Tue06272017

Last updateTue, 06 Jun 2017 10am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Himpunan Fatwa Fatwa Mufti Negeri Sembilan Hukum Aqiqah dan Menggunakan Kambing Jenis Baka Boer

Hukum Aqiqah dan Menggunakan Kambing Jenis Baka Boer

1.0     TUJUAN

1.1     Kertas ini disediakan adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.


2.0     LATARBELAKANG
 

2.1 Persoalan ini diajukan oleh En. Zafri Isam Iskandar daripada Pedas Wawasan Ternak.

2.2 Beliau menyatakan, kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan mempunyai saiz yang cukup besar menyamai saiz kambing biasa yang berumur 2 tahun.

2.3 Berikut dinyatakan beberapa maklumat tentang kambing jenis baka boer[1]:

Asal usul Kambing Boer pada dasarnya tidak begitu jelas, tetapi ramai penyelidik mempercayai ia mempunyai gene pool dari pelbagai baka terutama kambing asli Afrika yang menjadi binatang ternak suku Namaqua Hottentots dan suku asli yang berhijrah dipanggil ‘Souhtern Bantu’. 

Di percayai juga terdapat pengaruh kambing dari India, Angora dan Eropah. Kelahiran kambing polled (tidak bertanduk) dipercayai mempunyai pengaruh baka kambing susu dari Eropah. Boer bermaksud ‘farm’ atau ‘ladang’ dalam bahasa Belanda. Boer yang kelihatan hari ini telah ujud semenjak awal 1900an apabila beberapa ladang di Wilayah Timur Cape, Afrika Selatan mula membuat pemilihan baka untuk tujuan pengeluaran daging kambing. Pada 1959 , pembiakkan dan pemilihan Kambing Boer mula di kawalselia oleh Boer Goat Breeder’s Association.

Boer adalah binatang yang kuat dan mantap, konformasi badan yang baik. Kakinya pendek, tegap, berisi serta paha dan bahagian belakang yang tegap dan berotot. Ianya jelas menggambarkan ciri-ciri kambing daging yang baik.

Kambing Boer Jantan mencapai berat 110-135 ketika matang manakala kambing betina 90-100 kg.

3.0 ASAS PERTIMBANGAN

3.1 Qurban ialah ibadah. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadah mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah. Hal ini samalah dengan ibadah-ibadah yang lain.

 3.2             Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah menebuskan dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini  berlaku setelah Nabi Ibrahim dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah.

 3.3 Di samping hikmah tersebut, ibadah qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggenbirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjamaah serta berkasih sayang.

 3.4 Usia Kambing yang boleh dibuat Qurban.

 3.4.1 Pertama sepakat di kalangan ulama bahawa kambing yang berusia dua tahun ke atas sama seperti lembu, manakala biri-biri pula yang telah masuk tahun yang kedua atau yang telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun[2].

 3.4.2 Kedua jika kurang daripada dua tahun

 Sebelum membincangkan hukumnya, di sini dinyatakan nama bagi kambing atau biri-biri mengikut usianya

 1.     al Sakhlah (  السخلة  ) ialah :-

 i.        Anak kambing ketika dilahirkan sama ada jantan atau betina[3].

 ii.      Anak kambing biri-biri[4].

2.    al  Jaza`ah الجذعة ( )daripada al Dha`n (  الضأن  )ialah :-

 i.     Anak kambing  biri-biri yang berusia 8 hingga 9 bulan[5].

ii.      Anak kambing biri-biri yang telah berusia enam bulan dan telah masuk bulan yang ketujuh[6].

 3.5             Oleh kerana matlamat Qurban itu dengan binatang yang baik, besar dan cukup syarat-syarat tetapi berkenaan dengan tahun kebanyakkan ulama hanya mentakdirkan secara ijihad.

 3.6             Justeru dinyatakan mengikut mazhab :

 i.        Jumhur Ulama, Hanafi, Hanbali dan sebahagian Maliki : memadai kambing biri-biri yang besar yang telah berumur enam bulan dan memasuki bulan yang ke tujuh. Hal ini berdasarkan kepada hadith riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad daripada: Ummi Bilal binti Hilal daripada bapanya, sabda Rasulullah SAW,

يجزئ الجذع من الضأن أضحية

 

Yang bermaksud, Memadai kambing biri-biri yang berusia lapan ke sembilan bulan untuk dibuat qurban.

 Mengikut riwayat al-Nasaie daripada Uqbah bin Amir RA sabda Rasulullah SAW,

 

 

 

ضحوا بالجذع من الضأن فإنه جائز

 

Yang bermaksud, Qurbankanlah kambing biri-biri (usia antara lapan ke sembilan bulan) maka sesungguhnya ia memadai.

 

 

 

Mengikut riwayat Muslim dariapda Jabir RA bahawa Rasulullah bersabda,

 

 

 

لا تذبحوا إلا مسنة، فإن تعسر عليكم فاذبحوا جذعة من الضأن

 

Yang bermaksud, Jangan sembelih qurban kecuali yang berusia setahun. Jika menjadi kesukaran kepada kamu maka sembelihlah kambing biri-biri (usia antara lapan ke sembilan bulan).

 

 

 

ii.      Al-Maliki dan al-Shafie: Mensyaratkan cukup setahun dan masuk tahun yang kedua[7].

 

 

 

3.7             Tarjih.

 

3.7.1    Pendapat yang lebih sah  أصح (    ), dibolehkan walaupun belum cukup setahun kerana masalah ini adalah ijtihadi berkenaan dengan nama dan juga usianya.

