Wed12132017

Last updateWed, 25 Oct 2017 8am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Himpunan Fatwa Keputusan Mesyuarat Fatwa Hukum Melukis Gambar Sahabat Nabi SAW

Hukum Melukis Gambar Sahabat Nabi SAW


   HUKUM MELUKIS GAMBAR SAHABAT NABI SAW

 

1.0       TUJUAN.

1.1              Kertas ini disediakan adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berkenaan Hukum Melukis Gambar Sahabat Nabi SAW.

 

2.0              LATARBELAKANG PERMASALAHAN/ISU.

2.1              Satu rampasan telah dibuat oleh Bahagian Penyelidikan, JHEAINS yang didakwa gambar-gambar para sahabat Nabi SAW di kilang Houlon Nilai.

2.2              Pekara ini dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa (seperti Lampian A) dan telah dibawa dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa kali ke-5 (Khas).

2.3              Menurut Bahagian Penyelidikan, JHEAINS, pemilik gambar tersebut menerima gambar tersebut sebagai hadiah daripada kawannya yang pulang daripada Indonesia.

2.4              Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan supaya menyemak sama ada terdapat fatwa berhubung perkara ini dan satu kertas kerja disediakan.

 

3.0              ASAS PERTIMBANGAN

3.1       Pendahuluan.

3.1.1    Melukis dari sudut bahasa :

1.   Membuat gambar, peta dan sebagainya (dengan menggunakan pensil, pensil warna, cat air, cat minyak dan sebagainya)[1].

2. Merupakan dengan gambar, menggambarkan[2].

Menggambar, menulis, menconteng, membentuk, menyungging, menyurih, menggores, menggaris, mencatit, mencatat

 

Manakala gambar dari segi bahasa :

1.      Lukisan dan foto

2.      Tiruan sesuatu benda yang dibuat dengan menggunakan kamera dan foto

3.      Patung[3]

Atau;

1.      Foto, pigura, lukisan, potret dan citra

2.      Patung

3.      Rajah, rangka, lakar dan bayang[4]

 

3.1.2    Sahabat Nabi pula dari sudut bahasa bermaksud rakan dan taulan kepada Rasulullah SAW.

Sementara dari sudut istilah:

i.         Mereka yang beriman dengan Rasulullah pada masa hayatnya dan pernah berjumpa dengannya di samping mati dalam keadaan beriman. Inilah ta’rif Muhadithin (  المُحَدِّثِينَ  ).

ii.       Al-Jurjani berkata siapa yang melihat Rasulullah SAW dan lama persahabatannya sekalipun tidak meriwayatkan daripadanya. Ada pendapat berkata sekalipun tidak lama masa persahabatannya

               

Kesimpulan daripada ta’rif di atas, Sahabat Nabi adalah:

 i.            Beriman dengan Rasulullah saw

 ii.            Pernah berjumpa dengannya

 iii.            Mati dalam keadaan beriman

 

3.2       Fadhilat (kelebihan) Para Sahabat Nabi.

3.2.1        Firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ayat 100,                                                                                                                                                                                                                                

Yang bermaksud, Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang muhajirin dan ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.

 

Firman Allah Taala dalam surah al-Fatah ayat 18,

Yang bermaksud, Demi sesungguhnya! Allah redha dengan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepada (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuinya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.

 

3.2.2       Sabda Rasulullah SAW Riwayat Muslim,

لا تسبوا أصحابي، فإن أحدكم لو أنفق مثل أحد ذهبا ما أدرك مد أحدهم ولا نصيفه.

Yang bermaksud, Janganlah kamu maki sahabatku, seandainya seorang daripada kamu infaq emas sebesar Bukit Uhud sekalipun tidak mungkin menyamai satu atau setengah cupak yang disedekahkan oleh para sahabat.

