Mon06262017

Last updateTue, 06 Jun 2017 10am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Himpunan Fatwa Keputusan Mesyuarat Fatwa Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie

Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie

Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah serta kaedah-kaedah Fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:

 

1. Tiada dalil yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan larangan atau kebenaran pelantikan orang bukan Islam sebagai peguam Syarie. Walau bagaimanapun terdapat dalil-dalil umum mengenai perkara tersebut dalam al-Quran, hadith dan pandangan ulama muktabar seperti berikut:

 

 (a)  Firman Allah s.w.t:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ              

Maksudnya : Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi pemimpin/teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Surah Ali-Imran (3):28.

 

(b)  Hadith Nabi s.a.w:

 عن أزهر بن راشد عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تستضيئوا بنار المشركين       

Maksudnya: “Daripada Azhar bin Rasyid yang meriwayatkan daripada Anas Bin Malik, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,“Janganlah kamu meminta disinari dengan cahaya musyrik.”(Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie).

Menurut Imam al-Suyuti, hadith ini menjelaskan bahawa seseorang Islam itu tidak seharusnya meminta bantuan atau perlindungan daripada orang musyrik. Seandainya kita meminta pandangan daripada mereka, kita seolah-olah telah menjadikan pendapat mereka sebagai penyuluh apabila kita dalam keadaan kekeliruan.

 

2. Kaedah-kaedah Fiqhiyyah

a. سد الذ ريعة : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai Peguam Syarie, ia memberi ruang kepada orang-orang bukan Islam untuk menguruskan  hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan dan memberi gambaran kelemahan orang Islam.

b. إذا تعارض المانع والمقتضى قدم المانع: Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang mengkehendaki hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari satu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة : Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan dari maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة  : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai Peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

 

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

 

 

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427