 

 

 

3.7.2      Dalam Lisan al-Arab menyebut terlalu banyak pendapat berkenaan dengan al-Dha`n dan al- Jaza`ah.

 

 

 

3.7.3      Mengikut Ibn al-A`rabi iaitu berusia antara enam hingga ke tujuh bulan.

 

 

 

4.0     KESIMPULAN DAN SYOR

 

Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing boer berumur enam hingga 12 boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini juga pendapat Waqi’ yang menyatakan usia 6 atau 7 bulan seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni[8].

 

 

[1] Sumber Internet

 

[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan,Jld 1 hlmn 540

 

[3] Ibnu Manzur, 1988, Lisan al-Arab, Dar al-Jil Beirut/Dar Lisan al-Arab, Jld 3 hlmn 114. Qamus Besar Arab Melayu Dewan 1107.

 

[4] Muhammad Idris al-Marbawi, cetakan ke-4, Kamus al-Marbawi, hlmn 282.

 

[5] Qamus Besar Arab Melayu Dewan 283

 

[6] Abi al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, 1994, al-Hawi al-Kabir, Jld 3 hlmn 113. Ibnu Qudamah, 1996, al-Mughni, Dar al-Hadith Keherah

 

[7] Wahbah al-Zuhaili, 1996, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Jld 3 hlmn 614-615.

 

[8] Abi al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, 1994, al-Hawi al-Kabir, Jld 3 hlmn 113. Ibnu Qudamah, 1996, al-Mughni, Dar al-Hadith Keherah, Jld 13 hlmn 139.

 

 

 

 

 

 

HUKUM AQIQAH DAN QURBAN MENGGUNAKAN KAMBING JENIS BAKA BOER.

 

(KERTAS TAMBAHAN)

 

 

 

1.0     TUJUAN

 

1.1     Kertas ini adalah kertas tambahan berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.

 

 

 

2.0     LATARBELAKANG

 

2.1             Di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bil 1/1429 telah dibentangkan kertas berhubung hukum qurban dan aqiqah menggunakan kambing jenis baka boer yang berusia dari 6 hingga 12 bulan dan mempunyai saiz yang cukup besar tetapi belum tertanggal gigi.

 

 

 

2.2             Mesyuarat memutuskan supaya hukum mengenai perkara ini ditangguhkan dan satu kajian berhubung dengan sifat fizikal dan perangai kambing jenis baka boer dilakukan.

 

 

 

2.3             Sehubungan dengan itu, satu lawatan di Ladang Ternakan Kambing, Kampung Pah, Jelebu, iaitu ladang ternakan milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sembilan, telah diadakan pada 4hb Jun 2009 untuk mendapatkan maklumat mengenai kambing tersebut.

 

2.4             Rombongan Jabatan telah mendapat taklimat dan kerjasama  daripada Dr. Azman, wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sembilan dan Dr. Khairil, Pengurus Ladang Ternakan Kambing.

 

 

 

3.0     ASAS PERTIMBANGAN

 

 

 

3.1             Sifat Fizikal Kambing Jenis Baka Boer:

 

                                                                      i            Berat

 

§        Berat lahir adalah antara 2-3 kg (kebiasaan).

 

§        Berat ketika berumur 6 bulan antara 30-35kg.

 

§        Berat ketika berumur 1 tahun 40-45 kg.

 

§        Berat ketika berumur 2 tahun mencecah 80 kg.

 

 

 

Berat lahir kambing Kacang antara 1.2-2.5 kg manakala berat matang (berumur 2 tahun) bagi kambing Kacang jantan dan betina masing-masingnya 15-25 kg dan 25-35 kg.

 

 

 

                                                                    ii            Boer telah salin gigi ketika berumur 1 tahun.

 

 

 

3.2             Sifat perangai Kambing Jenis Baka Boer:

 

                                                                      i            Boer jantan matang pada umur 6 bulan manakala yang betina pada umur 8-11 bulan.

 

                                                                    ii            Rekod di Ladang Ternakan Kambing, Kampung Pah, Jelebu, boer betina bunting ketika berumur 9 bulan.

 

 

 

3.3             Mengikut hukum Syarak, usia Kambing yang boleh dibuat Qurban,

 

3.3.1      Pertama sepakat di kalangan ulama bahawa kambing yang berusia dua tahun ke atas sama seperti lembu, manakala biri-biri pula yang telah masuk tahun yang kedua atau yang telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun[1].

 

 

 

3.3.2      Kedua jika kurang daripada dua tahun

 

Jumhur Ulama, Hanafi, Hanbali dan sebahagian Maliki : memadai kambing biri-biri yang besar yang telah berumur enam bulan dan memasuki bulan yang ke tujuh

 

 

 

Al-Maliki dan al-Shafie: Mensyaratkan cukup setahun dan masuk tahun yang kedua[2].

 

 

 

4.0     KESIMPULAN DAN SYOR

 

Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing jenis Boer berumur 1 tahun boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini kerana ianya memenuhi syarat telah tanggal gigi hadapannya, mempunyai badan yang besar dan telah matang.

 

 

 

 

 

 

 

 

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, 2004, Manhaj Fiqh al-Shafie, Jabatan Mufti N.Sembilan,Jld 1 hlmn 540

 

[2] Wahbah al-Zuhaili, 1996, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Jld 3 hlmn 614-615.

 

 

 

 

KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA

 

BIL 1/1430

 

7 Rejab 1430H

 

30hb Jun 2009M

 

 

 

__________________

 

 

 

 

 

Kambing jenis baka Boer berumur 1 tahun boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini kerana ianya memenuhi syarat telah tanggal gigi hadapannya, mempunyai badan yang besar dan telah matang.

 

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427