 

3.3    Terdapat banyak fadhilat dan manaqib para sahabat melalui al-Quran atau hadith. Antaranya,

Firman Allah Taala surah al-Fath ayat 29,                                                                             

  Yang bermaksud, Nabi Muhammad (saw) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat ruku’ dan sujud, dengan menharap limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharap keredhaaNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka-dari kesan sujud (dan beribadah mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam kitan Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya,lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, saw dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki- dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu)  Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

 

3.4       Ancaman Kepada Orang Yang Memaki Sahabat Nabi.

Riwayat at-Tarmizi daripada Abdullah bin Mughaffal RA, Sabda Rasulullah SAW

الله الله في أصحابي، لا تتخذوهم غرضا بعدي، فمن أحبهم فبحبي أحبهم، ومن أبغضهم فبغضبي أبغضهم، ومن آذاهم فقد آذاني، ومن آذاني فقد آذى الله، ومن آذى الله يوشك أن يأخذه.

Yang bermaksud, Takutlah kepada Allah, Takutlah kepada Allah berkenaan dengan sahabatku. Jangan kamu menjadikan mereka habuan atau matlamat selepasku. Siapa yang kasih kepada mereka maka dengan kasihku aku kasihkan mereka dan sesiapa yang benci kepada mereka maka dengan benciku aku benci kepada mereka. Siapa yang menyakiti mereka maka ia menyakitiku. Dan siapa yang menyakitiku maka sesungguhnya ia menyakiti Allah. Dan siapa yang menyakiti Allah hampir-hampirlah ia diambil-Nya (dihukum-Nya).

 

3.5    Hukum Melukis Gambar Para Sahabat Nabi.

3.5.1    Melukis gambar sahaja telah menjadi khilaf di kalangan ulama’ dan pendapat yang masyhur jika mempunyai maslahah maka ianya diharuskan sebaliknya jika semata-mata sebagai hiburan atau keseronokan maka ianya tidak dibenarkan berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar RA, sabda Rasulullah SAW,

إن الذين يصنعون هذه الصور يعذبون يوم القيامة يقال لهم: أحيوا ما خلقتم.

Yang bermaksud, Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar (berjisim iaitu patung atau tidak berjisim iaitu lukisan, tenunan, ukiran dan sebagainya) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertanyaan penghinaan): ”Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu.”

3.5.2          Syeikh ’Atiyyah Saqr melalui kitabnya[5] menyebut, sesungghnya ulama’ telah menegah daripada lakonan tokoh-tokoh yang terhormat seperti para Nabi dan Rasul. Mereka juga mengharamkan lakonan secara mutlak sebagaimana diharamkan lukisan dan mempotretkan mereka. Ini kerana beberapa alasan:

i.                 Lakonan atau gambaran tidak berbetulan atau bertepatan dengan yang asal dan sebenarnya.

ii.                Tidak menepati realiti yang betul sama ada gambaran atau sebenar.

iii                Mereka adalah tokoh dan contoh ikutan kepada yang lain. Justeru, berdusta ke atas mereka dengan lakonan atau lukisan adalah tidak benar

iv                Melukis atau menggambarkan mereka jika tidak baik boleh memberi satu gambaran yang tidak baik kepada yang menonton atau yang melihatnya.

3.5.3          Hal ini dikuatkan lagi dengan fatwa ulama’ Muktabar antaranya,

i.                     Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf pada bulan Mei 1950, iaitu al-Fatawa al-Islamiyah Jil. 4 halaman 1297

ii.                   Lujnah Fatwa Azhar pada bulan Jun 1968.

iii.                  Majlis Majma’ Buhuth Islamiyah pada bulan Februari 1972

iv.                 Muktamar ke-8 Majma’ pada bulan Oktober 1977

v.                   Majlis Majma’ pada bulan April 1978

vi.                 Dar Ifta’ Mesir pada bulan Ogos 1980

 

Antara nasnya ialah,

وكان منطلق التحريم هو أن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح، فإذا كانت الثقافة تحتاج إلى خروج على الآداب فإن الضرر من ذلك يفوق المصلحة- وذلك إلى جانب متررات التحريم التى سبق ذكرها- كما جاء فى عبارة دار الإفتاء: أن عصمة الله لأنبياءه ورسله من أن يتمثل بهم شيطان مانعة من أن يمثل شخصياتهم إنسان.

ويمتد ذلك إلى أصولهم وفروعهم وزوجاتهم وصحابة الرسول عليه الصلاة والسلام، ومن جهة العبرة من قصص الأنبيا قال: كيف تتأتى الإستفادة من تمثيل إنسان لشخص نبي، ومن قبل مثل شخص عربيد مقامر سكير رفيق حانات وأخ للدعارة والداعرات، ومن بعد يمثل كل أولئك أو كثيرا منهم؟.

