 

Bahagian VI

 

Bahagian VI (seksyen 13 hingga 16) menghuraikan kewajipan seorang syeikh dalam mengurus dan mentadbir tarekat tasawuf dalam jagaannya. Antara lain, Bahagian ini menghendaki seorang syeikh itu menjalankan pengamalan tarekatnya dalam pusat pengamalan tarekat yang ditetapkan sahaja – seksyen 13(1). Jika ia ingin menjalankan pengamalan tarekat di suatu pusat pengamalan yang lain, dia hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Pendaftar – seksyen 13(2). Prinsip penting ini boleh dipanggil ”1 syeikh 1 premis”, iaitu ”Seorang syeikh dibenarkan mengendalikan satu pusat pengamalan sahaja”. Andainya dia melanggar prinsip ini, dia boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM500 – seksyen 13(7).

 

Seorang syeikh itu bertanggungjawab ke atas segala tingkah laku, perbuatan dan tinggalan setiap ahli tarekatnya – seksyen 14(1).

 

Selain itu, seorang syeikh itu juga dikehendaki mengemukakan 3 salinan apa jua bahan terbitan yang dikeluarkan olehnya, tidak kira apa jua bentuknya – seksyen 15(1). Peruntukan ini bertujuan memudahkan Pendaftar membuat pemantauan yang berterusan kepada segala macam bahan yang dikeluarkan atau diterbitkan oleh tarekat berkenaan dari semasa ke semasa.

 

Untuk meningkatkan lagi pemantauan Pendaftar terhadap gerak kerja seorang syeikh dan tarekat yang ditadbir olehnya, seksyen 16 menghendaki syeikh mengemukakan laporan tahunan (bagi tahun sebelumnya) mengikut bentuk yang ditetapkan kepada Pendaftar. Laporan tahunan itu mestilah diserahkan tidak lewat dari 31 Januari tahun berikutnya. Jika gagal berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000.

 

Bahagian VII

 

Bahagian VII (seksyen 17 hingga 23) menyatakan tentang pengawalan tarekat tasawuf. Bahagian ini lebih terperinci dan panjang jika dibandingkan dengan Bahagian yang lain.

 

Seksyen 17 menyatakan bahawa perbuatan melanggar apa-apa syarat pendaftaran adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3000, penjara tidak lebih 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Seksyen 18 pula memberi kuasa kepada Pendaftar (sama ada ketika dia bertindak atas budibicaranya sendiri atau selepas diarah oleh Jawatankuasa Fatwa) untuk menutup pusat pengamalan tarekat. Penutupan itu (yang tidak boleh melebihi 6 bulan) hanya boleh dibuat setelah Pendatar memberi notis yang munasabah kepada syeikh atau tuan punya pusat pengamalan itu untuk berbuat demikian. Asas penutupan itu dinyatakan dalam seksyen 18(1) (a) hingga (c ). 

 

Arahan tutup pusat pengamalan tarekat itu boleh dikeluarkan oleh Pendaftar walaupun suatu kesalahan di bawah Enakmen ini telah disabitkan – seksyen 18(2).

 

Pun begitu, arahan tutup itu boleh ditarikh balik oleh Jawatankuasa Fatwa atau Pendaftar setelah ia berpuas hati bahawa syeikh telah mengambil langkah untuk mematuhi apa jua arahan yang dikeluarkan kepadanya dan memastikan amalan tarekat itu tidak lagi bercanggah dengan Hukum Syarak – seksyen 18(3).

 

Pendaftar dikehendaki mencatatkan semua butir-butir tentang penutupan dan penarikan balik penutupan pusat pengamalan tarekat itu dalam Daftar. Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan Pendaftar dalam hal ini boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Jika kesalahan diulangi, hukuman penjara boleh dikenakan tidak lebih 3 tahun, sementara denda dikenakan tidak lebih RM5000.

 

Seksyen 20 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa membatalkan pendaftaran suatu tarekat tasawuf jika terbukti salah laku syeikh seperti yang disebutkan di situ, antaranya dia melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Hukum Syarak, gagal melaksanakan kewajipannya seperti yang disebutkan dalam Enakmen atau peraturan yang dibuat di bawahnya, gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa atau Penaftar, atau melanggar mana-mana peruntukan Enakmen ini atau peraturan yang dibuat di bawahnya. Pembatalan pendaftaran tarekat ini boleh dilakukan walaupun tidak ada apa-apa pendakwaan bagi kesalahan berkenaan pelanggaran syeikh itu – seksyen 20(1)(d).