Yang bermaksud, Pengharaman ini adalah berdasarkan kaedah fiqhiyah (menghindarkan kerosakan adalah diutamakan daripada mengambil kemaslahatan).

 

Apabila sesuatu kebudayaan memerlukan kepada keluarnya daripada adab dan norma maka sesungguhnya kemudaratan itu mengatasi kemaslahatan. Di samping itu, terdapat banyak alasan pengharaman yang telah disebutkan seperti mana yang disebut di dalam dar al-Ifta’ Mesir : Sesungguhnya Allah telah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru ataupun dilakonkan oleh syaitan. Demikian jugalah Allah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru atau dilakonkan oleh manusia .

Demikian jugalah pengharaman meniru usul (nenek moyang) furu’ (anak cucu), isteri-isteri dan sahabat-sahabat Rasul.

Adapun yang berkaitan dengan pengajaran yang diambil daripada kisah-kisah nabi, fatwa ini menyebutkan bagaimana mungkin kita mengambil pengajaran daripada lakonan seorang manusia biasa terhadap peribadi seorang nabi. Siapakah yang sanggup menerima lakonan seorang bodoh, kaki judi, pemabuk, pelanggan kedai arak dan persundalan? Merekakah yang melakonkan lakonan para nabi dan sahabat?

3.6       Berdasarkan hadis di atas, melukis gambar apatah lagi gambar sahabat amatlah ditegah termasuk juga seperti lakonan. Ini kerana beberapa alasan.

1.      Umum hadis berkenaan dengan larangan melukis gambar yang mempunyai roh.

2.      Kemuliaan para sahabat hendaklah dipertahankan.

3.      Ia mungkin termasuk dalam menghina para sahabat.

4.      Lukisan tersebut lebih kepada andaian dan khayalan oleh pelukis melalui sedikit maklumat.

5.      Hal ini tidak dilakukan oleh Salaf al-Soleh seperti imam-imam yang empat.

3.7              Satu “Garis Panduan dan Penjelasan Mengenai Seni Tampak Dari Kaca Mata Islam” telah di keluarkan oleh BAHEIS dan telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam N.S bil 4/87 menyatakan haram melukis gambar-gambar malaikat, nabi-nabi dan para sahabat besar iaitu 10 yang dijamin masuk syurga.

3.8               Fatwa Negeri Sabah telah mengharamkan perbuatan melukis gambar sahabat Nabi SAW yang diwartakan pada 11 Disember 2003[6], sebagaimana petikan di bawah ini:

Dengan ini dimaklumkan bahawa Fatwa telah dibuat dan diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 adalah dengan ini disiarkan sebagai berikut :-

"Perbuatan melukis, melakar atau mengukir gambar para Sahabat adalah diharamkan".

 

4.0              KESIMPULAN DAN SYOR

Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa:

Dicadangkan supaya mana-mana individu yang cuba melakarkan wajah dan gambar para sahabat Nabi SAW tidak dibenarkan sama sekali kerana ianya mempunyai kemuliaan yang tinggi. Ini juga boleh membawa kepada penghinaan kepada sahabat yang termasuk di dalam larangan ayat-ayat Allah dan sunnah Rasulullah SAW.

 

Disediakan oleh,

Panel Penyelidik Fatwa Negeri Sembilan

12hb Mac 2008

[1] Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (hal 830)

[2] Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (hal 1083)

[3] Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (hal 365)

[4] Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (hal 492)

[5] al-Syeikh ‘Atiah Saqar, Ahsanul Kalam fi al-Fatawa wal Ahkam, Dar Ghad al-‘Arabi, Jld 1 hlmn 156.

[6] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=1330

 

KEPUTUSAN

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 1/1430

Pada 7 Rejab 1430H

bersamaan 30hb Jun 2009

 

Saya bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus, dengan ini membuat dan mengeluarkan keputusan berikut:

Perbuatan melukis, melakar dan mengukir gambar sahabat Nabi s.a.w adalah haram dan gambar-gambar sahabat Nabi s.a.w yang ada pada hari ini adalah palsu.

 

Dato’ Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad

Mufti Kerajaan Negeri,

Negeri Sembilan Darul Khusus

 

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427