 

Pun begitu, sebelum pembatalan pendaftaran boleh dilakukan, Jawatankuasa Fatwa hendaklah terlebih dahulu memberi peluang kepada syeikh untuk membetulkan apa-apa perbuatan salah atau kemungkiran yang dilakukan olehnya, melaksanakan apa-apa kewajipan, mematuhi apa-apa arahan, atau membetulkan pelanggaran apa-apa syarat pendaftarannya – seksyen 20(2). Malangnya tempoh peluang syeikh membuat pembetulan di bawah peruntukan ini tidak dinyatakan secara jelas.

 

Andainya syeikh gagal membuat pembetulan pelanggarannya, walaupun dia diberi peluang yang munasabah berbuat demikian, Jawatankuasa Fatwa boleh membatalkan pendaftaran tarekat itu melalui satu notis bertulis tentang niatnya untuk berbuat demikian. Dalam notis itu, syeikh hendaklah diberi peluang pula untuk membuat representasi dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu atau apa-apa tempoh lanjutan yang diberi oleh Jawatankuasa Fatwa – seksyen 20(3).

 

Selepas tamat tempoh berkenaan,  dan setelah mempertimbangkan representasi syeikh itu (jika ada), Jawatankuasa Fatwa boleh membatalkan pendaftaran tarekat itu dengan memberi notis bertulis kepada syeikh berkenaan – seksyen 20(4)

 

Notis yang diserahkan kepada syeikh itu mesti menyatakan alasan pembatalan itu dan tarikh pembatalan itu berkuatkuasa. Selain itu, notis itu hendaklah mengandungi segala arahan lain yang difikirkan perlu atau suaimanfaat – seksyen 20(5). Pembatalan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa ini adalah muktamad – seksyen 20(6).

 

Setelah notis pembatalan disampaikan kepadanya, syeikh dikehendaki menyerahkan Perakuan Pendaftaran tarekatnya kepada Pendaftar dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembatalan – seksyen 20(7). Jika dia gagal berbuat demikian, dia melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum (jika sabit kesalahannya) penjara tidak lebih 2 tahun, denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali – seksyen 20(8). Jika selepas itu dia terus gagal lagi menyerahkan Perakuan Pendaftaran tarekatnya, dia boleh dikenakan denda tidak lebih RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan – seksyen 20(9). 

 

Pendatar dikehendaki mencatat butir-butir pembatalan pendaftaran suatu tarekat itu dalam Daftar – seksyen 20(10).

 

Di bawah seksyen 21, Jawatankuasa Fatwa ada kuasa membatalkan pendaftaran tarekat jika tarekat itu tidak aktif lagi (tidak diamalkan), tetapi dengan syarat Pendaftar hendaklah terlebih dahulu mengisytiharkan niat Jawatankuasa itu melalui satu notis yang disiarkan sekurang-kurangnya dalam 2 akhbar harian, satu dalam bahasa kebangsaan dan satu lagi dalam apa-apa bahasa lain. Sesiapa yang ingin membuat bantahan terhadap niat Jawatankuasa itu boleh mengemukakan bantahannya kepada Pendaftar dalam tempoh yang ditetapkan dalam notis itu. Setelah tamat tempoh, dan setelah mempertimbangkan apa-apa bantahan (jika ada), Jawatankuasa boleh membatalkan pendaftaran tarekat itu dengan membuat pemberitahuan dalam Warta.

 

Apabila tarekatnya telah dibatalkan, syeikh berkenaan dikehendaki melakukan tindakan berikut – menutup pusat tarekatnya, berhenti mengurus dan mengendalikannya lagi, menghentikan segala amalan tarekat di kalangan ahlinya, berhenti menyebarkan tarekat itu dan tidak lagi mennyimpan atau memiliki apa-apa bahan terbitan tarekat itu – seksyen 22(1). Jika syeikh berkenaan ingkar atau gagal mematuhi perkara di atas, dia boleh dihukum (jika sabit kesalahan) penjara tidak lebih 2 tahun, denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Jika dia terus melakukan kesalahannya, dia boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan – seksyen 22(2).

 

Walaupun seorang syeikh itu telah dikenakan tindakan pembatalan tarekat yang ditadbir atau diurusnya, ini tidak bermakna bahawa dia dihalang membuat permohonan baru di kemudian hari untuk mendaftarkan semula tarekat tasawu itu menurut peruntukan Enakmen ini – seksyen 23.         

 

Bahagian VIII

 

Bahagian VIII menyatakan tentang penyiasatan dan pendakwaan.

 

Kerja penyiasatan dan pemeriksaan sesuatu kesalahan boleh dibuat oleh Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar tau oleh Pegawai Penguatkuasa Agama – seksyen 24. Untuk memastikan kerja ini teratur dan sempurna, prosedur yang digariskan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 hendaklah dipakai dan dipatuhi.

 

Seperti biasa, Ketua Pendakwa Syarie diberi budibicara dan kuasa sepenuhnya untuk mengarahkan apa-apa pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini – seksyen 25 dan 26.

 

Enakmen Tatacara Jenayah juga perlu dipakai dan dipatuhi bagi melupuskan barang kes dan benda yang menjadi hal perkara kesalahan di bawah Enakmen ini – seksyen 27.

 

Bahagian IX

 

Bahagian IX ini mengandungi pelbagai peruntukan bagi maksud melengkapkan Enakmen ini, antaranya mengenai penyampaian notis (seksyen 28),  kesalahan menghalang siasatan (seksyen 29), kesalahan memberi maklumat palsu (seksyen 30), kuasa Jawatankuasa Fatwa, dengan kelulusan Yang di Pertuan Besar, membuat peraturan (seksyen 31) dan pindaan Jadual kepada Enakmen ini (seksyen 32).    

 

Bagi kesalahan menghalang siasatan, enggan mengemukakan dokumen atau benda lain apabila dikehendaki berbuat demikian, dan menghalang apa-apa penyitaan bagi maksud penyiasatan di bawah Enakmen ini, seorang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 1 tahun, denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Bagi kesalahan memberi maklumat palsu, menyembunyikan fakta matan atau memalsukan apa-apa dokumen, seorang itu boleh dihukum penjara tidaklebih 1 tahun, denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Bahagian X

 

Bahagian X ini merupakan peruntukan peralihan, bagi maksud dikenakan kepada tarekat tasawuf yang telah wujud dan menjalankan aktivitinya sebelum Enakmen ini diwujudkan. Peruntukan ini penting kerana mengikut amalan perundangan semasa di negara kita, suatu undang-undang yang baru diwujudkan (seperti Enakmen Tarekat ini) hanyalah berkuatkuasa kedepan, bukan berkuatkuasa kebelakangan, kecuali dinyatakan sedemikian itu secara khusus dalam undang-undang itu.

 

Bagi mana-mana tarekat tasawuf yang telah sedia wujud sewaktu Enakmen ini baru diperkenalkan, syeikh yang mengendalikan tarekat itu hendaklah memohon mendaftarkan tarekatnya itu dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Enakmen ini dikuatkuasakan atau tempoh yang lebih lama jika dibenarkan oleh Pendaftar – seksyen 33(1). Sementara menanti keputusan permohonan itu dibuat, Pendaftar hendaklah mengeluarkan satu Perakuan Pendaftaran sementara bagi tarekat itu dan menetapkan apa-apa syarat ke atasnya – seksyen 33(2). Suatu tarekat yang dikeluarkan Perakuan Pendaftaran sementara adalah dianggap sah di sisi undang-undang dan boleh meneruskan aktivitnya – seksyen 33(3).     

 

Andainya permohonan pendaftaran itu kemudian ditolak, syeikh hendaklah menyerahkan balik Perakuan Pendaftaran sementara itu dalam tempoh 30 hari kepada Pendaftar – seksyen 33(5). Jika dia gagal berbuat demikian, dia boleh dihukum (jika sabit kesalahan) penjara tiadk lebih 2 tahun, denda RM 3,000 atau kedua-duanya sekali. Jika kemudian dia terus gagal menyerahkan Perakuan Pendaftaran sementara itu, dia boleh dikenakan denda selanjutnya tidak lebih RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

 

Bagi mana-mana syeikh yang telah mengendalikan tarekatnya sewaktu Enakmen ini baru diperkenalkan, dia hendaklah memohon mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Fatwa dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Enakmen ini dikuatkuasakan atau tempoh lebih lama jika dibenarkan oleh Pendaftar – seksyen 34(1). Sementara menanti keputusan permohonan itu dibuat, Pendaftar hendaklah mengeluarkan satu pengiktirafan sementara bagi syeikh itu – seksyen 34(2). Mana-mana syeikh yang telah diberi pengiktirfan sementara adalah disifatkan sebagai telah diktiraf bagi maksud Enakmen ini – seksyen 34(3).

 

Jika akhirnya apabila permohonan syeikh itu diputuskan, syeikh itu tidak diktiraf oleh Jawatankuasa Fatwa, syeikh itu dikehendaki menyerahkan kembali pengiktirafan sementara itu kepada Pendaftar dalam tempoh 30 hari keputusan itu dimaklumkan kepadanya – seksyen 34(4). Jika syeikh itu gagal berbuat demikian, dia boleh dihukum (jika sabit kesalahan) penjara tidak lebih 2 tahun, denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali – seksyen 34(5). Jika dia kemudian terus gagal menyerahkan pengiktifan sementara itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan – seksyen 34(6). 


Bagi melihat Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 boleh merujuk padahttp://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/1bd6f3d12f3c32f448257535001ac838?OpenDocument

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427